KEGIGIHAN ASMA’ BINTI ABU BAKAR MENYONGSONG PENEGAKAN NEGARA ISLAM

SERIKANDI TAULADAN:

KEGIGIHAN ASMA’ BINTI ABU BAKAR
MENYONGSONG PENEGAKAN NEGARA ISLAM


P
eristiwa hijrah merupakan titik tolak ke arah penegakan Negara Islam di Madinah yang dipimpin oleh baginda Rasulullah S.A.W. Peristiwa hijrah juga mengingatkan kita tentang pengorbanan Muslimin terdahulu dalam proses menyebarkan Islam di Mekah. Selama 13 tahun, Rasulullah S.A.W menyebarkan dakwah di Mekah, sebahagian besar masyarakat Mekah khususnya kaum kafir Quraisy menentangnya dengan cukup hebat. Justeru, belasan tahun perjuangan serta proses hijrah yang membawa kepada kejayaan dalam menubuhkan Negara Islam yang pertama di Madinah bukanlah suatu perkara yang mudah. Pengorbanan demi pengorbanan telah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat demi menegakkan hukum Allah di muka bumi. 
Dalam peristiwa ini juga terselit sebuah kisah mengenai pengorbanan seorang Muslimah yang berjiwa kental, tidak berasa takut di saat orang lain gerun terhadap kekejaman kafir Quraisy. Beliau adalah antara insan yang turut sama membantu menjayakan penghijrahan Rasulullah S.A.W dan Abu Bakar r.a ke Madinah.     

Beliau adalah Saidatina Asma’ atau nama penuhnya Asma’ binti Abu Bakar Abdullah bin Abu Qahafah     Al-Qursyiyah At-Tamimiyah.
Beliau dilahirkan di Mekah 27 tahun sebelum Hijrah. Beliau merupakan seorang sahabiyah yang terkemuka dan puteri kepada sahabat baik Rasulullah S.A.W, Abu Bakar Ash-Shiddiq r.a, isteri kepada orang yang terawal menghunus pedang di jalan Allah, Az-Zubair bin Al-Awwam r.a dan ibu kepada seorang sahabat yang mulia, Abdullah bin Az-Zubair. Beliau merupakan antara wanita yang terawal memeluk agama Islam iaitu sebelum hijrah dan telah berbai’at kepada Rasulullah S.A.W melalui ayahnya.

Asma’ juga dikategorikan sebagai wanita yang matang dalam ilmu, kesabaran dan jihadnya. Ketika peristiwa hijrah, beliau mengharungi pelbagai penderitaan dengan penuh kesabaran.  Beliau merupakan salah seorang daripada beberapa orang sahabat yang mengetahui tentang hijrah Nabi S.A.W. Ibnu Ishaq  menyebutkan hal ini dengan berkata,

Menurut saya, tidak seorang pun mengetahui keberangkatan Nabi Muhammad S.A.W ketika berhijrah kecuali Ali bin Abu Thalib, Abu Bakar As-Siddiq dan keluarga Abu Bakar”.

Keperibadiannya sebagai seorang Muslimah yang sejati jelas terpancar apabila beliau meletakkan sepenuh keyakinannya terhadap pertolongan Allah S.W.T dalam soal pemberian rezeki. Ketika perjalanan hijrahnya, ayahandanya tidak meninggalkan sedikit pun harta untuk keluarganya.

Pada suatu hari, Asma’ didatangi oleh datuknya yang buta iaitu Abu Qahafah yang masih lagi musyrik ketika itu. Datuknya berkata, “Sesungguhnya Abu Bakar tidak meninggalkan harta dan jiwanya untuk kamu”. Dengan tenang wanita mulia ini menjawab, “Tidak wahai datukku, sesungguhnya dia telah meninggalkan kebaikan yang banyak untuk kita”. Asma’ menggunakan kecerdikan akalnya dengan mengambil beberapa biji batu, lalu dibungkusnya dengan pakaian.  Kemudian, beliau memegang tangan datuknya yang buta itu, lalu diletakkan di atas bungkusan itu seraya berkata, “Ini yang dia tinggalkan untuk kita”. Dengan tindakannya itu, Asma’ telah berjaya menenangkan hati datuknya daripada terus memikirkan tentang harta peninggalan ayahnya. Sesungguhnya, Asma' tidak meng-inginkan bantuan daripada orang musyrik meskipun datuknya sendiri. Inilah bukti yang menunjukkan betapa besarnya perhatian beliau terhadap dakwah dan kepentingan kaum Muslimin.
   
Pengorbanan Asma’ r.a sangat terserlah ketika beliau diberi tanggungjawab untuk menghantar kelengkapan perjalanan dan bekalan makanan kepada Rasulullah S.A.W dan ayahandanya di Gua Tsur dalam keadaan beliau sedang mengandungkan anaknya iaitu Abdullah bin Az-Zubair. Hal itu tidak menjadi alasan baginya untuk tidak menjalankan tugasnya. Akibat tidak menjumpai tali pengikat pada saat itu, beliau lantas mengoyakkan tali pengikat pinggangnya kepada dua, lalu beliau mengikat lubang bekalan makanan dengan sebelah ikatan, manakala sebelah lagi sebagai ikatan pinggangnya. Melihat tindakan Asma’ r.a, Rasulullah S.A.W memberi gelaran ‘Dzatun-Nithaqain’ kepada-nya yang membawa maksud ‘wanita yang mempunyai dua tali pinggang’. Hal ini telah diperkatakan oleh Aisyah r.a,

“Lalu kami menyiapkan segala kelengkapan yang mereka perlukan dan kami juga membuatkan bekal  untuk mereka berdua. Lalu, Asma’ memotong ikat pinggangnya, mengikat lubang bekalan dengan salah satu potongan ikat pinggang itu.  Kerana itulah dia digelar Dzatun-Nithaqain” [HR Bukhari].    

Keberanian Asma’ r.a tidak berhenti sampai di situ sahaja.  Perjalanan ke Gua Tsur itu bukanlah satu perjalanan yang mudah sebagaimana yang digambarkan oleh kebanyakan masyarakat kini. Beliau dengan penuh sabar, meredah kegelapan malam  sambil membawa makanan, melalui jalan yang sulit dan panjang serta mendaki bukit untuk tiba di gua itu seorang diri dalam keadaan mengandung. Walhal beliau sedar akan risiko yang bakal dihadapinya jika orang-orang musyrik mengetahuinya. Namun, beliau mengharungi perjalanan itu dengan penuh harapan dan tawakal kepada Allah. Walau bagaimanapun, Allah telah memberi janji kepada orang-orang yang menolong agamaNya bahawa Dia pasti akan menolong dan meneguhkan kedudukan hambaNya. Allah S.W.T berfirman,

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan  meneguhkan  kedudukanmu” [TMQ Muhammad (47): 7].


Pada saat-saat genting seperti itu, Asma' mampu meramal kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku. Dengan bijaksana dan penuh perhitungan, beliau berjalan menuju ke gua sambil membawa kambing-kambing yang berjalan di belakangnya. Taktik ini dilakukan untuk mengaburi mata pihak musuh kerana jejak beliau akan terhapus oleh jejak-jejak kambing gembalaannya itu. Tindakan ini belum tentu mampu dilakukan oleh sembarangan orang kerana ia boleh mengundang bahaya kekejaman daripada orang-orang kafir Quraisy.   

Setelah Rasulullah S.A.W dan Abu Bakar r.a pergi meninggalkan tempat persembunyian mereka, keteguhan hati Asma’ diuji lagi tatkala beliau terpaksa menghadapi para pemuka Quraisy. Abu Jahal bin Hisyam adalah antara yang mendatanginya dengan tujuan untuk mengetahui tempat persembunyian ayahnya. Kemudian, beliau dengan yakin dan tanpa rasa gerun menjawab pertanyaan Abu Jahal itu dengan berkata, “Demi Allah, aku tidak tahu di mana ayahku”.  Jawapan Asma’ itu telah menaikkan darah Abu Jahal, si pembengis, lalu menampar pipi Asma’ sehingga tercabut subang yang dipakai di telinganya. Setelah itu, Abu Jahal dan pemuka Quraisy itu beredar dari rumahnya.

Ibnu Ishaq telah meriwayatkan, sesungguhnya Asma' tidak mengetahui ke mana hala tuju baginda Rasulullah dan ayahandanya sehinggalah Asma' mendengar syair yang didendangkan oleh seorang penyair. Daripada bait-bait syair tersebut, barulah Asma' tahu bahawa Rasulullah dan ayahandanya menuju ke Madinah.

Subhanallah! Begitu hebatnya keperibadian seseorang Muslimah itu jika dididik dengan iman yang      sempurna sehingga mereka menjadikan dan mencintai Allah dan RasulNya melebihi dari dirinya sendiri dan melebihi daripada segala apa yang ada di dunia ini. 

Wahai Muslimah yang (semoga) dirahmati Allah sekalian!

Sesungguhnya kalian mempunyai peranan yang besar dalam dunia Islam. Kalian merupakan ummu wa rabbatul bait (ibu dan pengatur urusan rumah tangga) yang mana di tangan kalianlah terdidiknya generasi berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.

Oleh itu, seseorang Muslimah hendaklah menyiapkan dirinya dengan tsaqafah Islam dan seterusnya memiliki syakhsiyyah Islamiyyah yang teguh.  Seseorang Muslimah mesti memiliki pemahaman yang jernih mengenai Islam. Seseorang Muslimah perlu memahami bahawa dia merupakan pencetak dan pembina kekuatan negara kerana dari rahimnyalah akan lahir para mujahid pembela agama. Dengan santun bicara tatkala mengasuh anak-anaknyalah akan tertancapnya semangat jihad dalam generasi seterusnya. 

Selain itu, Muslimah mestilah menyedari bahawa umat Islam yang hebat seperti mana kehebatan umat Islam pada generasi awal Islam, hanya akan terwujud melalui proses tasqif (pembinaan) yang benar yang bermula dari rumah tangga sehinggalah kepada tertubuhnya sebuah negara Islam.

Keadaan ini pasti akan kembali dalam kehidupan kita saat ini jika seluruh umat Islam termasuk wanita gigih memahami Islam, mengamalkan Islam dalam kehidupan, berdakwah ke jalan Islam, mengasuh anak-anak dengan fikrah Islam yang hakiki serta menyokong suami dan keluarganya yang berjuang menerapkan Islam. Di sinilah terdapat banyak hal yang menuntut peranan dan pengorbanan kalian wahai Muslimah yang dikasihi sekalian seperti yang dilakukan oleh Asma r.a. 

Wallahu’alam. 

Rujukan:

·         Wanita Yang Di jamin Surga. Ahmad Khalil Jam’ah. Darul Falah. 337-360
·         Sirah Nabawiyah. Mengungkap Maksud Politis Perilaku Rasulullah SAW. Prof. Dr. Muh. Rawwas Qol'ahji. Al-Izzah. Bangil-Jatim. Cetakan Pertama. 2004. 138-141.

[FU MAC 2013/Bil. 53]



SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment