Rubai’ Binti Ma’udz: Wanita Yang Diharamkan Neraka Baginya

Serikandi Tauladan: 
RUBAI’ BINTI MA’UDZ - WANITA YANG DIHARAMKAN NERAKA BAGINYA

Ar-Rubai’ binti Ma’udz bin al-Harits bin Fifa’ah bin al-Harits bin Sawad bin Malik bin Ghanam bin Malik al-Anshariyah an-Najariyah merupakan seorang sahabiyah yang mulia; lahir di tengah-tengah jemaah di Madinah al-Munawwarah dan antara yang terlebih dahulu masuk Islam daripada kalangan Ansar. Beliau termasuk sahabiyah yang hidup dalam lindungan Islam, tumbuh dengan pertumbuhan yang baik dari pohon yang mengeluarkan buah yang diberkahi.

Bapanya adalah Ma’udz bin al-Harits, salah seorang daripada pahlawan Perang Badar yang telah menyingkap tabir sejarah Islam dengan langkah beraninya menghapuskan Fir’aun umat pada ketika itu iaitu Abu Jahal bin Hisyam. Bukan itu sahaja, neneknya Afra’ binti Ubaid merupakan seorang wanita, Muslimah dan bonda yang mempunyai ciri-ciri yang amat hebat, yang berasa gundah gulana sekiranya kesemua anak-anak beliau tidak mendapat syahid, -Subhanallah. Afra’ r.a memiliki tujuh anak dan kesemuanya ikut terjun di medan Badar. Alhamdulillah. Sesungguhnya keluarga Afra’ dilindungi dengan kemuliaan iman dan Islam yang menjadi kebahagiaan buat sang pendamba cinta Ilahi.

Kisah di Bawah Pohon

Ar-Rubai’ r.a meneruskan kesinambungan keluarganya dalam urusan dakwah dan jihad. Beliau seorang wanita yang bersegera dalam beramal dan beriman kepada Allah S.W.T, maka tidak mustahil jika beliau menjadi salah seorang wanita yang memiliki keutamaan dan kemuliaan daripada Allah S.W.T dan kekasihNya. Hal ini kerana beliau merupakan antara kaum Muslimin yang turut serta dalam peristiwa pembai’atan di bawah pohon. An-Nawawi rahimahullah menceritakan berkenaan perihal Ar-Rubai’ ini dengan berkata, “Dia termasuk orang-orang yang berbai’at kepada Rasulullah S.A.W di bawah pohon, iaitu Baiat ar-Ridhwan.” [Tahdzibul-Asma’ wal-Lughat, 2/343, al-Ishabah, 4/293, Usdul Ghabah, no. 6910]

Allah S.W.T telah berfirman dalam surah al-Fath (48) ayat 18 yang bermaksud, “Sungguh, Allah telah meredhai orang-orang Mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu (Muhammad) di bawah pohon. Dia mengetahui apa yang ada dalam hati mereka, lalu Dia memberikan ketenangan atas mereka dan memberi balasan dengan kemenangan yang dekat”.

Menurut tafsir at-Tabari, janji setia (bai’at) yang dimaksudkan adalah janji setia para sahabat Rasulullah S.A.W di Hudaibiyah yang berjanji untuk melawan tentangan daripada kaum kafir Quraisy, sabar dan tidak melarikan diri ketika dalam medan peperangan yang mana syurga menjadi ganjaran bagi mereka yang taat pada perintah Allah dan Rasul itu. Bai’at ini terjadi di bawah pohon yang diberkahi iaitu pohon Samurah. Jabir bin Abdullah meriwayatkan bahawa jumlah mereka yang berbai’at adalah sekitar 1400 orang daripada kalangan Muhajirin dan Ansar. Mereka bukan sahaja mempunyai jiwa yang redha dan tenteram pada hari persaksian nanti, malah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W sungguh amat menyenangkan hati mereka. Sabda baginda S.A.W,

“Tidak akan masuk neraka seorang pun dari mereka yang ikut membai’at di bawah pohon” [HR Muslim No. 2496].

Wanita Pejuang Yang Berani

Khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W itu merupakan satu janji yang pasti berlaku. Namun, Ar-Rubai’ r.a tidak pernah berasa senang dengan apa yang dimilikinya ketika itu. Beliau tidak pernah berasa cukup dengan kebaikan yang telah dilakukan sebelumnya, malah beliau merasakan sangat perlu untuk ikut serta secara langsung dalam medan pertempuran. Sungguh, beliau benar-benar ingin mengikut jejak langkah ayahnya dengan meneruskan perjalanan jihad bersama Rasulullah S.A.W. Selain Ibnu Kathir, Imam al-Bukhari juga turut menceritakan perihal ini. Daripada Rubai’ binti Ma’udz, ia berkata,

“Kami telah ikut keluar ke medan perang bersama Rasulullah S.A.W. Kami memberikan minuman kepada para Mujahidin dan membantu mereka. Di samping itu, kami membawa pulang mereka yang terluka dan gugur ke Madinah” [HR Bukhari].

Muslimah ini juga telah berjaya menterjemahkan cintanya yang mendalam kepada Islam. Kehebatan cintanya ini membuatkan beliau tidak takut kepada ancaman-ancaman musuh serta berani mengatakan yang haq dan menidakkan yang batil. Peribadi ini dapat dilihat dalam sebuah perdebatan yang berlaku antara beliau dan ibu Abu Jahal, Asma’ binti Mukharribah. Kisah ini telah diriwayatkan sendiri oleh beliau. Asma’ binti Mukharribah merupakan seorang wanita yang menjual minyak wangi di Madinah.

Suatu hari, Asma’ mendatangi ar-Rubai’ di rumahnya bersama beberapa wanita lain sambil membawa minyak wangi. Ketika kelibat Ar-Rubai’ kelihatan, Asma’ berkata, “Engkau adalah puteri pembunuh tuan besar (Abu Jahal)!” Ar-Rubai’ membalas, “Ya benar. Aku adalah puteri pembunuh hamba sahaya yang hina.” Mendengar kata-kata itu, Asma’ menjadi marah lalu berkata, “Haram bagiku menjual sedikit pun minyak wangi ini kepadamu.” Namun, dengan wajah yang tenang Ar-Rubai’ membalas, “Haram bagiku membeli sedikit pun dari minyak wangimu. Aku tidak melihat minyak wangi yang lebih busuk selain daripada minyak wangimu.” Beliau sengaja membidas kata-kata Asma’ itu dengan ayat yang sangat sinis semata-mata untuk menaikkan lagi kemarahannya.

Pengajaran Buat Muslimah

Akhwati rahimakumullah! Sesungguh-nya, peribadi Muslimah sebeginilah yang seharusnya didambakan bagi setiap insan bergelar wanita. Wanita yang mendambakan syurga Allah, akan sentiasa memperhiasi dirinya dengan perhiasan takwa. Mereka akan mempersiapkan dirinya dengan pelbagai persiapan untuk menghadap sang Pencipta. Namun, perlu disedari bahawa persiapan untuk bertemu dengan Allah S.W.T itu tidak cukup hanya sekadar melakukan ibadah mahdhah sahaja, tidak cukup juga hanya dengan memperbaiki akhlak semata.

Seharusnya, kita mempersiapkan diri kita dengan setiap amalan yang boleh mendatangkan redha Allah kepada kita termasuklah dengan berjuang bersama kaum Muslimin seluruh dunia mengembalikan kedaulatan hukum syara’ di muka bumi ini dengan penegakan semula Daulah Khilafah Islam. Aktiviti inilah yang menjadi taruhan hidup dan mati Rasulullah S.A.W dan para sahabat. Ketika mana baginda dihalang daripada meneruskan usaha dakwahnya, apa yang dijawab baginda adalah

“Demi Allah! Seandainya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku agar aku meninggalkan urusan (dakwah) ini, maka sekali-kali aku tidak akan meninggalkannya hingga Allah memenangkannya atau aku yang binasa (mati) kerananya”.

Khatimah

Sesungguhnya hal ini (dakwah menegakkan Khilafah) merupakan aktiviti yang bersifat ‘urgent’, yang memerlukan pengorbanan dari segi masa, harta dan tenaga daripada kita. Ia juga memerlukan kesabaran yang tinggi dalam menghadapinya kerana perjalanannya amat-amat mencabar dan menguji keimanan. Perjuangan yang bersifat global serta mendunia ini, menggambarkan kepada kita bahawa umat Islam itu sentiasa disatukan di bawah satu kalimah tauhid iaitu ‘La ilaha illallah, Muhammadur Rasulullah’ yang mempunyai satu pemikiran, satu perasaan dan satu peraturan tidak kira di mana pun umat Islam itu berada.

Wallahua’lam.

Rujukan:

1. Wanita yang dijamin Surga. Ahmad Khalil Jam’ah. Darul Falah
2. 70 Wanita Terbilang Di Zaman Nabi Muhammad SAW. Abu Azka al-Madani. Harun ar-Rasyid Ht Tuskan
3. Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam. Jilid II. Darul Falah.
4. Syamil al-Quran. Ms. 1024
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment