Laporan Kempen Maulidur Rasul Rabiul Awal 1435H Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia

Laporan Kempen Maulidur Rasul Rabiul Awal 1435H Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia

Januari 2014 Bersamaan Rabiul Awal 1435H – Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) telah melancarkan Kempen Sempena Maulidur Rasul 1435H sepanjang bulan Rabiul Awal pada tahun ini. Kempen ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada umat Islam tentang bagaimana seharusnya kita sebagai umat yang mencintai Allah dan RasulNya melahirkan perasaan kasih kita ini dengan cara yang benar iaitu dengan melaksanakan sunnah Baginda. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menyatakan peri pentingnya memandang serius terhadap teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah dalam aspek bernegara. Bukan itu sahaja, MHTM juga turut menyeru umat Islam di Malaysia khususnya untuk sama-sama bergabung dengan Hizbut Tahrir demi mengembalikan kegemilangan Islam di bumi bertuah ini dengan mengikut thariqah (metod) dakwah Rasulullah S.A.W.

Kempen ini diadakan secara meluas di seluruh Malaysia dengan pelbagai aktiviti menarik dijalankan di setiap negeri. Antara aktiviti yang diadakan adalah Pameran tentang keperibadian dan thariqah (kaedah) dakwah Rasulullah SAW, mini seminar dan forum, siri ceramah dan tazkirah umum, edaran risalah-risalah dan juga seruan. Pelbagai tempat telah dikunjungi oleh aktivis MHTM dalam rangka untuk mencapai objektif kempen seperti pasar-pasar tani, tempat kunjungan orang ramai, perpustakaan awam, majlis-majlis terbuka dan lain-lain.

Secara keseluruhannya, kempen ini telah mendapat sambutan yang sangat positif daripada umat Islam khususnya golongan muda. Rata-rata berpendapat kempen ini telah mengingatkan semula umat Islam tentang perjuangan Rasulullah S.A.W yang semakin lama dilupakan oleh generasi umat Islam. Selain itu, ramai yang bersetuju bahawa pelaksanaan sistem Islam oleh sebuah Negara seperti yang dicontohkan oleh Rasulullah S.A.W dan para khalifah selepasnya berjaya menjamin kesejahteraan umat dan inilah yang patut dilakukan oleh umat Islam saat ini. Ini menunjukkan bahawa umat Islam telah sedar bahawa Rasulullah S.A.W bukan hanya mengajarkan perkara-perkara yang berkaitan dengan ibadah dan akhlak semata-mata. Rasulullah juga diutuskan untuk mengajarkan kepada manusia tentang cara untuk mentadbir sesebuah negara.

Oleh itu, MHTM merasakan tanggungjawab yang besar untuk membentuk kesedaran umat Islam tentang perlunya mencontohi dan mengambil keseluruhan sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W demi menyambung tujuan Baginda diutuskan di muka bumi ini iaitu sebagai rahmat ke sekalian alam. MHTM mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh masyarakat Malaysia, pemilik-pemilik premis dan juga pihak berkuasa atas kerjasama dan sokongan kepada MHTM dalam rangka untuk mencapai tujuan yang mulia tersebut.


Berikut adalah teks seruan yang disampaikan oleh aktivis MHTM:

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh

Kami dari Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) sedang melakukan kempen sempena Maulidur Rasul,dalam bulan Rabiul Awwal iaitu bulan kelahiran Rasulullah SAW. Nabi yang kita cintai. Nabi yang kita kasihi. Iaitulah Nabi Muhammad SAW. Kita sedia maklum bahawa baginda SAW adalah manusia pilihan yang diutus oleh Allah SWT untuk membawa risalah Islam. Deen yang membawa rahmat kesekalian alam. Firman Allah SWT,

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam” [TMQ al-Anbiyaa’ (21):107].


Jutaan manusia diseluruh dunia termasuklah kita yang ada pada hari ini telah dapat merasakan nikmat yang paling besar dalam kehidupan ini iaitu nikmat iman dan Islam. Ketahuilah wahai Muslimah sekalian: Semuanya itu adalah bertitik tolak daripada jerih payah dan pengorbanan serta perjuangan yang telah dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW. Ini semuanya adalah selari dengan tujuan baginda SAW diutuskan, iaitu untuk membawa dan menzahirkan deenul Islam: Firman Allah SWT:

“Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.” [TMQ at-Taubah(9):33].

Wahai Muslimah sekalian. Ketahuilah! Sedarlah!

Peringatan Maulid Nabi saw selayaknya mengandungi konsep muhasabah tentang sikap kita terhadap Baginda SAW, terhadap dakwah dan risalah yang dibawa oleh Baginda SAW dan yang lebih jauh dari itu adalah, bagaimana kita menterjemahkan semuanya itu kedalam kehidupan kita hari ini. Baik kehidupan secara individu, bermasyarakat mahupun bernegara. Adalah sesuatu yang janggal ketika kita memperingati Maulid Rasul. Tetapi kehidupan kita jauh dari kehidupan yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW. Kehidupan masyarakat dan Negara kita jauh dari kehidupan yang pernah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Wahai Muslimah sekalian!

Dalam konteks kita mengenang hari kelahiran Nabi yang kita cintai ini, satu hal penting yang tidak boleh kita lupakan adalah, bahawa baginda tidak sepatutnya hanya dilihat sebagai Nabi semata-mata. Tetapi, Baginda mempunyai dua kedudukan dan tugas sekaligus: Yang pertama, sebagai nabi dan rasul kepada seluruh manusia dan yang kedua, sebagai pemerintah dan pemimpin kepada sebuah Negara Islam Madinah. Hal itu dapat kita fahami dan dibuktikan daripada nash-nash yang terdapat dalam al-Quran nul kareem. Maknanya Nabi SAW adalah seorang pemimpin spiritual dan politikal sekaligus.

Sebagai Nabi dan Rasul, tugas baginda SAW adalah menyampaikan risalah Allah SWT. FirmanNya, “Dan taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul-Nya, jika kamu berpaling sesungguhnya kewajiban Rasul Kami hanyalah menyampaikan (risalah Allah) dengan terang.” [TMQ at-Taghabun (64): 12].

Dalam ayat yang lain pula, Nabi saw telah diperintahkan oleh Allah untuk memutuskan perkara di antara manusia dengan apa yang diturunkan kepada Baginda SAW. Allah SWT berfirman, “Maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu.” [TMQ al-Maidah (5): 48].

Tugas kenabian sudah berakhir dengan wafatnya Nabi SAW. Namun tugas sebagai pemimpin negara dalam menerapkan syariat Islam tidak pernah berakhir, ianya dilanjutkan oleh para khalifah sebagai ketua negara Khilafah sepeninggalan Nabi SAW. Sabda Nabi Muhammad SAW,

“Dahulu Bani Israel diatur urusannya oleh para nabi. Setiap kali seorang nabi wafat, dia digantikan dengan nabi lainnya. Dan sesungguhnya tak ada lagi nabi sesudahku, yang ada adalah para khalifah dan jumlah mereka akan banyak…” [HR Muslim].

Kini Nabi sudah tiada. Negara Islam yang ditinggalkan oleh baginda dan diteruskan oleh para Khalifah yang terdahulu juga sudah dihancurkan oleh musuh-musuh Islam. Ketahuilah bahawa:

Khilafah Rasyidah iaitu sistem pemerintahan yang berpetunjuk itu adalah sebaha gian dari sunnah Khulafa`ur Rasyidin yang diperintahkan oleh Nabi agar kita genggam erat. Pesanan Nabi SAW:

“…Maka kalian wajib berpegang kepada sunnahku dan sunnah Khulafaur Rasyidin yang mendapat petunjuk. Berpegang teguhlah kepadanya dan gigitlah itu erat-erat dengan gigi geraham. …” [HR. Ahmad, Abu Dawud, Ibn Majah dan Tirmidzi].

Wahai Muslimah sekalian!

Marilah kita meneladani Nabi saw dalam mengamalkan dan menerapkan syariah Islam, marilah kita menjaga, memelihara sunnah baginda SAW. Marilah kita melanjutkan dakwah baginda dan mengembang risalah Islam ke seluruh penjuru dunia. Hal itu mesti diwujudkan dalam bentuk keterlibatan kita secara aktif dalam perjuangan untuk mewujudkan semula penerapan syariah Islam secara total dan menyeluruh dalam bingkai Khilafah. Dan itulah sesungguhnya yang diperintahkan oleh Rasul kepada kita umat Islam. Allah SWT berfirman,

“Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa cubaan atau ditimpa azab yang pedih.” [TMQ an-Nur (24): 63].

Maka dalam kesempatan ini kami dari Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia ingin mengajak para Muslimah sekalian untuk berjuang bersama-sama dalam mengembalikan semula khazanah agung yang telah ditinggalkan oleh Baginda SAW ini. Ini semuanya adalah sebagai bukti kecintaan kita kepada junjungan besar nabi Muhammad SAW.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment