Al-Ghamidiyah: Wanita Hidup Dalam Naungan Dan Didikan Al-Quran

SERIKANDI TELADAN
Al-Ghamidiyah: Wanita Hidup Dalam Naungan Dan Didikan Al-Quran

“Suatu ketika, seorang wanita bernama al-Ghamidiyah datang menemui Rasulullah S.A.W dan berkata, “Wahai Rasulullah, diriku telah berzina, oleh itu sucikanlah diriku.” Tetapi Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya bahkan menolak pengakuan wanita tersebut. Keesokan harinya wanita tersebut datang menemui Rasulullah S.A.W dan berkata,“Wahai Rasulullah, kenapa engkau menolak pengakuanku? Sesungguhnya engkau menolak pengakuanku sebagaimana engkau telah menolak pengakuan Ma’iz. Demi Allah, sekarang ini aku sedang mengandung bayi dari hasil hubungan sulit itu.” Mendengar pengakuan itu, Rasulullah S.A.W bersabda: “Sekiranya kamu ingin bertaubat, maka pulanglah sampai kamu melahirkan.” Setelah melahirkan, wanita itu datang lagi kepada baginda sambil membawa bayinya. Dia berkata,“Inilah bayi yang telah aku lahirkan.” Baginda lalu bersabda: “Kembali dan susuilah bayimu sampai waktunya.” Setelah anak itu sudah bercerai susu badan, wanita itu datang lagi dengan membawa anaknya yang sedang memegang secebis roti di tangan kecilnya, lalu wanita itu berkata, “Wahai Nabi Allah, anak kecil ini telah aku susukan, dan dia sudah boleh menikmati makanannya sendiri.” Kemudian baginda memberikan anak tersebut kepada seseorang di antara kaum Muslimin, dan memerintahkan untuk melaksanakan hukuman rejam terhadap wanita tersebut. Wanita itu ditanam di dalam tanah hingga sebatas dada. Kemudian, beliau memerintahkan masyarakat supaya melemparinya dengan batu. Ketika Khalid bin Walid ikut serta melempari kepala wanita tersebut dengan batu, tiba-tiba percikan darahnya mengenai wajah Khalid, seketika itu dia mencaci maki wanita tersebut. Ketika mendengar makian Khalid, Nabi Allah S.A.W bersabda, “Tenangkanlah dirimu wahai Khalid, demi Zat yang jiwaku berada di tanganNya, sesungguhnya wanita itu telah benar-benar bertaubat, sekiranya taubat (seperti) itu dilakukan oleh seorang pemungut cukai nescaya dosanya akan diampuni.” Setelah itu baginda memerintahkan untuk menyembahyangkan jenazahnya dan menguburkannya” [HR. Muslim No. 1695].

Mulianya Dirimu kerana Taqwa

Kisah wanita yang dituturkan oleh Buraidah r.a dalam hadis di atas kurang diceritakan dalam lipatan sejarah peradaban Islam. Sejarah Islam tidak juga menukilkan nama lengkap beliau apatah lagi mengenai latar belakangnya secara terperinci. Kita juga tidak akan menemui nama al-Ghamidiyah ini dalam mana-mana kisah pengorbanan dan perjuangan kelompok generasi para sahabat yang sering kita jadikan teladan dalam pentarbiyahan diri menuju mardhatillah. Namun, hanya dengan sebuah kisah di sebalik susuk tubuh Muslimah ini, ia cukup memberi didikan kepada umat Islam tentang erti ketaqwaan yang sebenar.


Al-Ghamidiyah hanya-lah wanita biasa dan beliau termasuk golongan yang beriman kepada Allah S.W.T dan sangat meyakini akan hari pertemuan denganNya kelak. Walaupun beliau sentiasa menjaga aib diri dan iman di hati, suatu ketika beliau kecundang dengan nafsunya sendiri. Dalam kesunyian, beliau terjerumus ke dalam lembah kemaksiatan yang keji lagi hina. Walaupun kejadian buruk itu tiada siapa yang mengetahuinya, namun ia sentiasa menghantui jiwa dan perasaannya, apatah lagi ketika janin mula membentuk. Beliau sentiasa dirundung resah dan gelisah, tiada kegembiraan dan keceriaan dalam setiap kerja yang dilakukannya. Setiap waktunya diiringi dengan suara kecil yang mengingatkannya bahawa beliau tidak suci dan penuh dengan debu-debu dosa.


Beliau kemudian bertekad untuk mensucikan dirinya daripada dosa dan maksiat itu dengan menjalani hukuman yang sepatutnya. Dengan berbekalkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T, beliau tunduk kepada hukumNya dan rela menempuh segala kepedihan dan kepiluan hati untuk meninggalkan anak kecil yang tiada dosa itu. Semua ini tidak lain kecuali kerana dirinya takut akan ditimpa azab Allah S.W.T di akhirat kelak yang lebih dahsyat lagi jika beliau tidak menjalani hukuman di dunia ini.

‘Uqubat Bersifat Jawabir dan Zawajir

Permintaan al-Ghamidiyah untuk dijatuhkan hukuman Islam ke atasnya mungkin akan dianggap satu hal yang tidak masuk akal oleh sesetengah pihak apatah lagi daripada sudut pandangan mereka yang berakidah sekular. Namun, hal ini berbeza daripada sudut pandangan Islam. Salah satu keistimewaan penerapan sistem peradilan Islam (‘uqubat) - yang tidak ada dalam mana-mana sistem peradilan di dunia saat ini - adalah ia dapat bertindak sebagai jawabir (penebus) sekaligus sebagai zawajir (pencegah).

Yang dikatakan kedudukan ‘uqubat sebagai jawabir adalah kerana ia dapat menebus hukuman akhirat. Dengan kata lain, hukuman akhirat bagi seorang Muslim itu akan gugur apabila hukuman Islam telah dijalankan ke atasnya ketika di dunia oleh pemerintah Negara Islam (Daulah Islamiyyah). Hal ini sebagaimana yang telah dikatakan oleh ‘Ubadah bin Shamit r.a dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Rasulullah S.A.W bersabda,

“Kalian berbai’at kepadaku untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anakmu, tidak berbuat dusta dan tidak menolak melakukan perbuatan yang ma’ruf. Siapa sahaja menepatinya maka Allah akan menyediakan pahala; dan siapa sahaja yang melanggarnya kemudian di hukum di dunia maka hukuman itu akan menjadi penebus (siksa akhirat) baginya. Dan siapa sahaja yang melanggarnya kemudian Allah menutupinya (bebas dari hukuman dunia), maka urusan itu diserahkan kepada Allah. Jika Allah berkehendak maka Dia akan menyiksanya; dan jika Dia berkehendak maka Dia akan memaafkannya.”

Manakala kedudukan ‘uqubat yang bertindak sebagai zawajir pula adalah kerana ia dapat mencegah manusia daripada melakukan dosa termasuk kesalahan jenayah. Allah S.W.T berfirman,

“Dan dalam qisas itu ada (jaminan) kehidupan bagimu, wahai orang-orang yang berakal agar kamu bertakwa” [TMQ al-Baqarah (2): 179].


Al-Alusi berkata dalam tafsirnya, Ruhul Ma’ani (2/1130), beliau berkata,

“Makna qisas sebagai jaminan kelangsungan hidup adalah kelangsungan hidup di dunia dan di akhirat. Jaminan kelangsungan hidup di dunia telah jelas kerana dengan disyari’atkannya qisas bererti seseorang akan takut untuk melakukan pembunuhan. Dengan demikian, qisas menjadi sebab berlangsungnya hidup jiwa manusia yang sedang berkembang. Adapun kelangsungan hidup di akhirat adalah berdasarkan alasan bahawa orang yang membunuh jiwa dan dia telah diqisas di dunia, kelak di akhirat ia tidak akan dituntut memenuhi hak orang yang dibunuhnya”. Hal ini turut berlaku terhadap mana-mana hukum ‘uqubat yang lain juga.

Ketaqwaan Individu Salah Satu Pilar Keteguhan Syariat Islam

Sesungguhnya syariat Islam tidak boleh dipisahkan dengan akidah Islam kerana deen Allah ini diturunkan bermula daripada kalimah lailahaillallah muhammadur-rasulullah yang kemudiannya barulah diturunkan pelbagai peraturan hidup dalam Islam berupa syariat-syariatNya. Oleh sebab itu, syariat Islam tidak akan dapat diterapkan di tengah-tengah masyarakat, kecuali masyarakat tersebut telah menjadikan akidah Islam sebagai pandangan hidup, serta sebagai ideologi (mabda)nya. Dengan demikian, masyarakat tersebut memiliki ciri khas sebagai masyarakat Islam, yang menjalankan sistem peraturan Islam secara keseluruhan. Allah S.W.T berfirman,


“Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman sebelum mereka menjadikan engkau (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, (sehingga) kemudian tidak ada rasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang engkau berikan, dan mereka menerima dengan sepenuh-nya” [TMQ an-Nisa’ (4): 65].

Hal ini menunjukkan keterikatan antara perkara akidah (yang menyangkut keimanan) dengan syariat (pelaksanaan hukum Islam) tidak dapat dipisahkan sama sekali.

Khatimah

Oleh itu, bukanlah satu perkara yang pelik apabila kita membaca kisah tentang penyerahan diri al-Ghamidiyah ini. Justeru, ia haruslah dijadikan teladan bagi umat Islam kini untuk memuhasabah diri sejauh mana ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T dan sejauh mana kecintaan kita kepada Rasulullah S.A.W. Atas dasar akidah yang membekas di hatilah yang mendorong al-Ghamidiyah menyerah-kan diri kepada Rasulullah S.A.W, meminta untuk disucikan dirinya daripada belenggu dosa zina hanya untuk meraih keredhaan Allah S.W.T dan kebahagiaan di akhirat kelak. Inilah kesannya apabila hidup di bawah naungan dan didikan Al-Quran. Apabila segala syariat di dalam kitabullah itu diterapkan, peribadi umat secara tidak langsung akan terdidik dengan ajaran yang bersumberkan akidah Islamiyah yang mana akhirnya akan lahirlah generasi-generasi muttaqin.

Wallahu’alam.

Rujukan:
•Al-Quran dan terjemahannya
http://hadith.al-islam.com/Page.aspx?pageid=192&BookID=25&PID=3280 diakses pada 6/11/2013
http://al-atsariyyah.com/di-antara-kisah-orang-orang-yang-bertaubat.html diakses pada 4/11/2013
http://islamicstudiestb.wordpress.com/2011/11/08/syariat-islam-dalam-mengatasi-kriminalitas/ di akses pada 6/11/2013
http://www.eramuslim.com/berita/analisa/dalil-bahwa-syariah-islam-sebagai-jawabir-penebus-siksa-akhirat-jawazir-pencegah-terjadinya-tindak-kriminal-yang-baru-terulang-kembali.htm#.Unpz cvlHJwy di akses pada 4/11/2013
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment