Monday, July 29, 2013

MEMORANDUM BANTAHAN TERHADAP PENGANJURAN PERTANDINGAN MISS MALAYSIA WORLD 2013

MEMORANDUM BANTAHAN TERHADAP
PENGANJURAN PERTANDINGAN MISS MALAYSIA WORLD 2013


Bismillahirrahmanirrahim

Pertandingan Miss Malaysia World 2013 yang dijadual akan diadakan pada 2 Ogos ini merupakan satu lagi agenda kufur yang telah masuk ke dalam negara umat Islam. Pertandingan ini mengundang kontroversi masyarakat di mana empat peserta beragama Islam tetap berkeras untuk terus bertanding setelah penyertaan mereka dibatalkan. Pembatalan itu dilakukan selaras dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang telah diwartakan pada 8 Feb 1996 di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah Persekutuan 1993.

Kami, Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia dengan ini membantah sekeras-kerasnya penganjuran pertandingan ini dan menuntut perkara-perkara di bawah untuk diberi perhatian serius oleh semua pihak:

  1. Penganjuran pertandingan ini merupakan satu pelanggaran hukum syarak yang nyata, penghinaan terhadap Islam dan kaum wanita serta melanggar fitrah manusia. Penganjuran ini tidak lain tidak bukan adalah bukti dan natijah daripada keburukan sistem sekularisme yang diamalkan di Malaysia pada hari ini. Sedangkan Islam memerintahkan umatnya untuk menjaga aurat, kehormatan dan kemuliaan selari dengan lunas-lunas yang telah digariskan oleh Islam. Rasulullah SAW telah mengangkat martabat wanita di tempat yang tinggi setelah kedatangan Islam, namun pertandingan ini hanya akan mengembalikan wanita ke zaman Jahiliyah di mana kecantikan dan tubuh badan mereka dijadikan sebagai satu komoditi.
  2. Walaupun penganjur telah menukar konsep pakaian bikini kepada pakaian pantai Bali, bahayanya pertandingan Miss World ini bukan sekadar soal pemakaian bikini atau pendedahan aurat wanita. Apapun namanya, pertandingan kecantikan ini matlamatnya hanya satu iaitu mencari wanita yang mempunyai tubuh badan tercantik untuk diperagakan dan dieksploitasi. Itulah hakikat pertandingan ratu cantik sejak dulu lagi. Sejarah awal Miss World pula memang untuk mencari model pakaian renang/bikini. Pertandingan yang menjijikkan ini hanyalah topeng bagi melegalisasi eksploitasi tubuh wanita untuk manfaat duniawi.Ia menjadikan kecantikan wanita dan tubuhnya sebagai barang dagangan di atas pentas, catwalk, majalah, surat khabar dan televisyen. Selain itu, ia turut menjadikan kecantikan dan tubuh wanita sebagai alat promosi industri kosmetik dan industri fesyen.
  3. Konsep 3B dalam pertandingan kecantikan iaitu Brain (kecerdasan), Beauty (kecantikan), dan Behavior (keperibadian) adalah konsep yang menipu untuk memastikan pertandingan semacam ini diterima masyarakat. Aspek yang dinilai hanyalah 1 konsep saja iaitu kecantikan. Maka, membiarkan dan menyokong pertandingan diadakan sama sahaja dengan mensahkan pameran dan penjualan tubuh wanita yang jelas-jelas haram di sisi Islam.
  4. Malaysia sebagai sebuah negara yang majoriti rakyatnya adalah penganut Islam mendapat perhatian daripada masyarakat dunia kerana imej Islam yang ditonjolkan. Namun, penerimaan Malaysia atas pertandingan ini akan meneguhkan lagi hipokrasi yang ada, di samping menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah negara yang  menghalalkan majlis maksiat dan penyertaan wanita dalam pertandingan kecantikan. Apakah Malaysia ingin membuktikan dan menjadi model bahawa ia adalah negeri yang toleran dan terbuka terhadap ¨kemajuan¨ kaum wanita dan ingin menjadi kiblat liberalisme untuk negeri Muslim lainnya? Na’uzu billah.
  5. Oleh yang demikian, kami menggesa pihak yang berkuasa untuk membatalkan penganjuran pertandingan ini serta-merta bagi mengelak kemaksiatan dan membendung segala keburukan yang akan terhasil darinya serta menjamin kesejahteraan masyarakat. Jika pihak yang berkuasa tidak bertindak, hal ini sesungguhnya membuktikan betapa jauhnya mereka daripada Islam.
  6. Sekiranya semua pihak yang terlibat dan pihak kerajaan khususnya tetap meneruskan penganjuran majlis maksiat ini, mereka sebenarnya telah mengundang murka Allah Azza wa Jalla. Maka tunggulah azab yang akan menimpa mereka baik di dunia mahupun akhirat. Sungguh, umat ini memerlukan seorang Khalifah dan sistem Khilafah yang akan menerapkan dan menjaga hukum Allah, bagi menggantikan pemerintah dan sistem yang bertentangan dengan Islam yang ada sekarang ini.



Ya Allah! Saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan.






AISYAH RAHMAT
Ketua,
MUSLIMAH HIZBUT TAHRIR MALAYSIA
Selasa, 21 Ramadhan 1434H / 30 Julai 2013

No comments: