SEBELUM AJAL DATANG MENJEMPUT...

Muqaddimah

Ketika berada dalam majlis tazkirah atau program motivasi spiritual yang penuh dengan inspirasi dan sentuhan ketaqwaan, setiap diri pasti merasa imannya bertambah kuat, sedu dan tangis mengiringi penyesalan ke atas dosa-dosa melengahkan amanah Allah S.W.T. Tidak kurang juga timbul rasa rindu pada kehidupan akhirat (syurga) ditambah pula rasa dekatnya dengan Allah S.W.T. Namun sedihnya, sebaik melangkah keluar dari majlis ilmu, diri yang tadinya penuh dengan tadayyun dan rasa kehambaan, kembali menjadi seperti biasa yang rata-ratanya meletakkan urusan dunia menjadi fokus utama dan akhirat dilupakan.

Bersegera dalam Beramal

Kehidupan dunia yang sememangnya penuh dengan nikmat membuatkan manusia alpa dengan tujuan hidupnya di dunia iaitu untuk beribadah (taat) kepada Allah S.W.T. Tidak kurang juga nuansa kehidupan yang jauh daripada roh Islam membuatkan manusia sibuk dengan urusan dunia masing-masing sehingga lupa untuk beramal sebanyak mungkin demi mengejar tempat tertinggi di syurga kelak. Walaupun kerap menghadiri majlis ilmu untuk menambah bekalan ilmu di dada namun roh Islam tidak akan kekal jika ilmu yang diperolehi itu tidak dihayati untuk diamalkan.

Jadi, untuk memastikan rasa penyesalan terhadap dosa-dosa lalu dan perasaan rindu pada syurga terus semarak dalam jiwa, seseorang itu haruslah bersegera kepada melaksanakan syariat Allah S.W.T seperti yang telah dipelajari dan difahami dari beberapa firman Allah S.W.T,

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa” [TMQ Ali‘Imran (3): 133].

“Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin bila mereka dipanggil kepada Allah dan RasulNya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, ialah ucapan: "Kami mendengar dan kami patuh." Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepadaNya, maka mereka adalah orang-orang
yang mendapat kemenangan” [TMQ an-Nuur (4): 51-52].

“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan tidak (pula) perempuan mukmin, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan RasulNya maka sungguh dia telah sesat, sesat yang nyata” [TMQ al-Ahzab (33): 36].

Rasulullah S.A.W pula bersabda,

“Bersegeralah beramal sebelum datang berbagai fitnah laksana potongan-potongan dari hari yang gelap. (Saat itu) di waktu pagi seorang manusia beriman tapi di petang harinya ia menjadi kafir. Di petang hari seorang manusia beriman tapi di pagi harinya ia kafir. Ia menjual agamanya dengan harta dunia” [HR Muslim dari Abi Hurairah].


Mencontohi Rasulullah S.A.W dan Generasi Sahabat

Sesungguhnya orang-orang yang bersegera menuju ampunan Allah S.W.T dan SyurgaNya dijanjikan nikmat di dunia dan di akhirat berupa kemenangan dan syurga. Sebaliknya, orang-orang yang lalai dari bersegera melaksanakannya akan terjerumus dalam kesesatan. Terdapat banyak kisah Rasulullah S.A.W bersama para Sahabat yang dimuliakan, yang boleh dijadikan contoh kerana sentiasa bergegas melaksanakan perintah Allah S.W.T dan mengorbankan diri mereka, semata-mata untuk mencari redha Allah S.W.T.

Dalam hadis yang ditakhrij oleh Bukhari dan Muslim dari Jabir, diungkapkan bahawa:

“Ada seorang lelaki mendatangi Rasulullah S.A.W ketika peperangan Uhud: Bagaimana pandanganmu Ya Rasulallah S.A.W jika aku terbunuh saat ini, di manakah tempatku (setelah kematian)? Rasulullah S.A.W bersabda: Engkau akan berada di syurga. Mendengar sabda Rasulullah S.A.W tersebut, maka lelaki itu serta-merta melemparkan buah kurma yang ada di tangannya, kemudian ia maju untuk berperang hingga terbunuh di medan perang”.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik yang ditakhrij oleh Imam Muslim disebutkan,

“Kemudian nabi S.A.W berangkat bersama para sahabatnya hingga mendahului kaum musyrikin sampai ke telaga Badar. Dan setelah itu kaum musyrikin pun datang. Kemudian Rasulullah S.A.W bersabda: Berdirilah kalian menuju syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Anas bin Malik berkata: Maka berkatalah Umair bin al Hamam al Anshary: Wahai Rasulullah! Benarkah yang kau maksudkan itu syurga yang luasnya seluas langit dan bumi? Rasulullah S.A.W menjawab: Benar. Umair berkata: Bakh- bakh (ehm-ehm..). Rasulullah S.A.W bertanya kepada Umair: Wahai Umair,
apa yang mendorongmu untuk berkata bakh- bakh (ehm-ehm)? Umair berkata tidak ada apa-apa Ya Rasulullah, kecuali aku ingin menjadi penghuninya. Rasulullah S.A.W bersabda: Sesunguhnya engkau termasuk penghuninya, Wahai Umair! Anas bin Malik berkata: Kemudian Umair bin Al Hamam mengeluarkan beberapa kurma dari wadahnya dan ia pun memakannya. Kemudian berkata: Jika aku hidup hingga aku memakan kurma-kurma ini sesungguhnya itu adalah kehidupan yang lama sekali. Anas berkata: Maka Umair pun melemparkan kurma yang dibawanya, kemudian maju untuk memerangi kaum musyrikin hingga terbunuh”.

Imam Bukhari meriwayatkan dari Anas bin Malik, ia berkata:

Suatu hari aku memberi minum Abu Thalhah al Anshary, Abu Ubaidah bin al Jarrah, dan Ubay bin Ka’ab dari Fadhij, iaitu perahan kurma. Kemudian ada seseorang yang datang, ia berkata: Sesunggunya Khamr telah diharamkan. Maka Abu Thalhah berkata: Wahai Anas berdirilah dan pecahkanlah kendi itu!Anas berkata: Maka akupun berdiri mengambil tempat penumbuk biji-bijian (Al Mihras) milik kami, maka kami memukul kendi itu dengan bahagian bawahnya (Al Mihras),
hingga pecahlah kendi itu.

Imam Bukhari meriwayatkan dari ‘Aisyah r.a. berkata:

“Semoga Allah merahmati kaum wanita yang hijrah pertama kali, ketika Allah menurunkan firmanNya: Dan hendaklah mereka mengenakan kain tudung mereka dihulurkan ke kerah baju mereka [TMQ an-Nuur (24): 31]. Maka kaum wanita itu mengoyak kain sarung mereka (untuk dijadikan tudung) dan menutup kepala mereka dengannya”.

Abu Daud telah mentakhrij hadis dari Shofiyyah binti Syaibah dari ‘Aisyah r.a.:

“Sesungguhnya Rasulullah S.A.W menuturkan kaum wanita Anshar, kemudian Baginda memuji mereka, dan berkata tentang mereka dengan baik. Beliau S.A.W berkata: Ketika diturunkan surat an-Nuur ayat 31 (tentang kewajipan memakai penutup kepala/tudung), maka mereka mengambil kain sarung mereka kemudian mereka koyak dan menjadikanya sebagai kain penutup kepala”.

Yang terakhir adalah kisah Handzalah bin Abi Amir ra. yang wafat dan dimandikan oleh malaikat setelah beliau menyahut seruan untuk jihad di medan Uhud. Apabila beliau mendengar seruan berperang, beliau pun bergegas pergi dan mati syahid dalam perang tersebut. Ibnu Ishak berkata, Rasulullah S.A.W bersabda,

“Sesunguhnya sahabat (Handzalah) dimandikan oleh malaikat maka tanyakanlah bagaimana khabar
keluarganya? Maka aku pun (Ibnu Ishak) bertanya kepada isterinya. Handzhalah pada malam itu adalah pengantin baru. Isterinya berkata: Ketika mendengar panggilan untuk berperang, suamiku keluar padahal dalam keadaan junub. Rasulullah S.A.W bersabda: Begitulah ia telah dimandikan oleh malaikat” (Ibnu Hisyam, As-Sîrah an-Nabawiyah li Ibni Hisyâm).

Khatimah

Semoga keperibadiaan mereka ini mengkristal dalam diri kita sebagai seorang muslim iaitu hamba kepada Allah S.W.T dan dapat mencetuskan mafhum kepada kita semua bahawa tiada satu alasan pun untuk tidak bersegera melaksanakan syariat melainkan menyegerakan atas dorongan mencari redha Allah S.W.T dan syurgaNya. Sesungguhnya kita hidup di dunia ini hanya sekali, maka bersegeralah
beramal sebelum ajal datang menjemput…

Wallahu a’lam.

Sumber Rujukan:
·         Pilar-pilar Pengukuh Nafsiyah Islamiyah , Hizbut Tahrir , 2004
·         Ariel B. Iskandar , Hikmah-hikmah Bertutur , 2010.
·         Za’faran , Menggenggam Bara Islam , 2010.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment