Wanita dan Kanak-Kanak Mangsa Kerosakan Sistem Demokrasi-Kapitalis di Malaysia

WANITA DAN KANAK-KANAK MANGSA KEROSAKAN SISTEM DEMOKRASI-KAPITALIS DI MALAYSIA

Oleh:
Dr. Aslam Diyana Selamat
Aktivis Muslimah HizbutTahrir Malaysia

Umum mengetahui bahawa Malaysia merupakan negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Namun realitinya sama ada diakui atau tidak, negara ini adalah sebuah negara pengamal sistem demokrasi-kapitalis. Ia mendoktrin rakyatnya bebas dalam kehidupan sama ada dalam konteks untuk berakidah, bertingkahlaku, memberi pendapat dan memiliki harta. Inilah yang dikatakan sebagai penerapan konsep hak asasi manusia secara mendasar. Penerapan konsep hak asasi manusia ini juga meliputi isu persamaan gender, khususnya penekanan kepada hak-hak wanita yang mesti disamakan dengan lelaki kerana sebelum ini wanita sering disifatkan sebagai golongan yang didiskriminasi. Atas dasar ini, kerajaan dan institusi asing Barat sentiasa berusaha mengubah struktur keluarga dan peranan wanita melalui CEDAW, Dasar Wanita Negara, Dasar Keluarga Negara dan lain-lain.

CEDAW adalah singkatan bagi Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women (Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita) yang telah diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1979. Konvensyen ini diwujudkan tidak lain kecuali untuk mengukuhkan lagi prinsip hak asasi manusia dan kesamaan wanita di seluruh dunia. Konvensyen ini menyediakan asas untuk merealisasikan kesaksamaan di antara wanita dan lelaki dengan memastikan akses yang sama kepada wanita, dan peluang yang sama dalam kehidupan politik dan awam -termasuk hak untuk mengundi dan bertanding dalam pilihan raya- dan juga pendidikan, kesihatan dan pekerjaan (http://www.un.org/womenwatch/daw/cedaw/cedaw.htm)

Apa yang lebih penting, ia sebenarnya adalah usaha mengukuhkan kedudukan AS sebagai global leader yang kononnya berdiri untuk menjaga dan mempertahankan hak asasi wanita seluruh dunia. Sehubungan itu, sejumlah 188 negara telah meratifikasi konvensyen ini dan 99 daripadanya adalah negara penandatangan. Malaysia adalah antara negara di rantau Asia yang telah menerima dan meratifikasi CEDAW pada 5 Julai 1995. Kesemua negara yang terlibat ini dikehendaki untuk membentuk polisi bagi mewujudkan lebih ruang keselamatan dan peluang pekerjaan bagi wanita dan keluarga di negara masing-masing.

Atas dasar itu, maka wujudlah Dasar Wanita Negara bersama-sama dengan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita pada tahun yang sama penyertaannya sebagai kelangsungan objektif oleh perikatan badan antarabangsa tersebut. Antara rangka yang digubal dalam membentuk dasar ini termasuklah hala tuju pembangunan wanita. Pada tahun 2013, Malaysia mempunyai penduduk wanita seramai 14 juta daripada lebih 28.9 juta penduduk. Oleh yang demikian wanita dikatakan perlu berperanan dalam menyumbang pembangunan ekonomi negara. Tambahan itu, dalam kajian yang dijalankan oleh Profesor Monique dan Professor Natalie pakar psikologi dari Kanada, mereka mendapati bahawa faktor penentu kejayaan bagi wanita adalah berdasarkan posisi wanita dalam kerjaya dan jumlah sumber pendapatan yang diperolehi.

Di Malaysia, 49.5% wanita terlibat dalam guna tenaga wanita (employment) pelbagai bidang pada tahun 2012 berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Kerajaan juga telah mensasarkan seramai 55% daripada wanita di Malaysia untuk terlibat dalam sektor pekerjaan. Dalam sistem demokrasi-kapitalis, kadar kemiskinan negara merupakan indikator kemunduran yang mendatangkan kerugian malah beban kepada negara. Di Malaysia, tingginya kadar kemiskinan ini datangnya daripada kalangan ibu tunggal dan wanita yang terpaksa menjadi ketua keluarga dan seterusnya menyara keluarga masing-masing. Mengikut perangkaan yang diperolehi, sejumlah 663,261 orang wanita di Malaysia terpaksa menjadi ketua isi rumah pada tahun 2000 [www.statistics.gov.my/portal].

Menurut Islam, peranan asal wanita dalam sesebuah keluarga adalah sebagai penanggungjawab utama untuk menjaga dan mengatur rumahtangga manakala lelaki pula sebagai ketua rumah tangga dan penjana ekonomi keluarga. Melalui CEDAW, kita dapat melihat bagaimana Barat berusaha untuk menyamaratakan peranan yang perlu dimainkan oleh kedua-dua gender. Peranan baru wanita sengaja diciptakan dan diperbesarkan oleh Barat atas nama hak asasi manusia dan persamaan gender. Secara tidak langsung, usaha ini menyebabkan tanggungjawab penjagaan anak-anak oleh wanita dipinggirkan. Malah, peranan utama wanita kini dialihkan kepada kesibukan-kesibukan mencari sumber pendapatan keluarga. Usaha Barat ini bukan sahaja menghilangkan peranan seorang wanita, tetapi peranan seorang lelaki sebagai ketua keluarga turut terpalit sama. Realitinya, impak persamaan hak asasi yang dilaungkan Barat telah menghancurkan institusi keluarga Muslim dan kesan ketara dapat dilihat apabila hilangnya salah satu fungsi negara sebagai pelindung wanita.


Masalah Bertimpa-Timpa Dan Kesannya

Dengan peningkatan kos sara hidup seperti kenaikan harga barang-barang, yuran pendidikan, kos kesihatan yang mahal, pelaksanaan cukai baru dan banyak lagi, telah mengakibatkan kemelut kemiskinan dalam institusi keluarga turut meningkat. Usaha pengembangan ekonomi melalui pelbagai cara oleh pihak kerajaan ini secara tidak langsung telah memaksa wanita keluar bekerja bagi menanggung beban dan menyelamatkan ekonomi keluarga. Peranan utama wanita sebagai ummun wa rabbatul bait (ibu dan pengatur rumah tangga) terpaksa dikorbankan demi memenuhi keperluan ini. Paparan di salah sebuah akhbar utama pada 24 April lalu mengenai seorang gadis yatim piatu seusia 15 tahun yang terpaksa menjadi ketua keluarga dan keluar bekerja telah mendapat perhatian dan simpati masyarakat. Ini cuma salah satu daripada banyak kisah hidup wanita Malaysia yang sedang berhadapan dengan kesempitan hidup. Persoalannya, apakah peranan dan tanggung jawab negara dalam hal ini?

Kemelut kesempitan hidup dan kemiskinan bukan sahaja memaksa wanita keluar mencari nafkah, bahkan wanita juga terpaksa berhadapan dengan arus materialistik. Ramai wanita yang sanggup menjadi objek eksploitasi samada secara ‘terhormat’ atau tidak. Rumah-rumah pelacuran, pusat hiburan dan rumah urut berleluasa terutama di ibu kota dan kewujudannya sukar dibendung. Salah satu berita dalam Utusan Malaysia pada tahun 2012 telah melaporkan bahawa pelacur wanita tempatan telah meningkat sebanyak 70%. Ini adalah hasil daripada tangkapan yang berjaya dilakukan oleh pihak PDRM pada tahun tersebut [UM 31/01/2012]. Jumlah ini tidak termasuk bilangan pelacur yang tidak dapat dikenal pasti, khususnya yang menjadi ‘perempan simpanan’ dan juga ‘kelas atasan’. Selain itu, tidak kurang juga wanita yang berusaha berhempas pulas menjadi artis dan model sebagai cara mudah untuk memperoleh sumber pendapatan yang lumayan bagi meningkatkan taraf hidup. Ringkasnya, usaha menaik taraf ekonomi oleh negara ini telah secara langsung menaikkan jumlah wanita yang terlibat dalam kemaksiatan.

Selain itu, wanita merupakan mangsa yang paling tinggi berhadapan dengan ancaman keganasan. Menurut Tengku Naufal Tengku Mansor, seorang pengamal undang-undang di Malaysia, statistik kes keganasan rumah tangga terhadap wanita secara puratanya meningkat dari setahun ke setahun. Lebih 90 peratus kes-kes keganasan rumah tangga dilakukan oleh lelaki (suami) terhadap isteri, manakala hanya lima peratus kes wanita mengkasari [UM 25/08/2010]. Realitinya 1 daripada 3 orang wanita di dunia pernah menjadi mangsa keganasan sama ada dipukul, dijadikan habuan seks, didera dan dianiaya dengan pelbagai cara. Data statistik kes rogol di Malaysia dari tahun 2000 hingga 2009 menunjukkan bahawa kes rogol meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh 9 tahun dan 80.5% daripada mangsa ini adalah daripada kaum Melayu. Dalam satu kejadian terbaru di Bachok Kelantan pada 3 April 2014 yang lalu, seorang wanita hamil tujuh bulan dan telah memiliki seorang anak berusia 5 tahun telah menjadi mangsa rogol 5 lelaki yang tidak berhati perut ketika keluar membeli makanan bersama rakannya [UM 03/04/2014].

Tidak cukup dengan itu, wanita turut terancam dengan keganasan domestik. Biarpun Islam membenarkan suami memukul isteri yang nusyuz, namun hanyalah sebatas pukulan yang mendidik serta tidak menyebabkan kecederaan fizikal. Namun ironinya, di negara yang kononnya mendokong sistem yang memperjuangkan kebebasan dan kesamaan gender ini, masalah keganasan domestik yang melampau tetap berlaku dan amat sukar dibendung. Walaupun statistik tidak menunjukkan peningkatan yang ketara pada penghujung tahun 2012 namun kita tidak menolak kemungkinan terdapat banyak wanita yang takut dan malu untuk tampil membuat laporan malah sanggup bertahan untuk mempertahankan rumahtangga.

Ini adalah antara kes yang dipaparkan di dada akhbar bagi kejadian keganasan domestik di Malaysia dan ada di antaranya sehingga membawa kepada kes kematian. Namun begitu, perceraian tetap merupakan jalan terakhir dalam masalah rumahtangga. Wanita terpaksa berhadapan dengan perceraian apabila rumah tangga tidak lagi harmoni. Dalam tempoh 15 tahun, kes perceraian yang didaftarkan ini telah meningkat lebih 4 kali ganda. Menurut sumber Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia antara penyebab berlakunya kes perceraian adalah masalah ekonomi, suami atau isteri yang tidak bertanggungjawab serta masalah akhlak. Hal yang lebih menyedihkan lagi apabila kes perceraian ini menyumbang kepada peningkatan jumlah ibu tunggal yang terpaksa berhadapan dengan masalah ekonomi keluarga.

Impaknya, masalah-masalah yang sedang dihadapi wanita di Malaysia kini menyebabkan mereka berhadapan dengan risiko kesihatan mental dan fizikal. Laporan Berita Harian pada tahun 2011 menyatakan bahawa kaum wanita menduduki tangga ke-16 di dunia dalam masalah tekanan hidup [UM 18/07/2011]. Mengapa ini terjadi? Ini berlaku kerana kebanyakan wanita terpaksa menghadapi konflik bebanan tugas. Kajian telah membuktikan bahawa wanita mengalami tekanan kerana terpaksa bekerja kuat bagi menggalas tanggungjawab menjaga keluarga serta terlalu berusaha menjaga hubungan dengan pasangan.

Selain itu, negara Malaysia sedang berhadapan epidemik HIV dan AIDS. Masalah HIV terus meningkat setiap tahun. Jumlah yang terkumpul bagi kes HIV sahaja sehingga tahun 2009 telah menjangkau 87,710 orang [UM 14/09/2010]. Ini bukanlah satu fakta yang memeranjatkan kerana peningkatan ini secara signifikannya begitu konsisten dengan masalah pergaulan bebas berdasarkan data-data yang berkaitan dengan eksploitasi dan pemerdagangan wanita Malaysia. Apa yang menjadi kerisauan adalah masalah-masalah yang sedang dihadapi oleh wanita ini memberi kesan negatif secara langsung kepada anak-anak dan keluarga itu sendiri.

Kesibukan wanita bekerja menyebabkan penjagaan anak-anak terpaksa dikontrak kepada orang lain. Anak-anak terpaksa dihantar ke pusat pengasuhan. Terdapat juga ibu bapa yang terpaksa menggaji pembantu rumah untuk menjalankan tugas si ibu. Lebih menyedihkan, apabila ada yang terpaksa meninggalkan anak sehingga berhari-hari malah berminggu-minggu semata-mata untuk mencari sumber pendapatan. Akibatnya, perhatian kepada perkembangan anak sama ada secara fizikal mahupun mental terjejas. Malahan, anak-anak turut terdedah dengan ancaman keganasan domestik. Berdasarkan data yang diperolehi, trend penderaan anak-anak terus meningkat saban tahun dan jumlah kes kanak-kanak didera yang terkini (2012) adalah sebanyak 4000 kes [UM 11/08/2013]. Kebanyakan pendera ini terdiri daripada kalangan keluarga sendiri atau penjaga mangsa termasuklah pengasuh dan pembantu rumah. Bagi kanak-kanak perempuan, penderaan seksual sangat mendominasi malah mendahului penderaan berbentuk fizikal. Jika situasi ini dibiarkan berterusan, kesannya pada anak-anak bukan sahaja dari aspek gangguan mental dan perkembangan fizikal, tetapi yang lebih buruk adalah masalah tingkah laku kerana anak-anak ini lebih mudah terjebak ke lembah maksiat apabila meningkat dewasa kelak.

Budaya Hedonisme

Hedonisme adalah fahaman yang berasaskan kepada keseronokan. Sebarang unsur yang boleh mendatangkan kesusahan atau kesedihan merupakan satu belenggu yang merantai manusia untuk mengecapi kebahagian, kesenangan, ketenangan dan keseronokan. Golongan remaja sangat mudah terjebak dengan aliran ini kerana ia merupakan kunci bagi melepaskan diri dari sebarang masalah kehidupan mereka. Keghairahan remaja Malaysia mengejar gaya hidup bebas dan bersuka ria menyebabkan mereka sanggup melakukan pelbagai perkara yang boleh memberi kepuasan dan keseronokan yang optimum meskipun dengan cara meniru budaya hidup barat. Gaya hidup sedemikian seolah-olah dilabelkan sebagai simbol yang berprestij dalam sistem stratifikasi sosial bagi aliran hedonisme. Penonjolan budaya dapat dilihat melalui gaya hidup yang mementingkan hiburan yang melampau, LGBT, penyalahgunaan dadah, kehidupan yang mewah melebihi daripada kemampuan dan sebagainya.

Terkini, parti separa bogel Pool Party mula menjadi gaya baru dan kegemaran kebanyakan remaja di Malaysia. Meskipun penganjurannya secara besar-besaran di Johor dan Ampang pada awal April lalu telah disekat oleh pihak berkuasa, namun melalui sebaran gambar di internet, kita dapat merasakan budaya rosak Barat ini mula menular di kalangan remaja. Dalam kejadian terbaru pada bulan Mac tahun ini, 5 orang remaja mati dan 3 kritikal akibat pengambilan dadah amphetamine berlebihan ketika mengunjungi Future Music Festival Asia 2014 di mana polis telah mendapati 19 orang remaja positif dadah. Apa yang lebih menyedihkan, kesemua mereka yang terlibat ini adalah pelajar IPT.

Inilah hakikat pergaulan bebas yang mengakibatkan gejala sosial semakin berleluasa dan sukar dibendung. Hubungan seks luar nikah sudah menjadi lumrah. Pesta dan konsert hiburan bukan lagi semata-mata menjadi tempat hiburan malah menjadi medan melakukan hubungan keji itu. Akibatnya lahirlah ramai anak-anak luar nikah sehingga bilangan anak yang tidak sah taraf yang didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara mencecah 234,647 orang dari tahun 2006 hingga 2010 [BH 21/03/2011]. Ini adalah secebis petanda betapa rosaknya akhlak generasi rakyat Malaysia di masa hadapan. Hedonisme juga menjadi faktor penyumbang kepada masalah penglibatan remaja dengan dadah, baik sebagai penagih mahupun keldai dadah. Pengambilan dadah adalah jalan keluar apabila berhadapan dengan tekanan hidup. Tambahan lagi, akibat kesempitan hidup, wanita sanggup dipergunakan sebagai pengedar dadah sebagai cara mudah memperolehi pendapatan yang lumayan. Statistik juga membuktikan bilangan anak-anak remaja di Malaysia yang mengambil dadah terus meningkat hampir 7 kali ganda dalam tempoh 4 tahun. YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri menyatakan kebimbangan beliau apabila pengedar dadah ini sedang mensasarkan kumpulan anak-anak seawal usia 10 tahun, semasa Sambutan Anti Dadah Peringkat Kebangsaan pada Mac lalu di Kajang [UM 04/03/2014].

Kecenderungan untuk hidup mewah ini bukan sahaja mendedahkan golongan remaja kepada gejala sosial malah kegiatan jenayah juga. Buktinya, pendedahan yang dilakukan oleh akhbar Berita Harian pada 9 April lalu menunjukkan bahawa aktiviti gangsterisme di kalangan remaja meningkat. Kes jenayah samun berkumpulan, curi kenderaan, bunuh dan rogol semuanya meningkat secara mendadak dalam tempoh 2 tahun.

Punca Masalah Dan Penyelesaian

Pelbagai penyelesaian semasa sedang diusahakan oleh banyak pihak bagi mengatasi masalah wanita dan keluaga. Di peringkat antarabangsa, sambutan Hari Wanita Sedunia menjadi platform pembangkit kesedaran kepada wanita terhadap gagasan hak asasi wanita dan kesetaraan gender. Di Malaysia, pihak kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyediakan pelbagai insentif dan program bagi menggalakkan penglibatan wanita dalam pembangunan negara melalui sektor pekerjaan (termasuk perniagaan) yang dapat menjana pendapatan keluarga. Pihak kerajaan turut menyediakan insentif ke atas pusat jagaan anak-anak dalam program transformasi ekonomi melalui potongan cukai ke atas pusat jagaan anak-anak dan majikan. Selain itu, pelbagai hukuman pencegahan digubal yang bukan sahaja bertentangan dengan syarak, malah pada hakikatnya tidak mampu menyelesaikan masalah hingga ke akar umbi. Sebagai contoh, hukuman denda yang dikenakan ke atas pelaku zina, jelas bertentangan dengan wahyu dan sedikit pun tidak mendidik si pelaku untuk berubah. Dalam waktu yang sama, media massa dan internet juga terus menerus memaparkan rancangan hiburan tanpa sekatan selain rancangan seks yang terlalu mudah diakses.

Badan kerajaan turut memainkan peranan dengan penubuhan One Stop Crisis Centre iaitu Pusat Khidmat Sepadu yang diwujudkan di klinik dan hospital-hospital kerajaan. Ia berbentuk konsep perkhidmatan yang menawarkan khidmat perubatan, kaunseling dan polis di satu pusat khusus bagi mereka yang mengalami masalah keganasan. Kita tidak menafikan usaha baik kewujudan pusat ini, namun persoalannya sejauh manakah mangsa keganasan mendapat pembelaan sewajarnya dan sejauh manakah masalah ini telah dapat diatasi? Begitu juga dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang turut berusaha memainkan peranan. Di antaranya dengan mewujudkan rumah perlindungan wanita bagi mereka yang menghadapi gangguan mental akibat keganasan dan gadis terlanjur. Selain itu juga, Baby Hatch (rumah perlindungan bayi) diwujudkan yang kononnya dapat mengurangkan masalah kes pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi.

Apa yang pasti, segala penyelesaian yang diambil tidak pernah dapat menyelesaikan masalah, sebaliknya masalah semakin bertambah dari masa ke semasa. Jadi, persoalan mendasar di sini ialah, di manakah silapnya? Apakah puncanya? Adakah semata-mata disebabkan oleh kelemahan individu? Ataukah disebabkan oleh kelemahan penerapan sistem perundangan? Realitinya, segala penyelesaian yang diambil tidak ubah seperti menadah air yang turun akibat ketirisan atap. Air cuma ditampung agar tidak membasahi lantai dan tidak melimpah. Begitulah yang dikatakan penyelesaian simptomatik yang bukan berdasarkan diagnosis dan tidak merawat punca. Walhal hakikatnya ataplah yang perlu dibaiki atau ditukar bagi membaiki ketirisan tersebut.

Khatimah

Sebagai kesimpulan, umat Islam harus sedar bahawa masalah yang melanda wanita pada hari ini adalah masalah yang sistemik. Ibarat anggota tubuh yang saling terkait antara satu sama lain, apabila sakit salah satu anggota, maka anggota lainnya pun akan turut terjejas. Begitulah sistem hidup manusia. Hak asasi manusia, kesetaraan gender, hedonisme dan demokrasi, semuanya adalah idealisme dan sistem yang datangnya dari Barat yang mengakar umbi dalam kehidupan manusia amnya dan umat Islam khususnya. Inilah punca peruntuh generasi, bukan pembina atau pembangun generasi. Sistem demokrasi-kapitalis Barat, selain merupakan sistem kufur yang haram diambil oleh umat Islam, ia juga terbukti tidak mampu untuk mengekang permasalahan yang sedang melanda khususnya wanita dan anak-anak dan terbukti menambah parahkan lagi masalah.

Firman Allah SWT,

“Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al- Maidah (5):50].

“Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah” [TMQ al-An’am (6):57].

Dengan fakta kerosakan dan nas yang jelas mengharamkan sistem buatan manusia ini, adakah anda masih mahukan sistem demokrasi-kapitalis terus berjalan dalam kehidupan? Tepuk dada tanyalah iman.

Wallahu’alam


SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment