HUKUM MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN

FIKIH

HUKUM MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN

Oleh: Ustazah Ikin (Aktivis MHTM)

Muqaddimah

Tanggal 31 Ogos setiap tahun merupakan hari yang istimewa bagi rakyat Malaysia kerana ia adalah ulang tahun kemerdekaan negara Malaysia. Kemerdekaan sering ditafsirkan dengan bebasnya manusia daripada pelbagai jenis penindasan dan aturan yang mengongkongnya. Dengan kata lain, kemerdekaan adalah kebebasan untuk mengatur dirinya sendiri tanpa ada tekanan mahupun campur tangan daripada pihak lain. Orang yang merdeka ialah orang yang telah berdaulat sepenuhnya terhadap dirinya sendiri. Sedangkan negara merdeka ialah negara yang memiliki kedaulatan untuk mengatur pemerintahannya sendiri. Bagi mengingati tarikh keramat ini, pelbagai aktiviti pasti dirancang seperti tazkirah, doa, tayangan filem berunsur patriotik, perarakan dan tidak ketinggalan aktiviti hiburan.

Sambutan Kemerdekaan

Seperti yang diketahui umum, tidak salah kalau kita menyambut hari-hari istimewa asalkan bukan hari yang terkait dengan hadharah (peradaban) selain Islam. Begitu juga dengan menyambut hari kemerdekaan negara. Boleh sahaja kita mengenang kemerdekaan negara kita dengan memanjatkan doa agar negara kita aman serta berharap agar kekuasaan akan sentiasa berada di tangan pemerintah Islam yang adil dan sentiasa menerapkan hukum-hukum Allah SWT. Walau bagaimanapun, sekiranya kemerdekaan itu disambut dengan hiburan yang berlebihan, lelaki dan perempuan bergaul bebas, dihidang minuman arak dan kemaksiatan-kemaksiatan lain, maka hukumnya adalah haram.

Begitu juga, apabila kemerdekaan yang dikecapi itu disambut dengan penuh semangat patriotisme, nasionalisme dan assabiyah (perkauman), hukumnya juga adalah haram di sisi Islam. Ini adalah kerana semangat patriotisme, nasionalisme dan assabiyah itu adalah haram di sisi Islam. Nasionalisme ialah fahaman yang mengagungkan dan mengutamakan negara dan bangsa. Bagi seorang nasionalis, tidak ada yang lebih penting dalam hidupnya kecuali meraih kejayaan dan membela negara bangsanya. Semangat nasionalisme amat berbahaya bagi umat Islam kerana daripada sini akan munculnya ikatan assabiyah yang telah dihapuskan oleh syariat Islam.

Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Bukanlah daripada kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyah, berperang atas dasar assabiyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyah”


Cinta Tanah Air

Selain itu, sambutan hari kemerdekaan negara dianggap oleh sesetengah pihak seiring dengan hadis “hubbul wathon minal iman” yang bermaksud “cinta tanah air adalah sebahagian daripada iman”. Hadis ini sering digunapakai oleh para tokoh nasionalis bagi tujuan menanamkan fahaman nasionalisme dan patriotisme kepada umat Islam. Tetapi, Imam ash-Shan’ani dalam Kitab Mawdhu’at ash-Shan’ani, hlm. 47, hadis no: 81 telah menuturkan bahawa hadis ini merupakan hadis maudhu (palsu). Ahli hadis lain juga telah mengatakan bahawa hadis tersebut makdzub (dusta) dan tidak ada asal-usulnya (la ashla lahu). Imam Sakhawi dan al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, yang merupakan ulama besar mazhab Syafie, mengatakan, “Lam aqif ‘alayhi” (saya tidak mengetahui hadis ini).


Dengan demikian, hadis ini tidak sah dijadikan sebagai hujah. Oleh yang demikian, kita selaku orang Islam tidak boleh mengatakan “hubbul wathon minal iman” sebagai hadis Nabi, kerana Nabi SAW memang tidak pernah mengatakannya. Menisbatkan ungkapan itu kepada Nabi SAW adalah sebuah kedustaan yang nyata dan merupakan dosa besar di sisi Allah SWT. Nabi SAW bersabda,

“Barangsiapa yang berdusta atasku dengan sengaja, hendaklah ia menempati tempat duduknya di neraka” [Hadis Mutawatir].

Sebenarnya, cinta akan tanah air merupakan sebahagian daripada perkara yang bersifat naluriah (amr gharizi). Naluri ini memang ada pada setiap manusia, baik dalam diri seorang mukmin mahupun kafir dan Islam memang tidak pernah melarang naluri itu. Namun, Nabi SAW tidak memasukkan “cinta tanah air dan kaum” dalam semangat assabiyah. Imam Ibnu Majah menuturkan sebuah riwayat daripada Fasilah RA daripada bapanya, “Seorang lelaki telah bertanya, ‘Ya Rasulullah, adakah termasuk assabiyah seseorang mencintai kaumnya?’ Sabda baginda, ‘Tidak! yang termasuk assabiyah ialah seseorang menolong kaumnya atas kezaliman’’ [HR Imam Ahmad dan Ibnu Majah].

Khatimah

Daripada penerangan di atas, hukum menyambut kemerdekaan menjadi harus atau haram bergantung kepada cara sambutannya serta apakah termasuk dalam assabiyah ataupun tidak. Namun, apa yang perlu disedari oleh umat Islam ialah kemerdekaan yang dicapai oleh negara kita sejak 57 tahun yang lalu merupakan sebuah kemerdekaan yang palsu. Malaysia, pada dasarnya, masih dijajah oleh Barat meskipun ia diperintah oleh rakyatnya sendiri. Hakikatnya, pemimpin negara (yang beragama Islam) pada masa kini masih tunduk kepada ideologi kapitalis–demokrasi yang diterapkan ke atas mereka baik dalam bidang pemerintahan, ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain. Kemerdekaan yang hakiki hanya boleh dikecapi apabila kehidupan setiap manusia diatur sesuai dengan hukum Allah SWT dalam bingkai Daulah Khilafah kerana hanya hukum Allahlah yang menjanjikan keadilan dan kesejahteraan bagi umat manusia.

Wallahu‘alam..


Rujukan
1. Al-Waie ogos 2003
2. Sautun Nahdhah 138
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment