FATIMAH AZ-ZAHRA’ BINTI MUHAMMAD: PEMIMPIN WANITA PENGHUNI SYURGA

SERIKANDI TELADAN: 


FATIMAH AZ-ZAHRA’ BINTI MUHAMMAD: PEMIMPIN WANITA PENGHUNI SYURGA



Diriwayatkan daripada Aisyah r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda,

“...Tidakkah engkau redha (wahai Fatimah) bahawa engkau adalah saidatinnisa fil-Jannah (pemimpin wanita di syurga) atau pemimpin wanita seluruh alam…” [HR Bukhari].

Insan mulia yang dinyatakan dalam hadis di atas adalah Fatimah binti Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muththalib bin Hasyim bin Abdi Manaf Al-Qursyiyah Al-Hasyimiyah. Beliau merupakan puteri bongsu kepada pemimpin manusia serta kekasih Allah S.W.T iaitu Rasulullah S.A.W. Ibunya merupakan pendamping setia ayahnya dan menjadi orang yang pertama masuk Islam, iaitu Khadijah binti Khuwalid r.a. Datuk saudaranya, Hamzah bin Abdul Muththalib r.a adalah pemimpin para syuhada’ serta singa Ar-Rahman. Datuk saudaranya yang lain adalah pemimpin Bani Hasyim yang sentiasa melindungi tetangga, mengorbankan harta, memberi pakaian dan makanan kepada orang-orang yang tidak mampu iaitu ‘Abbas bin Abdul Muththalib r.a. Suaminya sendiri merupakan Amirul Mukminin yang ke-empat dalam era Khulafa’ Ar-Rasyidin iaitu Ali bin Abi Thalib r.a dan dua orang antara anakanaknya diberi kedudukan yang mulia sebagai pemimpin para pemuda penghuni syurga iaitu Al-Hasan r.a dan Al-Husain r.a.

Barisan Terdepan

Subhanallah, sesungguhnya kita dapat melihat kedudukan Saidatina Fatimah ini sentiasa berada dalam ruang lingkup kepimpinan dan kemuliaan sehingga wajarlah beliau mendapat didikan yang sempurna sekaligus menjadi bahagian daripada Nubuwah yang suci ini. Allah S.W.T telah berkehendak supaya beliau dapat melihat urusan risalah ayahnya semenjak beliau berusia kanak-kanak lagi agar beliau dapat berjuang bersama menyebarkan dakwah Islam kepada seluruh manusia. Keislaman keluarga Nabi Muhammad S.A.W, isteri-isteri dan puteri-puteri baginda merupakan keislaman fitrah yang suci, yang disusuli dengan keimanan dan kemuliaan akhlak mereka. Az-Zurqany telah menjelaskan tentang keislaman puteri-puteri Nabi Muhammad S.A.W dengan berkata,

“Tidak perlu ada nas yang menjelaskan keislaman mereka dalam kelompok yang terdepan kerana mereka membesar dalam asuhan kemuliaan dan kasih sayang kedua orang tua, mereka mewarisi daripada ayah mereka kemuliaan yang paling mulia, mewarisi ketajaman akal daripada ibu mereka yang tidak dapat disaingi akal wanita mana pun sehingga mereka termasuk kelompok orang-orang yang lebih dahulu masuk Islam dan bukan dalam kelompok orang-orang yang terbelakang”.


Pemimpin wanita semesta alam ini bukan sahaja menjadi antara insan yang terawal memeluk agama Islam, malah beliau sentiasa menyaksikan penghinaan demi penghinaan yang dilakukan oleh kaum Quraisy terhadap ayahnya kerana beliau sentiasa berada di samping baginda ketika detik-detik
yang menyulitkan ini.

Antara kisah penderitaan tersebut adalah apabila salah seorang daripada kaum Quraisy iaitu Uqbah bin Abu Mu’aith telah melemparkan kotoran (isi perut binatang) ke belakang Rasulullah S.A.W ketika baginda sedang sujud. Orang-orang Quraisy yang hina ini menyaksikan kejadian itu dengan rasa puas dan ejekan yang sangat menyakitkan hati sehingga ada sebahagian daripada mereka yang ketawa terbahak-bahak. Rasulullah S.A.W tetap dalam keadaannya yang bersujud sehinggalah Saidatina Fatimah datang dan menyingkirkan serta menyucikan kotoran itu daripada belakang ayahnya. Lalu, dengan beraninya beliau mendatangi orang-orang Quraisy tersebut lantas mencela dan mencaci perbuatannya yang tidak beradab itu.

Sejak kewafatan ibunya yang tercinta, Saidatina Khadijah r.a pula, menyebabkan Saidatina Fatimah menjadi semakin rapat dengan ayahnya. Beliau selalu menyertai ayahnya dalam memikul tugas dan beban kehidupan dakwah sehingga Allah S.W.T mengizinkannya bersamasama berhijrah ke Madinah al-Munawwarah.

Sabar Menempuh Ujian

Kesabaran dan ketaqwaan Fatimah jelas terpancar ketika beliau menempuh alam perkahwinan. Pada tahun kedua Hijrah, setelah Perang Badar Kubro, Saidina Ali bin Abi Thalib telah menikahi Saidatina Fatimah. Perkahwinan mereka hanya bermaharkan baju besi Saidina Ali r.a. Walaupun Saidina Ali r.a bukanlah seorang pemuda berharta yang dapat menjanjikan kemewahan dunia kepada Fatimah, perkahwinan yang diberkahi ini disambut dengan penuh kesyukuran dan gembira oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat.

Hadis sahih daripada Ibnu Abbas mengisahkan bahawa tatkala Ali akan mengahwini Fatimah, beliau tidak mempunyai barang untuk dijadikan mahar. Lalu Rasulullah S.A.W menyuruhnya menjadikan nilai baju besi Huthaimahnya iaitu empat dirham sebagai mahar. Hadis tentang ini direkodkan dalam Abu Dawud (nombor 2118), An-Nasai (nombor 3375, 3376), Ibnu Hibban dalam Sahihnya (Nombor
6945), dan Ad-Dhiya’ dalam Al-Mukhtarah (2/231).

Sejarah tidak mengenal seorang wanita yang mampu menghimpun kesabaran dan ketaqwaan sebagaimana yang ada pada Saidatina Fatimah. Bermula hari pertama pernikahannya dengan Saidina Ali, beliau harus mengerjakan semua tugas rumahtangga yang cukup berat. Beliau harus menggiling bahan makanan untuk membuat adunan roti sehingga rambutnya terkena percikanpercikan tepung serta menimbulkan bekas di tangannya. Sementara ketika itu, Ali tidak mampu untuk mengupah pembantu bagi isterinya dalam menyelesaikan kerja-kerja rumahtangga. Ali juga pernah berpesan kepada ibunya, Fatimah binti Asad agar tidak membebani isterinya lagi dengan pekerjaan di luar rumah.

Pada suatu hari, mereka terdetik untuk meminta bantuan daripada Rasulullah S.A.W agar diberi seorang pembantu daripada para tawanan perang untuk meringankan kerja-kerja Fatimah. Dengan rasa rendah diri, bimbang, ragu-ragu dan malu, kedua-duanya bertemu Rasulullah dan menyatakan hasrat hati mereka. Namun demikian, permintaan mereka di tolak oleh Rasulullah S.A.W kerana baginda ingin mendahulukan umatnya yang masih belum cukup keperluan asas. Berita itu diterima dengan reda oleh pasangan yang mulia ini.

Setelah itu, Rasulullah S.A.W berkunjung ke rumah mereka disaat keduanya sedang beristirehat. Rasulullah S.A.W berkata kepada keduanya,

“Bagaimana jika kuberitahukan kepada kalian berdua tentang sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kalian minta kepadaku?”. “Baiklah” Jawab keduanya. Lalu Rasulullah bersabda, “Ada beberapa kalimat yang diajarkan Jibril kepadaku, hendaklah kalian bertasbih kepada Allah di hujung solat sebanyak sepuluh kali, bertahmid sepuluh kali, bertakbir sepuluh kali. Jika kalian beranjak ke tempat tidur, hendaklah kalian bertasbih tiga puluh tiga kali, bertahmid tiga puluh tiga kali dan bertakbir tiga puluh tiga kali” [Ditakhrij Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi dan Abu Daud].

Kalimah-kalimah ini merupakan bekal Rabbani yang sentiasa mereka ucapkan sehingga ke akhir hayat mereka. Kalimah-kalimah yang berkah ini juga membuatkan mereka berasa lega dan puas dengan rezeki yang dikurniakan walaupun bukan dalam keadaan yang bermewah-mewahan.

Khatimah

Sirah sahabiyah ini memberi gambaran kepada kita semua bahawasanya Allah S.W.T memberi ujian kepada setiap hambaNya tanpa mengira darjat kemuliaannya serta pangkat kedudukannya. Hal ini kerana dengan ujian yang dilimpahkan inilah dapat menilai tahap keimanan seseorang samada kita membenarkan segala apa yang datang daripada Allah S.W.T atau mendustakannya. Benarlah firman Allah S.W.T dalam Surah al-‘Ankabut ayat 2-3 yang bermaksud,

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman” dan mereka tidak diuji? Dan sungguh Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang berdusta”.

Ujian-ujian sepanjang kehidupan ini juga pasti dibalas dengan sebaik-baik ganjaran daripada Allah S.W.T seperti yang dinikmati Saidatina Fatimah iaitu diiktiraf sebagai pemimpin wanita di dunia dan akhirat.

Wallahu a’lam.

Rujukan:
·         Wanita yang Dijamin Surga. Ahmad Khalil Jam’ah. Penerbit Buku Islam Kaffah. 267-305
·         Al-Quran dan terjemahan.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment