HINDUN BINTI ‘UTHBAH: MERDEKA DARIPADA KEJAHILAN DAN MENUJU KEPADA ISLAM

SERIKANDI TELADAN:

HINDUN BINTI ‘UTHBAH: 

MERDEKA DARIPADA KEJAHILAN DAN MENUJU KEPADA ISLAM


Muqaddimah

Sudah bertahun lama hatinya tidak tunduk kepada perintah Allah S.W.T, juga tidak terpanggil untuk menyahut seruan Rasulullah S.A.W. ke arah kemakrufan. Sudah bertahun lama jugalah beliau membenci agama Islam dan menghabiskan masanya dalam permusuhan yang sangat besar kepada Rasulullah S.A.W., Islam dan kaum Muslimin seluruhnya. Siang dan malam, beliau sentiasa memikirkan rencana-rencana untuk memerangi Rasulullah S.A.W. dan kaum Muslimin lebih-lebih lagi setelah kaum kerabatnya turut terkorban ketika peperangan Badar. 

Namun demikian, kegelapan hidup yang beliau lalui menjadi terang ketika mana kebenaran datang menyelubungi dirinya dan kebatilan lenyap meninggalkan dirinya. Allah S.W.T. telah mengizinkan beliau untuk mendapat hidayah dengan memeluk agama yang suci ini (agama Islam) sehingga beliau terus melupakan semua kesyirikan dan kesombongan yang ada padanya ketika zaman jahiliyah. Hal ini membenarkan firman Allah S.W.T. dalam surah Yunus ayat 25 yang bermaksud, “Allah menyeru manusia ke Darussalam (syurga) dan menunjuki orang yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (Islam)”. 

Wanita ini ialah Hindun binti ‘Uthbah bin Rabiah bin Abdi Syams al-Abasiyah al-Qurasyiyah. Beliau merupakan isteri kepada Abu Sufyan bin Harb, antara lelaki yang berkuasa di Mekah dan ibu kepada Mu’awiyah bin Abu Sufyan iaitu Khalifah pertama Bani Umayyah. Beliau antara serikandi daripada kalangan wanita Quraisy yang tajam fikiran dan mendalam kecerdasan mindanya. Hal ini dikatakan sendiri oleh az-Zahabi bahawa, “Hindun adalah salah seorang wanita Quraisy terbaik dan terpandai”. Beliau mempunyai keinginan yang tinggi, fasih dan jelas dalam berbahasa, ahli syair serta berani dalam setiap aspek. Beliau lahir sebagai bangsawan Quraisy sehingga menjadikan beliau angkuh dengan kesenangan yang beliau kecapi (ketika jahiliyah) dan sangat keras keinginannya. 

Zaman Jahiliyah

Nama Hindun binti ‘Uthbah amat terkenal dalam lipatan sejarah sama ada sebelum keIslamannya mahupun setelah keIslamannya. Kebencian terhadap Islam sudah mula bersarang dalam hatinya sejak dari awal munculnya Rasulullah S.A.W. bersama dakwahnya. Kebencian itu berubah menjadi dendam apabila ayah, bapa saudaranya dan saudara kandung lelakinya di bunuh dalam peperangan Badar sehingga beliau bernazar untuk memakan hati si pembunuh itu. 

Kaum wanita Quraisy turut sama menyimpan dendam terhadap kaum Muslimin atas pembunuhan kaum kerabat mereka. Maka, ketika perang Uhud, beberapa orang wanita Quraisy menyatakan diri akan bergabung dengan para lelaki dan Hindun binti ‘Uthbah mengambil kedudukan di barisan paling hadapan para wanita ini kerana beliaulah yang paling terbakar dendam ketika itu. Beliau sentiasa memberikan semangat kepada kaum lelaki untuk mara ke hadapan medan peperangan melalui syair-syairnya. Dalam peperangan ini juga, Hindun telah berjanji kepada Wahsyi, hamba Jubair bin al-Muth’im untuk menghadiahkannya perhiasan, emas dan harta lain jika dapat membunuh Hamzah bin Abdul Muthalib kerana dia telah membunuh orang yang paling dicintai iaitu ayahnya, ‘Uthbah bin Rabiah.

Ibnu Ishaq berkata, “Hindun dan para wanita Quraisy mencincang-cincang korban dari sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. dan memotong telinga-telinga dan hidung-hidung mereka yang kemudian dijadikan sebagai gelang kaki, kalung dan cincin lalu diberikannya kepada Wahsyi. Hindun juga mengambil hati Hamzah bin Abdul Muthalib dan mengunyahnya namun tidak mampu untuk menelannya.”

Hindun masuk Islam

Akhirnya, setelah mengobarkan api permusuhan selama lebih dari 20 tahun, Allah S.W.T. membuka hati Hindun untuk menerima Islam pada satu malam setelah keislaman Abu Sufyan. Beliau berkata kepada suaminya, Abu Sufyan, “Aku ingin menjadi pengikut Muhammad.” Abu Sufyan membalas, “Semalam aku masih melihat engkau sangat benci mengucapkan kata-kata seperti ini.” Hindun membalas, “Demi Allah! Sebelum malam ini, aku tidak pernah melihat Allah disembah sedemikian baiknya di masjid ini. Demi Allah! Mereka datang hanya untuk solat, berdiri, rukuk dan sujud.” Hal ini berlaku ketika pembukaan kota Mekah yang dihadiri Rasulullah S.A.W dan pasukan kaum Muslimin. 

Ketika Allah S.W.T. memberi kemenangan kepada Rasulullah S.A.W. dan kaum Muslimin, penduduk kota Mekah menyedari kebenaran yang selama ini mereka ingkari. Mereka mengetahui bahawa tiada jalan keselamatan selain Islam. Kerana itu mereka bersedia memeluknya dan berkumpul untuk berbai’at (menyatakan janji setia) kepada Rasulullah S.A.W. Pembai’atan ini berlaku bukan sahaja daripada kalangan kaum lelaki, tetapi turut dihadiri kaum wanita. Antara kaum wanita yang berbai’at ialah Hindun binti ’Uthbah yang datang dengan memakai cadar kerana takut dikenali oleh Rasulullah S.A.W. akibat tindakannya terhadap Saidina Hamzah r.a pada masa lalu, namun akhirnya beliau tetap dikenali oleh baginda S.A.W. juga.

Setelah itu, beliau menjadi seorang wanita ahli ibadah, rajin solat malam dan berpuasa. Beliau sangat konsisten dengan status barunya sampai tiba saat yang membawa kegelapan bagi seluruh bumi ini, iaitu ketika Rasulullah S.A.W. wafat. Hindun sangat terpukul, hatinya nyaris hancur kerana merasakan dirinya terlalu lama memusuhi Rasulullah S.A.W. dan baru sahaja boleh menerima Islam. Namun demikian, Hindun tetap mempertahankan keIslamannya dengan baik. Beliau tetap menjadi seorang ahli ibadah dan menjaga janji setia yang pernah diucapkannya di hadapan Rasulullah S.A.W.

Beliau merasakan tidak cukup menunaikan janji setia kepada Rasulullah S.A.W hanya sekadar dengan tidak menyekutukan Allah S.W.T sahaja. Beliau rasa terpanggil untuk bersama kaum Muslimin yang lain untuk menyertai jihad fi sabilillah dan dengan izin Allah S.W.T., beliau berkesempatan menyertai peperangan Yarmuk. Dalam peperangan ini, beliau memainkan peranan yang tidak kalah hebatnya. 

Ibnu Jarir menyatakan, “Pada hari itu, kaum Muslimin bertempur habis-habisan. Mereka berhasil menewaskan pasukan Romawi dalam jumlah yang sangat besar. Sementara itu, kaum wanita menghalau setiap tentera Muslim yang terdesak dan mundur dari medan perang. Mereka berteriak, ‘Kalian mahu pergi ke mana? Apakah kalian akan membiarkan kami ditawan oleh pasukan Romawi?’ Siapa pun yang mendapat kecaman yang pedas seperti itu, pasti kembali menuju ke kancah pertempuran.” 

Tentera Muslim yang sebelumnya tadi hampir melarikan diri, kembali bertempur sekali gus hal ini membangkitkan semangat pasukan yang lain. Mereka benar-benar terbakar oleh kecaman pedas yang diteriakkan oleh kaum wanita, terutamanya Hindun binti ’Uthbah. Dalam suasana seperti itu, Hindun menuju barisan tentera sambil membawa tongkat pemukul tabuh dengan diiringi oleh wanita-wanita Muhajirin. Hindun membaca bait-bait syair yang pernah dibacanya dalam perang Uhud ketika zaman jahiliyahnya dahulu.

Subhanallah! Kisah sahabiyah kali ini membenarkan apa yang dikatakan Rasulullah S.A.W. dari Abu Hurairah r.a di mana baginda bersabda, “Manusia itu ibarat logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyah, terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham (Islam)” [HR Bukhari dan Muslim no. 1540].

Khatimah 

Demikianlah kehebatan Hindun binti ‘Uthbah. Ternyata agama yang dibencinya dahulu telah memuliakannya dengan sebenar-benar kemuliaan. Ketika Allah S.W.T membukakan hatinya untuk menerima Islam, maka terserlahlah keperibadiannya yang menonjol dalam dunia kewanitaan. Di jalan Allah, dia tidak lagi menumpahkan darah tanpa hak, tiada lagi sifat liarnya dan hatinya menjadi tenteram bersama Islam. Beliau berusaha sedaya-upaya untuk menenggelamkan noda-noda jahiliyahnya dan menampilkan dirinya sebagai susuk sahabat wanita yang sangat istimewa. Allah S.W.T. membersihkan jiwanya dari kedengkian, membebaskan hatinya dari kebencian, menyingkap fikirannya dari tabir jahiliyah, dan melepaskan pengetahuannya dari kebatilan sehingga, beliau tidak lagi mengikuti keyakinan yang menyimpang dan mempraktikkannya dalam kehidupan nyata. 

Sungguh, inilah erti sebenar kemerdekaan yang patut semua umat Islam kini faham, iaitu keluar dari pemikiran jahiliyah/sekular menuju pemikiran Islam serta keluar dari ketundukan kepada sistem jahiliyah/demokrasi menuju ketundukan kepada Allah S.W.T. Ketundukan ini bukan semata-mata dari aspek hubungan manusia dengan Allah (aqidah) dan dengan diri sendiri (ibadah mahdhah) sahaja, malah turut juga meliputi aspek hubungan manusia dengan manusia lain yang mana ianya merangkumi sistem uqubat (hukum-hakam jenayah) dan mu’amalat (interaksi antara manusia). Erti sebenar kemerdekaan juga bermaksud bebasnya umat Islam daripada batas sempadan dan belenggu negara-bangsa sekarang kepada negara yang satu yang diwajibkan ke atas umat Islam iaitu Khilafah Islamiyah. Ya, inilah erti sebenar kemerdekaan menurut Islam!

Wallahu’alam.

Sumber:
1)70 Wanita Terbilang Di Zaman Nabi Muhammad S.A.W. Abu Azka al-Madani. Harun Arrasyid Hj Tuskan. Al-Hidayah.
2) Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam Jilid II. Abu Muhammad Abdul Malik Bin Hisyam al-Muafiri. Darul Fikr.
3) http://sunnah.com/riyadussaliheen/18 diakses pada 11 Julai 2013
4) http://doandzikir.wordpress.com/2012/06/07/biografi-hindun-binti-utbah/ diakses pada 7 Julai 2013
5) http://www.majalah-alkisah.com/index.php/dunia-islam/1718-hindun-binti-utbah-akhirnya-rasulullah-memuliakannya diakses pada 10 Julai 2013
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment