PERJUANGAN POLITIK WANITA


ARTIKEL PILIHAN 1

PERJUANGAN POLITIK WANITA


Muqaddimah

P
opulasi wanita Islam hari ini menjangkau lebih daripada 10% jumlah penduduk dunia (hampir 20% daripada jumlah keseluruhan wanita) iaitu bersamaan dengan 700 juta orang. Namun, angka sebesar ini tidak secara automatik menunjukkan kekuatan peranan Muslimah di medan kehidupan hari ini. Realitinya, sejak beberapa dekad kebelakangan ini, Muslimah di kebanyakan negara majoriti Muslim seringkali digambar-kan sebagai golongan yang dibelenggu penindasan, kemiskinan, kekerasan (violence), diskriminasi dan golongan kelas kedua di bawah kaum lelaki.

Gambaran ini turut disokong oleh pelbagai kajian yang dijalankan oleh pihak Barat bagi menonjolkan kemunduran wanita Islam yang dilihat daripada sudut pandang sekular-kapitalisme mereka. Contohnya, kajian terbaru yang dijalankan oleh World Economic Forum yang bertajuk “The Global Gender Gap Report 2012” mencatatkan deretan negara majoriti Muslim, khasnya di kawasan Timur Tengah-Afrika (antaranya,   Yaman, Afghanistan, Mali, Pakistan, Arab Saudi, Bangladesh, Syria, Libya dan lain-lain) sebagai negara-negara yang terburuk layanannya terhadap wanita (The worst places to be a   women) dari 135 negara kajian [http://www3.weforum.org/docs/WEF_GenderGap_Report_2012.pdf].



Realitinya, di negara-negara tersebut, Muslimah telah lama hidup di bawah tekanan rejim despotik (zalim) yang menindas wanita. Hak-hak politik mereka disekat dan kesejahteraan mereka diragut. Keadaan ini semakin parah dengan keadaan budaya-sosial masyarakat Arab yang membataskan penglibatan wanita dalam kehidupan umum. Contohnya di Arab Saudi, golongan wanita tidak dibenarkan  untuk memandu, tidak memiliki hak bersuara dalam bidang politik, bahkan tidak boleh memiliki telefon bimbit.

Keadaan inilah yang sering menjadi perhatian serta modal murahan Barat dan aktivis-aktivis pejuang gender dan feminisme untuk membuat pencitraan buruk terhadap Islam. Islam dipropagandakan sebagai ideologi penindas Muslimah yang mengekang kebebasan wanita kerana hukum-hukumnya yang dinilai sebagai patriarki (penguasaan lelaki terhadap perempuan); seperti hukum tentang jilbab, waris, poligami, kebolehan suami memukul isteri dan sebagainya.

Persoalannya, apakah benar Islam yang membelenggu hak-hak wanita Islam di dunia Arab? Ataukah tradisi represif rejim despotik yang ber-tentangan dengan Islam itu sendiri yang menjadi puncanya?

Refleksi 2010-2012: Arab Spring, Kebangkitan Peranan Politik Muslimah

Kehadiran Arab Spring yang meruntuhkan ejen-ejen Barat yang despotik akhirnya menjadi jawapannya. Di sana, kaum Muslimah justeru memainkan peranan penting di barisan hadapan untuk melawan kezaliman rejimnya, menuntut keadilan dan kembalinya peranan Islam ke pentas dunia, serta menunt hak-hak wanita yang sebelumnya dirampas oleh para diktator tersebut.

18 Disember 2010 menjadi detik bersejarah bermulanya musim Arab Spring di dunia Arab. Tindakan The Burning Man, Mohamed Bouazazi yang merupakan mangsa kepada pemerintah Tunisia yang zalim lagi khianat telah menghasilkan gelombang bantahan besar-besaran oleh rakyat sehingga berjaya menggulingkan Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali, yang akhirnya melarikan diri ke Arab Saudi pada 14 Januari 2011. Seterusnya gelombang ala domino melanda Aljazair, Jordan, Mesir dan Yaman, yang kemudiannya merebak ke seluruh Timur Tengah dan Afrika Utara.

Kebangkitan rakyat di Mesir pula berjaya menghancurkan kekuasaan 30 tahun Hosni Mubarak, manakala penentangan rakyat Libya berjaya menggulingkan Muammar Gaddafi pada Ogos 2011. Di Yaman,  gelombang kebangkitan berjaya menyingkir Presiden, Ali Abdullah Salleh, lalu digantikan oleh Abdul Rab Mansur Hadi pada Februari 2012. Manakala kebangkitan rakyat Jordan pula berjaya menggugat keabsahan monarki Dinasti Hasyim di bawah kepimpinan Raja Abdullah Tsani.

Dari Tunisia hingga ke Bahrain, Mesir hingga ke Syria dan Yaman hingga ke Libya, kaum wanita di Timur Tengah turut berdemonstrasi, turun ke jalan-jalan untuk melaungkan suara mereka dan mengharapkan perubahan hakiki yang akan menjamin masa depan mereka yang lebih bermartabat, mulia dan sejahtera di bawah naungan Islam. Bahkan, Tawakkul Karman yang dijuluki “Ibu Revolusi” merupakan watak penting dalam kebangkitan masyarakat Yaman yang menuntut berakhirnya kekuasaan keluarga Salleh selama tiga dekad. Kempennya ‘Islam tidak mengancam Demokrasi’ mendapat penghargaan Barat sehingga aktivis Yaman tersebut meraih Anugerah Nobel Keamanan 2011.

Daripada rentetan peristiwa sepanjang fasa revolusi rakyat dan kebangkitan kesedaran politik wanita Islam seperti di atas, kita perlu sedar tentang wujudnya anasir-anasir Barat yang cubauntuk mengaburkan tujuan dasar dari revolusi ini. Tidak dapat dinafikan, puak-puak Barat berselindung disebalik misi kesetaraan gender dan hak asasi wanita semata-mata untuk menjaja demokrasi ke negara-negara umat Islam.

Sebagai contoh, kunjungan Pengarah Eksekutif UN Women, Michele Bachelet pada bulan Jun 2012 ke    Mesir dan Tunisia adalah bertujuan untuk mendukung peralihan kekuasaan rakyat agar sejajar dengan matlamat demokrasi. Peranan UN Women adalah bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk membawa lebih ramai wanita ke kerusi pemerintahan, melatih kepimpinan dalam kalangan wanita, dan meningkatkan kemampuan wanita untuk terlibat dalam pilihanraya umum sebagai wakil rakyat dan pemilih. Bachelet menganggap bahawa Arab Spring telah membukti-kan kepada dunia bahawa para wanita (khasnya Muslimah) telah bangkit dan bertekad untuk menuju kepada keadaan yang lebih baik, menuntut kesetaraan gender dan sistem politik yang mewakili golongan mereka.

Acapkali slogan yang diserukan untuk mengatasi masalah wanita adalah “serahkan pengurusan masalah wanita kepada wanita sahaja!”. Itulah salah satu matlamat utama yang digarap oleh UN Women melalui perancangan Leadership and Participation. Badan gender PBB ini bercita-cita untuk meningkatkan bilangan perwakilan wanita sehinga 40% menjelang 2026 (sehingga pertengahan 2009, hanya 17 wanita yang menjadi pemimpin tertinggi negara di seluruh dunia).

Isu-isu kesetaraan gender dan reposisi wanita dalam politik turut menjadi perhatian Majlis Umum PBB ketika menyelenggarakan Highliting Women at the 2011 UN General Assembly Debate pada akhir September 2011. Forum itu ditutup dengan peneguhan komitmen para pemimpin negara-negara revolusi untuk memperjuangkan kesetaraan gender. Menteri Luar Negeri Tunisia menyampaikan bahawa mereka telah ‘diamanatkan’ oleh PBB untuk melaksanakan agenda The Convention On the Elimination of All Forms of the Discrimination against Women (CEDAW) di mana mereka wajib menerapkan sistem keseimbangan mandat (a mandatory parity system) bagi pemilihan majlis perwakilan di negara masing-masing.

Persoalannya, adakah dengan mem-buka ruang politik demokrasi seluas-luasnya kepada wanita Islam, sekaligus membenarkan mereka untuk meraih kesetaraan gender khasnya dalam bidang politik, mampu menyelesaikan segala permasalahan yang melibatkan wanita?

Politik Wanita Versi Demokrasi-Kapitalisme

Menurut paradigma kapitalisme, permasalahan wanita hanya mampu difahami dan diselesaikan oleh kaum wanita sahaja, iaitu melalui penerapan idea-idea dan undang-undang yang berorientasikan wanita. Bagi mereka, ini hanya dapat dicapai secara maksimum melalui penglibatan wanita sebagai pemimpin politik. Dalam sistem demokrasi, kedaulatan berada di tangan rakyat dan ditentukan berdasarkan suara majoriti. Semakin ramai wanita terlibat dalam pemerintahan dan semakin tinggi tingkat kerusi pemerintahan mereka, maka semakin terjaminlah hak-hak dan kedudukan wanita kerana undang-undang yang digubal kelak bakal berpihak kepada wanita.

Adakah benar dengan meramaikan wanita di bidang politik, khususnya perundangan, akan membawa         kebaikan bagi wanita? Realitinya setakat ini, sejarah dunia membuktikan bahawa pemilihan wanita sebagai aktor utama politik, malah sebagai pemimpin tertinggi negara sekalipun, tidak secara automatik menjamin kesejahteraan wanita.

Contohnya, realiti yang berlaku di Palestin dan Bangladesh. Ketika ini, Hina Rabbani Khar adalah wanita yang memiliki kedudukan sebagai Menteri Luar Negara Pakistan, iaitu orang ketiga terpenting di negara tersebut setelah Presiden Asif Ali Zardari dan Perdana Menteri Yousuf Raza Gilani. Sebelum ini, Benazir Bhutto merupakan Perdana Menteri yang berkuasa selama lebih dua dekad. Namun, kehadiran dua pemimpin wanita ini tidak mampu menyelesaikan permasalahan klasik wanita di negara Muslim kedua terbesar di dunia itu. Menurut kajian Ansar Burney Trust, sebuah organisasi hak asasi manusia, sebanyak 70% wanita di Pakistan mengalami ke-kerasan dalam rumahtangga seperti penderaan fizikal dan seksual sehingga mengalami patah tulang dan luka yang sangat serius akibat serangan asid atau pembakaran hidup-hidup (Commongroundnews.org, 17/1 0/2008).

Di sisi lain, Bangladesh sebagai negara Muslim keempat terbesar di dunia, ketika ini dipimpin oleh Syaikh Hasina Wazed, yang menggantikan pemimpin wanita sebelumnya, Khaleda Zia. Kedua-dua wanita ini masing-masing telah menjadi Perdana Menteri Bangladesh selama dua penggal. Bangladesh yang dianggap sebagai simbol kemiskinan di Asia, wanita-wanitanya turut dibelenggu pelbagai masalah termasuklah masalah pemerdagangan manusia. Pemerintahan Hasina sendiri adalah cermin pemerintahan yang gagal. Sepanjang tahun terakhir pemerintahan penggal pertama, Transparency International menyatakan bahawa Bangladesh adalah negara yang paling banyak mengalami masalah rasuah.

Realiti-realiti ini menunjukkan bahawa penyelesaian masalah wanita sama sekali bukan dengan cara menempatkan wanita di tampuk tertinggi pemerintahan atau meningkatkan perwakilan mereka di          parlimen. Rasulullah S.A.W telah bersabda,

“Tidak akan berjaya suatu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada wanita (mengangkat wanita sebagai pemimpin)” [HR Al-Bukhari, At- Tirmizi dan An-Nasaie].

Selama sistem pemerintahan yang  diterapkan adalah sistem demokrasi, tidak mungkin penyelesaian masalah wanita dapat diselesaikan secara tuntas. Demokrasi adalah anak kandung kepada sistem sekular-kapitalisme yang hanya bertujuan  untuk membela kepentingan pemimpin dan para pemodal, bukannya rakyat yang sering ditindas, tanpa mengira lelaki mahupun wanita. Maka, masih wajarkah untuk meletakkan harapan kepada pemerintah politik demokrasi seperti itu?

Meluruskan Agenda Politik Wanita Islam: Ke Arah Penegakan Syariah Dan Khilafah

Politik tidak boleh didefinisikansemata-mata sebagai jalan menuju kekuasaan. Definisi inilah yang cenderung mengaburkan mata umat sehingga menjadikan kekuasaa sebagai tujuan akhir dan matlamat kepada kegiatan politik. Definisi keliru ini juga menganggap kaum Muslimah hanya berperanan dalam politik jika mereka sedang berusaha, atau telah berada di kerusi kepimpinan tertentu.

Al-Quran dan as-Sunnah mengajar kita untuk mendefinisikan politik (siyasah) sebagai ri’ayah al-syu’un    al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyyan (mengurus urusan umat baik di dalam mahupun luar negeri). Pengurusan ini mencakupi seluruh pemenuhan keperluan-keperluan hidup dan hak-hak umat sehingga umat mendapatkan seluruh kemaslahatannya. Pengurusan ini dilakukan secara langsung oleh ketua negara iaitu Khalifah sebagaimana hadis dari Abdullah bin Umar r.a bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda,

“Imam (Khalifah) adalah pemelihara/pengatur urusan rakyat dan dia akan diminta pertanggungjawaban atas rakyatnya” [HR Bukhari].

Walau bagaimanapun, ini tidak bererti bahawa politik hanyalah aktiviti kepemimpinan. Semua aktiviti yang dilakukan oleh pemimpin, partipolitik, atau Majlis Umat (lembaga perwakilan umat yang bertugas untuk memberi pendapat dan nasihat kepada khalifah) atau umat itu sendiri (tidak kira sama ada lelaki mahupun wanita) yang bertujuan untuk menjaga agar pemimpin menunaikan tanggung-jawabnya dengan cara yang syarie, adalah juga sebahagian daripada aktiviti politik. Usaha-usaha kita untuk menyedarkan umat supaya umat memahami hak-hak mereka yang wajib dipenuhi oleh pemimpin juga adalah aktiviti politik.

Kewajipan menegakkan Khilafah   adalah perkara yang jelas dalilnya berdasarkan al-Qur’an, as-Sunnah mahupun Ijmak para Sahabat. Dalam sistem Khilafah ini, Khalifah diangkat melalui bai’at berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya untuk memerintah (memutuskan perkara) sesuai dengan ketentuan hukum syarak semata-mata. Allah S.W.T   berfirman,

“Putuskanlah perkara di antara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu” [TMQ al-Maidah (5): 48-49].

Khatimah

Dunia menantikan sistem baru yang mampu menghadirkan visi politik yang akan menjamin kehidupan dan mengangkat martabat serta menghormati wanita. Sistem demokrasi yang ada ternyata gagal melakukan hal ini. Sebaliknya sistem Khilafah secara fakta pernah memimpin dunia lebih dari 13 abad, terbukti berjaya meletakkan martabat Muslimah di tempatnya. Justeru, sistem ini pasti mampu membawa perubahan hakiki dengan membentuk masa depan dunia yang lebih baik dan sejahtera bagi seluruh masyarakat dunia, baik lelaki atau wanita, Muslim ataupun non-Muslim.

Dalam usaha menegakkan kembali sistem Khilafah ini, Muslimah sesungguhnya memiliki kewajipan yang sama dengan lelaki untuk terjun ke dalam arena politik, meskipun wujud sedikit perbezaan dalam hal-hal tertentu yang telah digariskan oleh Islam. Demi mewujudkan sebuah kehidupan yang lebih baik dan diredhai oleh Allah S.W.T., maka, telah tiba masanya Muslimah memainkan peranan politiknya secara optimum sesuai dengan ketentuan syarak.

[FU MAC 2013/Bil. 53]


SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment