ASY-SYIFA’ BINTI ABDULLAH AL-`ADAWIYAH: GURU WANITA PERTAMA



  
S
esungguhnya ilmu Allah S.W.T itu maha luas berupa didikan dan pengajaran yang pasti memberi kesejahteraan dan kebaikan kepada jiwa, akal dan jasmani manusia. Segala ilmu yang telah diwahyukan kepada kekasihNya, Nabi Muhammad S.A.W kini sudah tercatat di dalam al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi panduan bagi umat Islam. Di sepanjang sejarah Islam, ramai tokoh ilmuwan yang telah berjaya menempatkan diri mereka di mata dunia. Justeru dalam ruangan serikandi teladan kali ini, kita akan menelusuri perjalanan seorang sahabiyah yang merupakan antara tokoh ilmuwan wanita yang mendapat kedudukan tersendiri di sisi Rasulullah S.A.W dan para sahabat.

Beliau r.a adalah Asy-Syifa’ binti Abdullah ibn Abdi Syams al-Qurasyiah al-‘Adawiyah. Menurut Ahmad bin Soleh Al-Misri, nama sebenarnya ialah Laila tetapi lebih dikenali sebagai Asy-Syifa’. Kunniyah (nama julukan) beliau Ummu Sulaiman dan suaminya adalah Abu Hathmah ibn Ghanim al-Qurasyi al-‘Adawi. Sahabiyah ini telah melakarkan sejarah hidupnya dengan penuh kemuliaan. Selain menjadi antara wanita yang awal memeluk Islam iaitu sebelum berlakunya penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W ke Madinah, beliau juga termasuk golongan wanita yang berhijrah pada gelombang pertama.

Bukan itu sahaja, beliau adalah seorang wanita yang terkenal dengan kepintaran dan kebaikannya sejak  zaman jahiliah lagi. Pada ketika itu, hanya segelintir sahaja wanita Quraisy yang boleh menulis dan membaca. Dengan kebolehannya, beliau menawarkan dirinya untuk menjadi guru bagi kaumnya. Setelah beliau masuk Islam, beliau meneruskan pekerjaan mulianya dengan memberikan pendidikan kepada wanita-wanita Islam dengan tujuan untuk menggapai pahala dan redha Allah S.W.T. Lantaran itu, nama beliau telah tercatat dalam lipatan sejarah sebagai guru wanita pertama dalam dunia Islam.

Selain daripada mahir dalam ilmu membaca dan menulis, Asy-Syifa’ juga mahir dalam bidang ruqyah iaitu berubat dengan memohon doa. Diriwayatkan bahawa selepas memeluk Islam, Asy-Syifa’ kerana ketaqwaannya berhenti melakukan ruqyah sehingga Rasulullah S.A.W mengizinkannya meneruskannya semula. Bahkan Rasulullah S.A.W juga menyuruh Asy-Syifa’ untuk mengajarkannya kepada salah seorang isteri baginda, Hafsah binti Umar bin Khathab r.a. Hal ini telah tercatat    dalam Musnad Imam Ahmad dari   Hafsah,

“Bahawa Nabi S.A.W datang menziarahinya (Hafsah) sedang bersamanya seorang wanita yang dikenali sebagai Syifa’ yang melakukan ruqyah untuk mengubati “an-namlah”. Lalu berkata Nabi S.A.W, ajarkanlah ia kepada Hafsah”. [Musnad Ahmad no. 25910]. An-namlah ialah sejenis masalah kulit.

Kedudukan Asy-Syifa’ tidak hanya istimewa pada mata Rasulullah S.A.W dan isteri-isteri baginda sahaja, malah dihormati oleh para sahabat Nabi S.A.W. Saidina Umar al-Khathab r.a. berusaha untuk mengikut jejak langkah Rasulullah S.A.W dalam memuliakan Asy-Syifa’, tambahan pula Asy-Syifa’ adalah guru kepada puterinya Hafsah. Asy-Syifa’ bukan sahaja sentiasa diberi keutamaan dalam melontarkan pandangan, malahan Saidina Umar r.a. mempercayakan beliau untuk menjadi   qadhi hisbah di Madinah, iaitu seorang yang mengawas dan menjatuhkan hukuman jika berlaku pelanggaran hak umum di pasar. Selain itu, Umar al-Khathab juga adalah seorang yang suka membimbing Asy-Syifa’ sekeluarga di dalam melaksanakan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Direkodkan di dalam kitab Al-Muntaqa Syarah Muwatta’ Malik, Asy-Syifa’ pernah bertutur, “Satu hari, Umar al-Khathab datang ke  rumahku sedangkan bersamaku ada dua orang lelaki sedang tidur (iaitu suaminya Abu Hathmah dan puteranya Sulaiman). Umar al-Khathab bertanya, ‘Tidakkah dua lelaki ini solat Subuh?’ Aku menjawab, ‘Mereka berdua solat malam sehingga subuh, kemudian solat subuh lalu tidur.’ Lalu Umar al-Khathab menjawab, ‘Sesung-guhnya aku bersaksi bahawa solat subuh berjemaah lebih baik bagiku daripada solat sepanjang malam.” Jelas di sini bahawa Umar al-Khathab, dengan ilmu yang ada padanya, memastikan keluarga Asy-Syifa juga turut mendapat ilmu yang sama.

Banyak hadis Rasulullah S.A.W yang telah diriwayatkan oleh Asy-Sifa’ secara terus daripada Rasulullah S.A.W sendiri dan juga daripada Umar al-Khathab. Adapun orang yang     meriwayatkan hadis Rasulullah S.A.W daripada As-Syifa' adalah anaknya sendiri, Sulaiman, dua cucunya Abu Bakar bin Sulaiman dan Usman bin Sulaiman, bekas hambanya Abu Ishaq dan Hafsah Ummul Mukminin. Beliau terus menerus mendidik umat Islam dengan tsaqofah Islam serta bergiat sama mendakwahkan risalah Islam kepada manusia lain sehingga ajal datang menjemputnya pada era kekhalifahan Umar al-Khathab sekitar tahun 20H. Al-Bukhari mencatatkan riwayat daripada beliau di dalam Kitab al-Adab dan Kitab Af’al al-Ibad, begitu juga Abu Dawud dan al-Nasai. Dalam penulisan komentari, antaranya Syarah Sunan Abi Dawud dan Al-Albany, mereka mengambil peng-ajaran daripada sebahagian hadis daripada Asy-Syifa’ bahawa Islam menghendaki kaum wanita celik ilmu dan Islam membenarkan perubatan yang tidak mensyirikkan Allah.


Subhanallah! Benarlah firman Allah S.W.T dalam surah al-Mujadilah ayat 11 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikatakan kepadamu berlapang-lapanglah dalam majlis-majlis, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan berdirilah kamu, maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan (darjat) orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”.  

Sesungguhnya wanita pertama dalam Islam yang menjadi guru dan qadhi hisbah, serta pengamal dan pengajar perubatan ini telah dimuliakan Allah S.W.T dalam kalangan penduduk dunia kerana ilmunya sekaligus ketaqwaannya kepada Allah. Firman Allah S.W.T lagi,

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Pakar” [TMQ al-Hujurat (49): 13].

Ya akhawatul kareemah!

Sesungguhnya ilmu yang berguna itu adalah ilmu yang dapat mendekatkan diri kita kepada Allah S.W.T sehingga kita menjadi orang yang bertaqwa. Namun, kita tidak akan dapat mencapai kebaikan ini pada zaman sekarang kerana telah meresapnya  ideologi sekular-kapitalis ke dalam salur darah sehingga menjadi darah daging dalam tubuh umat Islam kini. Malah, terdapat sekelompok masyarakat kini yang semakin berilmu tetapi semakin jauh dari Allah S.W.T., na’udzubillahimindzalik.

Ingatlah wahai Muslimah sekalian, sesungguhnya Islam itu adalah agama yang sempurna, yang meliputi ajaran rohani (aqidah ruhiyah) dan ajaran kehidupan (aqidah siyasiyah). Namun, kesempurnaan Islam itu telah dinodai dengan najis-najis sekular apabila runtuhnya Daulah Khilafah Uthmaniyah pada 3 Mac 1924M. Ya, hanya dengan Daulah Khilafahlah yang dapat mengembalikan semula ketamadunan masyarakat Islam  apabila mereka dididik dengan dasar pendidikan Islam, yang teras utamanya adalah aqidah Islamiyah serta tsaqofah Islamiyah.

Wallahu a`lam.


Sumber Rujukan:

  •  ‘Aun Al-Ma’bud Syarah Sunan Abi Dawud kitab At-Thibb – Ruqyah An-Namlah. Ms 298-301.
  •  Al-Muntaqa Syarah Muwatta’    Malik kitab Solat Al-Jama’ah. M/s 471-472
  •  Sunan Abi Dawud kitab At-Thibb. No 3887.
  •  Musnad Ahmad – Baqi Musnad Al-Ansar. No 25910 dan 25911.
  •  Hawla Ar-Ruqyah li Asy-Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani. http://www.alalbany.net/misc039.php. Dicapai pada 8 April 2013.
  • 70 Wanita Terbilang Di Zaman Nabi Muhammad S.A.W. Abu Azka Al Madani dan Harun Arrasyid Hj Tuskan. Al-Hidayah. Cetakan I. 2010. M/s 359-365.
  •   Terjemahan singkat Tafsir Ibnu Katsier. H. Salim Bahreisy dan H. Said Bahreisy. Victory Agencie. Jilid I. 1988. M/s 83.
  •  Islam Politik dan Spiritual. Hafidz Abdurrahman. Lisan Ul-Haq.Cetakan I. 1998. M/s 17-27.


[FU/Bil.55/Mei 2013] 



SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment