Meraih Kemenangan Dengan Ketakwaan

Ucapan Perutusan Syawal Oleh: Ustazah Aisyah Rahmat, Ketua Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan rahmatNya, sekali lagi kita menyambut ketibaan Syawal tahun ini. Dengan izinNya jua, kita berjaya melalui bulan Ramadhan dengan penuh rasa ketakwaan kepada Allah S.W.T. Ketaatan dan ketakwaan yang diraih daripada ibadah berpuasa kita di bulan Ramadhan wajar kita buktikan di hadapan Allah S.W.T di sepanjang masa selain Ramadhan, apatah lagi di bulan Syawal iaitu bulan kemenangan bagi umat Islam. Ketaatan dan ketakwaan ini mestilah dibuktikan dengan melakukan sekurang-kurangnya tiga perkara:


Pertama, setiap Muslim mestilah menjaga dan meningkatkan kuantiti dan kualiti taqarrub ilallah, menjauhi perkara-perkara syubhat dan memperbanyak amalan-amalan kebajikan. Cara ini diharapkan mampu menjaga ketakwaan individu setiap Muslim. Penjagaan ketakwaan ini malah akan sempurna jika masyarakat dan negara turut sama berperanan dalam menggalakkan dan melaksanakan hukum Allah bukannya menggalakkan dan melaksanakan sistem kufur seperti yang ada sekarang.

Kedua, setiap Muslim mestilah melibatkan diri atau bergabung dalam organisasi dakwah Islam yang benar-benar ikhlas lillahi ta’ala untuk menegakkan agamaNya. Dengan keterlibatan bersama kelompok orang-orang yang bertakwa, seorang Muslim itu akan sentiasa mendapat nasihat dan sokongan tatkala imannya lemah dalam mengharungi cabaran dan tentangan dalam hidupnya. Dia juga akan menjadi lebih kuat menjaga keimanan dan ketakwaannya berbanding dalam keadaan bersendirian atau bersama dengan kelompok orang-orang yang sentiasa hidup dalam kemaksiatan dan kemungkaran. 

Ketiga, seorang Muslim mestilah menyedari bahawa ketakwaan bukan hanya diwujudkan dan dijaga dalam kehidupan individu sahaja, malah  mesti diwujudkan dan dijaga dalam kehidupan masyarakat dan negara juga. Masyarakat dan negara yang bertakwa adalah masyarakat dan negara yang tegak atas dasar aqidah Islam dan menjadikan syariah Islam sebagai satu-satunya aturan untuk mengatur kehidupan. Ketakwaan masyarakat dan negara inilah yang akan mendidik individu-individu yang hidup di dalamnya agar bertakwa. 

Melihat kepada realiti hari ini di mana umat Islam hidup dalam  masyarakat yang mengamalkan maksiat dan kemungkaran serta negara yang mengamalkan sistem selain sistem yang berdasarkan aqidah Islam, adalah mustahil untuk mewujudkan individu, masyarakat dan negara yang bertakwa secara sekali gus. Jadi, keadaan masyarakat dan negara hari ini mestilah diubah menjadi masyarakat dan negara Islam. Tujuan ini hanya akan dapat dicapai jika syariah Islam diterapkan secara keseluruhan melalui pemerintahan Khilafah Islamiyah. Ini adalah kerana, hanya sistem Khilafah Islamiyah sahajalah yang berdiri atas aqidah Islam yang akan menjadikan Islam sebagai satu-satunya aturan untuk mengatur kehidupan masyarakat.

Wahai Muslimah sekalian!

Marilah kita bersegera dalam usaha untuk menegakkan Khilafah Islamiyah. Dengannya nanti seluruh umat Islam akan hidup dalam suasana ketakwaan dan kemenangan di dunia dan di akhirat. Sambutlah kemenangan dengan syariah dan Khilafah.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment