KEMERDEKAAN YANG MEMBELENGGU

ARTIKEL PILIHAN
KEMERDEKAAN YANG MEMBELENGGU


Sepertimana tahun sebelumnya, tahun ini rakyat Malaysia meraikan hari nasional, iaitu ulang tahun “kemerdekaan” dalam suasana sambutan hari raya. Sejak Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan daripada pihak British, ia dianggap satu anugerah yang patut dihargai kerana masyarakat dikatakan bebas daripada cengkaman penjajah yang zalim. Hakikatnya kita hanya dapat merasakan ketiadaan penjajah British secara fizikal namun pemikiran dan amalan hidup warisan penjajah tetap wujud dan membarah dalam masyarakat.  

Belenggu Wanita 

Dalam kesibukan berhari raya dan ditambah pula dengan propaganda bulan “kemerdekaan”,  mata yang celik pasti dapat melihat hakikat sebenar bahawa umat Islam hari ini sedang melalui situasi pahit dan terhina yang sama sekali berlawanan daripada hakikat kemenangan dan kemerdekaan yang sebenar. Di negeri-negeri umat Islam, Deen-al-Islam tidak diamalkan dengan menyeluruh. Malah, dalam banyak aspek kehidupan, amalan atau kebiasaan masyarakat yang tidak selari dengan Islam sering dipertahankan sebagai cara hidup, sama ada amalan itu diwarisi turun-temurun, ataupun amalan baru yang terbentuk akibat kemodenan. 

Wanita pada zaman moden dieksploitasi sebagai pelaris produk-produk kapitalis. Tubuh badan mereka diperalatkan untuk menarik perhatian pelanggan khususnya lelaki demi mengaut keuntungan semaksimum mungkin. Dek kerana kebiasaan ini, wanita tidak lagi malu mempertontonkan bentuk tubuh mereka di khalayak ramai, malah merasa hebat dan bangga berbuat demikian. Penyertaan dalam pertandingan seperti Miss World atau Ratu Cantik dianggap sebagai sesuatu yang bermaruah bagi wanita kerana ia dikatakan dapat mengetengahkan kemampuan dan penglibatan wanita dalam masyarakat. 

Amalan atau sistem pemerintahan negara yang tidak selari dengan Islam juga mengakibatkan berleluasanya praktis penindasan terhadap wanita. Contohnya di Jordan dan Pakistan, “pembunuhan untuk menjaga maruah keluarga” atau honour killing dilakukan terhadap anak gadis oleh ahli keluarganya sendiri apabila gadis itu ditakuti mencemarkan nama keluarganya kerana bergaul bebas [http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tikammatiisteriuntukjagamaruah/Article/index_html]. Sedangkan ajaran Islam mengajarkan pemeliharaan pergaulan, kawalan masyarakat, beserta ‘uqubat kepada lelaki dan wanita yang melanggar batasan pergaulan Islam. Selain itu, negara-negara Arab dan Pakistan juga turut merekodkan banyak kes penderaan terhadap isteri, meskipun ajaran Islam mewajibkan isteri dilayan dengan penuh rasa cinta dan belas kasihan. 


Dalam kalangan komuniti Islam yang dilanda kemiskinan dan rendah taraf pendidikannya, para Muslimah membanting tulang demi sesuap nasi dengan melakukan pelbagai pekerjaan yang sebahagian besarnya menyalahi fitrah dan peranan sebenar mereka sebagai gadis, isteri atau ibu sehingga ada yang bekerja dalam sektor maksiat sebagai penghibur dan pemuas nafsu lelaki. Ada juga yang meninggalkan keluarga selama bertahun-tahun untuk menjadi pembantu rumah di luar negara. 

Perjuangan Yang Membelenggu

Setelah berlaku begitu banyak penindasan terhadap wanita, perjuangan feminisme, iaitu perjuangan hak-hak wanita, dianggap sebagai jawapan yang tepat oleh sebahagian Muslimah. Segelintir Muslimah yang tersesat dek tebalnya pengaruh sekularisme, menyertai kumpulan feminis ekstrem seperti Femen yang menzahirkan protes terhadap apa sahaja yang mereka fikirkan sebagai penindasan kepada wanita termasuk syariat Islam. Di Timur Tengah juga telah muncul gerakan feminis yang berteraskan sekularisme yang mengambil kesempatan daripada kebangkitan dunia Arab untuk memperjuangkan nasib mereka.

Namun feminisme yang lebih berbahaya ialah yang bertopengkan Islam iaitu mereka menafsirkan Al-Quran dengan penafsiran songsang demi membenarkan prinsip-prinsip kufur seperti liberalisme dan demokrasi. Mereka juga mengelirukan umat Islam dengan nama-nama dan slogan-slogan yang seolah-olah Islami, padahal hakikatnya kufur. Contohnya boleh dilihat dalam perjuangan al-musawah (kesetaraan) yang diperjuangkan oleh Sisters in Islam. Hakikatnya mereka juga adalah sekularis dan liberalis yang memperdagangkan ayat-ayat Allah dengan harga yang murah demi menjayakan agenda kuffar.

Pemimpin-pemimpin negeri umat Islam pula menunjukkan sokongan kepada perjuangan feminis dengan memperkenalkan agenda reformasi yang kononnya membela nasib wanita. Contohnya menggalakkan penglibatan lebih ramai wanita dalam tenaga kerja dan pemerintahan negara demi menyambut seruan menuntut kesetaraan gender. Sebenarnya apa yang mereka lakukan hanyalah menambahkan masalah kepada wanita kerana menjauhkan kaum wanita daripada fitrah mereka.

Idea kesetaraan gender diperjuangkan dan amat disokong oleh para kapitalis kerana apabila semakin ramai wanita yang bekerja seperti lelaki, maka semakin tinggilah sumbangan mereka kepada pendapatan negara yang diukur dengan keluaran dalam negara kasar (GDP –gross domestic product). Menurut perkiraan kapitalisme, bilangan wanita berkerjaya mesti ditingkatkan selari dengan perkembangan penduduk lebih-lebih lagi di negara membangun yang ekonominya sedang berkembang pesat, digelar Emerging Economies.Pertambahan penduduk akan meningkatkan permintaan terhadap sumber yang kian menyusut akibat kadar kepenggunaan yang meningkat apabila penduduk di sesuatu negara semakin maju (Data dan unjuran dari Credit Suisse). Lihat juga Global Summit of Women http://www.globewomen.org/summit/2013/2013presentations.html)

Jelas sekali bahawa konsep kapitalisme telah menjerut manusia kepada penghambaan terhadap sistem ciptaan manusia sendiri. Sedangkan Islam sebaliknya mengajar bahawa Allah S.W.T menyediakan sumber alam yang cukup untuk menampung kehidupan manusia, dan ekonomi hendaklah diatur agar kekayaan bumi dapat diagih dengan saksama kepada seluruh penduduk bumi; bukannya dengan memperhambakan sebahagian besar manusia agar dapat memuaskan nafsu sebahagian kecil manusia lain, hinggakan kaum wanita pun menjadi mangsa kepada kerakusan sistem ini.

Bagaimana Memerdekakan Muslimah

Perjuangan ‘membebaskan’ Muslimah tidak sekali-kali akan berjaya melalui perjuangan feminisme, atau dengan menempuh jalan-jalan ciptaan kuffar seperti liberalisme dan demokrasi. Malah, sebaliknya ia semakin membelenggu Muslimah. Sebaliknya, Islam yang dimomokkan sebagai ajaran yang membelenggu wanita itulah sebenarnya yang membebaskan wanita daripada pengabdian kepada sesama manusia dan meletakkan semua, baik lelaki mahupun wanita, di tempat mereka yang mulia. Perhatikan firman Allah Ta’ala ini,

“Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya” [TMQ al-A’raf (7):157].

Ternyata Islam telah membebaskan manusia baik lelaki mahupun wanita, ke jalan hidup yang benar dan sejahtera yang bersesuaian dengan fitrah hidup mereka. Maka tidak hairanlah apabila generasi terdahulu memperjuangkan Islam hingga menang, hinggakan takbir hari raya dan laungan kemerdekaan mereka benar-benar bermaksud kemenangan dan kemerdekaan daripada cengkaman kuffar. 

Kekuatan dan kemenangan Islam amatlah dirasai ketika umat Islam melaungkan takbir hari raya selepas memenangi perjuangan dalam bulan Ramadhan di Badar (Tahun 2 Hijrah), Fathu Makkah (8 H), al-Buwayb (31 H), ‘Amuriah (213 H) dan ‘Ain Jalut (658 H). Kemenangan ini dirayakan oleh seluruh umat Islam baik Muslim mahupun Muslimah, dengan keluarnya mereka dari rumah untuk berhimpun bersama pemimpin mereka dalam acara solat ‘Eid pada pagi raya, bukannya sambutan “merdeka raya” yang tidak bermakna seperti yang berlaku hari ini.

Sesungguhnya satu-satunya jalan bagi umat Islam untuk membebaskan diri mereka daripada belenggu kehinaan yang dipasang oleh penjajah kufur adalah dengan kembali secara keseluruhan kepada Islam. Allah S.W.T berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan…” [TMQ al-Baqarah (2): 208].

Kembali kepada Islam secara keseluruhan menuntut perjuangan Islam yang seratus peratus berasaskan konsep-konsep Islam, bukannya konsep-konsep ciptaan manusia. Ini bermakna, kita hendaklah menegakkan sistem politik, ekonomi, sosial dan pendidikan Islam sebagai ideologi yang mengatur kehidupan manusia dalam hubungannya dengan Allah S.W.T, dirinya dan sekelilingnya.

Khatimah

Pertembungan antara dua ideologi, iaitu Islam dengan kufur, semakin sengit pada akhir zaman ini. Pejuang ideologi kufur memainkan propaganda bahawa Islam yang mengajarkan penyerahan total kepada Allah S.W.T membelenggu penganutnya dengan kekolotan dan kemunduran. Malang sekali apabila umat Islam yang buta menerima propaganda ini lalu turut sama memperjuangkan agenda kufur ini malah menyalutnya dengan label Islami.

Oleh itu, wahai sekalian Muslimah, tinggalkanlah semua perjuangan yang tidak berasaskan Islam atau yang hanya sekadar bersalut istilah-istilah Islami. Ayuh! Kembalikan kehidupan Islam sepertimana sewajarnya. Semoga kesedaran hakiki yang penuh rasa ketakwaan hanya kepadaNya mampu untuk membawa para Muslimah sekalian dan umat Islam secara keseluruhannya kepada satu perjuangan yang akhirnya akan membuahkan kemenangan dan kemerdekaan hakiki, khususnya menjelang Idulfitri, Insya Allah.

Bacaan Lanjut:
1.    Demokrasi Mengorbankan Perempuan. http://hizbut-tahrir.or.id/2013/03/04/demokrasi-mengorbankan-perempuan/
2.    Demokrasi Menghinakan Perempuan. http://hizbut-tahrir.or.id/2009/04/11/demokrasi-menghinakan-perempuan/ 
3.    Khilafah Melindungi Perempuan dari Kemiskinan dan Eksploitasi. http://hizbut-tahrir.or.id/2013/02/03/khilafah-melindungi-perempuan-dari-kemiskinan-dan-eksploitasi-4/
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment