Hijrah yang Hakiki

ARTIKEL PILIHAN
HIJRAH YANG HAKIKI

InsyaAllah fajar 1 Muharam 1435 Hijrah akan muncul dan setiap kali tibanya 1 Muharam, maka perbincangan tentang Hijrah dan maksudnya pasti menjadi topik yang hangat dan popular. Lafaz “hijrah” mengandungi dua konotasi yakni dari segi bahasa dan juga syarak. Dari segi bahasa, hijrah bermaksud pindah atau pindah dari satu tempat ke tempat yang lain atau pindah dari satu keadaan kepada satu keadaan yang lain. Namun malangnya dewasa ini perbincangan tentang hijrah selalunya hanya terbatas kepada makna bahasa semata-mata. Malah maksud hijrah dijadikan lebih bersifat kontemporari dan mengikut kesesuaian semasa seperti hijrah ekonomi, hijrah minda, jiwa dan sebagainya lagi. Hijrah juga diaplikasikan sebagai perpindahan dari suatu keadaan yang kurang baik kepada keadaan yang lebih baik. Amat jarang sekali hijrah dikupas atau dibincangkan dari segi makna istilahnya. Justeru makna hijrah dari segi istilah perlu dikupas dan diberi pencerahan.

Memaknai Hijrah Secara Benar

Secara syar’i, hijrah bermaksud ‘keluar dari Darul Kufur menuju Darul Islam’ (An-Nabhani, Asy-Syakhsiyyah al-Islamiyyah, II/276). Darul Islam dalam definisi ini adalah suatu wilayah (negara) yang menerap-kan syariat Islam secara menyeluruh (kaffah) dalam segala aspek kehidupan dan keamanannya berada di tangan kaum Muslimin. Dalam erti kata yang lain, hijrah berlaku seiring dengan pertukaran status sesebuah tempat atau negara yang asalnya Darul kufur (perasaan, pemikiran dan pengaturan/sistem yang tidak Islami) ke Darul Islam (perasaan, pemikiran dan pengaturan/sistem yang Islami).

Darul kufur yang dimaksudkan di sini ialah wilayah (negara) yang tidak menerapkan syariat Islam dan keamanannya bukan di tangan kaum Muslimin, sekalipun majoriti penduduknya beragama Islam. Definisi hijrah ini diambil dari fakta hijrah baginda Rasulullah S.A.W dari Makkah (yang pada saat itu merupa-kan darul kufur) ke Madinah (yang kemudian menjadi Darul Islam).

Realiti Pahit Menyelubungi Umat

Apabila keamanan tidak berada di tangan umat Islam, tidak hairanlah jika lenyapnya unsur keharmonian dalam negara yang justeru meningkat-kan kadar jenayah. Realiti di Malaysia sahaja jelas menunjukkan kadar jenayah saban hari semakin meningkat. Kes-kes seperti pem-bunuhan, rompakan, kecurian, samun, rogol, tembak menembak, rasuah dan pelbagai kes lagi semakin berleluasa di sana sini. Tidak terhenti setakat kes jenayah, moral dan akhlak umat Islam turut terjejas termasuklah kaum Hawa. Terbaru, berlangsungnya pertandingan ratu cantik Miss World yang dengan jelas mengeksploitasi tubuh wanita demi menampilkan kecantikan fizikal dalam rangka mendapatkan manfaat duniawi yang diharamkan.

Wajarkah sebuah negara yang mengaku sebagai ‘Negara Islam’ terlibat secara langsung dengan penganjuran aktiviti yang tidak ber-maruah seperti ini? Bukan setakat itu sahaja, idea kebebasan yang menjadi tunjang sebuah negara demokratik menjadikan hal ini lebih parah, tidak kira Muslim mahupun Muslimah, anda bebas untuk memilih cara hidup tersendiri atau memilih sama ada untuk terikat dengan hukum syarak atau tidak. Inilah ajaran demokrasi. Sedangkan Allah S.W.T berfirman,
“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan tidak (pula) perempuan yang beriman, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barang siapa menderhakai Allah dan RasulNya maka sungguh dia telah sesat, sesat yang nyata” [TMQ al-Ahzab (33): 36].

Hakikatnya, walaupun Malaysia adalah salah sebuah negara yang dihuni oleh majoriti umat Islam seperti Indonesia, Brunei dan negara-negara Arab di Timur Tengah, negara-negara ini bukanlah Darul Islam kerana mereka didirikan atas dasar negara bangsa yang telah dipecahbelahkan oleh kuffar Barat dan mereka tidak menerapkan syariat Islam secara keseluruhan. Lebih kronik apabila pemimpin-pemimpin negara umat Islam ini terus menerus menipu, menindas dan melakukan kekejaman ke atas rakyatnya sendiri sama ada dari segi politik, ekonomi mahupun fizikal. Apabila menghadapi tekanan atau dilanda masalah, pemimpin-pemimpin ini meminta bantuan daripada pihak kufar Barat seperti Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sama ada bantuan kewangan mahupun ke-tenteraan. Sedangkan Allah S.W.T telah berfirman,

“Wahai orang- orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan teman orang- orang yang di luar kalangan kamu (kafir) sebagai teman ke-percayaan kamu, (kerana) mereka tidak henti- hentinya menyusahkan kamu. Mereka mengharapkan ke-hancuranmu. Sungguh telah nyata kebencian dari mulut mereka dan apa yang tersembunyi dalam hati mereka itu lebih jahat lagi. Sesungguhnya telah Kami terangkan kepadamu ayat- ayat (Kami) jika kamu mengerti….” [TMQ Ali-Imran (3): 118].

Ironinya kesemua pemimpin umat Islam hari ini menjadikan Barat, yang diketuai oleh Amerika Syarikat, sebagai kiblat. Amat jelas kepada setiap insan yang mempunyai penglihatan bahawa pemimpin umat Islam sama sekali tidak pernah menyebelahi umat Islam, sebaliknya terus menerus memastikan hegemoni puak kuffar Barat ke atas umat Islam berterusan tanpa titik noktah.

Untuk mengaburi mata umat Islam, Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) sering diangkat sebagai penyatu dan pelindung umat Islam. Padahal realitinya, OIC langsung tidak layak untuk menjadi penaung kepada negeri-negeri umat Islam hari ini kerana sesungguhnya OIC tidak berbuat apa-apa untuk menyelesaikan masalah umat Islam kecuali sekadar duduk ber-sidang di tempat-tempat mewah tatkala darah umat Islam terus menerus ditumpahkan tanpa henti. OIC juga tidak pernah membela nasib umat Islam yang saban hari tertindas, terbunuh dan menderita, baik di negara sendiri mahupun di negara kafir yang umat Islam menjadi minoriti.

Realiti yang dipaparkan ini hanyalah secebis sahaja dari sekian banyak contoh kerosakan dan penderitaan hidup umat Islam yang suatu ketika pernah menggapai zaman kegemilangan yang melangkaui mana-mana tamadun pada zamannya. Untuk itu dan untuk keluar dari semua ini, adalah amat penting umat Islam hari ini memahami erti hijrah yang sebenar iaitu erti hijrah dari sisi hukum syarak.

Hijrah yang sebenar mampu menjadi garis pemisah antara kebenaran dan kebatilan; antara Islam dan kekufuran. Hijrah yang sebenarnya juga seharusnya menjadi permulaan kepada kebangkitan Islam sekali gus menghilangkan segala bentuk penindasan ke atas orang-orang Islam. Aisyah r.a pernah menyatakan,

“Dahulu ada orang Mukmin yang lari membawa agamanya kepada Allah dan Rasul-Nya kerana takut difitnah. Adapun sekarang (setelah hijrah) Allah S.W.T benar-benar telah me-menangkan Islam dan seorang Mukmin dapat beribadah kepada Allah S.W.T sesukanya” [HR al-Bukhari].

Apa yang pasti, Negara Islam yang diwarisi daripada Rasulullah S.A.W sudah tidak wujud lagi. Apa yang ada hanyalah negeri-negeri umat Islam yang terjajah dari segi mental dan fizikal dengan negara-negara bangsa yang bermunculan selepas kehancuran Khilafah yang terakhir iaitu Khilafah Uthmaniyyah pada 3 Mac 1924. Sejak jatuhnya Khilafah, tidak ada lagi Negara Islam yang menjaga umat Islam dan yang bersifat “rahmatan lil ‘aalamiin” yakni sebuah wilayah yang membawa kesejahteraan untuk seluruh umat manusia.

Ke Arah Mewujudkan Kembali Makna Hakiki Hijrah

Antara kesan yang paling ketara setelah peristiwa 11 September 2001 adalah, Islam dan kaum Muslimin betul-betul menjadi ‘santapan lazat’ Amerika Syarikat dan sekutunya. Sejak peristiwa tersebut, Islam dan umatnya diserang habis-habisan dari segala aspek, tahun demi tahun, tanpa mendapat apa-apa pembelaan dari pemimpin umat Islam, satu peristiwa yang seolah-olah tiada peng-hujungnya. Sedangkan manifestasi daripada peristiwa Hijrah Nabi S.A.W adalah bangkitnya kaum Muslimin setelah sekian lama ditindas dan dizalimi (lebih kurang 13 tahun) di negeri mereka sendiri iaitu kota Makkah, setelah berdirinya Daulah Islam yang pertama di Madinah. Dengan adanya sebuah negara, barulah nasib kaum Muslimin terbela, Islam dan penganutnya menjadi mulia manakala kekafiran dan penganutnya menjadi hina.

Oleh itu, tidak ada jalan lain sekiranya kaum Muslimin benar-benar ingin kembali kepada kemuliaan dan kegemilangan Islam, maka makna Hijrah yang sebenar hendaklah direalisasikan, iaitu berpindah dari Darul Kufur menuju Darul Islam. Dengan kata lain, kaum Muslimin hendaklah berusaha mengembalikan semula Daulah Khilafah yang telah lenyap dari dunia Islam sejak sekian lama.

Saat ini di tengah-tengah umat, sistem Islam yang syumul tidak lagi diterapkan dalam peraturan/perundangan negara. Maka tugas seluruh kaum Musliminlah untuk mewujudkan kembali sistem Islam di tengah-tengah mereka. Caranya tidak lain adalah dengan mengubah negeri-negeri Muslim saat ini yang terpecah-belah dan berada dalam kongkongan sistem kufur, iaitu sistem kapitalisme-sekular, kepada menghimpunkannya semula dalam satu wadah negara, iaitu Daulah Islamiyah atau Khilafah Islamiyah.

Khatimah

Hanya dengan merealisasikan kembali makna hijrah yang hakiki sahajalah maka kekufuran akan lenyap dan di-gantikan oleh keimanan, kegelapan jahiliyyah akan hilang dan diganti dengan cahaya Islam, Darul kufur akan terkubur dan Darul Islam akan muncul dan masyarakat jahiliyyah pun akan berubah menjadi masyarakat yang Islami. Hanya dengan perubahan mendasar yang bersifat global ini, Insya Allah umat Islam saat ini akan berubah daripada umat yang tertindas dan terkongkong minda dan fizikalnya, menjadi umat yang akan meraih kembali posisi terbaik sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah S.W.T,

“Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia; menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah.” [TMQ Ali Imran (3): 110].

Wallahu a‘lam.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment