KEWAJIPAN BERPOLITIK DAN KEHARAMAN BERDIAM DIRI

FIKIH

KEWAJIPAN BERPOLITIK 
DAN KEHARAMAN BERDIAM DIRI


SOALAN:

Assalamualaikum.

Wanita selalu dikaitkan dengan peranan sebagai ibu dan pengurus rumah tangga yang aktiviti kehidupannya berputar di dalam rumah dan tugas-tugas yang terkait dengan urusan rumah tangga sahaja. Tetapi ada juga wanita yang melibatkan diri dalam dunia politik.

Apakah sebenarnya hukum berpolitik bagi seorang wanita? 

JAWAPAN:

Makna Politik dalam Islam

I
stilah ‘politik’ atau dalam bahasa Arab disebut siyasah, berasal daripada kata sasa, yasusu, siyasat[an] yang bermaksud mengatur atau mengurus. Dalam Islam, pengaturan politik adalah didasarkan kepada aqidah dan hukum-hukum Islam. Jadi, politik Islam bermaksud pengaturan urusan-urusan (kepentingan) umat baik di dalam negeri mahupun di luar negeri berdasarkan hukum-hukum Islam. Pengertian ini diambil berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W,

Dahulu, bani Israel dipimpin dan    dipelihara urusannya oleh para Nabi. Setiap kali seorang Nabi wafat,      digantikan dengan Nabi yang lain. Sesungguhnya tidak akan ada Nabi sesudahku (tetapi) nanti akan ada ramai Khalifah…” [HR Muslim dari Abi Hurairah r.a].

Hadis ini menjelaskan bahawa, setelah kewafatan Rasulullah SAW selaku Nabi yang terakhir, Khalifahlah yang mengatur dan mengurus rakyatnya. Dari sinilah kata/definisi siyasah (politik) diambil dan difahami yang bermaksud ri’ayah al-syu’un al-ummah (mengurus urusan umat) yang menjadi kewajipan Khalifah selaku ketua negara dan wajib pula ke atas Khalifah itu mengurus urusan umat dengan hukum Allah.

Aktiviti politik melibatkan kedua-dua pihak pemerintah dan juga rakyat. Negara berfungsi sebagai institusi penerapan Islam secara praktikal. Manakala rakyat pula berperanan untuk melakukan muhasabah lil hukkam (menasihati pemerintah) dalam mengurusi urusan rakyat, sama ada di dalam mahu pun di luar negara. Peranan politik menuntut setiap individu untuk sentiasa memuhasabah (menasihati) penguasa. Rasulullah S.A.W bersabda,

Agama itu nasihat”. Ditanyakan kepada baginda, “Kepada siapa wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Kepada Allah, RasulNya, para pemimpin kaum Muslimin dan rakyat mereka” [HR Bukhari].

Dalam hal ini, setiap Muslim berperanan membina kesedaran politik dalam masyarakat dengan melaksanakan kewajipan menyeru kepada yang makruf (kebaikan) dan mencegah kemungkaran serta mengambil berat tentang masalah yang menimpa umat Islam. Sabda Rasulullah S.A.W,

“Barang siapa yang tidak memerhatikan kepentingan kaum Muslimin, maka ia tidak termasuk golongan mereka” [HR at-Thabrani].

Kesimpulannya, politik dalam Islam bermaksud mengurusi dan memelihara urusan-urusan masyarakat sesuai dengan hukum-hukum Islam.

Hukum Berpolitik

Tugas berpolitik ini diwajibkan ke atas lelaki mahupun wanita sebagaimana yang telah disebut oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran,

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada Islam, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Mereka itulah orang-orang yang beruntung[TMQ Ali-Imran (3): 104]. 

Bukan hanya lelaki, wanita juga diperintahkan untuk melakukan amar makruf nahi munkar kerana perintah Allah di dalam ayat di atas berbentuk umum. Dalam ayat lain, Allah S.W.T dengan jelas menerangkan bahawa lelaki dan perempuan, kedua-duanya wajib melaksanakan tugas ini. Firman-Nya,

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” [TMQ at-Taubah (9): 71].

Setelah meneliti dan memahami penjelasan di atas, ini bermakna kewajipan Muslimah bukanlah hanya sebagai ibu (ummun) dan pengatur rumah tangga (rabbatul bait) sahaja, tetapi juga memiliki tanggungjawab untuk berpolitik.  

Diriwayatkan semasa pemerintahan Khalifah Umar, seorang wanita telah memuhasabah polisi Umar selaku Khalifah pada waktu itu. Umar telah melarang wanita meminta mahar (mas kahwin) yang tinggi dan bagi yang telah mendapat mahar yang tinggi mesti memulangkannya. Wanita tersebut  telah menegur Umar dengan menyatakan bahawa perintah itu adalah bertentangan dengan firman Allah S.W.T  iaitu,

Dan jika kamu ingin menggantikan isterimu dengan isteri yang lain, sedangkan kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali daripada-nya barang sedikitpun [TMQ an-Nisa’ (4): 20].  

Khalifah Umar lantas mengubah  keputusannya seraya mengatakan, “Benar perkataan wanita itu!”.

Ini bermakna, aktiviti politik termasuklah mengawasi para penguasa supaya memerintah umat dengan hukum-hukum Allah dan melontarkan kritikan terhadap penyimpangannya daripada hukum syarak. Sekiranya (setelah dimuhasabah) mereka tetap mengabaikan hak-hak umat atau menyalahi hukum-hukum Islam, maka mereka harus diganti dengan pemerintah yang benar. Selain itu, aktiviti politik juga adalah termasuk mendidik dan membina umat dengan tsaqafah Islam dan membebaskan mereka daripada pengaruh idea­idea dan pandangan-pandangan kufur.

Di samping itu, Muslimah juga wajib menyertai jemaah/parti politik Islam untuk menjalankan kewajipan dan bekerja bersama-sama jemaah/parti tersebut dalam melakukan amar makruf nahi munkar. Dalam keadaan di mana tidak ada Negara Islam, maka Muslimah turut berkewajipan bersama dengan parti politik Islam, mengikuti sunnah Rasulullah  S.A.W dalam menegakkan Daulah Islam. Muslimah wajib mempunyai kesedaran politik, mempelajari dan mengikuti sirah dan sunnah Rasulullah S.A.W untuk dijadikan asas perjuangan bagi mencapai matlamatnya. Allah S.W.T telah menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai ikutan dan menjadi kefardhuan bagi kita untuk mencontohi baginda sepertimana firman Allah S.W.T.,

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang-orang yang mengharap  (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah” [TMQ al-Ahzab (33): 21].

Allah S.W.T juga telah berfirman, “Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah. Dan apa yang       dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah [TMQ al-Hasyr (59): 7].

Penglibatan Muslimah dalam politik sebenarnya bukanlah satu fenomena baru yang hanya berlaku dalam dunia moden hari ini. Antara contoh awal ialah pada zaman Rasulullah S.A.W apabila pemimpin Yatsrib (Madinah) menghantar wakil Bani Khazraj untuk memberikan bai’ah kepada baginda S.A.W. Kumpulan ini terdiri daripada 73 orang lelaki dan 2 orang wanita yang berbai’ah kepada Rasulullah S.A.W, iaitu ketika peristiwa Bai’atul Aqabah kedua yang tersohor kerana membawa implikasi spiritual dan politik. Bai’at itu bukan hanya satu deklarasi menerima Islam tetapi juga adalah satu aku janji untuk memberikan sokongan politik dan ketenteraan kepada Rasulullah S.A.W. Penglibatan kaum wanita di dalam peristiwa baiah ini menunjukkan bahawa wanita turut berperanan di dalam aktiviti politik negara.

Dalam sejarah Khilafah pula, peranan Muslimah di tengah-tengah masyarakat tercatat dengan baik. Syifa binti Sulaiman pernah diangkat oleh Khalifah Umar r.a sebagai qadhi hisbah (hakim yang mengurusi pelanggaran terhadap peraturan yang membahayakan hak masyarakat).

Khatimah

Berdiam diri dan berpeluk tubuh daripada kewajipan berpolitik merupakan suatu perbuatan maksiat yang besar kerana sesungguhnya tidak ada beza sedikit pun di antara kewajipan berpolitik dengan kewajipan bersolat, berpuasa dan sebagainya. Kesemuanya adalah kewajipan yang dibebankan oleh Allah ke atas kita dan wajib ditunaikan tanpa sebarang alasan.     

Haram hukumnya jika kita menolak untuk berpolitik, dan apatah lagi sekiranya menolak atau memusuhi seruan untuk kembali kepada syariah dan Khilafah. Tidak ada uzur (alasan) apa pun bagi seorang Muslim di muka bumi ini untuk berdiam diri terhadap apa yang telah difardhukan oleh Allah kepada mereka.

Jika seseorang Muslim atau Muslimah itu terus berdiam diri dari berpolitik, maka hukum-hukum kufur akan terus diterapkan di tengah-tengah masyarakat dan ramai yang akan terus bergelumang dalam kemaksiatan dan kemungkaran. Oleh sebab itu, sebagai bukti ketaatan kita kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya, marilah kita berjuang melalui aktiviti politik yang dicontohkan oleh Rasulullah S.A.W untuk menegakkan kembali syariah Islam dalam institusi Daulah Islamiyyah. Kita memohon kepada Allah Azza Wa Jalla agar, berkat aktiviti politik yang kita jalankan, maka selepas ini lahirlah seorang pemimpin yang bertakwa, yang akan menerapkan kembali syariah dan sistem pemerintahan Islam dalam bingkai Daulah Khilafah ala minhaj nubuwah. Amin ya Rabbal Alamin.

Rujukan:

·    An-Nabhani, Asy-Syaikh Taqiyuddin, Mafahim Siyasiyah li Hizbit Tahrir, (Beirut:Darul Ummah), Cetakan IV, 2005. 5 -9
·     Abdul Qodim Zallum. Pemikiran   Politik Islam, terj. Abu Faiz .Al Izzah (2004)
·     An - Nabhani, Asy -Syaikh Taqiyuddin, Muqaddimah ad-Dustur, aw al-Asbab al-Mujibah Lahu, Jilid 1, (Beirut:Darul Ummah), Cetakan II, 2009.
·         http://www.mykhilafah.com/fokus-muslimah/ diakses pada 20 Januari 2013

 [FU MAC 2013/Bil. 53]



SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment