Bagaimana Membangun Sistem Pendidikan?

ARTIKEL PILIHAN
BAGAIMANA MEMBANGUN SISTEM PENDIDIKAN?

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini. Ini bukanlah kali pertama pelan sebegini diwujudkan. Sebelum ini, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 telah diperkenalkan. Ia berdasarkan kepada enam teras iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. Biarpun enam teras dalam PIPP belum dibuktikan keberkesanannya, kini PPPM pula diwujudkan untuk tempoh 12 tahun akan datang yang mungkin juga bertujuan menggantikan PIPP yang perlu dipinda atas sebab tertentu.

Agenda Transformasi Pendidikan

PPPM mensasarkan 11 anjakan untuk dicapai, antaranya menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa, memastikan murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai, meningkatkan kualiti guru, memastikan pemimpin berprestasi tinggi di setiap sekolah dan mengupayakan JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan. Selain itu, anjakan ini juga bertujuan untuk memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran, mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian Pelajaran, memperluaskan jalinan kerjasama antara ibu bapa, komuniti dan sektor swasta, memaksimum pulangan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan serta meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam.


Dilaporkan pendekatan yang diambil dalam menghasilkan PPPM ini adalah suatu langkah berani dan julung-julung kali dilakukan. Pandangan pelbagai pakar dan agensi antarabangsa dikumpul untuk menilai dan mentaksir sistem pendidikan Malaysia (Ekshibit 1-2) termasuk agensi luar seperti Bank Dunia, UNESCO dan OECD. Kementerian juga merujuk dokumen dasar berkaitan yang disediakan oleh agensi lain termasuk Strategi Transformasi http://www.moe.gov.my/userfiles/file/PPP/Preliminary-Blueprint-BM.pdf. Persoalannya, adakah badan-badan antarabangsa seperti Bank Dunia, UNESCO dan OECD yang diwariskan penjajah ini layak dijadikan rujukan untuk menggubal sebuah sistem pendidikan negara yang majoriti penduduknya adalah Muslim? Benarkah ia dapat melahirkan generasi soleh harapan umat dan negara?

Biarpun baru dilancarkan, PPPM telah mendapat reaksi negatif daripada pertubuhan Persatuan Cina seperti Dong Zhong dan juga parti politik dari Pakatan Rakyat (PR). Dong Zong yang dianggotai 77 persatuan Cina sebelum ini berkata tidak menolak kemungkinan untuk membawa isu berkenaan ke mahkamah kerana mereka mendakwa pelan berkenaan mengancam bahasa ibunda mereka. PR pula melihat terdapat enam aspek yang menjadikan pelan yang dilancarkan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin ini bukan satu platform menyeluruh. Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Rakyat berkata ketiadaan maklum balas daripada Kementerian Pendidikan terhadap pendedahan spesifik sistem pendidikan gagal memberi keyakinan bahawa PPPM akan dilaksanakan dengan betul dan cekap.

Walaupun mendapat reaksi yang negatif dan ketidakpuasan daripada sesetengah pihak, PPPM tetap akan diteruskan dan tiada sebarang tindakan dapat diambil untuk menghentikannya kerana ia telah dirasmikan1. Inilah realiti sistem pendidikan di Malaysia yang terpaksa melalui fasa trial and errornya ke arah transformasi pendidikan negara. Jika dicermati, tiada satupun anjakan atau teras yang terkandung dalam pelan-pelan mahupun akta pendidikan yang digubal selama ini meletakkan akidah Islam sebagai asasnya. Justeru apakah yang boleh diharapkan daripada pelan yang wujud daripada sistem pendidikan sekular dalam bingkai demokrasi ini?

Pelan Pendidikan Terbaik

Sesungguhnya model atau pelan pendidikan yang baik semestinya berupaya disediakan oleh negara. Ini kerana negaralah yang memiliki kemampuan untuk menyelenggarakan pendidikan yang bermutu, termasuk menyediakan dana yang mencukupi, kemudahan prasarana yang lengkap dan berkualiti. Terlebih dahulu perlu difahami bahawa untuk menyelenggara sebuah kehidupan bermasyarakat dan bernegara, pemerintah akan menumpukan kepada dua elemen besar iaitu ekonomi dan politik. Politik akan melahirkan polisi-polisi yang akan dilaksanakan dalam sesebuah kehidupan manakala ekonomi pula berperanan dalam pengelolaan sumber-sumber ekonomi dan dana kewangan. Dalam Islam, kedua-dua elemen ini akan saling melengkapi untuk melayani urusan umat (hak-hak asas) yang merupakan kewajipan negara terhadap setiap warganegaranya iaitu dalam aspek kesihatan, keselamatan dan pendidikan. Inilah yang akan direalisasikan oleh seorang pemimpin dalam pemerintahan Daulah Khilafah Islamiah.

Daulah Khilafah Islamiah tidak akan sesekali merujuk dan meminta nasihat daripada kalangan orang bukan Islam untuk menggubal sistem pendidikan dalam negaranya, apatah lagi membenarkan campur tangan pihak kuffar mahupun badan-badan asing bukan Islam. Mana mungkin pihak kuffar diberi ruang untuk membentuk sistem pendidikan negara umat Islam. Jika ini berlaku maka akan terbentuklah keperibadian generasi seperti yang Barat mahukan iaitu generasi yang berpegang kepada slogan kebebasan iaitu bebas dalam segala aspek kehidupan tanpa menjadikan akidah Islam sebagai asas berfikir dan bertingkah laku. Maka tidak hairanlah jika sistem pendidikan acuan sekular demokrasi ini melahirkan mereka yang cemerlang akademiknya dan menjawat jawatan professional tetapi amat rendah syakhsiyyah Islamnya. Golongan inilah yang kerap melakukan tindakan salah laku, melanggar etika, mengamalkan rasuah dan sebagainya. Ini tidak lain kerana sistem pendidikan sekular yang dilaksanakan selama ini ternyata gagal mewujudkan ketakwaan dan keimanan bagi generasi acuannya.

Dalam Islam, sistem pendidikan didasarkan pada sebuah kesedaran bahawa setiap Muslim wajib menuntut ilmu dan tidak boleh mengabaikannya. Sabda Rasulullah S.A.W, “Menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap Muslim[HR Ibnu Adi dan Baihaqi].

Allah S.W.T mewajibkan setiap Muslim untuk menuntut ilmu. Justeru, setiap Muslim wajib membekali dirinya dengan pelbagai macam ilmu yang diperlukan dalam kehidupan. Atas dasar ini, negara wajib menyediakan bukan sahaja pendidikan secara percuma malah menyelenggara sebuah sistem pendidikan yang berkualiti.

Akidah Islam pula hendaklah menjadi asas bagi sistem pendidikan. Akidah inilah yang akan melahirkan individu yang taat pada syariat Islam. Ini kerana, berhasilnya pendidikan dalam Islam dilihat dari segi keterikatan seseorang kepada syariat Islam, bukan semata-mata menguasai ilmu pengetahuan. Dengan meletakkan akidah Islam sebagai asas bagi ilmu pengetahuan, ini bukan bermaksud semua ilmu pengetahuan harus bersumber dari akidah Islam (kerana tidak semua ilmu pengetahuan lahir daripada akidah Islam). Yang dimaksudkan ialah akidah Islam harus menjadi ukuran yang mana ilmu pengetahuan yang bertentangan dengan akidah Islam tidak boleh dikembang atau diajarkan kecuali untuk dijelaskan kesalahannya.

Sistem pendidikan Islam juga mempunyai tujuan yang jelas dan tidak berubah-ubah mengikut keadaan, peredaran zaman atau situasi politik tertentu. Tujuan pendidikan Islam yang digali dari nas yang syari’e adalah untuk melahirkan generasi berkeperibadian Islam. Allah S.W.T yang Maha Luas ilmuNya telah berfirman, “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata: ‘Sesungguhnya aku termasuk kaum Muslimin” [TMQ Fushilat (41):33].

Hakikatnya tujuan yang dimaksudkan di atas ialah kesan keimanan bagi seorang Muslim, iaitu dia harus memegang identiti keIslamannya dengan menjadikan cara berfikir (aqliyyah) dan bertingkah lakunya (nafsiyyah) sentiasa didasarkan kepada akidah Islam.

Selain itu, sistem pendidikan Islam juga bertujuan untuk melahirkan generasi yang menguasai tsaqafah Islam dengan menguasai ilmu fardhu ‘ain (ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap Muslim). Contohnya ilmu-ilmu berkaitan pemikiran dan hukum-hukum Islam merangkumi fiqh, bahasa Arab, sirah Nabawiyyah, al-Quran, al-Hadis dan sebagainya. Bukan itu sahaja, malah ilmu yang dikategorikan sebagai fardhu kifayah (ilmu yang wajib dipelajari oleh salah satu atau sebahagian sahaja daripada umat Islam) juga perlu dikuasai oleh Muslim seperti ilmu-ilmu kehidupan yang mencakupi ilmu pengetahuan dan teknologi serta kemahiran seperti ilmu kimia, fizik, biologi, komputer, kedoktoran, pertanian, teknik dan sebagainya. Allah S.W.T telah berfirman,

“Katakanlah (wahai Muhammad), apakah sama orang-orang yang berpengetahuan dan orang-orang yang tidak berpengetahuan” [TMQ az-Zumar (39):9].

Pendidikan Mengembalikan Martabat Manusia

Lihatlah bagaimana Allah S.W.T memuliakan manusia kerana akalnya. Ini kerana dengan akalnya, manusia memiliki kelebihan berbanding makhluk ciptaan Allah yang lain. Berkaitan hal ini, Allah S.W.T telah berfirman:

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang berakal” [TMQ Ali Imran (3):190].

“Maka bertakwalah kepada Allah, wahai orang-orang yang berakal, agar kamu beruntung” [TMQ al-Maidah (5):10].

Allah S.W.T telah menyeru manusia menggunakan akalnya agar dapat merenungi ciptaanNya sehingga meningkatkan keimanan terhadap kekuasaan dan keagunganNya. Justeru semakin banyak ilmu yang dipelajari manusia semakin menjadikannya tunduk dan mengakui kelemahan serta kekerdilannya di hadapan Allah. Akhirnya dia akan berusaha mengikat diri sepenuhnya dengan seluruh hukum yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. Demikianlah tujuan sistem pendidikan dalam Islam. Ia hanya dapat direalisasikan di bawah kepimpinan seorang penguasa Islam yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam melayani urusan umat dalam bidang pendidikan.

Namun, apa yang menyedihkan ialah, umat Islam di negara ini masih didominasi oleh sistem demokrasi sekular. Dek kerana sistem warisan penjajah ini jugalah berlakunya krisis multidimensi di tengah-tengah masyarakat dalam segala aspek kehidupan. Kemiskinan, kezaliman, kejahilan, penindasan dan ketidakadilan dalam segala bidang dan pelbagai bentuk penyakit sosial bertubi-tubi menyerang generasi Muslim hari ini.

Khatimah

Sidang pembaca yang dimuliakan! Sesungguhnya memang sukar untuk melahirkan generasi bersyakhsiyyah Islam dan menguasai pelbagai cabang keilmuan selagi sistem pendidikannya tidak berteraskan akidah Islam. Ini kerana akidah Islamlah yang menjadi tunjang dan dasar bagi seluruh sistem kehidupan yang diterapkan bagi mencetak generasi yang berilmu sekali gus beriman dan bertakwa. Justeru, bangkitlah dan berusahalah untuk berjuang mengembalikan kehidupan Islam dalam bingkai Khilafah Islamiyah. Yakinlah dengan kemampuan akal dan kudrat yang dianugerahkan Allah, untuk sama-sama menyongsong kembali tegaknya Khilafah yang akan menghapuskan segala pelan atau sistem pendidikan khususnya serta sistem kehidupan umumnya yang tidak berteraskan akidah Islam.

Rujukan:
2. Muhammad Ismail Yusanto, dkk (2004) Menggagas Pendidikan Islam, Al-Azhar Press.
3. Abu Yasin, (2004) Strategi Pendidikan Negara Khilafah, Pustaka Thariqul Izzah,
5. Al-Waie No.59 Tahun V,1-31 Julai 2005 : Politik Pendidikan Islam halaman 13-18.
6. Terjemahan Al-Quran dan Al-Hadis.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment