Fikratul Ummah Disember 2013


MUQADDIMATUL KALAM

Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wabarakatuh...

Segala puji bagi Allah Yang Maha Menguasai setiap apa yang berlaku di bumi, di langit dan di antara keduanya. Sesungguhnya manusia dan jin itu diciptakan untuk menyembah Allah S.W.T pencipta sekalian alam.

Sidang pembaca yang dirahmati Allah,

Kesempitan dan tekanan ekonomi semakin dirasakan saat ini. Dilema ini bukan sahaja dirasakan oleh rakyat Malaysia akibat kenaikan harga minyak yang membawa kepada kenaikan harga barang-barang keperluan harian dan juga perkhidmatan. Ia turut dirasakan oleh masyarakat seluruh dunia.

Disebabkan itu, pelbagai langkah telah diambil oleh negara-negara serantau untuk menangani masalah yang berlaku dalam sistem kapitalisme ini. Antaranya, pengenalan Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) dan penganjuran Persidangan Asia Pacific Economic Conference (APEC) di Indonesia baru-baru ini. Ramai pihak menyedari TPPA banyak kesan buruknya pada masa depan dan kepada kedaulatan sesebuah negara. Hakikatnya, masalah yang timbul hasil daripada sistem yang rosak tidak akan mampu diselesaikan dengan sesuatu yang dihasilkan daripada sistem itu sendiri. Jadi, sampai bilakah umat Islam mahu terus menyembah dan mengharap pada sistem ini sedangkan Allah S.W.T telah menyempurnakan Islam sebagai petunjuk bagi umat manusia?

Dengan berakhirnya tahun 2013 dan menjelangnya tahun 2014 ini, marilah sama-sama kita menyemak diri sendiri adakah kita sebenarnya telah bersungguh-sungguh menyembah Allah S.W.T semata-mata dengan menjadikan agamaNya sebagai cara hidup kita selama ini? Ingatlah janji Allah S.W.T,

“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,..”. [TMQ at-Tahrim (66): 8]

Mudah-mudahan kupasan FU kali ini mampu menggerakkan pembaca sekalian untuk melangkah ke alam masa depan yang cerah di dunia dan di akhirat dengan menjadikan reda Allah S.W.T sebagai matlamat utama dalam menjalani kehidupan. InsyaAllah.

Wallahu a’lam.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment