GOLONGAN YANG MENANG

TAFSIR HADIS:

GOLONGAN YANG MENANG



Rasulullah S.A.W. bersabda:

لاَ يَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ
وَهُمْ ظَاهِرُونَ

“Akan selalu ada kelompok di antara umatku yang memperjuangkan (kebenaran) hingga datang keputusan Allah sedangkan mereka dalam keadaan menang” 
[HR al-Bukhari].



H
adis ini menjelaskan bahawa akan sentiasa ada segolongan atau sekelompok umat Nabi Muhammad S.A.W yang akan memperjuangkan yang hak walau dalam apa jua keadaan sehingga datang keputusan atau ketentuan daripada Allah S.W.T., mereka tetap dalam keadaan demikian (istiqamah atas kebenaran). Hadis ini juga menyatakan bahawa sememangnya orang-orang yang berjuang menzahirkan kebenaran itu pasti memperolehi kemenangan di sisi Allah S.W.T.

Hadis ini menjadi pendorong kepada setiap Muslim untuk terus berjuang menegakkan kebenaran di bumi Allah ini yang menjadi pengukuh kepada keimanan mereka. Setiap kelompok Islam yang berjuang menegakkan syariahNya, selama mana terus istiqamah di jalanNya, mereka tidak perlu berasa ragu dan takut, kerana mereka adalah kelompok yang pasti mendapatkan kemenangan sebagaimana yang disebut dalam hadis di atas, termasuk janji-janji Allah yang disebut dalam al-Quran. Adakalanya jumlah kelompok ini sedikit, tetapi mereka pasti akan dimenangkan dengan izinNya seperti kemenangan yang berlaku di medan Badar yang mana hanya 300 orang tentera kaum Muslimin telah mengalahkan musyrikin Quraisy yang berjumlah 1000 orang.


Orang-orang kafir memang akan terus memerangi kaum Muslimin sehingga mereka keluar dari agamanya (lihat TMQ al-Baqarah [2]: 217). Mereka berusaha memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka (lihat TMQ al-Saff [61]: 8). Mereka juga sentiasa membuat pelbagai makar untuk mencelakakan kaum Muslimin. Namun, Allah tidak rela hambaNya yang mukhlis dikalahkan oleh musuh-musuh agamaNya yang haq, apalagi jika Deen yang mulia ini cuba dipadamkan oleh kaum durjana. Allah akan menggagalkan tipu daya mereka, bahkan membalas makar mereka. Rencana Allah inilah yang pasti berlaku, kerana Dia adalah Khayr al-Makirin, sebaik-baik Pembalas tipu daya (lihat TMQ al-`Imran [3]: 54). Dia juga pasti memenangkan agamaNya berserta pengikutnya atas seluruh agama batil berserta pengikutnya (lihat TMQ al-Saff [61]: 8-9). Kerana itu, hizb (kelompok)Nya juga yang akan memperolehi kemenangan. Sehubungan dengan itu, bukankah wajar bagi setiap Muslim untuk ikut serta kelompok yang menzahirkan kemenangan ini dengan izin Allah S.W.T?

Sejarah telah menggambarkan keadaan manusia pada zaman Jahiliyah yang telah meletakkan martabat mereka serendah haiwan, bahkan lebih sesat lagi. Wanita dianggap sebagai komoditi dan pemuas nafsu lelaki. Anak-anak perempuan ditanam hidup-hidup tanpa larangan. Kelahiran anak perempuan dianggap satu aib yang sangat besar dan perlu dilenyapkan dengan segera. Begitulah hinanya kehidupan umat yang dipandu oleh hawa nafsu. Kemudian datang Rasulullah S.A.W sebagai penyelamat dan rahmat untuk sekalian alam.

Rasulullah mula mendakwahkan manusia kepada Islam dan setelah beberapa orang sahabat baginda menerima Islam, maka terbentuklah satu kutlah (kelompok). Kutlah ini kemudian zahir di tengah-tengah masyarakat menyerukan kebenaran dan setelah itu semakin ramai manusia memeluk agama Allah. Walaupun  kutlah ini tidak ramai (berbanding jumlah penduduk Mekah), namun  Allah S.W.T. akhirnya telah memberikan kemenangan kepada kutlah ini kerana kutlah ini sesungguhnya berdiri di atas kebenaran. Setelah berlakuknya peristiwa hijrah, kutlah yang dipimpin oleh Rasulullah S.A.W. ini telah berjaya mendirikan Negara Islam di Madinah sehingga hukum Allah S.W.T. dapat diterapkan dalam bentuk bernegara.

Daripada Daulah Islam Madinah, futuhat kemudian dilakukan ke kota Mekah yang masyarakat dan sistemnya masih lagi dibelenggu kekufuran. Islam lalu memasuki setiap ruang rumah dengan penuh kerahmatan. Manusia berasa cukup bahagia dan aman di bawah naungan Daulah Islam dengan kepimpinan Rasulullah S.A.W yang merupakan pemimpin Negara Islam yang pertama.

Kemenangan Rasulullah S.A.W ketika itu bermula dari kejayaan Rasulullah menyerukan manusia untuk mentauhidkan Allah S.W.T dan melaksana setiap perintah dan meninggalkan segala laranganNya berlandaskan wahyu daripada Allah S.W.T. Sesungguhnya kejayaan Rasulullah S.A.W. juga tidak dapat dilepaskan dari perjuangan kutlah yang berdiri atas kebenaran, yang melakukan aktiviti dakwah dan politik bagi merubah pemikiran dan sistem kufur yang ada.

Begitulah yang berlaku zaman berzaman, selepas wafat baginda Rasulullah S.A.W dan diganti dengan para Khulafa’ seterusnya, Islam terus mencapai kemenangan dan menebarkan rahmat ke seluruh alam sehinggalah akhirnya runtuh Daulah Islam runtuh pada zaman Khilafah Uthmaniah. Islam kemudian menjadi permainan dan hidangan puak kuffar. Namun demikian, tetap sahaja ada golongan yang memperjuangkan kebenaran sepanjang era kejatuhan Islam sehinggalah ke hari ini, demi mengembalikan kehidupan Islam yang sebenar di bawah naungan Daulah Khilafah.

Sebagai seorang pejuang yang berada dalam kelompok yang benar, keimanan dan ketakwaan yang tinggi berlandaskan kepada kalimah “La ilaha illallah Muhammad Rasulullah” akan membekas di dalam jiwanya  bahawa kemenangan hanya akan dapat diraih dengan jalan Islam. Walau apa risiko perjuangan sekalipun, akal fikiran dan jiwa menjadi tenang dan kebahagiaan sejati dapat dikecapi tatkala berjuang di jalan yang benar. Inilah yang akan menghasilkan susuk tubuh yang sedia berjuang dan berkorban dalam apa jua keadaan sama ada ringan ataupun berat. Oleh sebab itu jualah, Allah akan sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar dalam berjuang menegakkan yang hak dan mereka sentiasa merasakan bahawa pertolongan Allah itu sangat hampir, seperti hampirnya kini tertegaknya Daulah Khilafah untuk kali yang kedua di muka bumi ini.

Realiti hari ini, di sebalik pelbagai kesulitan dan kesengsaraan hidup yang dialami oleh umat Islam di seluruh dunia, kelompok ini wujud di setiap tempat untuk menyatakan kebenaran. Hasilnya, di setiap belahan dunia, kita dapat merasakan bahawa kebangkitan umat sedang berlaku. Berkat keteguhan mereka di atas kebenaran, kelompok ini semakin berjaya membangkitkan umat secara bersamaan dalam mengembalikan maruah mereka sebagai umat yang terbaik. Tembok nasionalisme mulai retak, racun patriotisme mula hilang, perasaan “umat yang satu” mula dirasakan, kebersatuan dan kemenangan umat Islam sudah semakin kelihatan. Kelompok ini sentiasa ingat dan mengimani firman Allah S.W.T:

Kamu adalah umat terbaik, yang dihadirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari kemungkaran , serta tetap beriman kepada Allah [TMQ al-`Imran (3): 110].

“Kamu umat yang terbaik” membawa pengertian bahawa umat Muhammad S.A.W adalah umat yang terbaik dengan menggalas dan melaksanakan tanggungjawab amar ma’ruf nahi munkar dan berterusan berjuang bagi memastikan kemenangan Islam yang berpaksikan dakwah dalam setiap rutin kehidupan seharian. Semoga dengan usaha gigih menegakkan kebenaran dan menegakkan kembali Daulah Khilafah oleh kelompok-kelompok inilah yang akan merealisasikan janji Allah kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh dengan kemenangan yang hakiki.

Firman Allah S.W.T: “Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang Mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga bagi mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh (itu adalah janji) yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah (kamu) dengan jual beli yang telah kamu lakukan dan itulah kemenangan yang agung[TMQ at-Taubah (9): 111].


Wallahu’alam.



Rujukan :

· Terjemahan Al Quran.
· Tafsir Ibnu Katsir , Juz 4 , Al Imam Abul Fida Ismail Ibnu Kasir Ad Dimasyqi.
· Tafsir : Kelompok Pemenang , Al Waie.
· Islam Bangkitlah, Abdurrahman Al Baghdadi , 1994


[FU/Bil.54/April 2013] 


SHARE THIS

1 comments:

  1. Untunglah kelompok yang menang itu.Moga kita dapat menjadi sebahagian dari kelompok yang disabda Rasulullah s.a.w tu

    ReplyDelete