Hukum Pertunangan dalam Islam

SOALAN:

Saya perhatikan sebahagian Muslim sekarang menganggap bertunang itu satu lesen untuk keluar dating berdua-duaan. Tiada segan silu lagi malah lebih teruk lagi apabila ibu bapa juga membenarkan. Apakah pandangan Islam tentang budaya ini?

JAWAPAN:

Muqaddimah

Majlis pertunangan sudah menjadi sebahagian daripada adat masyarakat di Malaysia. Malah, terdapat segelintir masyarakat yang mengadakan majlis pertunangan secara besar-besaran persis majlis perkahwinan. Hal ini, sudah pastinya mengundang pelbagai penyimpangan daripada segi syariat Islam. Persoalan ini adalah penting untuk dibincangkan kerana setiap perbuatan manusia itu terikat dengan hukum syariat Islam. Inilah apa yang dimaksudkan dengan kaedah fikih “al-aslu fi al-af’al tuqayyidu bi hukmillah” (“hukum asal perbuatan manusia adalah terikat dengan hukum Allah”).

Sesungguhnya Islam telah menjelaskan dengan terperinci dalam Al-Quran dan Sunnah berkaitan perihal pergaulan antara lelaki dan perempuan agar umat Islam tetap berpegang kepada hukum-hakam Islam walau dalam apa jua keadaan dan situasi supaya berada di atas landasan yang benar dan tidak hanya menurut hawa nafsu semata-mata.

Khithbah (Peminangan)

Seorang lelaki yang telah berhasrat untuk menikahi seorang wanita, hendaknya meminang wanita tersebut kepada walinya. Apabila seorang lelaki mengetahui wanita yang hendak dipinangnya telah terlebih dahulu dipinang oleh lelaki lain dan pinangan itu diterima, maka haram baginya meminang wanita tersebut. Ini kerana Rasulullah S.A.W pernah bersabda,

“Tidak boleh seseorang meminang wanita yang telah dipinang oleh saudaranya hingga saudaranya itu menikahi si wanita atau meninggalkannya (membatalkan pinangannya)” [HR Al-Bukhari no. 5144].


Dalam riwayat Muslim (no. 3449) disebutkan, “Seorang Mukmin adalah saudara bagi mukmin yang lain. Maka tidaklah halal baginya menawar barang yang telah dibeli oleh saudaranya dan tidak halal pula baginya meminang wanita yang telah dipinang oleh saudaranya hingga saudaranya meninggalkan pinangannya (membatalkan)”.

Peminangan dan pertunangan hanya boleh berlangsung apabila telah disahkan oleh wali wanita tersebut bahawa wanita tersebut tidak atau belum pernah menerima pinangan daripada lelaki lain sebelum ini atau dalam erti kata lain tidak dalam tempoh pertunangan dengan mana-mana lelaki.

Setelah pinangan diterima tentunya akan ada lanjutan perbincangan seperti penetapan tarikh pernikahan, urusan walimatul urus dan lain-lain. Namun tidak bererti setelah peminangan tersebut, si lelaki bebas berdua-duaan dan berhubungan dengan tunangannya. Ini kerana selagi belum berlangsungnya akad nikah, maka kedua-duanya tetap ajnabi, maka tidak seharusnya seorang Muslim mengambil mudah dalam hal ini.

Larangan berkhalwat

Apabila seseorang telah bertunang (telah berlaku peminangan), ia tidak mewujudkan satu hubungan khas umpama orang yang telah berkahwin. Dalam hal ini, perbezaan antara bertunang dan sebelum bertunang adalah daripada sudut ikatan perjanjian yang dibuat sebelum berkahwin. Ikatan perjanjian yang dibuat akan berterusan sehingga mereka berdua berkahwin. Namun begitu, daripada sudut hubungan antara lelaki dan perempuan, sama sahaja hukumnya dengan orang lain yang masih belum bertunang.

Maka hukumnya juga haram bagi pasangan yang bertunang untuk berkhalwat dan mereka juga tidak boleh bersentuhan tangan, bercampur tanpa ditemani mahram, keluar berdua-duaan di tempat-tempat umum dan sebagainya. Rasulullah S.A.W bersabda,

“Janganlah seorang lelaki berkhalwat dengan seorang wanita kecuali dia disertai mahramnya, kerana yang ketiga di antara keduanya adalah syaitan” [HR Muslim, dari jalur Ibnu ‘Abbas].

Hukum Lelaki Memandang Wanita

Islam telah menggariskan hukum dalam persoalan lelaki memandang wanita. Bagi lelaki yang telah baligh, maka haram bagi lelaki tersebut melihat susuk tubuh wanita ajnabi, walaupun lelaki yang memandang itu terdiri daripada warga emas sekalipun. Rasulullah S.A.W bersabda,

“Katakanlah kepada lelaki lelaki yang beriman; “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya;…” [TMQ an-Nuur (24):30-31].

Lelaki yang selain daripada mahram kepada wanita hanya diperbolehkan melihat wajah dan dua telapak tangan wanita dan ia diharamkan untuk melihat selain daripada kedua-dua anggota tubuh itu. Ini termasuklah lelaki yang dalam tempoh pertunangan dengan wanita, hukum-hakam yang terkait adalah tetap sama. Sabda Rasulullah S.A.W,

Dari Jabir ibnu Abdullah meriwayatkan, “Aku pernah bertanya pada Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam mengenai pandangan yang tiba-tiba (tidak disengajakan). Maka baginda (SAW) menyuruhku untuk memalingkan pandanganku” [HR Muslim].

“Janganlah engkau ikuti pandangan pertama dengan pandangan berikutnya. Kerana pandangan pertama adalah untukmu, sedangkan pandangan berikutnya bukanlah untukmu” [HR Ahmad, dari jalur Buraidah].

Hadis pertama menunjukkan bahawa pandangan pertama oleh seorang lelaki terhadap wanita bukan mahramnya adalah dimaafkan. Namun seorang lelaki dilarang (haram) untuk mengulanginya dengan pandangan kedua yang dapat membangkitkan syahwat.

Selain itu, harus difahami bahawa memandang wajah dan dua telapak tangan wanita ajnabi juga dikira haram sekiranya tiada keperluan untuk memandangnya, walaupun berada dalam keadaan aman daripada fitnah sekalipun.

Demikian juga wanita haram melihat lelaki ajnabi sekiranya tiada keperluan. Keperluan dalam hal ini adalah seperti untuk bermuamalah dan sebagainya yang memerlukan seseorang lelaki memandang wanita atau sebaliknya. Hukum-hakam yang telah ditetapkan seperti ini adalah berdasarkan kepada firman Allah S.W.T:

“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman, “hendaklah mereka menahan pandangannya” [TMQ an-Nur (24): 30].


Sesungguhnya sebagai Muslim seharusnya kita berpegang teguh kepada hukum-hakam Islam yang telah diturunkan oleh Allah S.W.T dengan sepenuhnya. Kita dituntut untuk menjaga hukum-hakam dan aturan yang berkaitan dengan perhubungan antara lelaki dan wanita terutamanya mereka yang telah bergelar tunangan orang menurut Syariat Islam. Masyarakat Islam hari ini mengambil pendekatan yang mudah iaitu sesuatu perkara itu boleh dilakukan apabila ia telah menjadi kebiasaan masyarakat sekeliling. Tambahan pula, ibu bapa sendiri tidak memantau aktiviti anak-anak.

Khatimah

Berdasarkan nas syarak yang dikemukakan di atas, ini menunjukkan bahawa Islam amat menitik beratkan soal perhubungan antara lelaki dan wanita. Umat Islam disuruh untuk mengambil sikap berhati-hati (ihtiyat) daripada mengambil sikap mudah. Oleh itu, hukum tentang pergaulan semasa tempoh pertunangan ini haruslah diambil berat supaya masyarakat tidak terbiasa dengan amalan-amalan yang rosak dan keliru sehingga memandang perkara itu bukan satu kesalahan. Islam telah mengatur hubungan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram agar kehormatan, harga diri serta kesucian seseorang perempuan itu terpelihara.

Wallahua`lam.

Rujukan:
• Al-Quran
• An-Nizham Al-Ijtima’i fi Al-Islam oleh Sheikh Taqiyuddin An-Nabhani (Terjemahan)
SHARE THIS

2 comments: