Darjat Orang Berilmu



﴿يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمْ
وَالَّذِينَ أُوتُواْ الْعِلْمَ دَرَجَـتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ﴾

“Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” [TMQ al-Mujadilah (58): 11].


Tafsir Ayat

Mengenai ayat di atas, diterangkan dalam Tafsir Ibn Kathir bahawa Imam Ahmad telah meriwayatkan bahawa Abu At-Tufayl `Amir bin Wathilah berkata bahawa Nafi` bin `Abdul-Harith telah bertemu Umar bin Al-Khattab semasa berada di wilayah `Usfan. Umar telah melantik Abu At-Tufayl menjadi Amir di Mekah. Umar bertanya kepada beliau,

“Siapakah yang telah anda lantik  sebagai Penolong bagi (mengatur urusan) penduduk di lembah itu (Mekah)”. Amir berkata, “Aku telah melantik Ibn Abza, seorang daripada hamba-hamba yang telah kita merdekakan sebagai penolongku”. Umar berkata lagi, “Engkau telah menjadikan seorang hamba merdeka sebagai Amir mereka semasa ketiadaanmu?!”. Amir menjawab, “Wahai Amirul Mukminin, dia telah menghafaz Kitab Allah dan dia mempunyai ilmu mengenai harta pewarisan di samping berupaya menjadi seorang hakim yang berwibawa”. Kata Umar, “Sungguh, Nabimu telah bersabda, “Sesungguhnya Allah mengangkat darjat suatu kaum kerana kitab ini (al-Quran) dan merendahkan kaum lainnya dengannya” [HR Muslim].

Hadis ini sesungguhnya menerangkan mengenai keutamaan orang-orang yang berilmu. Dalam Sunan Abu Daud pula ada diriwayatkan bahawa Abu Ad-Darda berkata,

“Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, “Barangsiapa meniti jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mempermudahkannya jalan ke syurga. Sungguh, para Malaikat merendahkan sayapnya sebagai keredaan kepada penuntut ilmu. Orang yang berilmu akan dimintakan maaf oleh penduduk langit dan bumi hingga ikan yang ada di dasar laut. Kelebihan seorang alim di bandingkan dengan ahli ibadah seperti keutamaan rembulan pada malam purnama atas seluruh bintang. Para ulama adalah pewaris para nabi, dan para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, mereka hanya mewariskan ilmu. Barangsiapa mengambilnya maka ia telah mengambil bahagian yang banyak”.

Ciri-ciri ‘Ulama Pewaris Nabi

Secara bahasa, ‘ulama merupakan bentuk jamak dari kata ‘alim yang bererti orang yang berilmu. Orang yang berilmu ini termasuklah guru kerana mereka merupakan individu yang telah menimba ilmu dalam bidang masing-masing dan diajarkan kepada pelajar-pelajar. Secara syarie, Allah S.W.T dan RasulNya telah menjelaskan pelbagai sifat dan ciri-ciri orang yang layak disebut sebagai ‘ulama. Di antara ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut:

Pertama, ‘ulama adalah orang-orang yang merupakan lambang iman dan harapan umat, memberikan tunjuk ajar dengan hanya berpegang kepada syariat Islam. Mereka mewarisi keperibadian Nabi dalam keterikatannya terhadap wahyu Allah S.W.T. Rasulullah S.A.W bersabda,

“Sesungguhnya perumpamaan ‘ulama di bumi adalah seperti bintang-bintang di langit yang memberi petunjuk di dalam kegelapan bumi dan laut. Apabila dia terbenam maka jalan akan kabur[HR Ahmad].

Dalam hadis lain baginda S.A.W bersabda,

“Sesungguhnya kedudukan seorang alim sama mulianya dengan bulan di tengah-tengah bintang. Sesungguhnya ‘ulama itu adalah pewaris para nabi” [HR Abu Daud dan Tirmidzi].

Seorang ‘ulama sejati tidak akan menyatakan sesuatu yang bertentangan dengan Islam. Misalnya, dia tidak akan menghalalkan darah sesama Muslim tanpa hak. Rasulullah S.A.W bersabda,

“Mencaci maki seorang Mukmin itu fasik dan membunuhnya adalah perbuatan kufur” [HR Abu Daud].

Kedua, ‘ulama itu berjuang di jalan Allah S.W.T serta sentiasa memberikan nasihat kepada para penguasa. Mereka tabah dan sabar menghadapi segala macam tentangan dan halangan, demi memperjuangkan Islam dan umatnya, bukannya membela kepentingan peribadi, pemimpin atau kelompoknya. Mereka sentiasa ingat akan sabda Rasulullah S.A.W,

“Barang siapa yang melihat penguasa zalim dengan menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah S.W.T, melanggar janji Allah dan menyalahi sunnah RasulNya, berbuat kejam dan aniaya terhadap hamba-hamba Allah dengan sewenang-wenangnya dan orang itu tidak mencegahnya baik dengan lidah ataupun dengan perbuatannya, maka sudahlah patut orang itu menempati tempat yang   telah disediakan oleh Allah S.W.T baginya” [HR Thabrani].

Ketiga, ‘ulama selalu menegakkan kewajipan dan melarang kemungkaran. Mereka tidak menyembunyikan, apalagi memutarbalikkan   kebenaran syariat Islam. Mereka yakin akan firman Allah S.W.T,

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam al-Quran, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat pula oleh semua makhluk yang dapat melaknat” [TMQ al-Baqarah (2): 159].

Keempat, ‘ulama itu benar-benar takut kepada Allah S.W.T dalam hati, ucapan dan perbuatannya dan sentiasa berpegang kepada perintah Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T,

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah ‘ulama [TMQ Fathir (35): 28].


‘Ulama Tidak Berpihak Kepada Kezaliman

Salah satu ciri utama hamba Allah S.W.T, terlebih-lebih lagi ‘ulama, adalah tidak mendiamkan, tidak menyetujui dan tidak mendukung kezaliman dan siapa pun yang melakukan kezaliman. Allah S.W.T telah berfirman dengan tegas dalam surah Hud ayat 113 menyangkut hal ini,

“Dan janganlah kalian cenderung kepada orang-orang zalim yang menyebabkan kalian disentuh api    neraka..”

Larangan kecenderungan tersebut ditujukan kepada orang-orang Mukmin agar tidak berpihak kepada orang-orang yang melakukan tindakan kezaliman. Allah S.W.T melarang  kecenderungan kepada mereka kerana dalam perbuatan tersebut menunjukkan pengakuan atas kekufuran, kezaliman dan kefasikan mereka. Kezaliman oleh penguasa Muslim yang dimaksudkan di sini adalah perbuatannya yang tidak menerapkan peraturan Islam dalam pemerintahannya seperti mana firman Allah S.W.T,

“Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang zalim” [TMQ al-Maaidah (5): 45].

Ayat di atas ditujukan kepada manusia secara umum, termasuk juga seorang penguasa Muslim yang tidak           memerintah dengan apa yang diturunkan Allah S.W.T, yakni tidak menerapkan hukum-hukum Islam seluruhnya atau menerapkan sebahagian sahaja dan meninggalkan sebahagian lainnya. (Taqiyyuddin an-Nabhani, Nizhamul Hukmi fil Islam, hal. 228). Berdasarkan ayat ini, seorang Mukmin, terlebih-lebih lagi ‘ulama tidak akan mendukung kezaliman tersebut. Mereka takut kepada Allah S.W.T yang akan membakarkan api neraka pada orang yang berbuat demikian.


Rosaknya ‘Ulama dan Penguasa Penyebab Hancurnya Umat

Rasulullah S.A.W bersabda,

“Dua macam golongan manusia yang apabila keduanya baik maka akan baiklah masyarakat. Tetapi, apabila keduanya rosak maka akan rosaklah masyarakat itu. Kedua golongan manusia itu adalah ‘ulama dan penguasa” [HR Abu Na'im].

Lebih tegas lagi, Nabi S.A.W menyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Tirmidzi,

“Akan datang penguasa-penguasa fasik dan zalim. Barang siapa percaya kepada kebohongannya dan membantu kezalimannya maka dia bukan dari golonganku dan aku bukan dari golongannya dan dia tidak akan masuk syurga.”

Berkaitan dengan hal ini, Imam al-Ghazali (Ihya 'Ulumiddin, juz 7, hal. 92) menyatakan,

“Dulu tradisi para ‘ulama menjaga penguasa untuk menerapkan hukum Allah S.W.T. Mereka mengikhlaskan niat dan pernyataannya membekas di hati. Namun sekarang, terdapat penguasa yang tamak, ‘ulama malah hanya diam sahaja. Andaikan mereka berbicara, pernyataannya berbeza dengan perbuatannya sehingga tidak mencapai sebarang hasil. Kerosakan masyarakat itu akibat kerosakan penguasa dan kerosakan penguasa akibat kerosakan ‘ulama. Adapun kerosakan ‘ulama akibat digenggam cinta harta dan jawatan. Siapa sahaja yang digenggam oleh cinta dunia nescaya tidak mampu menguasai 'kerikilnya', bagaimana lagi dapat mengingatkan penguasa dan para pembesar.”
 
Jika keadaan sebahagian ‘ulama pada zaman Imam al-Ghazali adalah seperti yang dinyatakan, tidaklah menghairankan apabila keadaan ‘ulama dewasa ini lebih parah, lebih-lebih sejak hancurnya Khilafah Islamiyah tahun 1342 H (1924 M).

Khatimah

Berdasarkan perbincangan di atas, setiap individu terutamanya ‘ulama (termasuk juga guru) perlu memuhasabah diri supaya tidak tergolong menjadi ‘ulama su’ (ulama buruk) yang membantu kezaliman atau ia membantu penguasa yang zalim hingga berakhir kepada kehancuran umat. Kini telah tiba saatnya ‘ulama sekalian kembali merebut darjat orang berilmu yang dijanjikan oleh Allah S.W.T. Allah S.W.T memerintahkan untuk mengikuti seluruh apa yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W dan menjauhi apa saja yang dilarang baginda. Kebenaran Islam daripada mana pun datangnya tidak boleh ditolak. Sebaliknya, kebatilan daripada mana pun asalnya, siapa pun yang menyatakannya, wajib ditentang.


Rujukan:

  •  Terjemahan Al-Quran oleh Yayasan Penyelenggara Penterjemah/Pentafsir Al-Quran Menteri AgamaIndonesia. 
  •  English Translation Tafsir Ibn Kathir (Abridged), Darussalam.
  •   Taqiyyuddin An Nabhani, Nizhamul Hukmi fil Islam (Terjemahan)
  •  Taqiyyuddin An Nabhani, Daulah Islam (Terjemahan).
  •  Al Badri, Peranan ‘Ulama dan Penguasa.
  • Abdul Rahman al Baghdadi, Islam Bangkitlah, Gema Insani Press.
  •  Arief Iskandar, Ulama Sejati, Majalah al Waie Edisi No 61


[FU/Bil.55/Mei 2013] 
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment