Poligami: Perlukah Izin Isteri

FIKIH:
POLIGAMI: PERLUKAH IZIN ISTERI?




SOALAN:

Assalamu’alaikum, ustazah.

Suami saya telah memberitahu saya bahawa dia ingin berkahwin seorang lagi. Saya amat tidak bersetuju kerana menganggap suami saya tidak mampu. Akhirnya, suami saya menikah seorang lagi tanpa pengetahuan saya. Walaupun telah mempunyai isteri baru, suami saya tidak pernah sekalipun mengabaikan saya dan anak-anak. Madu saya reda gilirannya untuk bersama suami hanya seminggu sekali memandangkan jarak tempat tinggal yang jauh dan masih dalam keadaan rahsia. Apabila saya mengetahuinya, saya mendesak suami supaya menceraikan isteri keduanya. Saya juga menghasut anak-anak kami supaya membenci suami. Suami menjadi begitu tertekan, lantas menceraikan isteri keduanya. Adakah saya berdosa kerana memaksa suami saya menceraikan isteri keduanya hanya kerana saya tidak izinkan? Adakah sah pernikahan kedua suami kerana dilakukan tanpa keizinan saya sebagai isteri pertama? Harap ustazah boleh memberi penjelasan tentang masalah saya ini.



JAWAPAN:

Antara persoalan yang menimbulkan masalah paling kontroversi dalam urusan perkahwinan umat Islam ialah keharusan berpoligami. Persoalan ini dijadikan bahan oleh sesetengah golongan untuk mengecam Islam dan ramai wanita yang tidak berpuas hati dengan pelaksanaannya. Maka, hal yang perlu diperjelaskan di sini adalah mengenai hukum poligami serta hak poligami itu sendiri.

Hukum Poligami

Poligami (lelaki mengahwini lebih daripada satu) adalah sesuatu yang diharuskan dalam Islam. Hukum poligami (Ta’addudi al-Zaujat) menurut jumhur ulama adalah mubah (boleh). Hal ini berlandaskan firman Allah S.W.T.,

“Nikahilah oleh kalian wanita-wanita (lain) yang kamu senangi dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (nikahilah) seorang saja, atau kamu nikahi hamba sahaya perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat pada sikap tidak berbuat aniaya” [TMQ an-Nisa’ (4): 3].

Ayat ini diturunkan kepada Nabi S.A.W. pada tahun kelapan hijrah. Ayat ini diturunkan untuk membatasi jumlah isteri pada batas maksimum empat orang sahaja kerana sebelum turunnya ayat ini, jumlah isteri bagi seorang lelaki tiada batasnya. Ayat tersebut juga memerintahkan seorang suami yang berpoligami supaya berlaku adil terhadap isteri-isterinya, namun jika khuatir tidak mampu berlaku adil, lebih dianjurkan agar membatasi jumlah isteri kepada seorang sahaja. Hal ini kerana pembatasan jumlah isteri kepada seorang sahaja merupakan tindakan yang lebih dekat pada sikap tidak berlaku zalim yang mana sikap ini harus dimiliki oleh setiap Muslim.

Walau bagaimanapun, perlu difahami bahawa keadilan bukanlah syarat bagi kebolehan untuk berpoligami. Keadilan hanya merupakan kewajipan yang muncul kerana keputusan seorang lelaki untuk hidup dalam keluarga poligami. Allah S.W.T telah menjelaskan secara sempurna mengenai hal ini.

“Nikahilah oleh kalian wanita-wanita (lain) yang kamu senangi dua, tiga atau empat” [TMQ an-Nisa’ (4): 3].

Ayat ini menunjukkan dengan jelas bolehnya berpoligami secara mutlak. Ayat ini telah selesai dan berdiri sendiri. Selanjutnya dimulai dengan kalimah lainnya iaitu. ‘Fa in khiftum’ (Kemudian, jika kalian khuatir). Kalimah ini bukanlah syarat poligami melainkan ia merupakan kalimah baru yang berdiri sendiri. Seandainya hal ini adalah ayat pensyaratan, tentulah ayat tersebut akan berbunyi: “Nikahilah oleh kalian wanita-wanita (lain) yang kamu senangi dua, tiga atau empat jika kalian dapat berlaku adil.”

Namun, susunan ayat seperti di atas tidak ada, sehingga aspek keadilan bukanlah syarat untuk berpoligami. Potongan ayat pertama menunjukkan hukum syariat yang berbeza dengan potongan ayat kedua. Potongan ayat pertama menunjukkan hukum bolehnya berpoligami sebatas empat orang sahaja, sedangkan potongan ayat kedua menunjukkan hukum lain, iaitu Allah lebih suka jika seorang   lelaki menikahi seorang sahaja jika dengan berpoligami itu akan menyebabkan suami tidak berlaku adil antara mereka (isteri-isteri).

Dalam kes ini, tindakan suami puan berpoligami adalah boleh di sisi syarak. Namun demikian, suami puan telah melakukan kezaliman terhadap isteri keduanya dengan tidak adil dalam giliran bermalam (walaupun isteri kedua tersebut reda) dan akhirnya menceraikan isteri kedua tersebut setelah rahsia terbongkar lantaran didesak oleh puan. Di sini, suami puan perlu memainkan peranan sebagai seorang suami dan juga ketua keluarga serta bersikap tegas dengan puan dan anak-anak.

Sesungguhnya poligami merupakan satu hukum yang dibolehkan oleh syarak, namun tanggungjawab yang perlu dipikul oleh sang suami amatlah berat bermula daripada aspek keadilan sehinggalah ke aspek didikan ilmu agama terhadap isteri-isteri dan anak-anak.

Hak Poligami
           
Ketika ini, masyarakat di sesetengah tempat seolah-olah memahami kuasa poligami ini berada di tangan isteri. Contohnya seperti yang diperuntukkan dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Seksyen 23 memperuntukkan bahawa lelaki yang telah berkahwin tidak boleh membuat akad nikah perkahwinan yang lain dengan perempuan lain kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dahulu secara bertulis daripada Mahkamah. Permohonan untuk kebenaran hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut syarat-syarat tertentu ter-masuklah memberi kenyataan sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada telah diperolehi atau tidak. Undang-undang yang digubal oleh manusia ini memberi kefahaman kepada masyarakat bahawa jika isteri tidak memberi tandatangan kebenaran, maka poligami itu tidak sah dan menjadi batal.

Hakikatnya dalam Islam, keizinan daripada isteri itu bukanlah satu hal yang wajib kerana poligami merupakan hukum Allah yang diberi kepada seorang suami. Jadi isteri tidak ada kewajipan atau hak untuk mengatur suami dalam hal poligami. Sebagaimana yang berlaku dalam kes di atas, puan berkeras untuk tidak dimadukan sehingga sanggup mendesak suami puan untuk menceraikan isteri keduanya. Jelas di sini bahawa puan telah melakukan kemaksiatan kepada Allah, dengan menjadi penyebab runtuhnya sebuah masjid yang dibina oleh suami bersama wanita lain tanpa sebarang alasan yang berlandaskan nas-nas syarak.

Sepatutnya, puan perlu ada kefahaman dan kesedaran dengan sepenuh hati bahawa kebolehan poligami adalah hukum Allah, dan hukum Allah pastilah hukum terbaik yang akan membawa kemaslahatan bagi umat manusia. Allah S.W.T. berfirman,

“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila   Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata” [TMQ al-Ahzab (33): 36].

Dengan ketaatannya kepada hukum Allah, dia akan rela dimadukan, dan inilah yang akan membuat Allah melimpahkan pahala yang sangat besar kepadanya. Sesungguhnya, ketaatan kepada Allah dan suami serta mengakui hak-haknya (seperti kebolehan poligami) akan membuatkan seorang wanita mendapat pahala yang besar, bahkan setara dengan pahala berperang di jalan Allah S.W.T.

Ibnu Abbas meriwayatkan sebuah hadis sebagai berikut,

Sesungguhnya pernah ada seorang perempuan datang kepada Rasulullah S.A.W, lalu ia berkata, “Wahai Rasulullah, saya ini utusan dari kaum perempuan kepadamu Jihad (perang) diwajibkan Allah kepada kaum laki-laki. Jika mereka menang, mereka mendapatkan pahala, jika mereka   terbunuh, mereka masih tetap hidup di sisi Tuhan mereka lagi mendapat rezeki, sementara kami, kaum perempuan membantu mereka. Lalu apa bahagian bagi kami dalam hal ini?” Rasulullah S.A.W bersabda (yang ertinya), “Sampaikanlah kepada perempuan-perempuan yang kamu temui, bahawa taat kepada suami dan mengakui hak-haknya adalah sama dengan itu (jihad di jalan Allah)” [HR Ibnu Abdil Barr].

Namun demikian, suami yang baik dan menyayangi isterinya pasti akan memberitahu isterinya terlebih dahulu sebelum menikah lagi sebagai menghargai hak seorang isteri dan agar isterinya bersedia untuk menerima orang baru dalam keluarga.

Wallahua’lam. [F.U./ BIL:50/ DISEMBER 2012]

SHARE THIS

1 comments:

  1. Isteri pertama yang kejam kerana memaksa suami menceraikan isteri kedua. Anda menidakkan hukum Allah. Adakah kasih dan tanggungjawab suami terhadap anda dan anak2 berkurang setelah suami berkahwin lagi? Jangan jadi manusia kejam semata2 tamak kasih suami. Suami bukan hak seorang isteri sahaja, jangan menidakkan hukum Allah, izinkan suami berkahwin lg sekiranya mampu, ramai wanita kini sudah berkerjaya, lumrah manusia mereka juga ada keinginan bersuami, isteri pertama jangan tamak sekiranya isteri kedua tidak menyusahkan suami. Redalah dgn ketentuan Allah, pahala menanti anda.

    ReplyDelete