FIKRATUL UMMAH MEI 2013

Muqaddimatul Kalam

Assalamua’laikum warahmatullahi wa barakatuh....

Menemui para pembaca FU yang dimuliakan, semoga berada dalam lindungan rahmatNya. Syukur kepadaNya yang masih memberikan kita peluang untuk membuat kebaikan di dunia sehingga hari ini.

Para pembaca yang dihormati,

Bulan Rejab 1434H akan menemui kita pada pertengahan bulan Mei ini. Dalam masyarakat kita, bulan Rejab sinonim dengan puasa sunat dan sambutan Isra’ dan Mi’raj. Namun, tahukah kita bahawa dalam bulan ini juga telah berlaku satu peristiwa pahit bagi umat manusia, khususnya yang hidup pada akhir zaman ini? Tepatnya pada malam 28 Rejab 1342 Hijrah iaitu hampir seabad lalu, berlakulah pemecatan Khalifah terakhir umat Islam, Khalifah Abdul Majid II. Peristiwa ini menandakan berakhirnya kewujudan institusi Khilafah, iaitu satu-satunya negara Islam yang menjadi perisai bagi umat Islam di seluruh dunia. Maka FU bulan ini menyiarkan artikel khas Rejab sebagai kesinambungan daripada FU keluaran Mac yang lalu. Setelah kita mengetahui kepentingan adanya Khilafah dan dalil-dalil kewajipan menegakkannya, kali ini mari kita sama-sama memahami ruang lingkup aktiviti menegakkannya.

Bukan itu sahaja, FU bulan ini juga menghidangkan kepada pembaca sekalian isu-isu pendidikan bersempena sambutan hari guru. Renunglah firman Allah S.W.T,

Dan Dia telah mengajarkan kepada (Nabi) Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar[TMQ al-Baqarah (2): 31].

Ayat ini memberitahu kita bahawa manusia diberikan tanggungjawab mentadbir bumi, hanya kerana kelebihannya yang dapat mempergunakan akalnya untuk menerima maklumat, menyimpan dan memprosesnya untuk menjadi ilmu yang bermanfaat. Semoga dengan ini kita insaf akan tanggungjawab kita memanfaatkan akal dan mempergunakannya untuk melaksanakan perintah Allah di muka bumi ini dengan sebaik-baiknya.

Semoga perkongsian kami kali ini bukan sahaja memberi masukan berguna kepada pembaca sekalian, malahan juga membangunkan pemikiran kita dan terus diterjemahkan kepada tindakan. Dan hanya Allah sahajalah Pemberi taufiq dan hidayah. Amin.

Wassalamu `alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.


[FU/Bil.55/Mei 2013] 
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment