Tempoh Masa Qasar dan Jama’ Solat

FIKIH
TEMPOH MASA QASAR DAN JAMA’ SOLAT

Soalan:

Apakah hukum menqasarkan dan menjama’kan solat ketika bermusafir dan berapa harikah dikira sebagai musafir?

Jawapan:

Allah S.W.T telah memberi kelonggaran/keringanan kepada umat Islam dalam mengerjakan ibadah solat dalam situasi tertentu khususnya ketika bermusafir. Kelonggaran ini dinamakan rukhsah Solat. Sabda Rasulullah S.A.W, “Sesungguhnya Allah suka dilaksanakan rukhsah (keringanan) yang diberikan olehNya seperti Allah membenci dilakukan maksiat kepadaNya” [HR Ahmad].

Hukum Qasar

Solat Qasar bererti solat yang diringkaskan, iaitu daripada empat rakaat menjadi dua rakaat. Apabila berada dalam perjalanan menuju suatu tempat yang jauh, kita dibenarkan untuk meringkaskan solat atau qasar. Sebagaimana Allah S.W.T berfirman,

“Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka tidaklah mengapa kamu mengqasarkan solatmu, jika kamu takut diserang orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu musuh yang nyata bagimu” [TMQ an-Nisaa’ (4):101].


Hal ini merupakan kurniaan Allah kepada hambaNya. Oleh sebab itu mereka harus menerimanya dengan penuh syukur dan berterima kasih. Manakala alasan “kerana khuatir gangguan” sebagai illat dibenarkan untuk mengqasar itu tidak terpakai berdasarkan keterangan daripada Ya’la bin Umaiyah, katanya, “Dari Ya’la bin Umaiyah, ia berkata, ‘pernah aku bertanya kepada Umar r.a, ‘maka tiadalah dosa atasmu jika kamu memendekkan solat apabila kamu takut akan dibinasakan oleh orang-orang kafir padahal sesungguhnya manusia telah aman. Umar menjawab, ‘Aku benar-benar sangat tercengang tentang hal itu, lalu aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W., maka beliau S.A.W menjawab, itu (solat Qasar) yang merupakan kurnia Allah S.W.T kepadamu, maka terimalah olehmu kurnia-Nya” [HR Muslim]. (Fiqih Madzhab syafi’i. edisi lengkap, buku 1 , ibadah)

Hadis ini menunjukkan bahawa mengqasarkan solat adalah hadiah Allah kepada orang yang bermusafir. Rasulullah S.A.W dan para sahabat seperti Abu Bakar r.a, Umar r.a dan Uthman r.a tetap saja mengambil hadiah Allah ketika mereka bermusafir. Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W,

“Dari Ibnu Umar berkata: Aku menemani Rasulullah S.A.W dalam safar dan baginda tidak pernah menambah atas dua rakaat sampai wafat, kemudian aku menemani Abu Bakar dan beliau tidak pernah menambah atas dua rakaat sampai wafat, kemudian aku menemani Umar dan beliau tidak pernah menambah atas dua rakaat sampai wafat, kemudian aku menemani Utsman dan beliau tidak pernah menambah atas dua rakaat sampai wafat. Dan Allah SWT berfirman: Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (Al-Ahzaab:21)”. [HR. Bukhari dan Muslim)].

Hukum Jama’

Solat jama’ bererti mengumpulkan atau melaksanakan dua waktu solat, seperti Zohor dengan Asar, Maghrib dengan Isyak dalam satu waktu. Jama’ terdiri atas dua jenis yaitu jama’ takdim dan jama’ takhir. Jama’ takdim ialah mengerjakan solat pada awal waktu, misalnya solat asar dilakukan pada waktu zohor. Adapun jama’ takhir ialah menjama’kan solat dalam waktu akhir, misalnya solat zohor dikerjakan pada waktu asar.

Antara sebab yang membolehkan menjama’ solat ialah apabila mengadakan perjalanan jauh, sejauh perjalanan yang membolehkan solat qasar. Ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W, “Dari Ibnu Umar r.a. ia berkata, “Rasulullah S.A.W apabila terburu-buru dalam perjalanan, baginda menjama’ solat Maghrib dalam solat Isyak” [HR Bukhari dan Muslim].

Apabila seseorang berjalan jauh atau dalam perjalanan, ia boleh menjama’kan serta mengqasar sekaligus. Dalam sebuah hadis disebutkan, “Dari Ibnu Umar r.a. ia berkata, ‘Pernah Rasulullah S.A.W menjama’ antara solat Maghrib dan Isyak dengan Qasar. Baginda mengerjakan solat Maghrib tiga rakaat dan Isyak dua rakaat dengan satu kali qamat” [HR Abu Dawud dan Tirmizi].

Tempoh Masa Qasar dan Jama’ Solat

Seorang musafir itu boleh terus mengqasarkan solatnya selama ia masih dalam keadaan safar. Jika ia bermukim di suatu tempat kerana sesuatu keperluan yang hendak diselesaikan, maka ia tetap boleh mengqasarkan, sebab ia masih dikira dalam safar walaupun bermukimnya di sana bertahun-tahun lamanya. Ini berdasarkan sejumlah hadis-hadis Rasulullah S.A.W yang tidak pernah membataskan jangka masa bermusafir.

“Nabi S.A.W bermukim di Tabuk selama dua puluh hari dan selalu mengqasar solatnya” [HR Imam
Ahmad dalam Musnadnya].

Miswar bin Makhramah berkata, “Kami bermukim dengan Sa’ad di salah satu desa di wilayah Syam selama empat puluh hari, selama itu Sa’ad tetap mengqasar tapi kami mencukupkan”.

Ibn Abbas meriwayatkan, bahawasanya Rasulullah S.A.W tinggal di Mekah selama sembilan belas hari dan mengqasar solat [HR Bukhari]. Nafi’ rahimahullah meriwayatkan, bahawasanya Ibn Umar tinggal di Azerbaijan selama enam bulan dan mengqasar solat [HR Baihaqi dengan sanad shahih].

Daripada dalil-dalil di atas, jelaslah bahawa Rasulullah S.A.W tidak memberikan batasan waktu tertentu untuk diperbolehkan mengqasar solat bagi musafir selama mereka mempunyai niat untuk kembali ke tempat tinggalnya dan tidak berniat untuk menetap di perantauan.

Kesimpulan

Solat Jama’ dan Qasar adalah rukhsah (keringanan) yang diberikan oleh Allah kepada hambanya yang melakukan perjalanan. Daripada perbincangan di atas ternyata Rasulullah S.A.W dan para sahabat sentiasa merebut hadiah yang Allah berikan sebagai tanda kesyukuran. Jadi kita selaku umat Muhammad seharusnya mencontohi perbuatan Rasulullah dan para sahabat dalam segala hal termasuklah dalam melakukan solat dalam mengharungi perjalanan yang jaraknya melebihi 2 marhalah atau lebih 80 km. (jarak yang membolehkan seseorang melakukan jama’ dan Qasar solat) .

Rujukan:
1. Fiqih Madzhab Syafi’I (Edisi lengkap) buku 1 bab ibadah. Oleh Drs.HIbnMas’ud, Drs. H. ZainalAbidin S
2. Fikih Sunnah, jilid 2 olehSayid Sabiq.
3. Shahih Bukhari jilid 2 bab solat qasar dan jama’
4. Fiqh empat madzhab. Bahagian Ibadah (Shalat 11) oleh Syeikh Abdul Rahman Al-Juzairi
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment