HUKUM PERTUKARAN PERANAN SUAMI-ISTERI

FIKIH:  

HUKUM PERTUKARAN PERANAN SUAMI-ISTERI


SOALAN:
Apakah hukum seorang suami menyerahkan tugas me- nafkahkan keluarga kepada isteri dan isteri pula menyerahkan tugas mengasuh anak dan menguruskan rumahtangga kepada suami?

JAWAPAN:

Untuk memperoleh jawapan bagi persoalan di atas, perlulah kita fahami pandangan Islam dalam peranan suami dan isteri dan penyelesaian Islam bagi masalah yang berbangkit. Perbincangan ini boleh membantu kita memperoleh jawapan bagi persoalan di atas.

Peranan Suami dan Isteri

Sesungguhnya Islam menetapkan bahawa setiap individu wajib menjalankan tugas masing-masing sesuai dengan kedudukannya, termasuklah dalam urusan rumahtangga. Ini dinyatakan dalam satu hadis,

“Daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Setiap daripada kamu adalah pemelihara dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipeliharanya. Seorang pemimpin adalah pemelihara dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang lelaki adalah pemelihara keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang wanita adalah pemelihara dalam rumah suaminya dan bertanggungjawab terhadap apa yang menjadi tanggungjawabnya. Seorang khadam adalah pemelihara harta tuannya dan ia bertanggungjawab terhadap pemeliharaannya” [HR Al-Bukhari dan Muslim].

Untuk mencapai tujuan utama dalam kehidupan berumahtangga, Islam datang dengan seperangkat aturan yang mengatur hak dan kewajipan masing-masing suami dan isteri sebagaimana firman Allah Ta’ala bermaksud:

“Isteri-isteri itu mempunyai hak (daripada suami mereka) sebagaimana pada diri mereka terdapat kewajipan (terhadap suaminya) dengan ma’ruf” [TMQ al-Baqarah (2): 228].

Kewajipan suami ialah memberi nafkah kepada isterinya, baik makanan, minuman, pakaian mahupun tempat tinggal secara ma’ruf iaitu menurut kebiasaan masyarakat sekitarnya selari dengan kadar kemampuannya. berdasarkan pada sabda Rasulullah S.A.W,

“Engkau harus memberinya makan jika engkau makan dan memberinya pakaian jika engkau berpakaian, janganlah engkau memukul wajahnya, janganlah engkau menghinanya, jangan pula asingkannya (ketika nusyuz) kecuali di dalam rumah” [HR Ahmad, Abu Dawud, ibn Hibban].

Kewajipan seorang isteri pula mengurus rumah tangga suaminya dan anak-anak. Ringkasnya semua aktiviti yang harus dilakukan di dalam rumah menjadi kewajipan si isteri untuk mengerjakannya. Dalilnya ialah Rasulullah S.A.W menyuruh isterinya melakukan kerja rumah antaranya,

“Wahai Aisyah, bawakan kami makanan” [HR Abu Daud] dan “Wahai Aisyah, ambilkan untukku pisau dan asahkannya pada batu” [HR Muslim].

Haruslah difahami bahawa pembahagian peranan ini bukanlah ijarah. Isteri melakukan kerja rumah bukan untuk mendapatkan nafkah suami, dan kadar nafkah suami juga tidak pelu disepadankan dengan kadar kerja rumah yang dilakukan isteri. Sebaliknya ini adalah pembahagian tugas yang ditetapkan sebagai kewajipan masing-masing untuk melakukannya dengan ma’ruf.

Jika tidak mampu memenuhi semua kewajipan.

Ada lelaki yang menyara keluarganya kemudian ditimpa sesuatu yang menyebabkan kemampuannya menafkahkan diri apa lagi keluarga terhalang secara kekal (contohnya penyakit yang menghalangnya mencari nafkah) atau sementara (contohnya perniagaan rugi atau dihentikan kerja). Bagi orang ini, kewajipan untuk memberi nafkah kepada diri dan keluarganya beralih (secara kekal atau sementara) kepada ahli keluarga terdekatnya yang lelaki, berdasarkan ayat,

“Kewajipan ayah memberikan makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang ma’ruf. Seseorang tidak di bebani, selain menurut kadar kemampuannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang ayah kerana anaknya, dan pewaris pun berkewajipan
demikian” [TMQ al-Baqarah (2): 233].

Jika orang ini tiada atau tidak mampu juga menjamin nafkahnya, maka kewajipan itu beralih kepada negara, dalam hal ini Khalifahlah yang menjamin keperluan asas umatnya agar mencukupi berdasarkan. Rasulullah S.A.W bersabda,

“Siapa sahaja yang meninggalkan orang yang sebatang kara, maka ia menjadi kewajipan kami” [HR Muslim].

(Nota: Pembaca disarankan membaca ruangan Fiqh Wanita dalam Fikratul Ummah Edisi Januari 2013 yang menghuraikan isu nafkah ini secara lebih menyeluruh dan mendalam.)

Ringkasnya, tugas menafkahi keluarga tetap tidak akan jatuh ke bahu isteri jika suami tidak mampu, apa lagi jika suami mampu. Ini kerana, hukum bekerja mencari pendapatan bagi seorang wanita tetap juga mubah manakala ia tetap wajib.bagi seorang lelaki mukallaf yang mempunyai tanggungan.

Dalam konteks kewajipan seorang isteri pula, isteri yang tidak mampu menyempurnakan tugasan rumahnya bolehlah diberikan pembantu oleh suaminya jika mampu, jika tidak, hendaklah mereka berlapang dada dan saling bekerjasama seperti Saidatina Fatimah r.a. yang dibantu oleh suaminya Saidina Ali r.a. melakukan pekerjaan di luar rumah berdasarkan hadis,

“Rasulullah S.A.W telah memutuskan atas puteri beliau, Fatimah, mengerjakan pekerjaan-pekerjaan di dalam rumah, dan atas Ali mengerjakan pekerjaan-pekerjaan di luar rumah” [HR Al-Juzjani].

Ibnul Qaiyim rh dalam kitabnya Az-Zad menyebut bahawa rentetan daripada permintaan Saidatina Fatimah r.a. terhadap seorang khadam yang tidak ditunaikan Rasulullah S.A.W, maka baginda membahagikan tugas iaitu Fatimah melakukan tugas batin (di dalam rumah) manakala suaminya ‘Ali menjalankan tugas zahir (di luar rumah). Meskipun demikian tugasan rumahtangga tetap tidak sampai menjadi kewajipan suami, melainkan penunjukan akhlak mulia suami membantu isteri. Begitu juga redhanya Rasulullah S.A.W terhadap Asma’ binti Abu Bakar r.a. yang menjaga dan memberi makan kuda milik Zubair suaminya di luar rumah menunjukkan bolehnya seorang isteri membantu suaminya di luar rumah jika ia mampu dan diizinkan suaminya.

Haruslah difahami bahawa Islam menggalakkan suami isteri saling berlapang dada dengan kekurangan pasangannya dalam memenuhi kewajipan rumahtangga. Isteri janganlah memaksa suami bekerja di luar kemampuannya agar dapat memberikannya nafkah melebihi daripada yang ma’ruf, manakala suami juga janganlah memaksa isterinya melakukan kerja rumah melebihi daripada kemampuannya. Dengan sikap ini, masing-masing suami dan isteri tidak akan terpaksa untuk melakukan tugasan di luar batas peranannya.

Suami di Rumah dan Isteri di Luar, apa hukumnya?

Topik di atas telah pun menjelaskan galakan suami dan isteri saling bantumembantu dalam melaksanakan tugas satu sama lain tanpa menjadikan tugas yang lain sebagai satu kewajipan kepadanya. Isteri boleh bekerja di luar rumah dengan izin suaminya sebagaimana sebahagian wanita zaman Rasulullah S.A.W yang memperoleh pendapatan daripada penghasilan barangan dan perniagaan. Suami juga boleh melakukan kerja rumahtangga di dalam rumah. Diriwayatkan oleh Al-Aswad bin Yazid,

“Saya bertanya Aisyah "Apakah yang dilakukan Nabi di rumah?" Aisyah menjawab, "Beliau membuat kerja untuk keluarganya, dan apabila mendengar azan, beliau pun keluar." [HR Al-Bukhari no 272].

Meskipun demikian, peranan utama suami sebagai penyara keluarga dan isteri sebagai ibu dan pengurus rumahtangga tetap kekal, berdasarkan dalil-dalil terdahulu yang telah menetapkan peranan suami dan isteri. Apabila suami melakukan sebahagian kerja rumah, tidak bermakna isteri boleh berlepas tangan daripada urusan rumah. Demikian juga apabila isteri memperoleh pendapatan, yang diwajibkan menyara keluarga tetap si suami walau bagaimana besar pun pendapatan si isteri berbanding si suami. Dengan kata lain, Islam tidak membenarkan berlakunya pertukaran peranan antara suami dengan isteri.

Jika ketetapan Allah dilanggar

Ketetapan peranan ini adalah tanggungjawab secara syar’ie. Apabila Allah dan RasulNya telah meletakkan sesuatu tanggungjawab ke atas orang yang diamanahkan, maka seandainya amanah itu ditinggalkan atau diabaikan maka mereka akan menghadap Allah dengan tanpa hujah. Sabda Rasulullah S.A.W,

“Tidak beriman orang yang tidak memegang amanat dan tidak ada agama bagi orang yang tidak menepati janji” [HR. Adailami].

Besarnya tugas suami dan isteri dalam Islam hinggakan isteri berhak menuntut penceraian daripada suami yang sengaja tidak menafkahkannya manakala isteri yang sengaja lepas tangan daripada tugasnya sebagai isteri, ibu dan pengatur rumahtangga dikategorikan nusyuz dan boleh diajar oleh suaminya melalui nasihat, pengasingan dan pukulan. Bayangkan apabila kedua-dua suami isteri mensiasiakan tugas masing-masing dengan bertukar peranan, bagaimanakah kedudukan mereka di sisi Allah? Renungkanlah sabda Rasulullah S.A.W,

“Cukup berdosa orang yang mensiasiakan tanggungjawab keluarganya” [HR. Abu Dawud].

Khatimah

Perutukaran peranan suami dan isteri tidak boleh diredhai dan dibiarkan baik oleh si suami, isteri, mahupun orang lain yang mengetahuinya. Ia hendaklah dicegah dan diambil tindakan. Jika tindakan mengatasinya mengalami kebuntuan disebabkan keadaan sistem hidup kini yang tidak mewajibkan peranan pemberi nafkah kepada suami dan peranan ibu dan pengurus rumah kepada isteri, maka jelaslah bahawa sistem hidup kapitalisme yang berasaskan sekularisme inilah yang wajib diubah kepada sistem Islami yang membolehkan syariat Islam terlaksana dengan benar, berdasarkan kaedah syarak ‘Apa sahaja yang menghantarkan kepada wajib, ia juga wajib’.

Wallahu a’lam.

Rujukan
·         Al-Quran dan terjemahannya  1100 Hadits Terpilih. Dr. Muhammad Faiz Almath. ms 247
·         Sistem Pergaulan dalam Islam (Edisi Mu'tamadah). Taqiyuddin anNabhani. ms 254
·         Fiqih Madzhab Syafi'i (edisi lengkap) Buku Dua.
·         Fikih Rumah Tangga. Syamsuddin Ramadhan. ms 81-82
· Fikratul Ummah Januari 2013. http://mykhilafah.com/fikratulummah/3850-fikratul-ummah-jan2013#NAFKAH_IBU_BAPA:_DILEMA_WANITA
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment