Tafsir Al-Quran: Zahirnya Kerosakan Di Serata Dunia!


Firman Allah SWT,

“Telah nampak  fasad (kerosakan) di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” [TMQ ar-Rum (30):41].

Petikan Kitab Tafsir

Tafsir Al-Jalalain menghuraikan bahawa, “Telah nampak kerosakan di darat” maksudnya disebabkan terhentinya hujan dan menipisnya tumbuh-tumbuhan, “dan di laut” maksudnya di negeri-negeri yang banyak sungainya menjadi kering, “disebabkan perbuatan tangan manusia” berupa perbuatan-perbuatan maksiat. Ungkapan yang bermaksud “supaya Allah merasakan kepada mereka” dapat dibaca لِيُذِيقَهُمْ dan لِنذِيقَهُمْ; ertinya supaya Dia/Kami merasakan kepada mereka “sebahagian daripada akibat perbuatan mereka” sebagai hukumannya “agar mereka kembali” supaya mereka bertaubat daripada perbuatan-perbuatan maksiat.

Tafsir Ibnu Kathir memetik Abu al-‘Aliah berkata, “Barangsiapa mengingkari Allah SWT di muka bumi ini bermakna dia telah berbuat kerosakan di atasnya, kerana keadaan yang baik di bumi dan langit bergantung kepada ketaatan manusia terhadap Allah S.W.T”. Rasulullah S.A.W bersabda,

لَحَدٌّ يُقَامُ فِي الْأَرْض أَحَبّ إِلَى أَهْلهَا مِنْ أَنْ يُمْطَرُوا أَرْبَعِينَ صَبَاحًا

“Sesungguhnya hukum Hudud yang dilaksanakan di bumi lebih elok untuk ahlinya berbanding mereka diturunkan hujan empat puluh pagi” [HR Abu Daud].

Menurut tafsir Ibnu Kathir lagi, hal ini kerana jika dilaksanakan hukum hudud tersebut maka ia akan menjadi pencegahan daripada melanggar batas-batas sempadan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Tambahnya lagi, jika manusia meninggalkan maksiat kepada Allah S.W.T, ia menjadi penyebab untuk mereka memperoleh keberkatan di langit dan di bumi.


Ulasan dan Pengajaran


Sebahagian besar dunia pernah hidup dalam kesejahteraan bermula dari zaman Rasulullah S.A.W, yang diikuti dengan zaman Khilafah Islamiyah. Selama 13 abad zaman pemerintahan Islam ini, kaum muslimin pernah dilanda perang saudara, diserbu tentara Salib, dan dibantai oleh bangsa Tartar, namun mereka waktu itu tidak sampai kehilangan kemuliaannya, kesatuannya,dan semangatnya. Sehinggakan dalam tempoh masa yang agak singkat, mereka mampu bangkit kembali, bahkan mengalahkan musuh-musuhnya dan menyebarkan pula Islam yang membawa kesejahteraan di sana. Sememangnya Islam itu rahmat bukan sahaja kepada umatnya, malah kepada semua yang bernaung di bawahnya selama ia dilaksanakan.

Namun syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia sentiasa menginginkan maksiat, maka mereka melaksanakan pelbagai makar agar Islam tidak dilaksanakan. 3 Mac 1924 sebagai tarikh rasminya penamatan Khilafah Islamiyah menandakan satu titik perubahan sejarah dunia.

Dengan lenyapnya Khilafah iaitu ibu segala kefardhuan, keadaan fasad dan kehancuran yang sangat dahsyat telah menyelubungi dunia kaum muslimin. Sejak hari itu, kaum muslimin tidak lagi memiliki pemimpin yang berupaya menyatukan mereka. Mereka tidak lagi memiliki kekuatan yang berupaya mewujudkan misi mereka sebagai khaira ummah iaitu sebaik-baik golongan sebagaimana sepatutnya, dibangkitkan oleh Allah ke tengah-tengah kelompok manusia, bagi menjadi penguasa di muka bumi (QS 35:39), menyuruh yang makruf, mencegah yang mungkar dan beriman kepada Allah (QS 3:110), serta penyelamat kaum tertindas (QS 4:75).

Sejak hari itu juga, pemimpin negeri-negeri kaum muslimin telah terpesong daripada landasan Islam apabila al-Quran dan as-Sunnah tidak dijadikan sumber hukum dalam hal pemerintahan. Mereka bahkan melaksanakan sistem pemerintahan dan undang-undang buatan manusia.

Kini, umat Islam khususnya dan seluruh dunia amnya mengalami situasi buruk yang tidak pernah dialami dalam sejarah dunia. Kecanggihan teknologi dan perkembangan ekonomi tidak berupaya menyelamatkan negara-negara yang “maju” dan “mundur” daripada peperangan dan pergolakan politik, korupsi pemerintahan, berleluasanya jenayah, ketidakseimbangan ekonomi, konflik perkauman, keruntuhan moral, dan banyak lagi. Begitu juga kaum muslimin seluruh dunia yang pada saat ini berada di titik yang paling rendah dalam sejarah. Sungguh mendukacitakan, umpama semua orang sakit tenat, tapi mereka tidak dapat dirawat kerana doktor mereka, iaitu umat Islam, juga sedang sakit tenat!

Khatimah

Untuk setiap penyakit, Allah telah menyediakan ubatnya. Kerosakan yang berlaku seperti dijelaskan di atas adalah akibat maksiat terbesar iaitu meninggalkan Islam sebagai sistem hidup. Kerosakan ini hanya dapat dibaiki dengan meninggalkan maksiat itu iaitu dengan kembali kepada Islam. Usaha yang suci ini pula hanya akan diberi kejayaan oleh Allah apabila dilaksanakan mengikut sunnah RasulNya sebagaimana yang tercatat  dalam sirah Rasulullah S.A.W. Umat Islam wajib kembali  kepada fikrah atau konsep-konsep Islam yang jernih dan Daulah Khilafah juga wajib ditegakkan semula kerana sistem pemeritahan Islam inilah yang akan menerapkan segala hukum Allah dan RasulNya.

Tugas ini tentu  tidak ringan, namun masalah ini adalah soal hidup dan matinya kaum muslimin. Kaum muslimin tidak mempunyai pilihan lain. Musuh-musuhnya tidak akan menolongnya. Bahkan mereka menggembleng tenaga untuk menghancurkan Islam dan kaum muslimin sampai ke hari kiamat. Mereka amat menginginkan supaya Islam dilenyapkan sampai ke aqidahnya. Nasib umat Islam ada pada mereka sendiri seperti firman Allah S.W.T,

“Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan suatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri” [TMQ ar-Ra’d (13):11].

Rujukan
1.     Al-Quran Al-Karim
2.   Terjemahan Al Quran. Penerbit: Yayasan Penyelenggara Penterjemah/Pentafsir Al Quran Menteri Agama Indonesia. 
3.     Al-Hidayah: Terjemahan Al Quran Tafsir Perkata. Penerbit: Kalim Banten.
4.     Al-Islam.com. http://quran.al-islam.com dicapai pada 4/12/12.
5.     Al Tafsir.com. http://www.altafsir.com dicapai pada 4/12/12.
6.     Tafsir Ibn Kathir (Abridged). Penerbit: Darussalam, Riyadh.
7.     Tafsir Jalalain Versi2.0. E-book Terjemahan. Pesantren Persatuan Islam 91 Tasikmalaya.
8.     Daulah Islam. Terjemahan Ad-Daulah Al-Islamiyah Taqiyuddin An-Nabhani Terbitan Daar Al-Ummah. Penerbit: HTI Press.
9.      Khilafah adalah Solusi. Penerbit: Pustaka Tariqul Izzah.
10.  Islam Bangkitlah. Abdul Rahman al Baghdadi. Penerbit: Gema Insani Press.


[F.U./ BIL:51/ JANUARI 2013]
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment