Kezaliman Sistem Demokrasi Terhadap Wanita Dan Anak-Anak di Seluruh Dunia

KEZALIMAN SISTEM DEMOKRASI TERHADAP WANITA DAN ANAK-ANAK DI SELURUH DUNIA

Oleh :
Sumayyah Amar
Wakil Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir

Setiap makhluk ciptaan Allah SWT dikhususkan dengan tanggungjawab tertentu yang selari dengan fitrah kejadian masing-masing, termasuklah wanita. Bagi melaksanakan segala tanggungjawab yang dibebankan, Allah SWT turut memberi pelbagai keistimewaan kepada wanita. Antaranya kaya dengan kasih sayang, tinggi dengan kesabaran serta komited dengan setiap amanah. Maka, wanitalah yang paling layak menjadi ibu untuk anak-anak bernaung kasih serta mendidik mereka menjadi insan yang diredhai Allah SWT. Bagi si suami, isteri yang dinikahinya adalah ketenteraman bagi dirinya. Bukan itu sahaja, wanita juga kelak akan diminta pertanggungjawaban sebagai anggota masyarakat yang melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Namun, sistem demokrasi-kapitalis telah meragut kebahagiaan masyarakat di seluruh dunia sehingga ke tahap mencabar pelaksanaan tanggungjawab dan kedudukan wanita khususnya wanita Islam. Saban hari di setiap pelosok negara kaum Muslimin, wanita dan anak-anak menjadi mangsa kezaliman dan penindasan. Benarlah firman Allah SWT,

“Telah nampak kerosakan di daratan dan di lautan disebabkan kerana perbuatan tangan-tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” [TMQ ar-Rum (30):41].

Akhawati al-Karimaat,

Setiap hari kita dihujani dengan berita-berita yang memaparkan kerosakan dan penderitaan umat Islam sama ada di dalam mahupun di luar negara. Kerosakan di dalam negara Malaysia telah pun dijelaskan sebelum ini. Statistik yang dipaparkan cukup menyesakkan dada kita. Bilakah semua ini akan berakhir? Dalam kesibukan kita mencari penyelesaian bagi masalah yang menimpa negeri ini, jangan pula kita lupa akan saudara-saudara kita yang berada di negeri-negeri umat Islam yang lain seperti Mesir, Syria, Myanmar dan banyak lagi. Penderitaan yang mereka alami juga sangat dahsyat sehingga melampaui batas dan di luar tabi’i manusia. Apa yang mereka sedang hadapi bukan sekadar masalah kekeluargaan tetapi sebuah suasana perang dengan penghapusan dan pembantaian yang tidak tergambar oleh akal. Mari kita telusuri sedikit apa yang berlaku di belahan dunia umat Islam.

Di Mesir, rakyatnya sehingga ke hari ini masih kebingungan kerana pemimpin yang mereka lantik melalui demokrasi, telah dijatuhkan dengan mudah melalui rampasan kuasa tentera. Bukan sekadar itu, rakyat yang mendukung beliau diperangi pula habis-habisan. Dr. Mohamed Morsi, presiden Mesir pertama yang terpilih secara demokratik, digulingkan oleh tentera pada 3 Julai 2013. Kelompok hak asasi manusia Amnesty International mengatakan sekurang-kurangnya 1400 orang terbunuh dalam kekerasan di seluruh Mesir pada waktu itu, sementara ribuan lainnya ditangkap dan dipenjara. Kita menyaksikan pembunuhan kejam ke atas peserta demonstrasi anti-pemerintah di Mesir oleh tangan kepemimpinan tentera sekular, mesin pembunuh yang dipimpin oleh Jeneral Abdul Fattah al-Sisi. Semua golongan tidak kira tua, muda, perempuan, anak-anak, bahkan bayi, menjadi korban pertumpahan darah ini.

Akhawati al-Karimaat,

Kebangkitan di Syria tercetus sejak 2012 berpunca daripada sekumpulan kanak-kanak seramai 28 orang sedang bermain-main dan telah menulis sesuatu di dinding sekolah mereka. Perkataan yang ditulis oleh kanak-kanak ini adalah keluar daripada hati nurani mereka iaitu "RAKYAT MAHU JATUHKAN KERAJAAN". Slogan ini sebenarnya telah menjadi laungan di negara-negara yang berlaku kebangkitan rakyat. Pasukan keselamatan Syria kemudiannya menangkap kanak-kanak ini. Mereka telah diseksa dengan cara dicabut kuku-kuku kaki dan tangan mereka. Salah seorang kanak-kanak tersebut lalu meninggal dan keluarganya menuntut mayat kanak-kanak tersebut dan meminta agar kanak-kanak lain juga dibebaskan. Kerajaan kemudian meletakkan syarat pembebasan kanak-kanak tersebut dengan penyerahan wanita-wanita di kalangan mereka untuk dinikahi oleh puak rejim. Ini merupakan satu bentuk penghinaan terhadap rakyat dan menunjukkan kebiadaban tentera rejim. Atas kejadian ini, maka berlakulah kebangkitan di Syria.

Setelah kebangkitan berlaku tanpa dapat dibendung lagi oleh Basyar yang merupakan ejen Amerika, maka Amerika bertindak seolah-olah mahu menghulurkan bantuan, tetapi hakikatnya ia hanya membiarkan umat Islam terus dibunuh oleh Assad sementara ia (Amerika) mencari pengganti baru bagi Assad. Bukti terpampang jelas di depan mata, antara yang paling ketara ialah pelepasan senjata kimia beracun oleh tentera Assad yang dibiarkan sahaja tanpa belas kasihan oleh Amerika dan juga kuasa-kuasa besar dunia yang kononnya lantang bersuara ingin menyelesaikan konflik dan menyelamatkan warga Syria yang dibunuh! Benarlah firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat ke 120, “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka”


Akhawati al-Karimaat.

Sedarlah bahawa demokrasi bukan sahaja gagal dan menindas kaum Muslimin di negara majoriti umat Islam, tetapi turut “menyeksa” kaum Muslimin yang menjadi minoriti di pelbagai negara. Kebencian terhadap agama Allah dan kaum Muslimin ini terlihat jelas oleh tentera/pemerintah kuffar dalam menghapuskan etnik Rohingya di Myanmar. Penindasan terhadap etnik Rohingya sebenarnya telah bermula sejak tahun 1962 lagi dan masih berlanjutan sehingga kini. Rejim Myanmar melancarkan perang besar-besaran ke atas Islam, terutama ke atas masjid-masjid dan siapa sahaja yang menampakkan keIslaman mereka. Para pelajar Islam juga dipaksa menerima ajaran Buddha di Arakan. Wanita-wanita Islam dibawa ke kem-kem, dengan alasan untuk diberi ‘latihan profesional’ dan kemudian dirogol. Bayangkan akhwati sekalian, wanita-wanita yang tinggal di kem-kem pelarian menjadi bahan seks bagi tentera yang bertugas untuk menjaga kem-kem pelarian tersebut. Sesiapa yang didapati hamil akan dipaksa mengahwini mana-mana ahli pasukan keselamatan Buddha. Perkampungan dimusnahkan, rumah-rumah dibakar dan ada yang ditukar menjadi stesen polis dan mereka yang kehilangan rumah berhadapan dengan kelaparan dan kemiskinan. Kes pembantaian terbaru Muslim Rohingya berlaku berikutan bancian penduduk sempena pilihan raya yang akan diadakan. Pihak rejim menginginkan agar hasil bancian penduduk kali ini, etnik Rohingya tidak tersenarai dalam senarai penduduk Myanmar.

Begitu juga dengan Muslim Uyghur di China yang merupakan kelompok minoriti Islam yang tinggal di rantau Barat laut Xinjiang, bersempadan dengan Asia Tengah, turut menjadi mangsa penghapusan. Rantau ini berada di bawah kawalan China pada tahun 1949 dan sejak itu Muslim Uyghur berjuang untuk kemerdekaan. Kumpulan minoriti itu sering dikaitkan dengan kumpulan pengganas, sering ditindas oleh kerajaan China dan menghadapi sekatan agama serta diskriminasi. Mereka berdepan peraturan ketat dalam beragama hingga dipaksa menggunakan al-Quran yang diluluskan kerajaan sahaja. Mereka juga berdepan sekatan-sekatan tertentu dalam peluang kerjaya. Lelaki Uyghur yang mahu berkhidmat dalam kerajaan mesti mencukur kepala dan wanita tidak dibenarkan bertudung. Muslim Uyghur juga dipinggirkan di tanah air sendiri selepas kemasukan puak majoriti China. Situasi semakin buruk ketika era Revolusi Budaya. Muslim di Xinjiang ini ditindas dengan kejam, masjid-masjid dimusnahkan, pakaian menonjolkan agama dan bahasa asli diharamkan. Di bawah Mao, ekonomi Xinjiang merudum sehingga 60,000 rakyat lari ke wilayah Russia untuk melepaskan diri dari masalah hidup. Pihak pemerintah China telah mengerahkan tentera dan polis khusus untuk menyerang rumah-rumah Muslim Uyghur dan membunuh mereka sebebas-bebasnya.

Muslim di Rusia juga mengalami penderitaan yang sama dan Muslimah turut disakiti dan dianiaya. Suami mereka yang ikhlas berjuang ditangkap dan disumbat ke dalam penjara. Manakala di Uzbekistan pula, wanita-wanitanya dilakukan pemandulan paksa secara sistematik tanpa pengetahuan mereka. Inilah penderitaan umat Islam terutamanya wanita dan kanak-kanak yang tidak akan berkesudahan tanpa pembelaan dari para pemimpin mahupun dari umat Islam lainnya. Mereka sudah penat memanggil kita semua untuk membela mereka, namun malangnya sebahagian besar tidak menyahut.

Akhwati al-Karimaat

Pada Januari 2014, bumi Republik Afrika Tengah pula bergolak. Agenda pembantaian umat Islam telah dilakukan oleh orang-orang Kristian kerana dendam yang telah lama dipendam sejak kekalahan mereka semasa Perang Salib dahulu lagi. Umat Islam di Afrika Tengah telah dibunuh dengan kejam. Wanita dan anak-anak tidak terkecuali daripada nafsu dendam puak Kristian. Mereka diculik, dibunuh, dibakar, dirogol dan sebagainya. Dilaporkan juga mengenai orang-orang Kristian yang membunuh kaum Muslimin dan memotong-motong tubuh mereka, bahkan memakan daging mereka mentah-mentah. Pada 13 Januari lepas, BBC menerbitkan penyelidikan terperinci tentang “seorang kanibal yang memakan daging manusia untuk membalas dendam”. Seorang saksi mengatakan, “Mereka menyerang dan menendangnya. Mereka menghentam batu ke kepalanya. Mereka melakukannya tanpa henti, walaupun dia sudah mati” “Mereka membakar mayat sekitar 20 orang. Mereka memotong seluruh kakinya, kemudian salah seorang dari mereka memakannya. Dia menggigitnya empat kali, lalu menelannya mentah-mentah, sebelum dibakar” Mereka merayakan kejahatan keji ini dengan berkumpul di sekelilingnya, menjabat tangannya, dan menepuk kepalanya, tersenyum dan tertawa seolah-olah ini pertama kali dia tersenyum lebar. Bagi mereka, dia adalah pahlawan. Salah satu daripada mereka berkata. “Semua orang sangat marah pada orang-orang Islam. Tidak mungkin ada yang akan ikut campur!”.

Ini hanyalah klimaks dari kejahatan yang terus dilakukan terhadap saudara-saudara Muslim kita di Republik Afrika Tengah oleh puak Kristian yang dengki dan memusuhi. Ini adalah salah satu gambaran daripada situasi yang benar-benar sedang dihadapi oleh saudara-saudara Muslim kita di sana saat ini. Merujuk kepada kerjasama Perancis, keterlibatan antarabangsa dan kejahatan para penguasa Muslim, sikap mereka terhadap kaum Muslimin di Afrika Tengah ini adalah sama seperti sikap mereka terhadap pembantaian bersejarah ke atas Muslim di Serbia pada tahun 1995 di mana lebih daripada 8 ribu orang awam mati dibunuh, perempuan-perempuan Bosnia diperkosa secara sistematik di bawah pengawasan pasukan PBB Belanda. Sesungguhnya, Allah SWT telah memberikan ancaman azab yang pedih kepada mereka yang menyeksa orang-orang Mukmin.

“Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan ujian (bencana, membunuh, menyeksa) kepada orang-orang Mukmin lelaki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahanam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar” [TMQ al-Buruuj (85):10].

Akhawati al-Karimaat

Muslimah yang hidup di dunia Barat juga tidak terlepas daripada sentimen Islamophobia dengan pelbagai penindasan dan pandangan serong masyarakat terhadapnya. Wanita tidak bebas untuk menutup aurat, mereka didiskriminasi dan dihina. Pada 20 Mei tahun lepas, 2 orang Muslimah yang menetap di Paris telah menjadi mangsa Islamophobia. Rabia, gadis berusia 17 tahun, telah diserang oleh kelompok yang digelar “Skinhead”. Akibat serangan tersebut, Rabia tersungkur ke tanah dan kemudian dihina dengan perkataan seperti “Arab kotor” dan “Muslim kotor”. Kemudian mereka membiarkan Rabia dalam keadaan mulut, muka dan sikunya berdarah. Leila O, berusia 21 tahun yang sedang mengandung empat bulan telah diserang oleh dua orang dengan menarik dan mengoyakkan tudungnya, memotong rambutnya, memukul tubuhnya berkali-kali, termasuk perutnya hingga menggugurkan kandungannya. Namun, atas dasar tidak mencampuri urusan negara lain, sekali lagi para penguasa umat Islam terus menjadi buta dan tuli daripada memberi bantuan dan pembelaan kepada mereka yang tertindas.

Lebih berbahaya daripada serangan secara fizikal, wanita dan anak-anak kaum Muslimin diserang pemikirannya dengan idea-idea sekularisme-kapitalis. Pelbagai mitos mengenai kecantikan pada definisi Barat telah merasuk Muslimah. Mereka sanggup berbelanja besar untuk alat-alat kosmetik, malah Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu mencatat jumlah pengguna kosmetik tertinggi di dunia. Iran pula menduduki kedudukan tertinggi dalam pembedahan plastik di hidung. Wanita Dubai yang paling tinggi menjalani proses penyedutan lemak dan suntikan Botox. Ini bukanlah satu pengiktirafan kepada wanita, sebaliknya penghinaan yang amat besar. Wanita sebagai objek seks, dihias cantik dan diperagakan seperti barang jualan yang murah. Jika di negara Barat, budaya ini biasa dan dianggap sebagai puncak kemuliaan wanita, namun hakikatnya ia adalah puncak kehinaan bagi seseorang Muslimah. Tanpa sedar, sebenarnya kapitalisme telah menjadikan wanita sebagai objek seks yang boleh dimanipulasikan sebagai pelaris produk keluaran mereka. Justeru, wanita dan anak-anak Muslim di seluruh dunia perlu disedarkan, diselamatkan dan dikeluarkan daripada terus menjadi objek penindasan sistem demokrasi-kapitalis-sekular kepada sistem ciptaan Allah yang terjamin kebahagiaannya.

Khatimah

Akhawati al-Karimaat

Kami ingin bertanya, adakah anda semua mengaku sebagai seorang Muslim yang mencintai Islam? Adakah kaum Muslimin di seluruh dunia ini merupakan saudara seagama dan seakidah anda? Sejak dulu mereka menjerit memanggil anda semua untuk membela mereka. Penderitaan yang mereka alami sudah tidak tertanggung lagi. Tidakkah anda wajib untuk membantu mereka, menyahut panggilan mereka? Bukankah penderitaan wanita dan kanak-kanak Muslim di negeri-negeri lain merupakan urusan anda? Wahai Muslimah sekalian, adakah anda semua bersedia untuk bersama-sama dengan kami untuk membela nasib mereka?

Rasulullah SAW bersabda,“Perumpamaan kaum Mukmin dalam kasih sayang dan belas kasih serta cinta mereka adalah seperti satu tubuh. Jika satu bahagian anggota tubuh sakit maka akan merasa sakit seluruh tubuh dengan tidak dapat tidur dan merasa demam” [HR Bukhari dan Muslim].

Dalam Hadis Rasulullah SAW dari Anas bin Malik, “Tidak beriman salah seorang di antara kalian sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya” [HR. al-Bukhari dan Muslim].

Sikap diamnya para penguasa kaum Muslimin di pelbagai negeri adalah natijah daripada wujudnya nation state (negara bangsa) di Dunia Islam. Dengan fahaman nasionalisme yang ada, seolah-olah menjadikan kaum Muslimin terlepas daripada ikatan mereka yang satu, iaitu ikatan tauhid. Mereka merasa asing dengan saudara mereka yang Muslim yang berada di tempat lain atau berlainan bangsa. Para penguasa di negeri tersebut seakan tidak mendengar perintah Allah SWT,

“Jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kalian wajib memberikan pertolongan” [TMQ al-Anfal (8):72].

Sampai bila kalian mahu tunggu lagi wahai para Muslimah, sebelum kalian mahu bergerak untuk menolak sistem demokrasi ciptaan manusia dan berusaha menegakkan sistem Khilafah warisan Rasulullah SAW yang akan membawa kesejahteraan kepada kita semua? Semoga Allah memimpin kita semua ke jalan kebenaran.

Wallahu’alam.


SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment