Hukum Hijrah yang Wajib Difahami Oleh Umat Islam

FIKIH

HUKUM HIJRAH YANG WAJIB DIFAHAMI OLEH UMAT ISLAM


Definisi Hijrah

Pengertian hijrah secara bahasa bererti berpindah tempat. Adapun secara syar'i, fuqaha mendefinisikan hijrah sebagai keluar dari darul kufur (negeri kufur) menuju ke darul Islam (negeri Islam). Pengertian ini diambil dari lafaz ‘hijrah’ dan lafaz ‘Muhajirin’ (orang-orang yang berhijrah) yang disebut di dalam Al-Quran itu sendiri dan juga hadis-hadis. Antaranya firman Allah:

“Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata, ‘Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?’ Mereka menjawab, ‘Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi’. Malaikat bertanya lagi, ‘Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?’ Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) daripada kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun” [TMQ an-Nisa’ (4):97-99].


Hijrah dalam Islam berlaku sebelum terjadinya pembukaan (futuhat) kota Mekah. Setelah berlakunya futuhat kota Mekah, maka ‘tidak ada lagi hijrah’ yang terjadi kerana orang Islam telah mencapai tahap berkemampuan untuk menzahirkan agamanya dan melaksanakan hukum-hukum Islam di negeri tersebut. Daripada Ibnu Abbas r.a katanya:

Ketika peristiwa pembukaan Kota Mekah, Rasulullah S.A.W bersabda: (maksudnya) "Tiada lagi hijrah (dari Mekah ke Madinah) selepas pembukaan Mekah, tetapi yang ada hanyalah jihad dan niat. Apabila kamu dipanggil oleh pemerintah untuk berperang, maka berangkatlah” [Riwayat Bukhari dan Muslim].

Apabila sesebuah negeri telah dibuka oleh Islam, maka negeri tersebut telah bertukar dari darul kufur menjadi darul Islam, maka secara automatiknya darul kufur tadi sudah tidak ada lagi. Oleh itu, tidak ada lagi tuntutan hijrah ke atas penduduk Muslim di situ. Demikianlah halnya dengan tiap-tiap negeri yang telah dibuka oleh Islam, maka tidak ada lagi hijrah daripada negeri tersebut kerana ianya telah (bertukar) menjadi darul Islam

Hukum Berhijrah

Walaupun disebutkan bahawa sudah tidak ada lagi hijrah (dari darul kufur menuju darul Islam), namun perlu difahami bahawa tuntutan/hukum hijrah dari darul kufur ke darul Islam adalah kekal dan hukumnya tetap berjalan sepanjang zaman dan hukum ini akan berlaku tatkala muncul sebab-sebab yang membawa kepadanya. Secara rincinya, hukum mengenai hijrah ini boleh dilihat dalam beberapa situasi, yakni terkait dengan orang yang mampu dan yang tidak mampu untuk berhijrah
. Menurut Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani dalam kitab Syakhsiyyah Islamiyyah, jilid II, beliau mengatakan hukum berhijrah itu berlaku dalam keadaan-keadaan berikut:-

(i) Orang Yang Tidak Mampu Untuk Melakukan Hijrah 

Allah mengampunkan mereka daripada kewajipan hijrah dan orang tersebut tidak dituntut untuk melakukannya. Ini adalah kerana kelemahannya untuk melakukan hijrah, sama ada kerana sakit, atau dipaksa untuk menetap atau dhaif (lemah) seperti orang-orang tua, kaum wanita dan anak-anak dan yang seumpama mereka.


(ii) Orang Yang Mampu Untuk Berhijrah Dan Pada Masa Yang Sama Dia Tidak Mampu Menzahirkan Agamanya Serta Melaksanakan Hukum-Hakam Islam Yang Dituntut Daripadanya (Di  Darul Kufur Tersebut)

Ketika mana Daulah Islamiyyah (Daulah Khilafah) yang menerapkan Islam secara kaffah (menyeluruh) tidak wujud dan kaum Muslimin menerima tekanan yang hebat terhadap aqidah dan amal ibadah mereka di wilayah tempat mereka tinggal, maka WAJIB bagi mereka berhijrah ke wilayah lain yang mana mereka akan kembali merasa aman dalam memelihara aqidah serta amal ibadah.

(iii) Orang Yang Mampu Untuk Berhijrah Tetapi Dalam Masa Yang Sama Dia Mampu Menzahirkan Agamanya Serta Melaksanakan Hukum Syarak Yang Dituntut Daripadanya Tanpa
Mengalami Tekanan Penguasa Wilayah Kediamannya (Di Darul Kufur Tersebut)

Hukum hijrah dalam keadaan seperti ini adalah sunat dan bukan fardhu. Hukum sunat ini diambil daripada hakikat bahawa Rasulullah S.A.W telah mendorong kaum Muslimin agar berhijrah dari Mekah sebelum terjadinya pembukaan Mekah, ketika ia masih lagi berstatus negeri kufur.
Ini disabitkan pada dalil syara’ yang menyebut:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” [TMQ Al-Baqarah (2): 218].

“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah, dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan” [TMQ At-Taubah (9): 20].

Dalil As-Sunnah di mana Rasulullah S.A.W membiarkan Nu’aim an-Nuhham tinggal di Mekah setelah beliau mendapat halangan daripada berhijrah bersama Rasulullah S.A.W ke Madinah. Nu’aim dikatakan mampu membiayai kehidupan para janda dan anak yatim, sedang beliau juga tidak menghadapi tekanan dalam mengamalkan Islam.

(iv) Orang Yang Mampu Untuk Menzahirkan Agamanya Serta Mampu (Berpeluang) Melaksanakan Hukum Syarak Yang Dituntut Daripadanya Dan Dia Juga Mempunyai Kemampuan Untuk Mengubah Darul Kufur Yang Didiaminya Menjadi Darul Islam, Seterusnya Menggabungkannya Ke Dalam Daulah Islamiyyah (Sama Ada Mempunyai Kemampuan Kerana Kekuatannya Sendiri Ataupun Kerana Bergabung Dalam Kumpulan Kaum Muslimin Yang Ada Di Darul Kufur Tersebut, Atau Dengan Bekerjasama Dengan Daulah Islamiyyah, Atau Dengan Jalan Lain) (
Ketika Mana Daulah Islamiyyah Telah Wujud) 

Wajib dia berusaha untuk menjadikan (menukar) darul kufur tadi menjadi darul Islam dan
hukum berhijrah baginya adalah haram, kerana tuntutan untuk menyeru kepada Islam itu lebih diutamakan. Ini berdasarkan dalil bahawa adalah wajib bagi kaum Muslimin (yang diperintah oleh orang kafir atau oleh hukum-hukum kufur) untuk mendakwahkan penduduknya kepada Islam. Malah dalam keadaan di mana usaha dakwah telah dijalankan, namun pemerintah di negeri tersebut masih berdegil dan terus menerapkan hukum kufur, maka adalah menjadi kewajipan bagi kaum Muslimin di negeri tersebut untuk memerangi penguasanya sehingga hukum Islam diterapkan di tempat tersebut. 

Namun perlu diingat di sini bahawa, hukum yang terakhir ini hanya berlaku ketika Daulah Khilafah telah pun wujud dan Muslim tersebut masih tinggal di darul kufur di mana sistem kufur dilaksanakan ke atasnya sedangkan dia berkemampuan untuk mengubahnya. Dalam keadaan seperti ini, hijrahnya Muslim tersebut daripada  darul kufur yang menerapkan hukum kufur dianggap sebagai melarikan diri daripada jihad di satu tempat di mana ia diwajibkan atau pun melarikan diri daripada memerangi orang yang memerintah dengan kekufuran yang nyata. Kedua-duanya adalah merupakan dosa besar di sisi Allah S.W.T. Oleh kerana itu, tidak dibenarkan bagi orang yang berkemampuan untuk mengubah darul kufur kepada darul Islam, untuk berhijrah daripada sana, selagi dia mempunyai kemampuan untuk mengubahnya menjadi darul Islam

Khatimah

Kita hendaklah sedar bahawa semua negeri saat ini adalah darul kufur, sama ada kerana ia tidak melaksanakan hukum Islam, atau kerana keselamatannya bukan di tangan orang Islam. Berdasarkan nas yang jelas, kita wajib menukar darul kufur ini kepada darul Islam iaitu menukarnya menjadi Daulah Khilafah melalui jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. Hukum-hukum hijrah yang diterangkan oleh Allah S.W.T dan RasulNya tidak akan dapat dilaksanakan selagi mana Daulah Khilafah masih belum ditegakkan. Oleh yang demikian, kita hendaklah bersedia dan hendaklah memahami
hakikat dan hukum hijrah dengan benar agar bila tertegaknya Khilafah, umat Islam di seluruh dunia tidak akan terkeliru dalam usaha mereka untuk berhijrah menuju darul Islam (Khilafah)  kerana dengan izin Allah S.W.T, Daulah Khilafah yang kita usahakan ini akan segera wujud dalam masa terdekat.

Justeru itu, kita perlu berusaha untuk menukar darul kufur yang kita diami ini kepada darul Islam (Khilafah) kerana hanya dengan cara inilah kita akan dapat menikmati betapa indahnya hidup di bawah naungan Daulah Khilafah yang diterapkan di dalamnya Syariat Islam dan merasai hakikat sebenar hijrah sebagaimana yang telah dirasai oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya dengan penuh kemuliaan dan keredaan dari Allah Azza wa Jalla.


Rujukan:
·         Al-Quran
·         Wikipedia Ensiklopedia Bebas
·         Syakhsiyyah Islamiyyah, jilid II oleh Sheikh Taqiyuddin An-Nabhani (Terjemahan)
·         Daulah Islam oleh Sheikh Taqiyuddin An-Nabhani (Terjemahan)
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment