KESAN TARBIYAH RAMADHAN SEPANJANG HIDUP

NAHDHAH FIKRIYYAH - EDISI 14 SIRI 1 SYAWAL 1434H / OGOS 2013


KESAN TARBIYAH RAMADHAN SEPANJANG HIDUP


Taqabbalallahu minaa wa minkum siyamana wa siyamakum,  ja’alanallahu wa iyyakum minal aidin wal faizin…

Semoga Allah SWT menerima amal kami dan amal kalian, puasa kami dan puasa kalian, semoga Allah menjadikan kami dan juga kalian sebagai orang-orang yang kembali dan beruntung (menang).

Kini kita berada di hari kemenangan yang telah diganjarkan oleh Allah S.W.T kepada umat Nabi Muhammad S.A.W. Namun, kita telah menyambutnya sekali lagi tanpa keberadaan Khilafah iaitu Daulah Islam yang melindungi seluruh umat Islam.  Justeru, kita telah melihat kesengsaraan umat Islam di setiap penjuru dunia seperti di Mesir, Palestin, Syria, Thailand, Kemboja dan banyak lagi yang masih bermandi darah akibat kekejaman penguasa di negeri masing-masing. Namun, hingga kini tiada seorang pun pemimpin umat Islam yang mengerah tenteranya untuk membela mereka seperti yang telah dilakukan oleh Khalifah yang terdahulu dalam membela kaum Muslimin yang tertindas. 

Membentuk Syakhsiyah Islam

Kehadiran Syawal menandakan kedatangan ‘Idul Fitri, iaitu hari raya untuk kaum Muslimin. Semoga rahmat dan keredhaan Allah S.W.T senantiasa memayungi kita, keluarga dan seluruh kaum Muslimin. Ramadhan yang mulia dan penuh barakah baru meninggalkan kita. Semoga puasa, qiam, sedekah dan segala amalan kita dalam bulan Ramadhan yang lepas diterima Allah S.W.T sebagai amal soleh dan semoga Allah S.W.T memberi kita ganjaran pahala berlipat kali ganda. Ramadhan merupakan bulan tarbiyah, bulan yang mendidik kita untuk meningkatkan ketakwaan dan mendekatkan diri kita kepada Pencipta kita, Allah S.W.T. 

Ketakwaan yang terbentuk pasti akan menjadikan kita bersungguh-sungguh dalam melaksanakan segala perintah Allah S.W.T serta bersungguh-sungguh dalam meninggalkan dan menjauhi segala laranganNya. Ketakwaan dalam diri juga akan menguatkan perasaan kasih sayang dan persaudaraan sesama Muslim. Kesakitan dan kepedihan yang dirasai oleh sebahagian saudara kita yang dizalimi, diusir dari rumah dan kampung halaman mereka, dinafikan hak mereka untuk hidup aman dan terpelihara, dipenjarakan dan diseksa, dibunuh malah diperangi, akan turut dirasai oleh Muslim lainnya jika ketakwaan benar-benar wujud dalam dirinya.

Ringkasnya tarbiyah Ramadhan adalah satu usaha membentuk syakhsiyah Islamiyah (keperibadian Islam) dalam diri setiap individu. Seseorang individu itu dikatakan mempunyai syakhsiyah Islamiyah apabila dia menjadikan Islam sebagai landasan berfikir dan tatacara bertingkah laku. Apabila dia telah memahami bahawa puasa di bulan Ramadhan itu wajib, dia akan bersabar menahan lapar dan dahaga sepanjang berpuasa. Apabila dia telah memahami bahawa Allah S.W.T menurunkan lailatul qadar di bulan Ramadhan, dia sanggup bersengkang mata untuk melakukan sebanyak mungkin ibadah di malam tersebut. Maka, apabila dia memahami bahawa Syawal adalah bulan kemenangan dalam Islam, maka dia akan berusaha semampunya untuk merealisasikan kemenangan yang hakiki itu dalam kehidupannya secara keseluruhan.

Petunjuk Ke Arah Kemenangan

Dalam bulan Ramadhan yang lalu, umat Islam juga telah memperingati tarikh 17 Ramadhan sebagai tarikh penurunan al-Quran (Nuzul Quran). Firman Allah S.W.T, 

“(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil)” [TMQ al-Baqarah (2):185].

Kita telah diperingatkan bahawa kita bukan sekadar berpeluang meraih pahala dengan membaca al-Quran, namun pahala juga dijanjikan bagi orang-orang yang beramal dengannya.  Firman Allah S.W.T, 

“Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar...” [TMQ al-Isra’ (17):9].

Daripada ayat-ayat Allah S.W.T di atas, kita dapat memahami bahawa al-Quran telah diturunkan kepada umat manusia untuk dijadikan panduan dalam menjalani kehidupannya. Dengan al-Quran yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W, manusia dikhabarkan dengan segala macam perintah dan larangan yang bukan sahaja terbeban pada setiap individu, malah pada masyarakat secara kolektif dan yang paling penting adalah pada bahu pemimpin yang memerintah sebuah negara. Perintah dan larangan inilah merupakan petunjuk ke arah kemenangan yang dikehendaki oleh Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T,

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar”  [TMQ at-Taubah (9):111].

Oleh itu, kita haruslah melaksanakan perintah dan larangan tersebut dengan penuh kesungguhan, sabar dan istiqamah kerana mengingatkan ganjaran yang telah Allah S.W.T sediakan bagi hamba yang berjuang demi agamaNya.

Khatimah

Kita perlu terus merealisasikan ketakwaan dengan mengamalkan Islam dan sekali gus menyerukan penerapan Islam dalam kehidupan secara kaffah baik secara individu, bermasyarakat mahupun bernegara. Untuk merealisasikan Islam dalam negara khususnya, tidak lain dan tidak bukan adalah dengan jalan menegakkan Daulah Islam. Dengannya, kita akan merasakan nikmat beraya di bulan Syawal dan kemenangan itu turut dirasai oleh umat yang selama ini dizalimi kerana Negara Khilafah pastinya tidak akan membiarkan kaum Muslimin hidup menderita. ‘Idul Fitri sudah pasti akan lebih bermakna di bawah naungan syariah dan Khilafah. Semoga berlalunya Ramadhan dan menjelangnya Syawal pada kali ini memberikan kesedaran agar kita membulatkan tekad dan berusaha untuk menjadikan al-Quran sebagai pengatur hidup kita dan sebagai undang-undang yang mengatur negara kita. Semoga tahun ini menjadi Ramadhan dan Syawal terakhir yang kita menyambutnya tanpa Khilafah. 

Wallahua’lam.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment