Seindah Mahar Ummu Sulaim

SERIKANDI TELADAN: SEINDAH MAHAR UMMU SULAIM

“Dan berikanlah mas kahwin (mahar) kepada perempuan (yang kamu nikahi) sebagai pemberian yang penuh kerelaan” [TMQ an-Nisaa’ (4):4].

Firman Allah S.W.T ini merupakan indikasi bahawa mahar merupakan satu kewajipan yang telah Allah tetapkan bagi kaum Adam untuk diberikan kepada kaum Hawa yang ingin dinikahinya. Mahar adalah hak isteri yang diberikan oleh suami dengan hati yang tulus ikhlas tanpa mengharapkan balasan sebagai penyataan kasih sayang dan tanggungjawab suami atas kesejahteraan rumah tangga yang akan mereka bina kelak.

Islam tidak pernah menghadkan atau menetapkan kadar minima atau maksima dalam menentukan mahar bagi seorang wanita. Malah, Islam sangat menganjurkan agar segala urusan perkahwinan dipermudahkan termasuklah dalam penetapan kadar mahar. Rasulullah S.A.W pernah bersabda, “Sesungguhnya perkahwinan yang paling besar keberkatannya ialah yang paling mudah dilamar dan murah mas kahwin (mahar)nya” [HR Ahmad 6/82].

Namun, saat ini kita melihat ramai Muslim yang berpusu-pusu mengejar kemegahan dan kemewahan dalam majlis pernikahan mereka. Bagi mereka, semakin tinggi nilai mahar ataupun nilai wang hantaran, semakin tinggi darjat seseorang itu. Lihat sahaja pernikahan yang telah dijalankan oleh sepasang artis terkenal di Malaysia baru-baru ini yang telah menelan belanja lebih daripada RM3 juta dengan maharnya yang sebanyak RM9,300, manakala wang hantaran sebanyak RM23,200. Sungguh amat mendukacitakan apabila perkahwinan yang dituntut oleh Islam menjadi tempat memperagakan kemewahan sekali gus menjadi satu kerisauan kepada umat Islam sekiranya ia menjadi satu ikutan kepada anak-anak muda masa kini.

Kesan daripada sikap ingin bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk itu boleh menyebabkan pelbagai kemaksiatan berlaku. Sebagai contoh, pihak lelaki yang tidak mampu memenuhi tuntutan daripada pihak perempuan, pasti akan mencari jalan untuk memenuhinya juga dan antara jalan mudah yang dipilih adalah dengan membuat pinjaman yang beriba. Perkahwinan yang pada dasarnya bertujuan ingin mencipta sebuah keluarga yang sakinah mawadah wa rahmah akhirnya mendatangkan murka Allah S.W.T. Apakah wajar kita mencampurkan kebathilan dengan haq? Na’uzubillah min zalik. Apakah dengan kadar mahar dan kos-kos sampingan yang tinggi itu dapat menjamin kebahagiaan sebuah keluarga?


Serikandi Teladan

Justeru, ruangan serikandi teladan kali ini akan menyingkap sebuah kisah sahabiyah yang pasti akan meruntun hati-hati kita. Seorang sahabiyah yang bukan sahaja mendapat tempat yang khusus di hati Rasulullah S.A.W malah Allah S.W.T telah menjanjikan syurga buatnya. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W dalam hadis riwayat Bukhari, “Aku masuk syurga lalu aku dengar sebuah suara di hadapanku. Ternyata, aku berhadapan dengan Al-Ghumaisha’ bintu Milhan”.

Beliau merupakan seorang wanita Ansar yang termasuk dalam kalangan sahabiyah yang mulia dan paling utama. Beliau menghimpunkan ilmu, kebijaksanaan, keberanian, kemurahan hati, kesucian peribadi dan keikhlasan yang tulus semata-mata bagi Allah dan RasulNya. Jiwa wanita yang bijaksana ini telah dipenuhi dengan iman sejak pertama kali beliau mendengarnya, lalu beliau menghadirkan fenomena tersendiri yang menyaksikan kecemerlangan, kemuliaan dan kebaikan dirinya sepanjang zaman. Sahabiyah terbaik ini juga ialah ibu kepada seorang sahabat yang terbaik, yang mendapatkan kedudukan khusus di sisi Rasulullah S.A.W, iaitu Anas bin Malik. Abu Nu’aim Al-Asybahany mengungkapkan jati diri wanita ini dengan berkata, “Ummu Sulaim adalah wanita yang tunduk kepada keputusan orang yang dicintainya, yang biasa membawa tombak dalam peperangan!”

Di kesempatan ini, marilah kita telusuri nasab sahabiyah yang biografinya yang harum semerbak, enak didengar dan menyenangkan hati ini. Beliaulah Ummu Sulaim binti Milhan bin Khalid bin Zaid bin Haram An-Najariyah Al-Ansariyah Al-Khazrajiyah. Beliau juga dikenali sebagai Al-Ghumaisha’ atau Ar-Rumaisha’. Semoga mujahidah yang sabar, khusyuk, mulia, patuh beragama serta berkedudukan ini menjadi teladan buat kita semua.

Mahar Yang Paling Indah

Sesungguhnya sepak terajangnya di medan dakwah tidak dapat disangkal lagi. Sejak hari pertama keIslamannya, Ummu Sulaim telah menyajikan keteguhan peribadi yang mengagumkan dan layak untuk diteladani. Beliau mencintai Islam dengan kecintaan yang sangat mendalam, sehingga beliau tetap teguh di hadapan suaminya (Malik bin an-Nadhar) yang masih musyrik. Kisah menarik ini merupakan kisah yang mengangkat martabat Ummu Sulaim dan menempatkan beliau setaraf dengan para Muslimin di awal dakwah Islam di kalangan kaum Ansar.

Di celah-celah kisah keteguhan hatinya itu, terselit sebuah kisah yang menggambarkan keikhlasan hatinya dalam meletakkan cinta kepada Islam melebihi segalanya. Telah dikisahkan bahawa setelah beberapa lama beliau membesarkan Anas bin Malik bersendirian, suatu hari beliau dilamar oleh Abu Talhah al-Ansary yang masih seorang musyrik ketika mengajukan lamaran tersebut. Ummu Sulaim dituntut untuk mempertimbangkan lamaran lelaki tersebut kerana Abu Talhah merupakan seorang yang berpengaruh dalam masyarakat.

Ketika Abu Talhah menemui beliau buat kali kedua untuk tujuan yang sama, Ummu Sulaim menjawab lamaran tersebut dengan berkata “Wahai Abu Talhah, lelaki seperti engkau tidak layak untuk ditolak. Tetapi engkau seorang kafir, sementara aku wanita Muslimah dan tidak mungkin bagiku untuk menikahi engkau”. “Apa yang perlu kulakukan untuk tujuan itu?” tanya Abu Talhah. “Hendaklah engkau menemui Rasulullah S.A.W”, jawab Ummu Sulaim. Abu Talhah segera menemui Rasulullah yang ketika itu sedang duduk di tengah-tengah para sahabat. Ketika melihat kehadiran Abu Talhah, baginda S.A.W bersabda, “Abu Talhah mendatangi kalian dan tanda-tanda keIslaman nampak di antara kedua matanya”. Abu Talhah memberitahu Rasulullah apa yang dikatakan Ummu Sulaim. Akhirnya, Abu Talhah memeluk Islam di hadapan baginda dan para sahabat. Beliau juga bersetuju menikahi Ummu Sulaim dengan mahar keIslamannya. Tentang kisah pernikahan yang diberkati ini, Tsabit bin Aslam Al-Banany, salah seorang tabi’in berkata, “Kami tidak pernah mendengarkan mahar yang lebih indah daripada maharnya Ummu Sulaim, iaitu Islam!” (Shifatush- Shafwah, 2/66; Siyar A’lamin-Nubala’, 2/29).

Pernikahan Bukan Titik Terakhir

Status sebagai isteri dan pengatur rumah tangga tidak pernah menghalang Ummu Sulaim untuk meneruskan perjuangannya di medan dakwah dan jihad. Beliau tidak pernah meletakkan status itu sebagai satu penghalang baginya untuk bergerak bersama-sama Rasulullah dan para sahabat yang lain. Tidak dapat diragukan bahawa beliau sering terlibat dalam pelbagai peristiwa penting, malah menyertai sejumlah wanita lain yang ikut berjihad bersama Rasulullah.

Muhammad bin Sirin, seorang tabi’in mulia pernah menyebutkan bahawa Ummu Sulaim menyertai Rasulullah S.A.W di Perang Uhud padahal ketika itu beliau sedang mengandungkan anaknya, Abdullah bin Abu Talhah. Beliau membawa bersamanya sebuah tombak pendek yang diselitkan di pinggangnya. Abu Talhah menemui Rasulullah S.A.W untuk mengkhabarkan tindakan isteri beliau. Namun, hanya senyuman yang terukir di bibir Rasulullah S.A.W mendengarkan tingkah laku sahabiyah yang disayanginya itu. Baginda lantas bertanya kepada Ummu Sulaim tentang kegunaan tombak pendek itu dan dijawab dengan berani oleh beliau, “Jika ada salah seorang antara orang-orang musyrik mendekatiku, maka aku akan menikamnya dengan tanganku sendiri!” Inilah dia salah seorang sahabiyah yang mendapat kemuliaan jihad di sisi barisan kaum Muslimin. Subhanallah!

Khatimah

Wahai akhwati rahimakumullah, ingatlah bahawasanya kebahagiaan sebuah perkahwinan itu bukanlah terletak kepada tingginya nilai mahar. Bukan juga terletak kepada mewahnya majlis walimah yang diadakan. Tetapi, kebahagiaan dan rahmat dalam sebuah perkahwinan itu akan tercipta dengan hadirnya keberkatan dalam jalinan ikatan itu yang bermula saat pengkhitbahan (peminangan) sehinggalah menuju ke alam pernikahan. Dan keberkatan tidak akan hadir tanpa keredaan Allah SWT. Apa yang pasti reda Allah itu akan sentiasa mengiringi setiap hambaNya yang taat dan patuh pada perintah dan laranganNya.

Daripada Abul Ajfa' As Sulami dia berkata; Aku mendengar Umar berkata; "Ketahuilah, janganlah kalian berlebih-lebihan dalam masalah mahar wanita, ketahuilah, janganlah kalian berlebih-lebihan dalam masalah mahar wanita, kerana jika perbuatan itu terhormat di dunia atau merupakan ketaqwaan kepada Allah, maka orang yang lebih patut dalam hal itu adalah Nabi S.A.W, sementara Rasulullah S.A.W tidak memberikan mahar kepada isteri-isterinya dan juga tidak meminta mahar untuk anak-anak perempuannya melebihi daripada dua belas uqiyah, sesungguhnya seorang lelaki pasti akan diuji dengan mahar isterinya" [HR Ahmad No.272].

Wallahu a’lam.

Rujukan:
1) Wanita yang Dijamin Syurga. Ahmad Khalil Jam’ah. Darul Falah.
2) 70 Wanita Terbilang Di Zaman Nabi Muhammad S.A.W. Abu Azka al-Madani, Harun Arrasyid Hj Tuskan. Al-Hidayah.
3) Tafsir Wanita Dalam Al-Quran. Syeikh Imad Zaki al-Barudi. Al-Hidayah.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment