KEMENANGAN HAKIKI MAKNA SAMBUTAN AIDILFITRI

ARTIKEL PILIHAN
KEMENANGAN HAKIKI MAKNA SAMBUTAN AIDILFITRI

Oleh: Nurain Abdurrahman (Aktivis MHTM)

Muqaddimah

Kedatangan Syawal merupakan saat yang dinantikan oleh seluruh umat Islam setelah sebulan melalui ujian sabar menahan lapar dan dahaga serta melakukan ibadah sebanyak mungkin di bulan Ramadan. Syawal juga merupakan bulan untuk umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri sebagai melahirkan rasa syukur di atas segala kesempurnaan ibadah (baca: berpuasa dan menunaikan ibadah-ibadah sunat). Ia sentiasa diraikan dengan permulaan ucapan takbir, tasbih dan tahmid menandakan kemenangan umat Islam dalam mengawal hawa nafsu masing-masing.

Hari Raya Aidilfitri telah disyariatkan sejak tahun kedua hijrah Rasulullah SAW ke Madinah al-Munawarah. Di peringkat awal hijrah, baginda mendapati masyarakat Islam Madinah merayakan dua hari raya yang mereka warisi turun temurun daripada nenek moyang mereka yang dinamakan ‘nairuuz’ dan ‘mahrajan’. Kedua-dua hari perayaan ini disambut dengan mengadakan majlis suka ria. Rasulullah SAW sebagai pemimpin agung dan pembawa rahmat sekalian alam tidak mengambil tindakan yang boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak untuk mengubah tradisi ini. Baginda sebaliknya melakukan penelitian dan berdoa agar ada jalan keluar. Setelah itu, baginda bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan dua hari raya kaum itu dengan dua hari raya yang lebih baik dan kedua-duanya itu ialah Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha” [HR Abu Dawud & Tirmizi].

Kemenangan Berganda

Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada zaman Rasulullah SAW, para sahabat dan generasi Islam sesudahnya memaparkan sebuah kegembiraan yang terpancar pada wajah kaum Muslimin. Allah SWT telah menitipkan pertolonganNya dalam pelbagai peperangan menentang kaum kuffar yang berlaku di bulan Ramadan. Kemenangan ini dirai dengan penuh ketakwaan dan munajat serta dihiasi dengan tasbih, tahmid juga takbir yang berterusan tanda cinta mereka kepada Rabbul Jalil dan kekasihNya. Ia juga merupakan lambang kemenangan Islam yang tegak sebagai sebuah pilar dan ideologi yang menaungi kehidupan manusia.

Berbeza pula dengan suasana sambutannya dalam kalangan umat Islam masa kini. Kedatangan Syawal disambut dengan rasa kesyukuran atas kemenangan individu melawan hawa nafsu makan, minum dan menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang semasa bulan Ramadan. Hanya sebatas itu sahaja. Tambahan lagi, umat Islam di Malaysia pada tahun ini menyambut Syawal seiring dengan Hari Merdeka. Bertambah meriahlah suasananya pada tahun ini apabila mereka berkesempatan meraikan kemenangan yang berganda kerana hari kemerdekaan itu disambut untuk merai kebebasan Tanah Melayu daripada terus dijajah oleh Barat. Namun, masih ramai yang tidak sedar hakikat kemerdekaan yang dikecapi sekarang hanya bersifat utopia (palsu). Realiti yang sepatutnya kita sedar ialah, Malaysia tidak pernah merdeka dan sentiasa berada di bawah hegemoni (penjajahan) Barat yang tidak berkesudahan.

Jika ditelusuri sejarah Malaysia, banyak fakta yang menunjukkan bahawa kita ‘merdeka’ kerana kita telah memerintah secara kendiri. Namun hakikatnya kita tidak pernah mandiri. Lihat sahaja pada Perlembagaan Malaysia yang telah disediakan oleh si kufur Lord Reid yang secara jelas melambangkan agenda kufur Barat untuk menjajah pemikiran umat Islam. Malaysia bukan sahaja dibentuk menjadi negara bangsa malah dibelit dan diikat dengan pelbagai perjanjian yang sebenarnya tidak pernah menguntungkan rakyat umumnya dan umat Islam khususnya. Harta kekayaan negara hanya dimonopoli oleh sesetengah pihak sahaja dan hukum-hakam Islam yang sepatutnya dijadikan dasar pemerintahan negara hanya terbatas di Mahkamah Syariah sahaja. Malah kepedulian umat Islam di Malaysia terhadap saudara seakidah yang ditindas di negara-negara lain terbatas pada kiriman bantuan kemanusiaan sahaja hanya kerana terikat dengan sekatan-sekatan palsu negara bangsa. Persoalannya, wajarkah kita bergembira dan bersuka ria menyambut ‘kemenangan berganda’ ini?

Hakikat Kemenangan

Jika diperhatikan realiti umat Islam pada hari ini, adakah kemenangan itu benar-benar menjadi milik hakiki umat Islam? Mungkin umat Islam di Malaysia tidak terasa ‘kalah’ kerana dapat menyambut Syawal dengan cukup meriah dan gembira ditambah lagi dengan kehidupan yang aman daripada ledakan bom dan peluru. Segala sunnah Nabi SAW berkenaan dengan sambutan Aidilfitri dapat kita amalkan bermula daripada kecukupan makanannya sehinggalah berpakaian serba baharu.

Namun, apabila diperhatikan keadaan umat Islam secara global, terdetik persoalan di benak kita bagaimanakah Syawal dan ‘kemenangan’ ini dirai oleh mereka? Penduduk Gaza di Palestin dibantai secara habis-habisan semasa umat Islam yang lain sedang leka menghadap bola Piala Dunia yang lalu. Umat Islam di Afrika Tengah dibantai oleh puak Nasrani, komuniti Muslim di Myanmar dibunuh sesuka hati oleh penganut Buddha dan kewarganegaraan mereka dinafikan. Di China pula, umat Islam di Uighur dihalang oleh pihak berkuasa daripada berpuasa. Syria masih lagi berdarah sehingga saat ini dan umat Islam di Afghanistan, Pakistan, Iran, Iraq serta negeri-negeri umat Islam lainnya yang masih hidup dalam pergolakan . Bagaimanakah mereka dapat merasakan nikmat kemenangan itu?


Mereka (umat Islam seluruh dunia) merupakan saudara seakidah kita. Mereka ialah saudara kita yang diikat dengan tali Laa Ilaha Illallah Muhammadur Rasulullah. Allah SWT berfirman,

“Sesungguhnya setiap orang mukmin itu bersaudara” [TMQ al-Hujurat (49):10].

Keimanan kita juga diukur berdasarkan kecintaan kita kepada mereka. Nabi SAW sangat tegas menyatakan kepentingan saling menyintai antara seluruh umat Islam sebagaimana sabda baginda,

“Demi Zat yang jika ada ditanganNya, kalian tidak akan masuk syurga sehingga kalian beriman. Belum sempurna keimanan setiap daripada kamu sehingga kamu saling menyintai. Tidakkah kalian suka jika aku tunjukkan pada kalian satu perkara, jika kalian melakukan nescaya kalian akan saling menyintai. Sebarkanlah salam diantara kalian” [HR Muslim].

Jika kita merasai semangat persaudaraan dan kecintaan yang dituntut dalam Islam ini, sebenarnya kita hanya menyambut Syawal dengan ‘kekosongan’ dan ‘kepiluan’ tanpa kemenangan hakiki sebagaimana kemenangan umat Islam terdahulu. Kemenangan umat Islam terdahulu adalah apabila umat Islam berjaya dalam usaha menyebarkan seruan-seruan dakwah sekaligus membuka wilayah-wilayah Islam yang baru yang kemudian membawa kepada kekuatan Daulah Islam. Daulah Islam menjadi negara Superpower yang digeruni oleh setiap musuhnya sehingga seluruh rakyatnya hidup dalam keselamatan dan kesejahteraan. Kekuatan Daulah Islam saat itu sampai mampu melindungi rakyatnya daripada penghinaan, penindasan dan kezaliman kaum kuffar. Semuanya tidak seperti yang berlaku terhadap umat Islam pada hari ini akibat hidup dalam perpecahan negara bangsa.

Ini semua berlaku sejak runtuhnya Daulah Khilafah yang terakhir iaitu ketika era pemerintahan Turki Uthmaniyyah pada 3 Mac 1924. Nasib malang umat Islam seakan-akan virus yang semakin merebak ke seluruh pelusuk dunia. Umat Islam yang dahulunya berjaya disatukan di bawah satu kepimpinan, kini dipecahkan menjadi lebih 57 buah negara dengan sempadan geografi palsu yang bernama negara bangsa dan diracuni pula dengan semangat nasionalisme. Perisai dan pelindung daripada sebarang kesulitan dan ancaman luar telah diragut daripada umat Islam.

Umat Islam bukan sahaja sedang ditindas secara fizikal dan mental malah jiwa kita sedang disakiti dengan tragisnya. Wanita-wanita kita dirogol, dibunuh dan diperlecehkan aibnya. Anak-anak kita dikasari, dizalimi dan dibantai dengan penuh kekejaman. Penderitaan umat Islam secara global walaupun amat menyentap tangkai jantung hati tetapi hanya menjadi informasi biasa buat kaum Muslimin. Sampai bila kita perlu menangis hiba dalam Syawal yang sepatutnya dirai dengan kegembiraan dan keamanan Islam?

Nyatalah kini kemenangan yang kita raih hanyalah kemenangan yang bersifat individualistik. Secara individu, kita telah berjaya melalui segala dugaan di bulan Ramadan yang lalu. Secara individu juga kita berjaya memanfaatkan madrasah Ramadan yang penuh berkat, penuh rahmat dan pengampunan. Dalam bulan Ramadan juga nilai takwa dan ruhiyyah individu telah tercas kembali. Namun, bagaimanakah nilai ketakwaan boleh membentuk kita menjadi umat yang peduli akan nasib saudara kita yang lain? Sampai masanya untuk kita muhasabah kembali, apakah sebenarnya tindakan yang perlu kita lakukan.

Khatimah

Kami tidak pernah jemu menyatakan dan menyeru kepada kalian untuk berusaha bersama kami dalam mengembalikan semula sebuah institusi Khilafah yang telah musnah. Khilafah yang dipimpin oleh Khalifah ini yang akan menjamin kembali keamanan dan kebahagiaan kita seluruh umat Islam. Impian ini bukan mimpi di siang hari. Impian ini adalah bisyarah (khabar gembira) yang Nabi Muhammad SAW janjikan kepada kita. Sabda baginda dalam sebuah hadis yang panjang, “...Kemudian akan kembali zaman Khilafah atas jalan kenabian…” [HR Ahmad]. Semoga ini Syawal terakhir kita raikan tanpa Khilafah.

Wallahu’alam..
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment