FIKRATUL UMMAH JULAI 2013

 FIKRATUL UMMAH JULAI 2013


MUQADDIMATUL KALAM


Assalamua’laikum warahmatullahi wa barakatuh....

Marhaban ya Ramadhan al-Mubarak... Alhamdulillah bulan yang dinanti-nanti telah tiba. Sudah tentu ramai yang telah bersiap sedia menyambut kedatangan bulan Ramadhan ini, setidaknya secara minimal khususnya kepada muslimah, telah menqadha puasa yang ditinggalkan pada Ramadhan yang lalu. Sebahagiannya pula menyiapkan mental dan fizikal supaya tetap istiqamah melaksanakan pelbagai ibadah fardhu dan sunat terutamanya untuk mengejar malam penuh barakah yang disebut dengan Lailatul Qadar.

Pembaca yang dirahmati Allah S.W.T sekalian,

Sepanjang sirah Rasulullah S.A.W, banyak peristiwa penting yang berlaku pada bulan Ramadhan termasuklah beberapa peperangan penting yang berakhir dengan meluasnya penyebaran dan penerapan hukum Islam setelah tertegaknya Daulah Islam pertama di Madinah. Rasulullah S.A.W dan para sahabat yang dicontohi kerana banyaknya amalan sunat mereka tidak pernah meninggalkan kewajipan yang utama iaitu menerapkan hukum Islam dan mendakwahkannya di bawah sebuah institusi Negara. Dengannya, setiap manusia yang hidup di bawah naungan Daulah Islam merasakan kesejahteraan dan kebaikan. Kewajipan inilah yang dituntut daripada umat Islam hari ini kerana hakikatnya umat Islam dan seluruh manusia sekarang hidup dalam kesempitan, penderitaan dan kerosakan akibat daripada penerapan sistem hidup selain Islam.

Banyak hukum Allah S.W.T yang ditinggalkan atau tidak dapat dilaksanakan kerana ketiadaan seorang pemimpin yang ikhlas dalam menerapkan hukum-hukum demi memimpin rakyatnya menggapai redha Allah S.W.T. Itulah yang akan dipaparkan dalam artikel-artikel FU edisi kali ini. Namun, para pembaca yang budiman, yakinlah, tidak ada istilah ‘terlambat’ untuk setiap muslim menyedari hakikat ini dan seterusnya mengubah cara berfikir. Ingatlah sabda Rasulullah S.A.W, 

“Sesiapa yang bertatawuk (mengerjakan sunat) dalam bulan Ramadan dengan sesuatu perkara kebajikan, adalah seperti orang yang menunaikan sesuatu fardhu (amalan wajib) pada bulan lain. Dan sesiapa yang menunaikan sesuatu fardhu adalah seperti orang yang menunaikan 70 fardhu pada bulan lain” [HR Ibn Khuzaimah daripada Salman al-Farisi].

Maka, rebutlah ganjaran ini dengan bersegera mempelajari ilmu Islam, mengamalkannya dan mendakwahkannya sehingga tertegak kembali Daulah Khilafah yang akan memastikan setiap daripada diri umat Islam tetap istiqamah beramal soleh setiap hari, bukannya pada bulan Ramadhan sahaja. Selamat membaca.

Wassalamu`alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.


SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment