Berlumba-Lumba Mengerjakan Kebaikan

BERLUMBA-LUMBA MENGERJAKAN KEBAIKAN
Oleh:
Ustazah Husna
Aktivis MHTM

Muqaddimah

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana kita diberi kesempatan untuk bertemu lagi dalam bulan Ramadhan, iaitu bulan yang penuh dengan rahmat, keberkatan dan pengampunan daripada Allah SWT. Berpuasa bagi mereka yang berlandaskan keimanan dan keikhlasan kepada Allah SWT, maka dengan izinNya, dosa-dosa mereka akan diampunkan seperti bayi yang baru dilahirkan. Bukan itu sahaja, Allah juga menganugerahkan satu malam di bulan Ramadhan ini yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan untuk umat Islam beribadah di dalamnya. Jadi, tidak hairanlah jika orang-orang Mukmin yang Mukhlis sentiasa berlumba-lumba untuk meraih segala kebaikan yang ada di bulan yang mulia ini.

Berlumba-Lumba Dalam Kebaikan

Perintah Allah untuk berlumba-lumba dalam kebaikan merupakan benteng daripada perbuatan berlumba-lumba dalam kemaksiatan dan urusan dunia kerana ia merupakan kecenderungan manusia untuk mengejar kenikmatan dunia yang menggiurkan seperti yang dibimbangi oleh Rasulullah SAW dalam hadis baginda, “Bukanlah kefakiran yang sangat aku khuatirkan terjadi pada kalian, tetapi aku sangat khuatir jika (kesenangan) dunia dibentangkan luas atas kalian, kemudian kerananya kalian berlumba-lumba untuk meraihnya sepertimana yang pernah terjadi pada orang-orang sebelum kalian. Maka akhirnya kalian binasa sebagaimana mereka juga binasa kerananya” [HR Bukhari dan Muslim].

Para sahabat sentiasa berusaha untuk berlumba-lumba dalam menjalankan ketaatan kepada Allah SWT. Contohnya, Saidina Abu Bakar RA dan Umar al-Khattab RA. Pada suatu hari, Rasulullah SAW meminta para sahabatnya untuk menginfakkan apa yang dimilikinya daripada harta, makanan dan senjata yang boleh dimanfaatkan dalam perang. Maka dengan spontan Umar al-Khattab RA berkata kepada dirinya, “Demi Allah, saya akan mendahului Abu Bakar dalam kebaikan ini”. Umar yakin bahawa dirinya mampu menginfakkan lebih baik daripada Abu Bakar. Kemudian ia membahagikan hartanya menjadi dua bahagian; satu bahagian untuk keluarganya dan satu bahagian lagi diserahkan kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW tersenyum bangga melihat perilaku sahabatnya dan memujinya. Namun tidak berapa lama kemudian, datanglah Abu Bakar dengan membawa seluruh hartanya. Rasulullah SAW tersenyum bangga seraya bertanya kepadanya, “Lantas apa yang engkau sisakan untuk keluargamu?” Dengan yakin dan penuh tawakkal, Abu Bakar menjawab, “Saya tinggalkan untuk mereka Allah dan RasulNya”. Demikianlah sikap golongan abrar (orang-orang yang melakukan kebajikan) daripada para sahabat terkemuka Rasulullah SAW. Allah memuji mereka dalam firmanNya,

“Dan orang-orang yang paling dahulu beriman, mereka paling dulu (masuk syurga).Mereka itulah orang yang didekatkan (kepada Allah)” [TMQ al-Waqi’ah (56):10-14].

Demikianlah sikap berlumba-lumba untuk meraih syurga Allah adalah dengan bersegera melakukan kebaikan dan ketaatan, kerana setiap Muslim memang dituntut untuk berpacu membuka pintu-pintu kebaikan dan ketaatan kepada Allah SWT. Ada beberapa amalan yang harus dipelihara dan ditingkatkan di bulan Ramadhan yang penuh berkah ini. Antaranya ialah:

1. Menjadikan diri kita lebih dekat dengan al-Quran

Bulan Ramadhan mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan al-Quran kerana pada bulan inilah al-Quran pertama kali diturunkan. Oleh kerana itu, marilah kita sama-sama memperbanyakkan membaca al-Quran. Selain mendapat ketenangan jiwa, syifa (ubat), amalan ini juga memiliki nilai pahala yang besar di sisi Allah SWT. Kebiasaannya umat Islam akan berusaha memperbanyakkan membaca bahkan mengkhatamkan al-Quran pada setiap kali datangnya Ramadhan.

Namun, kecintaan terhadap al-Quran tidak cukup hanya dengan pembacaan sahaja tetapi harus dibuktikan dengan pengamalan terhadap seluruh isi kandungannya, mempelajari, mentadabur dan menzahirkan keimanan terhadap isi kandungan al-Quran dalam seluruh aspek kehidupan. Itulah yang paling dituntut dalam Islam. Rasulullah SAW sendiri pernah mengadu kepada Allah SWT, terhadap sikap pengabaian umatnya terhadap al-Quran. Firman Allah SWT, “Dan berkatalah Rasul: Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan al-Quran ini sesuatu yang tidak diacuhkan” [TMQ al-Furqan (25):30].

Imam Ibnu Katsir dalam kitab tafsirnya menyebutkan bahawa yang termasuk sikap tidak acuh terhadap al-Quran (min hujraani al-Quran) adalah tidak mempelajari dan tidak mengkaji al-Quran, tidak mengimani dan tidak membenarkannya, tidak memahami isi kandungannya, tidak mengamalkan, tidak mentaati perintah-perintahnya dan tidak menjauhi larangan-larangan yang terdapat di dalamnya. Semua ini termasuk meninggalkan al-Quran dan mereka telah menggantikannya dengan cara yang lain seperti syair, ucapan, nyanyian, permainan, sistem serta jalan hidup yang tidak bersumber daripadanya (Lihat: Tafsir al-Quran al-’Adzim libni Katsir, juz 3, hal. 386).


2. Qiyamullail dan beri’tikaf

Rasulullah SAW bersabda, “Siapa sahaja yang berdiri (melaksanakan solat malam) pada bulan Ramadhan, dengan berlandaskan keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu” [HR Bukhari dan Muslim].

Al-qiyam (berdiri) dalam hadis ini bermaksud solat tahajud, termasuk solat terawih yang biasa dilakukan secara berjemaah. Imam an-Nawawiy memberi tajuk hadis ini dengan: baab at-targiib fii qiyaamu ramadhan wa hua at-taraawih (bab anjuran untuk melakukan qiyam Ramadhan, iaitu solat terawih). Para ulama telah sepakat bahawa solat malam hukumnya sunnah, namun mereka berbeza pendapat, mana yang lebih afdhal dilakukan sama ada secara bersendirian di rumah atau secara berjemaah di masjid. Jumhur as-Syafi’iyyah, Imam Ahmad, Abu Hanifah dan sebahagian mazhab Maliki berpendapat bahawa solat berjemaah di masjid lebih afdhal, sebagaimana yang telah dilakukan oleh Umar Ibnu al-Khattab dan para sahabat setelahnya, kerana dengan cara berjemaah syiar Islam akan lebih jelas kelihatan (Syarhun Nawawiy Li Muslim, juz 6, hal. 39). Lebih-lebih lagi bagi orang-orang yang masih memiliki perasaan berat apabila melakukannya sendirian di rumah.

Pada ‘asyrul awaakhir (sepuluh hari terakhir) dalam bulan Ramadhan, inilah waktu yang dinantikan untuk meningkatkan frekuensi ibadah. Selain solat malam, disunnahkan beri’tikaf di masjid. Dalam hadis riwayat Anas, ia menuturkan, “Rasulullah SAW beri’tikaf pada al-‘Asyrul Awaakhir daripada bulan Ramadhan” [HR Tirmidzi].

Dalam hadis lain, Imam Bukhari meriwayatkan bahawa, “Nabi SAW apabila memasuki sepuluh akhir (daripada bulan Ramadhan), beliau mengencangkan sarung, menghidupkan malam-malamnya dan membangunkan keluarganya” [HR Bukhari].

Oleh yang demikian, adalah tidak tepat sekiranya kita hanya mengkhususkan malam tertentu demi mendapatkan lailatul qadar. Imam Ibnu Hajar memberi penjelasan terhadap hadis: “man qaama lailatal qadri (barang siapa yang melaksanakan solat pada malam lailatul qadar)”, bahawa siapa sahaja yang melakukannya walaupun tidak tepat pada malam lailatul qadar sungguh ia telah mendapatkan keutamaanya (pahalanya). (Fathul Bari Libni Hajar, juz 6, hal. 306).

3. Memperbanyakkan sedekah

Terdapat banyak ayat dan hadis yang mendorong kita agar banyak bersedekah, khususnya di bulan Ramadhan. Allah SWT berfirman, “Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah Mengetahui” [TMQ Ali-Imran (3):92].

Infak atau sedekah yang dimaksud dalam ayat ini ialah sedekah dengan harta (ash-sodaqah al-maliyah), baik dengan cara membelanjakan kepada fakir miskin, memberi makan kepada orang-orang yang berbuka, sehinggalah infak dalam jihad di jalan Allah SWT, sebagaimana yang pernah dicontohkan oleh Rasulullah SAW beserta para sahabatnya. Dalam sirah ditemukan bahawa pada Ramadhan pertama, mereka telah menjalaninya dengan pengorbanan yang luar biasa untuk mempersiapkan perang Badar al-Kubra. Jiwa dan harta mereka menjadi taruhan Ramadhan pertama, dalam menyambut seruan Allah SWT untuk berjihad di jalanNya. Namun, bagi yang belum memiliki kelebihan harta, Allah SWT telah memberikan jalan lain kepada setiap Muslim untuk tetap boleh bersedekah. Rasulullah SAW bersabda, “Pada setiap pagi, pada tiap-tiap ruas persendian di antara kalian memiliki hak, iaitu sedekah. Setiap tasbih (subhanallah) adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, amar ma’ruf termasuk sedekah, mencegah daripada kemungkaran termasuk sedekah dan solat dhuha dua raka’at juga mencakupi amaliyah-amaliyah tersebut” [HR Muslim].

4. Memperbanyakkan berdoa

Doa merupakan senjata bagi orang yang beriman. Doa memang tidak semestinya dilakukan di bulan Ramadhan sahaja. Namun, bulan Ramadhan memiliki keutamaan yang lebih dibanding bulan-bulan yang lain. Dalam al-Quran, Allah SWT menempatkan ayat tentang doa bersamaan dengan ayat-ayat tentang ibadah puasa. Walaupun doa merupakan ibadah, namun ia harus tetap disertai dengan usaha (al-akhdzu bil asbab). Demikianlah yang telah Rasulullah perintahkan dan contohkan dalam setiap doa-doa baginda. Dalam perang Badar (iaitu pada Ramadhan pertama disyari’atkannya puasa) Rasulullah SAW menyiapkan pasukan dan strategi perang dengan sangat hebat, bermesyuarat bersama para sahabat, seraya terus menerus berdoa memohon pertolongan kepada Allah SWT. Begitu lamanya Rasulullah SAW berdoa, sehinggakan Abu Bakar lalu menegurnya: “yakfiika ya Rasulullah (cukuplah wahai Rasulullah)” (Sirah Ibnu Hisyam, juz 2, hal. 626).

5. Meningkatkan usaha dakwah

Sesungguhnya ketakwaan tidak cukup diwujudkan dalam kehidupan peribadi semata-mata, di mana sering kali ketakwaan ini luntur setelah Ramadhan selesai. Sehubungan dengan itu, ketakwaan harus secara nyata diwujudkan dalam kehidupan bermasyarakat, iaitu melalui tegaknya hukum-hukum Allah SWT dalam setiap sendi-sendi kehidupan, baik dalam bidang ekonomi, pergaulan, politik dan lain-lain. Ini tidak mungkin boleh diwujudkan kecuali dengan usaha bersama untuk menerapkan seluruh hukum-hukum Allah SWT, mulai daripada kehidupan peribadi, masyarakat dan negara. Secara ringkas, selama hukum-hukum Allah SWT dicampakkan daripada medan kehidupan, selama itu pulalah hikmah puasa hanya sekadar menjadi mawa’idz (petua-petua) yang sentiasa diulang setiap tahun tanpa membawa perubahan bererti bagi kebangkitan umat Islam.

Khatimah

Suatu fenomena yang amat menyedihkan kita ketika menyaksikan ramai daripada kalangan umat Islam yang hanya ‘bertakwa’ di bulan Ramadhan sahaja. Walhal bulan ini mampu mengubah persepsi dan perilaku seorang Muslim dengan sangat ketara. Orang fasik menjadi malu menampakkan kefasikannya, ayat-ayat suci al-Quran lebih sering kedengaran, wanita berpakaian lebih sopan, dan media massa tidak ketinggalan menyiarkan acara-acara yang bernuansa keagamaan. Pendek kata, di bulan Ramadhan, wujud seolah-olah satu ‘magic’ yang merubah suasana dan sifat ‘ketakwaan’ seseorang Muslim. Anehnya, hal-hal sebegini hanya terjadi di bulan Ramadhan.

Secara individu, kita hendaklah memiliki keinginan kuat untuk menjadikan Ramadhan kali ini lebih bermakna. Sesungguhnya, ketibaan bulan Ramadhan haruslah dijadikan motivasi untuk meningkatkan amalan dan kekal istiqamah di bulan-bulan yang lain. Tambahan pula, pada saat ini ketika negara Islam (Khilafah) tiada, Muslimin dan Muslimat hendaklah sentiasa berusaha mengekalkan kecemerlangan takwa dengan bersama-sama menjadikan bulan Ramadhan tahun ini sebagai bulan dakwah, bulan penegakan Syariah dan Khilafah yang akan mengembalikan kejayaan dan kemuliaan umat.

RUJUKAN :
1. Pilar-Pilar Pengukuh Nafsiyah Islamiyah
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment