KESEMPURNAAN RAMADHAN PARA SAHABIYAH

SERIKANDI TELADAN:
KESEMPURNAAN RAMADHAN PARA SAHABIYAH


Muqaddimah

“Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati, di mana Allah S.W.T telah mewajibkan ke atasmu berpuasa. Dibuka padanya pintu-pintu syurga dan ditutup padanya pintu-pintu neraka, ditambat padanya syaitansyaitan. Padanya satu malam lebih baik daripada seribu bulan, siapa yang dihalang kebaikannya sebenarnya dia telah dihalang kebaikan yang banyak” [HR Ahmad no. 8765 dan 9213 dan an-Nasai no. 2106].

Kehadiran bulan Ramadhan Mubarak sentiasa disambut gembira oleh Rasulullah S.A.W sehinggakan baginda menganjurkan para sahabat dan sahabiyah supaya bergembira berada dalam bulan yang penuh kemuliaan ini dengan memperbanyakkan amalan-amalan sunat disamping menjalankan amalan-amalan fardhu. Sebagaimana yang semua maklum, terlalu banyak kelebihan dan kebaikan bulan Ramadhan dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain yang telah dinukilkan dalam beberapa hadis Rasulullah S.A.W. Di antaranya ialah hadis dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah S.A.W bersabda:

“Ketika tiba malam pertama bulan Ramadhan, syaitan-syaitan dan jin-jin derhaka dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup, sehingga tidak ada satu pintu neraka pun yang dibuka, dan pintu-pintu syurga dibuka sehingga tidak ada satu pintu syurga pun yang ditutup. Lalu, seseorang berseru, wahai pencari kebaikan maka sambutlah, wahai pelaku kejahatan maka tahanlah. Dan milik Allahlah orang-orang yang dibebaskan daripada neraka dan hal itu terjadi pada setiap malam” [HR. At-Tirmizi no. 682 dan Ibnu Majah no. 1642].

Justeru, tidak hairanlah apabila kita menyaksikan amalan kaum Muslim di zaman Rasulullah S.A.W serta berterusan sehingga ke zaman para sahabat, tabi’in dan tabi’ut tabi’in, mereka tidak pernah menjadikan puasa sebagai satu halangan untuk beramal ibadah secara maksima kepada Allah S.W.T. Malah, lebih mengkagumkan lagi apabila mereka turut sama terlibat dalam peristiwa-peristiwa besar yang berlaku dalam bulan Ramadhan seperti peristiwa perang Badar, persiapan perang Khandaq, Fathul Makkah, perang Tabuk dan banyak lagi.

Para Muslimah juga turut tidak ketinggalan dalam hal ini. Mereka mengambil kesempatan dalam bulan Ramadhan untuk lebih giat memanifestasikan hubungan mereka dengan al-Khaliq dengan melakukan sebanyak mungkin amalan-amalan yang makruf. Maka, dalam ruangan serikandi teladan kali ini penulis ingin membawa kita semua menelusuri beberapa aktiviti dan pengorbanan yang dilakukan oleh para sahabiyah Rasulullah S.A.W dalam bulan Ramadhan agar ianya menjadi satu titik tolak bagi kita untuk mendekatkan lagi diri kepada Allah S.W.T (taqarrub ilallah) sekaligus menaikkan lagi semangat kita dalam menjalankan tanggungjawab sebagai da’ie di muka bumi ini.

Aktiviti Ruhiyah (Kerohanian)

Allah S.W.T telah mengurniakan satu malam yang penuh dengan kebaikan dalam bulan Ramadhan iaitu lailatul qadar yang mana ia merupakan malam yang paling mulia dalam satu tahun. Oleh kerana itu, Rasulullah S.A.W amat menekankan kepada setiap kaum Muslim untuk melakukan qiyam Ramadhan iaitu ibadah sunat yang dilakukan pada waktu malam di bulan Ramadhan seperti solat sunat terawih. Keutamaan qiyam Ramadhan ini telah dinukilkan dalam salah satu hadis Nabi Muhammad S.A.W dari Abdurrahman bin Auf r.a berkata, Rasulullah S.A.W bersabda.

“Sesungguhnya Allah S.W.T telah mewajibkan puasa Ramadhan atas kalian, dan aku telah mensunahkan untuk kalian solat malamnya. Barangsiapa yang melaksanakan puasa dan qiyam Ramadhan dengan dilandasi keimanan dan mencari reda Allah S.W.T, maka dia akan keluar dari dosanya seperti pada hari dilahirkan oleh ibunya” [HR an-Nasai no. 2210, Ibnu Majah no. 1328 dan Ahmad no 1663].’

Keutamaan qiyam Ramadhan serta anugerah fadhilat lailatul qadar yang Allah S.W.T kurniakan kepada umat Islam menyebabkan para sahabiyah berlumba-lumba dalam mengejar segala kebaikan yang ada di dalamnya. Hal ini dituturkan sendiri oleh Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah r.a berkata,

“Wahai Rasulullah, bagaimanakah pendapatmu jika aku menjumpai lailatul qadar, apa yang harus aku ucapkan? Beliau S.A.W berkata, katakanlah اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّيYa Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, yang senang memberi ampunan, maka ampunilah aku” [HR Ahmad, an-Nasai, Tirmidzi no. 3513 dan Ibnu Majah no. 3850].

Selain itu, Aisyah r.a dan para isteri Nabi Muhammad S.A.W juga turut sama menyertai baginda melakukan i’tikaf terutamanya pada sepuluh hari terakhir Ramadhan semata-mata untuk meraih kemuliaan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan itu dan juga reda Allah S.W.T. Terdapat banyak hadis yang disampaikan oleh Aisyah r.a menceritakan berkenaan hal ini. Antaranya ialah,

“Bahawa Nabi S.A.W telah beri’tikaf bersama sebahagian isteri-isterinya, dan salah seorang isterinya sedang beristihadlah. Isterinya itu melihat darah dan meletakkan wadah di bawahnya untuk menampung darah” [HR Bukhari no 304].

Aktiviti Siyasah (Politik)

Di samping menjalani ibadah khusus (solat, puasa dan bacaan al-Quran) serta mengurusi rumah tangga, para sahabiyah juga turut memainkan peranan penting dalam medan dakwah dan jihad.

Antara peristiwa besar yang berlaku pada bulan Ramadhan adalah persiapan perang Khandaq yang dilakukan pada Ramadhan 5H. Persiapan ini dilakukan dengan menggali parit (khandaq) di sekeliling kota Madinah. Sahabiyah yang terlibat dalam persiapan ini adalah puteri Rasulullah S.A.W sendiri iaitu Fatimah binti Muhammad yang bertugas menyediakan makanan bagi para Muslimin yang bekerja saat itu. Selain itu, dalam tempoh peperangan Khandaq ini juga Shafiyah binti Abdul Muthalib berhasil membunuh seorang Yahudi yang mengintai dan mengancam keselamatan para wanita di Madinah ketika kaum Muslimin yang lain keluar berjihad.

Tepat 20 Ramadhan 8H pula, kota Mekah berjaya ditakluk oleh Rasulullah S.A.W. Pasukan tentera Rasulullah S.A.W keluar dari Madinah menuju ke Mekah pada 10 Ramadhan lalu diikuti oleh para sahabat. Antara sahabiyah yang mengambil tempat dan menyaksikan bersama peristiwa ini adalah Fatimah binti Muhammad, Ummu Habibah dan Asma’ binti Yazid AlAnsariyyah. Fatimah binti Muhammad dan Ummu Habibah (anak perempuan Abu Sufyan) sentiasa menunjukkan kesetiaan dan ketaatan mereka kepada Rasulullah S.A.W dengan tidak memberi perlindungan dan sokongan kepada Abu Sufyan bin Harb apabila Abu Sufyan datang kepada mereka meraih sokongan untuk memanjangkan perjanjian dengan Rasulullah S.A.W yang telah dimungkirinya.

Kemudian, dalam bulan Ramadhan juga berlakunya perang Tabuk yang mana ia merupakan peperangan yang terakhir disertai oleh Rasulullah S.A.W. Baginda keluar berangkat ke Tabuk pada bulan Rejab dan kembali semula ke Madinah pada bulan Ramadhan. Ramai kaum Muslimin ketika ini menyerahkan diri kepada Rasulullah S.A.W untuk sama-sama berjihad melawan bangsa Rom.

Bukan itu sahaja, ada di antara mereka yang turut sama menginfakkan seluruh hartanya dalam peperangan ini termasuklah para Muslimah. Selain turut berinfak, Ummu Sanan alIslamiyah r.a juga menjadi saksi amalan para Muslimah yang berinfak di jalan Allah ini. Beliau menceritakan sendiri bagaimana keadaan kain yang terbentang di hadapan Rasulullah S.A.W di rumah Aisyah r.a dipenuhi dengan minyak masak, gelang-gelang, subang, cincin serta bantuan lain yang dihantar oleh para Muslimah untuk melengkapi keperluan kaum Muslimin.

Subhanallah!

Sesungguhnya, Rasulullah S.A.W telah berjaya membina keperibadian para sahabiyah ini dengan syakhsiyah Islamiyah (keperibadian Islam) melalui didikan yang berteraskan aqidah Islamiyah sehingga mereka mencintai serta meletakkan Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W itu melebihi segala yang ada di sekelilingnya. Mereka telah benar-benar beriman dengan ayat Allah S.W.T yang berbunyi,

“Katakanlah, jika bapa-bapamu, anak -anakmu, saudara-saudaramu, isteriisterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khuatirkan kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya serta berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah memberikan keputusanNya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik” [TMQ at-Taubah (9): 24].

Khatimah

Inilah yang dikatakan hebatnya wanita apabila dia berjaya melaksanakan ketiga-tiga tanggungjawabnya iaitu sebagai isteri, ibu dan juga pendakwah dengan sempurna. Semoga cebisan kisah sahabiyah-sahabiyah Rasulullah S.A.W ini dapat membangkitkan semangat kita untuk mengisi setiap waktu yang ada di bulan Ramadhan ini dengan aktiviti-aktiviti ruhiyah dan juga siyasiyah tanpa mengenal erti penat.

Namun, perlu diingatkan bahawa aktiviti-aktiviti ini tidak dihadkan hanya pada bulan Ramadhan sahaja, tetapi seharusnya dilakukan secara istiqamah (konsisten) pada bulan-bulan yang lain juga. Semoga Allah S.W.T menjadikan kita semua sebahagian daripada para pejuang deen-ul-haq ini. Aamiin...


Wallahu a’lam.





Rujukan:

1.     Tuntunan Puasa berdasarkan Qur’an dan Hadits. Mahmud Abdul Lathif Uwaidhah. Pustaka Thariqul
Izzah. 367-454
2.     Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam. Jilid II. Abu Muhammad Abdul Malik bin Hisyam al-Muafiri. Darul falah. 359-396
3.     Peperangan Rasulullah S.A.W. Abu Fuad. Pustaka Thariqul Izzah.
4.     Wanita yang Dijamin Surga. Ahmad Khalil Jam’ah. Darul Falah.
5.  70 Wanita Terbilang di Zaman Nabi Muhammad S.A.W. Abu Azka al-Madani, Harun Arrasyid Hj Tuskan. Al-Hidayah Publication.
6.    http://hadith.al-islam.com dicapai Jun 2013
7.    http://library.islamweb.net/hadith/hadithsearch.php dicapai Jun 2013
8.  http://www.ahlalhdeeth.com dicapai Jun 2013
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment