SURI TELADAN RASULULLAH S.A.W: PERJUANGAN ISLAM

ARTIKEL PILIHAN 2

SURI TELADAN RASULULLAH S.A.W: 
PERJUANGAN ISLAM


F
irman Allah S.W.T:
“Sesungguhnya telah ada  pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah” [TMQ   al-Ahzab (33): 21].

Asbabun Nuzul

Tercatat dalam Tafsir Ibn Kathir bahawa ayat ini adalah dalil asas tuntutan supaya Rasulullah S.A.W itu dijadikan sebagai suri teladan yang perlu diikuti dalam semua aspek kehidupan; iaitu perkataannya, perbuatannya dan temasuklah taqrir atau persetujuannya dalam sesuatu perkara. Semasa berlakunya Perang Ahzab, Allah S.W.T telah menurunkan wahyu ini dan memerintahkan supaya menjadikan kesungguhan, pengorbanan, perjuangan dan kesabaran baginda dalam menunggu pertolongan serta bantuan Allah S.W.T dalam peperangan tersebut sebagai suri teladan bagi kita. Bagi kelompok yang tergesa-gesa dan tidak mempunyai kesabaran yang tinggi, mereka telah berasa takut serta cemas yang amat sangat semasa berlakunya Perang  Ahzab.

Mencontohi Rasulullah Memperjuangkan Islam

Ayat ini membawa pengertian bahawa satu-satunya contoh teladan yang wajib diikuti oleh umat Islam ialah Rasulullah S.A.W. Baginda wajib dicontohi oleh umat Islam dalam semua bidang kehidupan, bukan hanya dalam aspek tertentu sahaja. Islam adalah ad-din, iaitu satu sistem kehidupan yang sempurna merangkumi ideologi dan cara pelaksanaan yang terperinci. Al-Quran dan as-Sunnah, yang menjadi landasan dalam kehidupan umat Islam, dengan jelas ditunjukkan secara utuh oleh peribadi Rasulullah S.A.W. Dengan kata lain, Nabi Muhammad S.A.W merupakan ikon untuk kita memahami praktik tentang Islam secara keseluruhan.

Di samping itu, kita juga diseru agar mencintai peribadi yang mulia lagi agung ini. Kecintaan kita kepada baginda tidak cukup hanya melalui kalbu sahaja, tetapi wajib dizahirkan melalui aktiviti lahiriah (fizikal), iaitu dengan mengikuti setiap perilaku baginda dari sekecil-kecil hinggalah sebesar-besarnya. Kewajipan untuk meneladani dan mencintai baginda tidak boleh sekali-kali dibataskan hanya pada hal-hal ibadat khusus dan akhlak sahaja tetapi wajib dimanifestasikan dalam seluruh aktiviti kehidupan seperti pemerintahan, ekonomi, pendidikan, pergaulan, politik, jihad dan sebagainya.

Rasulullah S.A.W telah diutus oleh Allah S.W.T untuk menyeru umat manusia dan mengajak mereka untuk beriman kepada Allah S.W.T tanpa menyekutukanNya dalam apa-apa bentuk sekalipun. Rasulullah S.A.W telah memfokuskan dakwahnya untuk menghapuskan kekufuran dan menegakkan agama Allah secara menyeluruh. Islam juga telah dikembangkan ke seluruh pelosok dunia melalui usaha dakwah bukan hanya di peringkat individu dan jemaah sahaja, tetapi yang paling berkesan adalah dakwah oleh negara. Rasulullah S.A.W telah membuktikannya melalui penubuhan negara Islam yang pertama di Madinah. Bahkan usaha dakwah baginda ini tidak pernah terhenti kerana usaha tersebut telah diteruskan oleh para sahabat dan para tabi’in sehingga akhirnya hampir dua pertiga dunia tunduk kepada kekuasaan Islam.

Proses Menegakkan Negara Islam di Madinah

Sejarah membuktikan bahawa dakwah Islam berkembang dengan pesatnya ke seluruh dunia melalui usaha dan kekuatan dakwah oleh negara. Selepas tertegaknya negara Islam di Madinah, Rasulullah S.A.W kemudiannya menyebarkan dakwah ke seluruh jazirah Arab termasuk pembukaan wilayah yang berada di bawah kekuasaan Rom dan Parsi. Sirah Rasulullah S.A.W juga membuktikan bahawa dakwah dan perjuangan yang dilakukan oleh baginda bukanlah suatu kebetulan, akan tetapi telah dirancang dengan teliti melalui petunjuk daripada Allah S.W.T. Perjuangan Rasulullah S.A.W menubuhkan negara Islam dapat dibahagikan kepada tiga fasa, di mana kejayaan setiap fasa menjadi prasyarat kepada kejayaan fasa kemudiannya. Pertama, ia bermula dengan fasa tasqif wa taqwin (pembinaan dan pengkaderan), kedua fasa tafa’ul ma’a al-ummah (berinteraksi dengan umat) dan ketiga, fasa istilam al-hukmi yang berupa penerapan dan pengembangan Islam oleh negara.

Fasa 1: Tasqif wa Taqwin


Pada fasa ini, Nabi S.A.W menyampaikan risalah Islam kepada para sahabat dan kerabatnya secara tertutup. Melalui bantuan kerabat dan sahabat dekat yang telah masuk Islam, Nabi S.A.W mampu mengajak orang-orang lain untuk memeluk Islam. Misalnya, Abu Bakar r.a mengajak Utsman bin Affan, Abdurrahman bin Auf, Sa’ad bin Abi Waqqas dan yang lainnya untuk memeluk Islam.

Fasa awal ini berlangsung selama lebih kurang tiga tahun dan Islam disampaikan secara individu, serta belum ada pertembungan pemikiran atau ideologi dengan orang-orang musyrik dan kehidupan jahiliyyahnya secara terbuka. Pada fasa ini, Nabi S.A.W membina dan memperkukuhkan nafsiyyah dan aqliyyah para  sahabat agar berjalan sesuai dengan Al-Quran serta menanamkan  keyakinan yang kuat terhadap akidah Islam. Tasqif (pembinaan) ini sangat penting bagi memperlengkapkan para sahabat dengan tsaqafah dan syakhsiyyah Islam yang mantap sekali gus dapat mengelakkan berlakunya sebarang kompromi dengan pemikiran kufur Jahiliyyah dan dalam masa yang sama mempersiapkan para sahabat untuk menghadapi sebarang konflik terbuka. Rasulullah S.A.W juga telah mendirikan sebuah kutlah (kelompok) dakwah yang terdiri daripada diri  baginda sendiri dan para sahabatnya. Ia merupakan usaha yang bersifat kolektif di mana para sahabat telah dibina bagi bersedia untuk menempuh fasa seterusnya. Dalam fasa awal dakwah Rasulullah ini, kutlah ini masih dirahsiakan dan mereka ber-gerak juga secara rahsia.

Fasa 2: Fasa Tafa’ul Ma’a al-ummah (Berinteraksi dengan Umat)

Proses perubahan dakwah Rasulullah S.A.W dari fasa pertama ke fasa kedua bermula apabila turunnya firman Allah S.W.T:

“Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang yang musyrik. Sesungguhnya Kami memelihara kamu daripada (kejahatan) orang-orang yang memperolok-olokan (kamu), (iaitu) orang-orang yang menganggap adanya Tuhan yang lain di samping Allah; maka mereka kelak akan mengetahui (akibatnya)” [TMQ al-Hijr (15): 94-96].

Ini dengan jelas menunjukkan kepada kita bahawa penentuan setiap fasa dakwah itu bukanlah sesuatu yang bersifat mubah tetapi merupakan hukum atau perintah Allah yang mesti diikuti. Pada fasa kedua ini, Nabi S.A.W mulai secara terbuka mengajak orang-orang Mekah untuk menerima Islam dan menyeru agar mereka menyembah Allah S.W.T semata-mata dengan meninggalkan segala sembahan selainNya dan agar mereka meninggalkan kehidupan jahiliyyah. Baginda memilih sejumlah uslub (cara) untuk membawa Islam ke arena yang lebih terbuka. Misalnya, baginda pernah mengundang sejumlah kerabat, antaranya terdapat pemimpin-pemimpin Quraisy untuk menghadiri jamuan makan di rumah baginda.Dalam majlis itu, Rasulullah S.A.W menyampaikan Islam kepada mereka.

Nabi S.A.W juga telah menampilkan kaum Muslimin sebagai kelompok tersusun serta teratur (jama’ah mutakattilah) yang komited untuk menentang dan mengubah masyarakat dari segi nilai-nilai, adat-tradisinya, pemikiran dan perasaannya serta sistem pemerintahan dan sistem pengaturan urusan kehidupannya. Perjuangan kolektif ini mampu mewujudkan pandangan umum tentang dakwah Islam dan hal ini membantu penyebaran Islam ke seluruh Mekah. Orang-orang yang masuk Islam adalah mereka yang mempunyai pemikiran dan hati nurani yang memahami kemurnian, kebijaksanaan dan kebenaran Islam.

Ketika menjalankan tugasnya, Nabi S.A.W, terus-menerus menyerang sistem jahiliyyah tanpa kompromi sedikit pun dan tanpa penyimpangan sedikit pun dari apa yang diwahyukan.  Ketika kafir Quraisy tidak mampu menghentikan dakwah Rasulullah S.A.W dengan pemikiran dan perdebatan, mereka kemudian cuba untuk melakukan kompromi dan tawar-menawar. Namun, Nabi S.A.W menolak segala bentuk kompromi dan terus menyerukan dakwah Islam secara terbuka. Kerana kegagalan tersebutlah menyebabkan pemimpin-pemimpin Quraisy mula melakukan kekerasan untuk menghentikan dakwah Rasulullah S.A.W. Mereka menyeksa dan membunuh kaum Muslimin. Mereka juga mengarahkan serangan secara langsung terhadap Nabi S.A.W dengan cara memfitnah, menyebarkan kebohongan dan      propaganda untuk menghina baginda, serta usaha untuk membunuh baginda. Namun begitu, usaha-usaha itu juga langsung tidak dapat menghentikan dakwah, bahkan kaum Muslimin semakin termotivasi.

 

Thalabun Nusrah (Mencari Pertolongan)

Menyedari bahawa orang-orang Quraisy tidak mendukung penerapan hukum Islam di Mekah, Nabi S.A.W mula mencari dukungan dan kekuasaan dari suku selain Quraisy, misalnya Bani Tsaqif, Kindah, Bani Amir bin Sha’sha’ah, Bani Kalb dan Bani Hanifah. Bukti bahawa Rasulullah S.A.W mencari sokongan dan kekuasaan politik daripada bani-bani tersebut dapat dilihat dalam   catatan sirah, antara lain merujuk kepada kata-kata bani Amir Sha’sha’ah kepada Rasulullah S.A.W, “Kami harus menyerahkan leher kami pada pedang orang-orang Arab (membahayakan diri dalam peperangan) demi melindungimu, akan tetapi ketika kemenangan diraih, kekuasaan diberikan kepada kamu?” (Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam).

Sesungguhnya usaha yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dalam mencari dukungan politik dan kekuasaan tanpa henti-henti sehingga menempuh kejayaan menunjukkan kepada kita bahawa Rasulullah S.A.W ketika itu menginginkan adanya suatu institusi yang memiliki kekuatan sebagai pelindung dan penyebar untuk menolong agama ini. Fenomena seperti ini menunjukkan bahawa jalan dakwah Islam bukanlah hanya dengan memanifestasikan kesabaran ketika menghadapi gangguan, malah juga dimanifestasikan dengan usaha untuk mewujudkan kekuatan yang boleh melindungi umat Islam. Lebih dari itu, semua peristiwa dan huraian di atas merupakan thariqah (jalan/metode) yang wajib dilakukan bagi menegakkan Daulah Islamiyyah. Daulah Islamiyyah inilah yang kelak akan menerapkan Islam di tengah-tengah masyarakat, mengembangkan risalahNya yang bersifat global kepada umat manusia seluruhnya, serta yang memiliki kekuatan yang mampu melindungi sekali gus menghapuskan segala rintangan fizikal yang menghalang penyebaran agamaNya.

Akhirnya Rasulullah S.A.W berjaya mendapat nusrah (pertolongan) dan kekuasaan untuk menegakkan Islam, yang diberikan oleh penduduk Yathrib (Madinah). Maka terjadilah peristiwa Bai’ah Aqabah Kedua yang merupakan janji setia di antara wakil-wakil penduduk Yathrib dengan Rasulullah S.A.W. Semasa bai’ah ini, mereka berjanji akan melindungi dan memberikan kekuasaan kepada Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W akhirnya memerintahkan kaum Muslimin ber-hijrah ke Yathrib dan hijrah ini merupakan momentum dakwah dari aktiviti yang bersifat pemikiran dan penuh kesabaran ke fasa penerapan syariat Islam melalui sebuah institusi negara, yakni Daulah Islamiyyah.

Fasa 3: Istilam al-Hukmi (Penerapan Hukum) oleh Negara

Pada fasa ini, dakwah dilakukan dengan cara yang baru dan sangat efektif iaitu dakwah melalui institusi negara. Di samping penerapan hukum-hakam Islam secara menyeluruh di dalam negara, Islam juga disebarluaskan ke luar negara melalui jalan dakwah dan jihad. Akhirnya agama Allah telah tersebar ke seluruh Jazirah Arab hinggalah ke Rom dan Parsi dan hukum Allah telah diterapkan di kesemua tanah-tanah baru yang telah dibuka.

Khatimah

Menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai suri teladan bukanlah hanya sekadar mengambil nilai-nilai murni akhlak baginda, malah lebih daripada itu. Tujuan sebenar Rasulullah S.A.W diutus dapat difahami melalui hasil perjuangan dakwahnya - tertegaknya sebuah negara dan Islam diterapkan secara sempurna dan menyeluruh (kaffah), seperti mana perintah Allah S.W.T, “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu” [TMQ al-Baqarah (2):  208].

Kejayaan yang dicapai oleh Rasulullah S.A.W sebelum kewafatan baginda adalah menerapkan Islam secara kaffah. Pernyataan bahawa kita menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai teladan sejati membawa pengertian bahawa kita juga mesti mempunyai matlamat untuk berjuang menerapkan Islam secara kaffah. Islam tidak boleh diterapkan hanya sebahagian sahaja kerana apabila menerapkan Islam secara sebahagian, ini bermakna sebahagian yang lain berupa hukum selain Islam sedangkan menerapkan hukum dengan selain Islam adalah bertentangan dengan apa yang telah Allah tetapkan. Tidak wajar juga sekiranya Islam diambil hanya sekadar contoh dan suri teladan semata-mata untuk menjadi tempelan kepada sistem kapitalis dengan berwajahkan pelbagai nama yang indah, sedangkan hakikatnya ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W masih tidak diterapkan.

Rujukan:

·    Terjemahan Al Quran oleh Yayasan Penyelenggara Penterjemah/Pentafsir Al Quran Menteri Agama Indonesia. 
·         Al-Hidayah: Terjemahan Al Quran Tafsir Perkata  Penerbit Kalim Banten Indonesia.
·         English Translation Tafsir Ibn Kathir (Abridged) Darussalam.
·         Al Quran Digital Versi 2.1 website  http://www.alquran-digital.com
·    Tafsir Jalalain (Terjemahan PESANTREN PERSATUAN ISLAM 91 TASIKMALAYA Versi 2.0 Digital).
·         Daulah Islam oleh Sheikh Taqiyuddin Nabhani (Terjemahan).
·         Khilafah adalah Solusi oleh Anonim (Terjemahan Abu Faiz) Pustaka Tariqul Izzah.
·         Islam Bangkitlah oleh Abdul Rahman al Baghdadi – Gema Insani Press.

[FU MAC 2013/Bil. 53]


SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment