UMMU SYURAIK, WANITA DA’IYAH



Dalam kita meneliti satu per satu kisah para sahabiyah Nabi Muhammad S.A.W, terselit sebuah kisah yang bakal menyuntik semangat umat Islam dalam menjalankan kewajipannya  sebagai hamba Allah sekaligus menyedarkan kita bahawa bebanan dakwah juga wajib dipikul oleh    insan yang bergelar wanita.

Beliau adalah Ghaziyah binti Jabir Bin Hakim atau lebih dikenali sebagai Ummu Syuraik. Seorang wanita dari Quraisy dan berasal dari Bani Amir Bin Lu’ai dan pernah menjadi isteri Abu al-Akr ad-Dausi. Cahaya iman mula menerangi hatinya sejak Rasulullah S.A.W menyampaikan risalah Islam di Makkah. Sejak itu, beliau begitu   yakin dengan kebenaran risalah Rasulullah S.A.W sehingga hatinya beriman dengan aqidah Islamiyah serta membenarkannya  dengan utuh (tashdiquljazim). Beliau bukan sahaja memiliki keimanan yang mantap malah sangat memahami kewajipannya untuk berdakwah sehingga beliau sanggup mengorbankan dirinya demi menyebarkan dakwah tauhid, meninggikan kalimah Allah serta mengibarkan panji Laa Ilaha Illallah Muhammadur Rasulullah.

Ummu Syuraik mula melebarkan sayap dakwahnya kepada wanita-wanita Quraisy secara rahsia. Tanpa kenal erti penat dan jemu, beliau   mengajak mereka mengenal Islam serta bersama-sama masuk ke dalam deen yang mulia ini. Beliau melakukannya dengan penuh keikhlasan mengharapkan keredaan Allah S.W.T semata-mata. Dalam pada itu, beliau sangat sedar akan risiko yang bakal dihadapinya baik pengorbanan dari segi jiwa mahupun harta.               


Sememangnya, tindakannya ini amat dibenci oleh kaum musyrik Quraisy dan akan menyebabkan dirinya diseksa oleh pembesar-pembesar Quraisy sebagaimana penyeksaan yang dilakukan kepada sahabat-sahabat Nabi Muhammad S.A.W yang lain. Namun, baginya iman bukanlah sekadar ucapan lisan, tetapi hakikatnya iman itu memiliki risiko dan beban amanah yang memerlukan kesabaran dalam menghadapinya. Beliau telah bersedia dengan pilihannya itu, kerana kebahagiaan baginya adalah apabila melihat syi’ar Islam tersebar di muka bumi. Begitu juga, beliau sangat yakin dengan janji Allah, bahawa Allah Azza wa Jalla tidak akan pernah membiarkannya keseorangan malah Allah S.W.T pasti akan menolongnya di dunia dan akhirat. 

Sebagaimana yang dijangkakan, tidak beberapa lama kemudian takdir Allah telah menetapkan ujian buat Ummu Syuraik. Ibnu Abbas r.a menuturkan, “Hati Ummu Syuraik tersentuh dengan Islam sejak masih tinggal di Makkah, kemudian dia pun memeluk Islam. Kemudian, dia mulai mendatangi wanita-wanita Quraisy secara diam-diam untuk mengajak mereka memeluk Islam. Tetapi, kegiatannya diketahui oleh para pemuka Makkah, sehingga mereka menangkapnya dan berkata,“Seandainya tidak mempertimbangkan kaum kerabatmu, kami akan tangani sendiri. Akan tetapi, kami akan menyerahkan kamu kepada mereka.”   

Ummu Syuraik berkata, “Maka datanglah keluarga Abu al-Akr (keluarga suaminya) kepadaku.      Kemudian mereka berkata, “Jangan-jangan engkau telah masuk kepada agamanya (Muhammad)?” Aku menjawab, “Demi Allah, aku telah masuk agama Muhammad”. Kemudian mereka berkata, “Tidak, demi Allah, sungguh kami akan menyeksamu dengan seksaan yang pedih. Mereka membawaku ke satu tempat dengan menunggang seekor unta yang lemah. Mereka memberiku makanan dan madu, tetapi tidak memberiku air walaupun setitis. Mereka tinggalkanku di padang pasir dan di tengah teriknya matahari hingga hampir hilang akalku, pendengaranku dan penglihatanku. Mereka melakukan hal itu kepadaku selama tiga hari berturut-turut dan pada hari ketiga, mereka berkata kepadaku, “Tinggalkanlah agama yang telah engkau pegang!” Ummu Syuraik berkata, “Aku sudah tidak dapat lagi mendengar perkataan mereka,kecuali satu kata demi satu kata dan aku hanya memberikan isyarat dengan telunjukku ke langit sebagai isyarat tauhid”.

Penyeksaan yang ditanggung oleh Ummu Syuraik tidak menggugat keimanannya terhadap Allah, malah keimanannya semakin utuh walaupun ketika itu nyawanya seakan-akan sudah berada di tenggorok. Sehingga pada satu ketika, disaat beliau berusaha untuk bertahan daripada seksaan itu, kekuasaan Allah berlaku kepadanya.

Ummu Syuraik berkata, “Demi Allah, tatkala aku dalam keadaan yang memberatkan itu, tiba-tiba aku merasakan sesuatu yang dingin dari langit menitis di atas dadaku (beliau dalam keadaan berbaring). Setelah ku teliti, ternyata itu adalah titisan air dari sebuah wadah. Lantas, aku segera meminumnya sedikit, kemudian wadah itu terangkat dan kembali semula ke arahku. Aku   mengambilnya lagi dan minum sedikit darinya. Kejadian itu berulang beberapa kali. Aku minum sehingga puas serta membasahkan seluruh tubuh dan pakaianku. Setelah itu, orang-orang Quraisy itu keluar dan melihatku seraya berkata, “Dari mana engkau dapatkan air itu wahai musuh Allah?” Beliau menjawab, “Sesungguhnya musuh Allah itu adalah selain dari diriku yang menyimpang dari agama Allah. Adapun pertanyaan kalian dari mana air itu, maka itu adalah dari sisi Allah yang dianugerahkan kepadaku”. Mereka segera memeriksa wadah-wadah air yang mereka bawa dan mendapati ia   masih tertutup rapat. Lalu mereka berkata, “Kami bersaksi bahawa Rabbmu adalah Rabb kami dan kami bersaksi bahawa yang telah memberikanmu rezeki di tempat ini adalah Tuhan yang mensyari’atkan Islam”. Akhirnya, saat itu juga, orang-orang musyrik Quraisy yang membawa Ummu Syuraik itu memeluk agama Islam dan berhijrah bersama Rasulullah S.A.W.    

Demikianlah perjuangan Ummu Syuraik dalam mempertahankan aqidahnya serta berpegang teguh dengan syari’at Allah S.W.T. Beliau tidak pernah berasa lemah dan berputus asa dengan rahmat Allah S.W.T walaupun dirinya diseksa sebegitu zalim sehingga layaknya beliau mendapat rahmat dan pertolongan Allah S.W.T.

Pertolongan Allah yang berupa wadah air minuman dan juga masuknya Islam oleh orang-orang musyrik itu, cukup menguatkan lagi keyakinan Ummu Syuraik terhadap janji Allah kepada orang-orang yang beriman bahawa Allah tidak akan mensia-siakan amal perbuatan hamba-hambanya walau sekecil zarah sekalipun. Akibat keteguhan hatinya dalam mempertahankan deen Allah ini, beliau menjadi perantara bagi orang-orang musyrik memeluk agama Islam dan itu menjadi kebahagiaan baginya yang tidak boleh ditukar ganti dengan harta dunia sekalipun.

Rasulullah S.A.W telah bersabda, “Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk, maka ia akan mendapatkan pahala yang sama seperti orang-orang yang mengikuti petunjuknya, tanpa mengurangi sedikit pun pahala-pahala mereka. Dan siapa yang mengajak kepada kesesatan, maka ia akan mendapat balasan dosa yang sama seperti dosa orang-orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi sedikit pun dosa-dosa mereka” [HR Muslim].

Begitulah setiap muslim dari kita khususnya muslimah, sejatinya harus ada semangat yang bergelora untuk mengembalikan syi’ar Allah sekaligus menghilangkan kesyirikan-kesyirikan yang berlaku di muka bumi ini. Hal ini hanya akan berlaku dengan kembalinya sebuah daulah Islam yang dapat menyatukan dan mensejahterakan umat Islam seluruh dunia. Dakwah dalam menegakkan kembali Khilafah ‘ala minhaj nubuwwah bukanlah tugas sesetengah jemaah Islam atau segolongan umat sahaja, tetapi ia menjadi kewajipan yang wajib digalas oleh bahu setiap orang yang bergelar muslim. Sesungguhnya usaha mulia ini memerlukan pengorbanan yang amat besar dari kita berupa harta dan jiwa raga yang balasannya merupakan syurga Allah seluas langit dan bumi.

Firman Allah S.W.T,

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dengan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.  Nescaya, Allah mengampuni dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan ke tempat-tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang agung” [TMQ as-Saff  (61):10-12].

Rujukan:

· kitab Nisaa’ Haular Rasuul, karya Mahmud Mandi al-Istanbuli dan Musthafa Abu an-Nashr asy­Syalabi, Potret Salaf Menjemput Rezeki Yang Barokah, Abdul Malik al-Qasim, Penerbit as Salam Publishing, Hal.151-155
· http://kisahislam.net/2012/03/13/ummu-syuraik-bila-allah-hendak-memberinya-rezeki-maka-tak-seorangpun-dapat-menghalangi nya/ diakses pada 18/12/2012.



[FU/Februari2013/Bil.52]

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment