Hukum Iktikaf Pada Bulan Ramadhan

Hukum Iktikaf Pada Bulan Ramadhan

Oleh :
Athirah
AJK Pusat MHTM

Bulan Ramadhan ialah bulan yang mulia dan diberkati oleh Allah SWT. Umat Islam yang benar-benar memahami kebaikan pada bulan Ramadhan pasti akan dapat merasakan kenikmatan bulan yang penuh keberkatan ini. Hal ini kerana pada bulan Ramadhan amalan-amalan ibadah kita akan dilipat gandakan ganjaran pahalanya. Daripada Salman RA ia berkata,

“Rasulullah SAW telah berkhutbah pada hari terakhir bulan Syaaban dan sabdanya, ‘Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi penuh keberkatan (bulan Ramadhan) iaitu bulan yang ada padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah jadikan berpuasa padanya suatu kewajipan dan berqiamullail (beribadat pada malam-malamnya) sebagai amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan itu dengan melakukan amalan kebajikan (amalan sunat) maka ia mendapat pahala seperti melaksanakan perintah yang wajib dan sesiapa yang melakukan suatu amalan yang wajib pada bulan Ramadhan maka ia mendapat pahala seperti orang yang melakukan tujuh puluh amalan fardhu.”.

Selain kewajipan berpuasa, ada pelbagai ibadah yang disunatkan pada bulan ini. Antaranya mengkhatamkan al-Quran, solat tarawih, memperbanyakkan doa, berzikir, bersedekah dan beriktikaf. Iktikaf merupakan suatu ibadah yang mempunyai kelebihan dan hikmah tersendiri. Antara kelebihan iktikaf ialah membersihkan hati daripada sifat-sifat tercela, menjauhkan diri daripada kesibukan dunia dan mendekatkan diri kepadaNya. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu campuri mereka itu, sedang kamu beriktikaf dalam masjid….”

Hukum Iktikaf

Iktikaf berasal daripada kata ‘akafa–ya’kufu wa ya’kifu–‘akf[an] wa ‘ukuf[an]. Dari segi bahasa, Iktikaf bererti al-lubtsu wa al-habsu wa al-mulazamah (diam, menahan diri dan menetapi) (Imam an-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab, kitab al-Iktikaf). Iktikaf juga berarti, luzum asy-syay’i wa iqbal ‘alaih (menetapi sesuatu dan menghadap padanya) (Rawwas Qal’ah Ji, Mu’jam Lughah al-Fuqaha; Muhammad ibn Abi al-Fatah al-Ba’li, al-Muthalli’). Jadi, iktikaf adalah luzum asy-syay’i wa al-ihtibas fihi (menetapi sesuatu dan menahan diri di dalamnya), iaitu tidak menyibukkan diri dengan yang lain. Dari segi syarak, iktikaf adalah al-lubtsu fi al-masjid muddat[an] ‘ala sifah makhsusah ma’a niyyah at-taqarrub ilalLah (diam di masjid selama jangka waktu tertentu dalam keadaan yang spesifik disertai niat taqarrub kepada Allah SWT (Syaikh Mahmud bin Abdul Lathif ‘Uwaidhah, Al-Jami’ li Ahkam ash-Siyam).

Hukum iktikaf adalah sunnah. Hal ini didasarkan pada sabda Rasulullah SAW, “Siapa saja di antara kalian yang ingin melakukan iktikaf, beriktikaflah. Lalu orang-orang pun melakukan iktikaf bersama baginda” [HR Bukhari, Muslim, Abu Dawud, an-Nasa'i, Malik, dan Ahmad].


Abu Said al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Aku beriktikaf sepuluh hari pertama mencari malam ini (Lailatul Qadar). Lalu aku beriktikaf sepuluh hari pertengahan. Kemudian aku didatangi dan dikatakan kepadaku bahawa itu di sepuluh hari terakhir. Kerana itu, siapa di antara kalian yang suka (mahu) beriktikaf hendaklah ia beriktikaf”. Abu Said berkata, “Lalu orang-orang beriktikaf bersama beliau” [HR Muslim, Bukhari, Ahmad, Abu Dawud, an-Nasai dan Malik].

Dalam kitab al-Muwatha', Imam Malik menyatakan bahawa hukum iktikaf adalah sunnah. Ibn al-'Arabi pula menyatakan bahawa iktikaf hukumnya sunnah mu'akkadah.

Apabila seseorang itu bernazar untuk melaksanakan iktikaf atas tujuan tertentu, maka iktikaf menjadi wajib. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW, “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka taatlah kepadaNya, sesiapa yang bernazar untuk menderhakaiNya maka janganlah dia derhakaiNya” [HR Bukhari].

Diriwayatkan bahawa Umar al-Khattab RA pernah bernazar pada zaman jahiliyah untuk beriktikaf di Masjidil Haram. Setelah beliau memeluk Islam, hasrat beliau untuk beriktikaf di Masjidil Haram disuarakan kepada Rasulullah SAW maka jawab baginda, “Tunaikanlah nazarmu itu, maka Umar beriktikaf satu malam” [HR Bukhari].

Iktikaf tidak terikat dengan sebarang waktu malah sunat beriktikaf pada setiap waktu, sama ada pada bulan Ramadhan mahupun pada bulan-bulan lain. Hanya sahaja, ia lebih dituntut dan afdhal jika dilakukan pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan kerana fadhilat beriktikaf pada waktu tersebut lebih banyak dibandingkan waktu-waktu pada bulan-bulan lain. Rasulullah SAW sendiri tidak pernah meninggalkan iktikaf pada 10 malam terakhir Ramadhan. Abu Hurairah RA berkata, “Nabi SAW biasa melakukan iktikaf pada bulan Ramadhan selama sepuluh hari. Namun pada tahun wafatnya, Baginda melakukan iktikaf selama dua puluh hari” [HR al-Bukhari].

Wanita juga boleh beriktikaf

Dibolehkan bagi wanita untuk melakukan iktikaf di masjid sebagaimana Nabi SAW mengizinkan isteri baginda untuk beriktikaf. Aisyah RA mengatakan bahawa, “Nabi SAW beriktikaf pada sepuluh hari yang akhir dari Ramadhan sehingga Allah mengambil nyawanya, setelah kewafatan baginda isteri-isteri baginda pun beriktikaf” [HR. al-Bukhari dan Muslim]

Namun seseorang wanita boleh beriktikaf sekiranya mendapat izin daripada suami jika dia bersuami. Wanita boleh beriktikaf di masjid tetapi mesti terpisah daripada lelaki. Wanita boleh beriktikaf bersama suaminya ataupun tidak, asalkan iktikafnya itu mendapat izin suaminya. Namun, wanita tidak boleh beriktikaf jika suami atau anak yang masih kecil memerlukan perhatian dan layanan daripadanya. Ini adalah kerana memberi perhatian dan layanan kepada suami dan anak adalah wajib bagi dirinya, sementara iktikaf adalah sunnah. Jika keduanya bertembung pada satu masa, maka kewajipan mestilah diutamakan.

Khatimah

Perbanyaklah dan sibukkanlah diri dengan melakukan ketaatan tatkala beriktikaf seperti berdoa, berzikir dan membaca al-Qur’an. Semoga Allah memudahkan kita untuk mengisi hari-hari kita pada bulan Ramadhan dengan amalan soleh dan sesuai dengan petunjuk Nabi SAW.

Rujukan:
1. Al-Fiqh Al-Islam Wa Adillatuh: 2/693

Baca lagi:
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment