Muslimah Bangkit Contohi Perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam

2 Februari 2014, Bangi - Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) telah menganjurkan Diskusi Muslimah bertajuk Muslimah Mencontohi Rasulullah SAW dengan Menegakkan Khilafah sebagai salah satu aktiviti dalam Kempen Sempena Maulidur Rasul 1435H yang diadakan di seluruh Malaysia. MHTM Cawangan Bangi juga tidak ketinggalan bagi menjelaskan kepada umat Islam tentang bagaimana seharusnya kita sebagai umat yang mencintai Allah dan RasulNya mencontohi Baginda dalam segenap aspek kehidupan sebagai seorang Muslim.

Diskusi Muslimah yang telah diadakan di Khilafah Center, Bangi ini menampilkan Ustazah Ummu Hajar dan Ustazah Syamsiyah Jamil sebagai pembicara pertama dan kedua serta Ukhti Huda sebagai moderator.

Diskusi berjalan dengan dua pusingan soalan yang diajukan kepada para pembicara. Dalam pusingan pertama, Syamsiyah mengimbau senario sambutan maulidur Rasul di Malaysia seperti perarakan beramai-ramai sambil berselawat yang disulami dengan beberapa acara pertandingan, tidak akan dapat menyedarkan umat untuk menghayati perjuangan sebenar Rasulullah SAW dalam menegakkan syiar Islam. Beliau juga menjelaskan tentang kewajipan seorang Muslim untuk mencontohi keperibadian Rasulullah SAW kerana Baginda merupakan uswatun hasanah (suri teladan terbaik) seperti yang dikhabarkan oleh Allah dalam Surah Al-Ahzab ayat 21. Tambahan pula, akhlak Rasulullah adalah Al-Quran dan sesungguhnya Al-Quran diturunkan untuk memandu manusia ke jalan yang lurus. Ini hakikat mencontohi Rasulullah SAW yang benar iaitu menjadikan isi kandungan Al-Quran sebagai cara hidup.

Majlis di teruskan dengan penjelasan daripada Ummu Hajar berkenaan sejarah perjuangan Baginda yang melalui tiga tahapan yang wajib diteladani oleh umat Islam dalam menyebarkan syiar Islam sehingga masyarakat jahiliyyah dapat dikeluarkan daripada kehinaan kepada kemuliaan. Setelah kewafatan Rasulullah SAW, perjuangan baginda diteruskan oleh para sahabat baginda dan khalifah-khalifah seterusnya hingga syiar Islam tersebar ke seluruh dunia dan Darul Islam menguasai 2/3 dunia selama lebih 1300 tahun. Malangnya kini umat Islam telah ditimpa pelbagai kehinaan tanpa hentinya setelah umat Islam tidak lagi meneladani Rasulullah dalam segala aspek kehidupan.

Syamsiyah kemudian mengambil peluang menjelaskan peranan muslimah dalam mencontohi aktiviti politik sebagaimana dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Aktiviti politik yang dimaksudkan adalah dengan mengambil tahu pengaturan pemerintah dalam memenuhi hak dan kewajipan rakyat supaya pemerintah sentiasa melaksanakannya sesuai dengan hukum Islam. Jika pemerintah lalai dalam pelaksanaan tersebut, muslimah juga wajib memuhasabah pemerintah kerana muhasabah terhadap pemerintah adalah sebahagian daripada hukum syarak dan dijanjikan dengan pahala mati syahid jika seseorang itu mati kerana berkata benar di hadapan pemerintah.

Sebagai penutup, Ummu Hajar memperkenalkan Hizbut Tahrir sebagai sebuah parti politik yang bergerak bersama umat untuk menegakkan penerapan syariat mengikut metod dakwah Rasulullah secara kaffah. Sebelum berakhir, para pembicara menjawab beberapa persoalan yang dilontarkan oleh peserta yang hadir sekaligus menunjukkan bahawa muslimah yang hadir begitu bersemangat untuk meneladani kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW.

Di akhir majlis, peserta diseru untuk bersama-sama dengan MHTM dengan berganding bahu bagi menegakkan semula sistem Khilafah Islamiyah yang akan mensejahterakan kehidupan di dunia dan akhirat. Penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada para peserta yang hadir dan bersama-sama menyemarakkan semangat Maulidur Rasul pada tahun ini.



SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment