SUNNAH BERJUANG: TANDA CINTA KEPADA RASULULLAH


SUNNAH BERJUANG: TANDA CINTA KEPADA RASULULLAH

Sememangnya Rasulullah S.A.W senantiasa dijadikan contoh sebagai peribadi yang sangat bertakwa kepada penciptaNya. Walaupun baginda telah dijanjikan syurga oleh Allah S.W.T, baginda tetap istiqamah solat malam sehingga melecet buku lalinya. Umat Islam juga menjadikan Rasulullah sebagai teladan seorang suami yang sangat pengasih pada isteri-isterinya dan bapa yang begitu penyayang pada anak-anaknya. Keperibadiannya sebagai seorang pemimpin, pemerintah dan hakim yang adil juga sering diceritakan untuk dijadikan ikutan, panduan dan lambang ketaatan seorang teladan kepada Rabbnya.

Setiap Muslim wajib taat kepada perintah Rasulullah. Tetapi ramai beranggapan bahawa tidak mudah untuk selalu mentaati perintah Rasul, terutama di zaman yang serba mencabar ini. Jadi, bagaimanakah kita boleh menjaga ketaatan kepada perintah Rasulullah? Rahsianya mudah sahaja, iaitu cinta. Cinta memudahkan ketaatan, umpama kanak-kanak yang mengikut suruhan ibunya yang tersayang, dibandingkan jika yang menyuruh adalah orang lain yang tidak dikenalinya atau dibencinya. Cinta kepada Rasulullah akan menjadi satu kekuatan untuk setiap Muslim melaksanakan apapun suruhan baginda, demi mendapat keredaanNya. Rasulullah S.A.W bersabda,

“Tiga perkara, sesiapa memilikinya akan merasai kemanisan iman: cinta kepada Allah dan RasulNya di atas (melebihi) yang lain, mencintai seseorang sebagaimana dirinya sendiri kerana Allah dan enggan ditolak kepada maksiat seperti enggannya dia ditolak ke neraka” [Muttafaq alaih].

Justeru, bagaimanakah caranya untuk kita mencintai seorang manusia yang telah terpisah berbelas abad lamanya dengan kita? Kita tidak pernah memandang wajahnya atau mendengar suaranya. Malahan dia hidup dalam suasana dan cara yang berbeza. Bagaimanakah kita ingin mewujudkan rasa cinta tersebut?

Sememangnya cinta kepada Rasulullah bukanlah sesuatu yang muncul semula jadi seperti cinta kepada anak atau harta. Di sinilah pengenalan dan kefahaman yang akan menentukan. Semakin banyak kita mengenali baginda, semakin banyak kita mendengar perkhabaran tentang baginda dan semakin kita mengkaji dan memahami makna di sebalik setiap perbuatan Baginda, nescaya semakin kuatlah perasaan cinta kepada Baginda.

Baginda Terlalu Istimewa

Kelahiran Rasulullah SAW seperti hadirnya cahaya ketika seisi dunia dalam kegelapan. Baginda adalah simbol kasih sayang dan penyebaran cinta kepada seluruh alam. Jauh berbeza dengan pemimpin dunia yang mempropagandakan permusuhan atas nama bangsa, kasta atau keuntungan ekonomi.

Baginda melarang umatnya mengasah pisau di depan haiwan yang akan disembelih, dengan alasan “Engkau (seolah-olah) membunuhnya dua kali”. Inilah akhlak baginda kepada haiwan. Apabila baginda ditolak dan disakiti di Thaif, baginda justeru mendoakan dan berharap keturunan mereka akan memeluk agama Islam. Inilah akhlak baginda kepada manusia semasa baginda dalam usaha berdakwah menyebarkan agama Islam.

Baginda menegakkan kebenaran bersumberkan wahyu dari Sang Pencipta. Sungguh berbeza dengan masyarakat moden hari ini yang mempertuhankan nafsu, mengkompromikan haq dan batil. Tanyakanlah kepada mereka apa hukumnya riba? Hudud? Tahaluf? Jawapan mereka selalu bertukar ganti kerana keinginan mengikut nafsu dan kehendak kelompok atau orang ramai.

Selepas Rasulullah S.A.W dibai’ah sebagai pemimpin dan pemerintah Negara Islam pertama di dunia iaitu di Madinah, baginda telah memartabatkan kedudukan manusia dengan Islam, mewajibkan menuntut ilmu, mendorong pembangunan teknologi dan menggalakkan penyebarannya di setiap lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa, warna kulit, darjat atau lain-lain. Bandingkan fakta ini dengan negara maju yang hanya tahu menindas golongan lemah dan miskin, menjaga golongan yang berkepentingan dan memartabatkan semangat negara-bangsa. Tahukah anda, hanya dalam masa 10 tahun sejak penubuhannya, negara Islam yang diasaskan oleh Rasulullah ini berjaya mencapai kemiskinan sifar, sesuatu yang dianggap mustahil oleh negara industri seperti Amerika! Inilah anugerah sebenar yang tidak ternilai harganya, iaitu pemikiran yang hidup dan subur berdasarkan wahyu daripada Allah S.W.T yang telah termaktub dalam Al-Quran. Dengannya umat manusia menjadi mulia dan utama.

Baginda telah membina dan memulakan sebuah tamadun Negara Islam yang maju dengan landasan takwa, maka rakyatnya bersegera mencari keredaan Rabbnya. Ketika terlanjur melanggar syariat, mereka menyerahkan diri untuk dijatuhkan hukuman, demi menebus ampunan daripada Allah. Maka tidak hairanlah jenayah sangat jarang berlaku. Di bandingkan di negara-negara Barat, jenayah merupakan hidangan harian masyarakat yang sudah tidak terbendung oleh negara.

Baginda mengajarkan keselarian hablun min Allah wa hablun minannas (hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia). Dakwah pertama baginda adalah mewujudkan hubungan dengan Allah yakni dengan mengEsakanNya dan seterusnya adalah menjaga hubungan dengan manusia. Baginda menegakkan negara yang memberi perlindungan menyeluruh (ke atas akal, harta, agama, kehormatan dan sebagainya) sebagai model ketaatan tidak berbelah oleh manusia kepada Penciptanya.

Hanya hati yang bergelumang dosa dan debu kejahilan yang gagal memandang cahaya terang yang dibawa Rasulullah ke dunia ini.

Hadiah Rasulullah kepada Wanita

Suatu ketika dulu, dunia memandang wanita dengan penuh penghinaan. Di Barat, wanita dianggap seperti ‘separuh’ manusia. Di Timur, wanita mesti dibunuh jika kematian suami. Manakala di negara Arab pula bayi perempuan dikubur hidup-hidup.  

Rasulullah S.A.W adalah tokoh pertama dalam sejarah dunia yang menetapkan wanita sebagai saudara kandung lelaki  dan berhak mendapat perlindungan daripada lelaki. Wanita dipandang sebagai kehormatan yang mesti dijaga sehingga dilarang mendedahkan aurat, menjadi penghibur atau dijadikan pelacur. Wanita dijamin hidup terhormat bersama lelaki dalam ikatan perkahwinan yang suci. Rasulullah sendiri menjadi contoh agar suami menyayangi, menghormati para isteri serta membantu mereka melakukan kerja rumah dan amal soleh. Wanita dijadikan begitu istimewa dengan peranan keibuannya, bukan kecantikan dan kekayaannya.

Baginda menetapkan agar wanita mendapat nafkah, mahar, harta pusaka, boleh bekerja dan mengelola harta.  Wanita turut diwajibkan menuntut ilmu, malahan boleh mengajarkan ilmu kepada lelaki. Rasulullah adalah pemimpin pertama di dunia yang memberi hak politik kepada wanita untuk memilih pemimpin mahupun menyampaikan kritikan terhadap pemimpin. Sedangkan negara seperti Amerika Syarikat baru memberi hak mengundi kepada wanita pada tahun 1920 (13 abad kemudian)!

Merayu Syafaat Nabi S.A.W

Sebagai insan yang penuh kekurangan, bagaimanapun buruknya ibadah kita dan jauhnya kelalaian kita, kita mesti berharap syafaat Rasulullah akan menyelamatkan kita daripada seksa di padang mahsyar dan azab di neraka. Malahan kita berharap untuk menjadi ahli syurga dan bertemu dengan baginda yang mulia. Namun apakah usaha kita demi mendapatkan keistimewaan ini?

Para sahabat Nabi S.A.W amat menyayangi dan memuliakan baginda, melakukan segala perintah dan meninggalkan tegahan baginda. Dalam pada memuliakan baginda, mereka tidak melakukan apa yang tidak diperintahkan seperti meraikan hari kelahiran baginda.  Mereka memuliakan baginda dengan mengucap salam dan selawat serta mengikuti sunnah baginda. Namun lebih jauh lagi mereka sanggup mengorbankan segala-galanya untuk melancarkan misi baginda menyebarkan Islam ke seluruh dunia. Itulah sikap dan sifat para sahabat. Bagaimana dengan kita? Apa lagi hadiah terbaik kepada orang yang kita cintai yang telah meninggalkan kita, melainkan menjaga pusakanya dan menyambung perjuangannya? Rasulullah S.A.W bersabda,

“Telah kutinggalkan kepadamu dua pusaka perkara yang jika kamu berpegang kepadanya nescaya kamu tidak akan tersesat sesudahku selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan Sunnahku” [HR Malik dan Hakim].

Semasa perang Uhud, penduduk Madinah digoncang berita bahawa Rasulullah terbunuh. Seorang wanita Ansar mendapati ayahnya, abangnya, suaminya dan anaknya terbunuh, tetapi dia justeru mencari Rasulullah S.A.W. Dia menemui baginda dan memegang bajunya dan berkata: “Demi ayah dan ibuku wahai Rasulullah, aku tidak kisah, yang penting bagiku adalah Engkau selamat dari bahaya”.

Dalam peperangan ini juga, seorang sahabiyah bernama Ummu Imarah termasuk orang yang tetap melindungi Rasulullah ketika ramai bertempiaran lari dipukul musuh. Dia menjadikan badannya sebagai perisai menahan serangan pedang dan panah musuh kepada Rasulullah, sehingga dirinya terluka parah, mengundang senyuman Nabi dan pujian kepadanya. Beginilah antara pengorbanan para sahabiyyah demi mendapat keredaan Allah dan RasulNya.

Tidakkah kita cemburu dengan kedudukan mereka di mata Rasulullah? Tidakkah kita cemburu kepada Asma’ binti Abu Bakar yang menjayakan misi hijrah Nabi? Tidakkah kita cemburu kepada Ummu Syarik yang menempuhi seksaan kaumnya sehingga akhirnya mereka masuk Islam kerananya? Pastilah kita cemburu kepada Barkah, bekas hamba yang melahirkan Usamah bin Zaid, pemuda kesayangan Nabi S.A.W dan panglima perang melawan tentera Rum.

Khatimah

Kini baginda telah meninggalkan kita. Tinggallah kita sebagai umatnya untuk mencontohi keperibadian baginda yang sangat mulia di sisi Allah S.W.T. Kita juga ditinggalkan dengan amanah untuk merealisasikan tujuan perutusan baginda iaitu sebagai rahmat ke seluruh alam dengan cara meneruskan perjuangan baginda menyebarkan Islam ke seluruh dunia. Jalan yang telah dilalui oleh Rasulullah dan para sahabat telah jelas. Mereka tidak hanya menegakkan syiar Islam secara nafsi-nafsi (sendiri-sendiri) tetapi mereka berjuang sehingga Islam dilaksanakan secara keseluruhan dalam pemerintahan Negara. Maka, apa kita tunggu lagi. Ayuhlah berjuang bersama di jalan ini sebagai tanda cinta kita kepada Rasulullah S.A.W.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment