BENARKAH DEMOKRASI MENSEJAHTERAKAN WANITA?

ARTIKEL PILIHAN:

BENARKAH DEMOKRASI MENSEJAHTERAKAN WANITA?


Muqaddimah

Dalam kehangatan menantikan pilihan raya tahun ini, keamanan negara tergugat dengan peristiwa pencerobohan yang berlaku di Sabah. Walau apapun, itu semua tidak mempengaruhi persiapan untuk pilihan raya umum nanti. Ini terbukti apabila perang bendera dan poster telah pun bermula. Siri ceramah politik baik daripada pihak yang memegang tampuk kekuasaan mahupun pihak pembangkang terus mewarnai hari-hari pra-pilihan raya umum. Wanita tidak terkecuali daripada turut bergiat aktif. Penglibatan wanita dalam pilihan raya dikatakan amat penting kerana undi mereka dikatakan bakal menentukan nasib dan  kepentingan mereka.

Persoalannya, sejauh manakah kebenaran kenyataan ini? Benarkah dengan terlibat di dalam pilihan raya dan memangkah undi akan menjamin kedudukan wanita yang sekaligus memberi pengiktirafan dan pembelaan kepada kaum Hawa itu?


Wanita Dalam Sistem Demokrasi

Penyertaan wanita dalam sistem politik demokrasi Malaysia dilihat bermula dengan Halimaton Saadiah yang bertanding dalam pilihan raya Persekutuan Tanah Melayu yang pertama pada tahun 1955. Perlantikan Fatimah Haji Hashim sebagai Menteri Kebajikan Am pada 20 Mei 1969 pula semakin menyemarakkan penglibatan wanita dalam arena politik negara. Beliau yang memegang jawatan menteri dari tahun 1969 sehingga 1973 merupakan satu-satunya menteri wanita pada masa itu. Setelah masa beliau, jumlah penglibatan wanita dalam parlimen semakin meningkat.

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang  telah menandatangani Rencana Tindakan Beijing 1995, yang menggalakkan penyertaan 30% wanita dalam agensi kerajaan, namun Malaysia masih amat jauh untuk sampai ke matlamat itu. Walaupun demikian, pencapaian terkini menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan yang mana keterlibatan wanita dalam kancah politik dan memegang jawatan penting telah bertambah sejak kebelakangan ini. Namun, adakah realiti ini menjamin kehidupan wanita yang lebih sejahtera, aman dan terbela? Adakah wanita sudah tidak lagi menjadi mangsa atau golongan yang teraniaya?.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Heng Seai Kei, sebanyak 46,902 kes jenayah rogol, sumbang mahram, cabul dan keganasan rumah tangga terhadap wanita direkodkan sejak 2007 sehingga Mac tahun lepas (Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/214117, Bernama, 13/11/2012). Ini cuma secebis manifestasi ‘kejayaan’ demokrasi dalam memberi kesejahteraan kepada wanita di Malaysia.

Sementara di negara-negara lain seperti India iaitu sebuah negara demokrasi terbesar di dunia, didapati bahawa terlalu banyak serangan seksual yang tidak dilaporkan. Ini adalah kerana sejumlah besar wanita telah hilang kepercayaan pada sistem pemerintahan di India dalam melindungi martabat mereka. Antara kes yang popular dan masih hangat diperkatakan adalah kes seorang mahasiswi perubatan India berusia 23 tahun, yang menjadi mangsa serangan pemerkosaan ganas pada 16 Disember 2012 lalu oleh enam orang lelaki di dalam sebuah bas di New Delhi. Tragis dan sadis, mahasiswi perubatan tersebut telah meninggal dunia akibat kecederaan yang dideritainya.

Menurut sumber berita Al-Jazeera, seorang wanita diperkosa setiap 20 minit di India dan 24,000 kes pemerkosaan telah dilaporkan hanya untuk tahun lalu sahaja. Media juga melaporkan bahawa 80% wanita di New Delhi telah mengalami gangguan seksual, sementara “The Times of India” melaporkan bahawa pemerkosaan di India telah meningkat secara mendadak sebanyak 792% sejak 40 tahun kebelakangan ini.
 
Di Mesir pula gangguan seksual terhadap wanita sangat membimbangkan, antara contoh kajian kes adalah semasa wanita-wanita keluar ke Dataran Tahrir untuk demonstrasi di Mesir. Banyak aduan tentang gangguan seksual terhadap wanita sehingga mengakibatkan kes yang lebih serius iaitu jenayah rogol. Ratusan lelaki yang masih belum dapat dikenalpasti, didapati mengambil bahagian dalam serangan ke atas wanita dengan merobek pakaian dan menyentuh mereka, malah dalam satu kes, merogol seorang gadis berusia 19 tahun bersenjatakan pisau (sumber: http://www.wanista.com/2013/02/ antarabangsa-gangguan-seksual-terhadap-wanita-di-mesir-semakin-meningkat/- diakses pada 21/2/2013).

Sementara di Amerika, negara yang dianggap sebagai kepala kepada sistem demokrasi, hanya memberi hak mengundi kepada warga wanita mereka pada 1920-an, manakala rakyat kulit hitam dibebaskan daripada perhambaan selepas perang sivil AS pada 1860-an setelah lebih sejuta orang mati. Ironisnya, keadaan ini berlaku setelah Amerika secara rasmi diisytihar merdeka pada 4 Julai 1777. Itu belum lagi dilihat kepada bagaimana dahsyatnya kekejaman, penganiyaan dan segala “senarai hitam” kebaikan demokrasi kepada wanita di Amerika di abad ini.

Menurut laporan oleh satu pertubuhan bukan kerajaan berhubung kes yang berkaitan dengan jenayah seksual, setiap 2 minit seorang wanita di Amerika Syarikat menjadi mangsa serangan seksual; 1 daripada 4 wanita diserang secara seksual semasa berumur 18 tahun; 1 daripada 6 wanita telah mengalami serangan cubaan rogol dan terlalu banyak lagi keganasan yang tidak mungkin dapat dipaparkan di ruang yang terhad ini (http://www.lighthousehelp.org/gethelp/facts-about-rape, diakses pada 2/3/13).

Paparan di atas hanya memetik sedikit sahaja “buah ranum” hasil daripada amalan sistem demokrasi. Justeru, bagaimanakah demokrasi dikatakan mampu memberi kesejahteraan  kepada wanita? Paparan seterusnya akan menyingkap betapa jijiknya sistem demokrasi yang kononnya memperjuangkan idea kebebasan individu.

Muslimah Terkurung Dalam Sistem Demokrasi

Muslimah yang hidup di negara-negara yang mempunyai penduduk Muslim minoriti seperti di Eropah dilihat sebagai ancaman kepada peradaban Barat. Mereka dilarang daripada berjilbab, bertudung dan menzahirkan identiti Islam mereka. Pembunuhan Dr. Marwa El Sherbiny yang berasal dari Mesir menjadi bukti nyata kebencian Barat terhadap Muslimah yang taat kepada Islam. Hanya kerana mempertahankan maruahnya sebagai seorang Islam, beliau dibunuh secara kejam dengan ditikam sebanyak 18 kali di dalam mahkamah Jerman yang kononnya satu institusi yang mulia di mata sebuah sistem bernama demokrasi! Ironisnya di negeri kaum Muslim sendiri seperti Turki, Muslimah di larang untuk memakai tudung di tempat-tempat umum, padahal Turki dahulunya adalah pusat pemerintahan Khilafah Islamiyyah.

Sementara dalam kajian kes yang lain pula, Dr Aafia Siddiqui, seorang Muslimah yang diculik dan ditahan oleh ejen perisikan Pakistan pada bulan Mac 2003 yang kemudiannya diserahkan kepada pihak Amerika di Afghanistan di mana beliau dipenjarakan di Baghram, dirogol berulang kali dan diseksa dengan penyeksaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Selain kes-kes ini, masih terdapat jutaan muslimah yang menderita dalam diam akibat ‘keadilan dan kesejahteraan’ sistem demokrasi yang diterapkan di negara mereka. Justeru, masihkah ada ruang dalam benak seorang Muslim untuk mengatakan demokrasi mensejahterakan wanita? Ingatlah Allah S.W.T berfirman,

“Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Ma’idah (5): 50].

Dari sisi yang lain, wanita terus ditekan supaya berusaha menyelamatkan diri sendiri dengan masalah yang dihadapi. Apabila wanita diganggu oleh lelaki yang tidak dikenali, mereka disuruh belajar seni bela diri. Apabila wanita menjadi mangsa ragut, mereka disuruh berjalan dalam kumpulan. Pendek kata, segala tips keselamatan perlu menjadi asas pengetahuan wanita. Dalam aspek ekonomi pula, wanita disuruh untuk keluar bekerja demi menghilangkan kebergantungan kepada suami dan menaikkan imej sosial. Oleh sebab itu, muslimah seperti ini sibuk bersaing dengan lelaki dan mengejar kerjaya sehingga mengabaikan anak dan keluarganya semata-mata untuk mendapat kehidupan yang kononnya lebih berprestij dan sempurna sebagai wanita moden.

Realiti-realiti di atas membongkarkan hakikat demokrasi yang tidak pernah memberi kesejahteraaan atau kebebasan kepada wanita. Satu sistem yang penuh dengan khayalan dan tipu daya! Firman Allah S.W.T,

“Dan barangsiapa berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit” [TMQ at-Thaha (20): 124].

Justeru, apa fungsi keberadaan wanita di parlimen? Cukupkah sekadar mengungkap kata-kata “sekurang-kurangnya lebih ada daripada tiada”, “sekurang-kurangnya begitu dan begini”, atau “sekurang-kurangnya sekarang lebih baik daripada dulu”?.

Sedarlah bahawa demokrasi bukan hanya sekadar sebuah sistem yang mengatur pilihan raya untuk melantik
perwakilan bagi menyampaikan hasrat dan suara hati rakyat. Janganlah tertipu dengan definisi demokrasi seumpama ini. Pilihan raya cuma kulit sahaja daripada inti demokrasi sepenuhnya. Demokrasi sesungguhnya adalah sebuah “sistem” di mana hak membuat hukum diletakkan di tangan manusia. Sistem demokrasi adalah musuh kepada agama Islam yang mulia! Slogan yang dilaungkan oleh demokrasi ‘from the people, to the people, for the people’, sebenarnya menafikan hak Allah sebagai Pencipta (Al-Khaliq) dan Pembuat hukum (As-Syari’). Sedarlah bahawa sistem ini adalah sebuah sistem kufur yang haram, rosak lagi merosakkan!

Islam Mensejahterakan Wanita

Islam memiliki aturan yang komprehensif yang menjamin keadilan bagi siapapun termasuk wanita. Hanya sistem Islam yang dapat menyelesaikan setiap persoalan kehidupan daripada yang bersifat domestik hinggalah global. Islam terbukti mampu mensejahterakan wanita kerana Islam melihat wanita sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat, yang hidup berdampingan secara harmoni dan damai dengan lelaki dalam kancah kehidupan ini. Islam menjaga wanita daripada segala aspek dan keperluan.

Islam telah menetapkan hukum-hukum syara’ dengan sangat rinci dan menyeluruh demi memastikan kesejahteraan manusia termasuk wanita. Islam mewajibkan lelaki untuk menjadi penjaga wanita. Firman Allah S.W.T,

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (lelaki) telah menafkahkan sebagian daripada harta mereka” [TMQ an-Nisaa’ (4): 34].

Islam juga menetapkan fungsi negara untuk menjamin peranan dan kemuliaan wanita tetap terpelihara. Dari Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

“Setiap daripada kamu adalah pemelihara dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipeliharanya. Seorang pemimpin adalah pemelihara dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang lelaki adalah    pemelihara keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka...” [HR Bukhari dan Muslim].

“Seorang imam (pemimpin) adalah bagaikan pengembala dan dia akan diminta pertanggungjawaban di atas gembalaannya (rakyatnya)[HR Bukhari dan Muslim].

Penerapan hukum syara’ yang benar hanya akan terealisasi dengan kembalinya sistem yang telah diwariskan oleh Nabi kita Muhammad S.A.W iaitu sistem Khilafah yang ditadbir oleh seorang Khalifah. Sistem Khilafah mempunyai sebuah sistem pengadilan yang efisien dan mampu menangani segala bentuk jenayah dengan cepat serta menerapkan hukum sesuai dengan kehendak Pencipta sebagaimana digariskan di dalam al-Quran dan as-Sunnah terutama kesalahan yang melibatkan kehormatan wanita. Khilafah adalah sebuah negara di mana setiap perkataan atau tindakan yang tidak menghormati kaum wanita dianggap sebagai jenayah dan tidak boleh ditoleransi. Khilafah ialah sebuah negara yang akan mencipta keamanan bagi masyarakat tidak kira bagi wanita yang sedang belajar, bekerja, bermusafir atau menjalani kehidupan seharian yang biasa, Muslim mahupun bukan Muslim.

Khatimah

Jadi, perubahan yang wanita patut perjuangkan sekarang bukanlah untuk meningkatkan jumlah penglibatan wanita dalam sistem demokrasi yang terbukti rosak ini atau hanya sekadar mengubah sosok tubuh pemimpin. Perubahan yang bakal mensejahterakan wanita adalah dengan memperjuangkan penerapan syariat Islam dalam sistem Khilafah. Firman Allah S.W.T,

“Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kalian kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kalian[TMQ al-Anfal (8): 24].



Wallahu’alam.



[FU/Bil.54/April 2013] 
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment