Taubat Nasuha Menuntut Perubahan

NAFSIYAH
Taubat Nasuha Menuntut Perubahan

Definisi Taubat Nasuha

Istilah at-tawbah an-nashûha dibentuk daripada kata at-tawbah dan an-nashûha. Kata tawbah merupa-kan mashdar daripada kata: tâba–yatûbu–tawban wa tawbat[an] wa matâban.

Daripada segi bahasa, definisi asalnya ialah ar-rujû’ atau ’âda (kembali). Al-Jauhari dalam Ash-Shihah fî al-Lughah mendefinisikan tawbah (taubat) sebagai ar-rujû’ min adz-dzanb (kembali daripada dosa). Dalam Al-Qâmûs al-Muhîth, al-Fairuz Abadi menyatakan bahawa tawbah adalah ar-rujû’ ’an al-ma’shiyah (kembali daripada kemaksiatan).

Selain itu, Ibnu Sayidih dalam Al-Mukhashish, menyebutkan asal kata tawbah ialah an-nadam (menyesal). Kata an-nashûha pula berasal daripada kata: nashaha–yanshahu–nushhan wa nashâhat[an]; yang maksudnya secara bahasa adalah nasihat, khalusa (murni/tulus).

Ibnu Kathir telah menyebutkan dalam tafsirnya; “Taubat nasuha ialah taubat yang benar dan tegas, yang dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan lalu, meleraikan kekusutan, seterusnya menghimpunkan dan menyucikan kotoran-kotoran dosa yang telah ia lakukan”. Malah, Umar r.a, Ibnu Masud r.a, Ubai Ibn Ka’ab r.a men-jelaskan bahawa, “Taubat nasuha bererti bertaubat daripada sesuatu dosa, serta tidak akan sekali-kali kembali melakukannya sepertimana tidak kembalinya susu ke dalam kantungnya!” Menurut Ibn Abbas dan al-Kalbi, taubat nasuha ialah menyesal dengan hati, istighfar dengan lisan, meninggalkan kemaksiatan dengan badan dan berketetapan hati untuk tidak akan mengulanginya.


Kewajipan Bertaubat

Firman Allah S.W.T, “Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya. Mudah-mudahan Tuhan kalian menghapus kesalahan-kesalahan kalian dan memasukkan kalian ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai” [TMQ at-Tahrim (66): 8].

“Siapa saja yang tidak bertaubat, mereka itulah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Hujurat (49): 11].

Ayat – ayat di atas menunjukkan qarinah (indikasi) yang jelas dan ketegasan perintah untuk bertaubat. Di antara qarînah itu adalah adanya perintah dalam ayat 8, Surah At-Tahrim, iaitu bahawa orang yang bertaubat akan dihapus kesalahannya dan dimasukkan ke dalam syurga. Sebaliknya pula, orang-orang yang tidak bertaubat dianggap sebagai orang yang zalim. Ini secara jelas menunjukkan bahwa perintah bertau-bat kepada Allah adalah bersifat tegas sehingga hukumnya adalah wajib. Rasulullah S.A.W pernah bersabda kepada Aisyah r.a,

“Hai Aisyah, jika engkau berbuat dosa maka memohon ampunlah kepada Allah, kerana sesungguhnya taubat daripada dosa adalah menyesal atasnya dan memohon ampunan” [HR Ahmad].

Syarat Taubat Nasuha

Saidina Ali bin Abi Thalib r.a meriwayatkan bahawa taubat nasuha harus menghimpunkan enam perkara: menyesal atas dosa yang telah lalu; kembali melaksanakan kewajipan; menolak atau mengembalikan kezaliman (mengembalikan hak kepada yang berhak); menyelesaikan persengketaan; berazam tidak akan mengulangi; dan menggiatkan diri dalam ketaatan. Imam an-Nawawi menjelaskan taubat nasuha harus me-menuhi tiga rukun: meninggalkan kemaksiatan; menyesal telah melakukannya dan bertekad tidak akan mengulanginya.


Al-Asfahani menjelaskan kata al-tawb bererti meninggalkan dosa dengan bersungguh-sungguh. Secara syar’i, kata tersebut mengandungi empat perkara, yang merupakan syarat-syarat taubah iaitu: meninggalkan dosa kerana keburukannya, menyesali kelalaian yang telah dilakukan, bertekad untuk tidak mengulangi dosa lagi dan memperbaiki dengan amal.

Menurut para ulama juga, termasuk taubat nasuha adalah dengan mengajukan diri untuk dikenakan hukuman syar’i atas diri, baik hudûd, jinâyât ataupun ta’zîr. Hal itu seperti yang dilakukan Maiz al-Aslami dan al-Ghamidiyah. Rasul dalam riwayat yang ada menyatakan bahawa tindakan itu sebagai bentuk taubat nasuha daripada keduanya.

Taubat Dan Kesannya

Berdasarkan definisi syara’ dan syarat-syarat taubat nasuha di atas, jelas bagi kita bahawa taubat nasuha bukanlah sekadar lafaz di bibir, tetapi ia adalah kesedaran yang mendalam dalam diri orang-orang yang bertaubat sehingga mereka akan bersungguh-sungguh memohon ampun, menyesali dosa-dosa yang mereka lakukan, malah membenci dan meninggalkan jauh-jauh kemaksiatan tersebut. Tidak dikatakan seseorang itu bertaubat hanya dengan mengatakan, “aku menyesali perbuatanku”, tetapi masih terus hidup bergelumang dengan ke-maksiatan. Malah, sekiranya beliau melakukan pelbagai amal kebajikan lain untuk menebus dosa-dosanya, tetapi masih tidak meninggalkan per-buatan dosa yang diketahuinya, maka itu belum disebut sebagai taubat nasuha.

“Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka ber-taubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan tidaklah taubat itu diterima Allah daripada orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) ia mengatakan: “Sesungguhnya saya bertaubat sekarang”. Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedang mereka dalam kekafiran. Bagi orang-orang itu telah Kami sediakan seksa yang pedih” [TMQ An-Nisa` (4): 17-18].

Imam Al-Ghazali, dalam kitab Ihya Ulumuddin menyebutkan bahawa taubat nasuha perlu disertakan dengan ilmu, hati dan amal. Ilmu berkenaan syariatullah, sehingga mereka mengetahui kezaliman dan kemaksiatan yang mereka lakukan sebagai dosa dan bakal menerima pembalasan di hari akhirat kelak. Hati yang menyedari tentang hubungannya sebagai hamba kepada Al-Khaliq (idrak sillah billah), sehingga muncul rasa ketakutan dan kehambaaan, rasa takut tetapi tetap berharap akan keampunan Rabbnya. Amal, yang membuktikan kesan daripada taubat nasuhanya iaitu meninggalkan kemaksiatan yang telah diketahui olehnya. Allah S.W.T berfirman,

“Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh; maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan orang yang bertaubat dan mengerjakan amal soleh, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya” [TMQ al-Furqan (25): 70-71].

Terdapat beberapa pengajaran daripada ayat di atas. Pertama, sebagaimana ditegaskan sebelumnya, taubat yang diterima di sisi Allah ialah taubat nasuha. Allah S.W.T berfirman: Illâ man tâba wa âmana wa ‘amila shâlih[an] (kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh). Dalam ayat sebelumnya [TMQ Al-Furqan (25): 68 dan 69] disebutkan tentang ancaman seksa keras lagi menghina-kan bagi orang-orang yang melanggar perbuatan terlarang, iaitu: menyembah selainNya, membunuh jiwa yang diharamkan dan berzina. Kemudian dalam ayat ini juga disebutkan, orang-orang yang dikecualikan daripada ancaman seksa tersebut. Mereka yang dikecualikan itu adalah orang-orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh.

Taubat perlu disertai dengan per-buatan hati (keimanan, rasa menyesal yang bersungguh-sungguh, kebencian terhadap kemaksiatan dan keazaman untuk berubah), lisan serta amal perbuatan (meninggalkan keharaman dan melipatgandakan perbuatan keba-jikan). Inilah satu-satunya jalan bagi orang yang ingin mendapat ampunanNya. Bahkan menjadi orang yang dicintaiNya sebagaimana ditegaskan dalam firmanNya:

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri” [TMQ al-Baqarah [2]: 222].

Maka bersegeralah bertaubat selagi pintu taubat masih terbuka. Ibnu Jarir dalam tafsirnya menyebutkan bahawa kata wa âmana (dan beriman), mensyaratkan bagi orang-orang yang bertaubat agar mem-benarkan setiap perkara yang dibawa Nabi Muhammad S.A.W. Ini ditegaskan lagi dalam kata :wa ‘amila shâlih[an] (dan mengerjakan amal soleh), iaitu mengerjakan segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang Allah S.W.T.

Kedua, setiap orang yang melakukan kemaksiatan dan melanggar perintah Allah, tidak boleh berputus asa terhadap ampunan dan rahmat Allah kerana sesungguhnya pintu taubat masih terbuka selagi mana mereka masih bernyawa. FirmanNya di dalam ayat yang sama: Wakânal-Lâh Ghafûr[an] Rahîm[an] (dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang). Frasa ini memberikan penegasan bahawa pintu ampunan Allah masih terbuka bagi orang yang ingin bertaubat.

Menurut Al-Jazairi, kata Ghafûr bererti yang memiliki maghfirah (ampunan) bagi hamba-hambaNya yang bertaubat. Rahîm pula bererti yang memiliki rahmah (kasih sayang) kepada mereka. Ayat-ayat ini menerangkan bahawa sesiapa yang telah terlanjur mengerjakan perbuatan-perbuatan dosa, masih berpeluang un-tuk diampunkan dosa-dosanya dengan syarat mereka mahu bertaubat, beriman dan beramal soleh. Allah berfirman:

“Katakanlah: “Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu ber-putus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya” [TMQ al-Zumar (39): 53].

Hadis-hadis lain turut memberikan maksud serupa,

“Allah Azza wa Jalla akan senantiasa membuka lebar-lebar tanganNya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa pada siang hari dan Allah senantiasa akan mem-buka tanganNya pada siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa pada malam hari, dan yang demikian terus berlaku hingga matahari terbit dari barat” [HR Muslim no. 2760].

“Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selama nyawanya belum sampai ke tenggorokan.” [HR At-Tirmizi no. 1531, Ibnu Majah no. 3407, dan dinyatakan shahih oleh Al-Albani dalam Shahih Al-Jami’ no. 1309].

Ketiga, Allah akan menjadikan seseorang yang melakukan taubat nasuha mampu untuk meninggalkan kemaksiatan dan mengukuhkan mereka dalam ketaatan. Allah S.W.T berfirman dalam ayat yang sama: Fa ulâika yubaddilul-Lâh sayy`iâtihim hasanât (maka kejahatan mereka digantikan oleh Allah dengan kebajikan). Ini merujuk kepada mereka yang memenuhi tiga sifat yang dijelaskan sebelumnya, iaitu: ber-taubat, beriman dan beramal soleh. Keburukan mereka akan diganti oleh Allah S.W.T dengan kebajikan (al-Syaukani, al Hasan dan al-Alusi).

Kemudian dalam ayat berikutnya Allah S.W.T berfirman, Fa innahu yatûbu ilal-Lâh matâb[an] (maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya). Ayat ini memberikan penegasan bahawa sesiapapun yang bertaubat dan beramal soleh, maka mereka sesungguhnya telah bertaubat dengan sebenar-benarNya (taubat nasuha). Al-Qurthubi menjelaskan, maka Allah pun menerima taubatnya dengan sebenar-benarnya.

Khatimah

Berdasarkan keterangan di atas, jelas bahawa taubat itu menuntut kepada perubahan iaitu daripada keburukan kepada kebaikan. Bersama-samalah kita bertaubat dengan taubatan nasuha untuk terus berjuang demi memastikan sistem Islam kembali menaungi kehidupan ummat.

Rujukan:
• Tafsîr al-Qurthubî
• Min Muqawwimat Nafsiyah Islamiyah
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment