Demokrasi-Kapitalis Sistem Kufur, Gantikan Dengan Khilafah

Demokrasi-Kapitalis Sistem Kufur, Gantikan Dengan Khilafah

Oleh:
Ustazah Ummu Hajar
Aktivis Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia

Muqaddimah

Begitu banyak permasalahan yang menimpa kaum wanita dan anak-anak, sama ada di Malaysia, Indonesia dan di merata dunia. Sudah begitu jelas bahawa penderitaan demi penderitaan yang tidak tertanggung ini adalah hasil daripada penerapan sistem buatan manusia iaitu sistem demokrasi-kapitalis. Masalah demi masalah bertimpa-timpa dan sehingga kini tiada penyelesaian yang sebenar telah diambil. Lantaran itu, apakah kita mahu terus hidup dalam sistem yang rosak dan menyengsarakan ini? Sudah pasti tidak!

Mengapa Sistem Demokrasi-kapitalis Wajib Ditolak Oleh Wanita?

Pertama; Sistem ini tidak bersumber daripada wahyu. Umat Islam wajib menolak sistem demokrasi-kapitalis kerana ia tidak bersumber daripada wahyu Allah SWT. Allah SWT yang telah menciptakan manusia, maka Dialah Yang Maha Tahu dan Maha Bijaksana dalam mencipta peraturan yang paling baik serta paling sesuai untuk digunakan dalam mengatur kehidupan manusia. Sebaliknya, asas sistem demokrasi adalah ‘pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat’ dengan menjalankan peraturan dan hukum yang dibuat sendiri oleh manusia.

Pelaksanaan sistem demokrasi-kapitalis telah membuatkan syariat Allah terbuang dan diketepikan. Allah SWT berfirman,

“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu” [TMQ al-Maidah (5):49].

Kedua; Sistem demokrasi-kapitalis ini tidak pernah membela dan menjamin hak-hak wanita sehingga ada wanita yang terpaksa melacurkan diri untuk melangsaikan beban hutang mereka.

Ketiga; Sistem ini memaksa wanita untuk mengabaikan kewajipan dan tanggungjawabnya sebagai ibu dan pengatur rumahtangga apabila mereka terpaksa sibuk bekerja.

Keempat; Sistem ini memandang wanita sebagai individu yang perlu memberi sumbangan kepada ekonomi negara meskipun dengan cara yang menghinakan mereka yang mana wanita dieksploitasi untuk pelbagai tujuan.

Kelima; Sistem demokrasi kapitalis ini adalah agenda musuh umat Islam. Umat Islam dikuasai oleh musuh melalui sistem kufur ini sedangkan Allah SWT telah mengingatkan kita dengan firmanNya,

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim” [TMQ al-Maidah (5):51].


Masalah-masalah yang sedang berlaku berupa masalah sosial, ekonomi, pendidikan, keamanan, kesihatan, keselamatan dan sebagainya cukup banyak dan mengerikan. Kita semua sudah tidak berasa aman dengan keadaan ini. Namun ramai tidak tahu sama ada wujud jalan keluar untuk mereka atau tidak. Akhirnya ramai yang menjadi pragmatis iaitu pasrah dengan keadaan sekeliling. Mereka mengambil jalan pintas dengan mengabaikan peraturan dan hukum-hukum Allah, serta tidak peduli dengan halal dan haram dalam menjalani kehidupan mereka.

Para pemimpin umat Islam pula ramai yang berpihak kepada musuh Allah dengan mempertahankan sistem kufur yang ditaja oleh kuasa Barat di negeri-negeri umat Islam sambil berkhidmat demi kepentingan dan dominasi Barat. Akibatnya Barat menjadi semakin kuat dalam mencengkam, menindas, menyengsarakan dan membunuh ramai umat Islam di seluruh pelusuk dunia.

Penyelesaian Permasalahan Umat Islam

Sebagai individu, kita tidak mampu untuk menurunkan kos sara hidup rakyat, menghapuskan cukai dan sebagainya. Kita juga tidak mampu untuk menghentikan kekejaman yang dilakukan oleh rejim zalim Myanmar terhadap umat Islam Rohingya. Demikian juga kita tidak kuat untuk menahan penyebaran maklumat kotor di sekeliling kita sehingga merosakkan anak generasi kita.

Masalah-masalah ini juga bukan berpunca daripada peringkat masyarakat hingga mampu diselesaikan oleh masyarakat. Menyediakan pekerjaan untuk kaum lelaki dengan gaji yang secukupnya tidak dapat diselesaikan oleh masyarakat. Masyarakat juga tidak mampu untuk secara beramai-ramai pergi ke Afrika Tengah untuk menghentikan kekejaman tentera Kristian daripada terus membunuh umat Islam serta memperkosa kaum wanita di sana. Mereka tidak mampu melakukan itu tanpa pasukan tentera dan peralatan perang.

Jadi, siapakah yang mampu menyelesaikan semua permasalahan ini? Kekuasaan di peringkat negaralah yang mampu untuk menukar sistem rosak yang menyengsarakan ini untuk digantikan dengan sistem yang benar, mampu mensejahterakan umat dan yang paling utama, diredhai oleh Allah SWT. Negaralah yang akan menjamin pemenuhan hak dan keperluan wanita dan anak-anak sebagai insan, melalui pelbagai mekanisme yang wajib dilandaskan kepada syariat Islam semata-mata. Negara jugalah yang bertanggungjawab menyediakan sebuah sistem kehidupan yang menjamin keamanan dan keselamatan yang terbaik bagi rakyatnya dengan menyediakan hukuman yang adil yakni yang hanya datang dari syariat Islam.

Kita sedia maklum bahawa permasalahan yang menimpa kaum wanita dan anak-anak adalah disebabkan oleh penerapan sistem demokrasi-kapitalis oleh negara. Padahal telah jelas firman Allah SWT,

“Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin” [TMQ al-Maaidah (5):50].

Sesungguhnya hak dalam menetapkan hukum dan peraturan hidup ini adalah milik Allah SWT. FirmanNya,

“… Sesungguhnya tiadalah hukum itu melainkan bagi Allah SWT…” [TMQ al-An’am (6):57]

Lantaran itu, negara tidak boleh mengambil alih hak Allah ini dengan membuat hukum atau peraturan lain yang bercanggah dengan apa yang ditetapkan oleh Allah. Sistem demokrasi-kapitalis buatan manusia ini wajib dibuang dan digantikan dengan sistem yang mampu untuk membela dan mensejahterakan kita semua iaitu sistem kehidupan Islam yang lengkap sempurna di bawah naungan Daulah Khilafah yang mengikut manhaj kenabian.

Sistem Khilafah adalah satu-satunya sistem kenegaraan yang mampu mengembalikan semula kehidupan Islam secara lengkap dan sempurna. Dalam Daulah Khilafah, pemimpinnya dipanggil Khalifah dan dia adalah seorang yang dibaiah oleh kaum Muslimin dengan syarat setuju dan bersedia untuk melaksanakan syariat Allah dalam mengatur segala urusan yang berkaitan dengan permasalahan kehidupan umat.

Sistem Khilafah Islam sahajalah yang mampu menawarkan dasar-dasar ekonomi yang kukuh bagi mengeluarkan kaum wanita daripada keperitan hidup dan kemiskinan yang di alami. Dalam Sistem Khilafah, selain wanita disiapkan untuk menjadi ibu dan pengatur rumah tangga, mereka juga disiapkan untuk berperanan di tengah-tengah umat. Khilafah memuliakan dan melindungi wanita dan peranan keibuan mereka.

Maruah mereka dilindungi dan mereka tidak akan dijadikan sebagai komoditi perdagangan, baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa. Dalam Negara Khilafah, bekerja hanya merupakan satu pilihan untuk wanita dan bukan sesuatu yang dipaksa ke atas mereka kerana faktor kesempitan ekonomi. Dalam Islam, adalah menjadi kewajipan si suami atau bapa untuk mengadakan nafkah isteri dan anak-anak mereka. Jika wanita itu tidak mempunyai suami atau bapa, maka kewajipan ini jatuh kepada wali atau waris terdekat mereka. Jika para waris tidak berupaya untuk menampung keperluan mereka dengan secukupnya, maka Negara Khilafah akan menjamin keperluan nafkah mereka. Firman Allah SWT,

“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, yaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma'ruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kemampuannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang ayah kerana anaknya dan waris pun berkewajiban demikian ...” [TMQ al-Baqarah (2):233].

Khalifah juga akan menerapkan sistem pergaulan sosial yang menghindarkan pergaulan bebas. Negara Khilafah akan menutup kemaksiatan dengan melarang aktiviti membuat dan mencetak gambar berunsur lucah, memantau media massa berupa rancangan TV dan isi-isi akhbar. Khilafah juga akan melaksana dan menyelenggarakan pendidikan berkualiti dari tahap rendah hingga ke pendidikan tinggi yang berasaskan akidah Islam bagi membentuk syaksiyyah (keperibadian) yang mulia.

Selain itu, Khalifah akan menyiapkan wanita untuk menjadi ibu dan pengatur rumahtangga. Wanita pada pandangan Islam mempunyai peranan yang sangat penting sebagai ibu-ibu yang melahirkan dan mendidik generasi akan datang. Melalui wanitalah generasi terbaik atau khairu ummah dilahirkan. Di bawah Sistem Khilafah Islamiyah, wanita disiapkan juga untuk berperanan di tengah-tengah umat. Wanita boleh bergerak aktif dalam masyarakat dalam semua bidang, sama ada pendidikan, politik atau ekonomi serta dapat menjalankan sepenuhnya semua hak yang diberikan kepada mereka oleh Islam, tanpa terdedah kepada sebarang eksploitasi atau penindasan.

Sistem Khilafah Pasti Kembali Semula

Walaupun Sistem Khilafah telah diruntuhkan sejak 3 Mac 1924, namun Rasulullah SAW telah pun memberikan bisyarah mengenainya iaitu berita gembira kepada kita semua mengenai kepastian kembalinya sistem tersebut pada akhir zaman ini. Sabda Rasulullah SAW,

”...Kemudian akan kembali Khilafah atas jalan kenabian” [HR Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi].

Mari kita menyemak satu kisah penuh iktibar semasa umat Islam dipimpin oleh Khalifah yang menerapkan syariat Islam. Suatu masa, seorang Muslimah tinggal di sempadan empayar Rom dan Daulah Islam telah berteriak memanggil nama Khalifah Mu’tasim selepas seorang tentera Rom mencabul auratnya. Seorang yang kebetulan ada berhampiran tempat tersebut telah terdengar jeritan tersebut lalu pulang memberitahukan Khalifah. Bagaimanakah respon Mu’tasim? Beliau telah menghantar pasukan tentera yang sangat besar. Mu’tasim berkata, “Beritahu aku apakah bandar terkuat orang Rom, aku akan menghantar tenteraku ke situ”.

Khalifah dan masyarakat yang hidup dalam sistem Islam memahami perintah dan ganjaran yang Allah berikan kerana melindungi kehormatan wanita. Itulah mentaliti dan reaksi mereka ketika melihat seorang Muslimah dipersendakan. Khalifah tahu benar pesanan Nabi Muhammad SAW yang dititipkan oleh baginda dalam khutbah terakhirnya di Bukit Arafah adalah pesanan yang perlu ditanamkan dalam menjaga wanita iaitu “Maka, takutlah kamu kepada Allah dalam hal perempuan. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah dan Allah menghalalkan mereka kepadamu dengan nikah”.

Memelihara kehormatan wanita itu adalah kewajipan yang tidak boleh dilepaskan oleh pemerintah! Inilah yang telah dilakukan oleh para Khalifah terdahulu. Namun, setelah Negara Khilafah diruntuhkan pada tahun 1924 dan digantikan dengan sistem demokrasi-kapitalis sehingga ke hari ini, wanita telah kehilangan perlindungan dan keamanannya. Maka timbullah pelbagai masalah seperti pencabulan, keganasan dan penghinaan terhadap wanita di dunia Islam, sedangkan para pemimpin Negara umat Islam hari ini terus menutup mata dan memekakkan telinga!!

Maka di manakah al-Mu’tasim hari ini? Kita sangat memerlukan perisai ini semula untuk melindungi wanita dan anak-anak serta menjaga mereka dari kerosakan, penganiayaan, kezaliman dan eksploitasi. Tanpa Khilafah sebagai perisai umat Islam, penderitaan wanita dan anak-anak tidak akan berakhir. Daulah Khilafahlah yang akan menyelamatkan serta melindungi wanita dan anak-anak dengan penerapan syariah Islam secara kaffah (keseluruhan). Negara Khilafah akan menjamin kesejahteraan wanita dan anak-anak dalam pelbagai aspek iaitu:
• Kehidupan sosial yang menjamin keimanan dan ketakwaan
• Jaminan ekonomi yang memastikan pengagihan yang adil dan sejahtera
• Pemenuhan keperluan asas; pendidikan, kesihatan dan keamanan secara percuma
• Sistem pendidikan yang menitikberatkan kepada pembentukan keperibadian Islam dan kemahiran penting untuk kehidupan
• Menerapkan sistem uqubat (hukuman) Islam yang adil

Khatimah

Semakin bertambahnya permasalahan yang menimpa wanita dan anak-anak, semestinya menyedarkan kita bahawa sistem demokrasi-kapitalis yang diterapkan ketika ini telah gagal. Setiap sistem yang tidak bersumber daripada Allah SWT pasti akan menimbulkan kerosakan dan seribu satu masalah. Hal ini semakin mengukuhkan keyakinan kita bahawa hanya syariat Islam sahajalah yang mampu mengatasi segala masalah tersebut.

Marilah kita menguburkan sistem demokrasi-kapitalis. Mari kita kuburkan demokrasi-kapitalis dan semua budaya yang dibawanya, yang sangat nyata bertentangan dengan akidah Islam dan telah banyak membawa kerosakan dalam kalangan Muslimah dan anak-anak serta masyarakat umumnya. Marilah kita semua berikan komitmen yang tinggi dengan melakukan kebaikan dan mengambil peranan penting dalam dakwah Islam sehingga dapat memunculkan semula kemuliaan Islam di Malaysia khususnya serta di dunia umumnya. Ingatlah bahawa Allah menjanjikan kemenangan bagi orang yang mentaatiNya. Firman Allah,

“Dan barangsiapa taat kepada Allah dan RasulNya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepadaNya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan” [TMQ an-Nuur (24):52].



SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment