HUKUM MENUNAIKAN HAJI DENGAN BERHUTANG

HUKUM MENUNAIKAN HAJI DENGAN BERHUTANG
Oleh: Farisha Aris (Aktivis MHTM)

Sesungguhnya antara keistimewaan syariah Islam ialah, ia tertegak atau didirikan atas dasar memudahkan dan mengangkat (menghilangkan) kesusahan. Antara dalilnya sebagaimana firman Allah SWT,

“Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesusahan (kesukaran) bagimu” [TMQ al-Baqarah (2):185].

“Dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan” [TMQ al-Hajj (22): 78].

Mafhum daripada dua ayat di atas iaitu Allah SWT tidak mewajibkan ke atas hamba-hambaNya sesuatu yang membawa kepada kesempitan dan kesulitan.

Berkaitan dengan kefarduan haji, sesungguhnya al-Quran telah menerangkan dengan jelas bagi mereka yang diwajibkan menunaikan haji. Firman Allah SWT,

“Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu bagi orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah” [TMQ ali-Imran (3):97].

Mafhum daripada ayat ini bahawasanya Allah SWT telah mewajibkan ke atas hamba-hambaNya supaya menunaikan haji di rumahNya (Baitullah) pada waktu-waktu tertentu dan dengan kaifiat (cara-cara) yang telah dikhususkan setelah mana mereka berada dalam keadaan yang mampu dari segi harta dan fizikal. Sesungguhnya Nabi SAW telah mentafsirkan maksud qudrah (kemampuan) ini ialah dengan memiliki bekalan dan kenderaan untuk menunaikan haji.

Maka diriwayatkan daripada Saidina Anas RA bahawa beliau telah berkata,
Nabi SAW telah ditanya apakah maksud sabil (سبيل) iaitu yang disebutkan dalam ayat di atas. Maka Nabi SAW telah menjawab dengan bersabda, “Bekalan (yang mencukupi) dan kenderaan”.

Para ulama sepakat menyatakan hukum wajib tidak akan tertanggung ke atas individu lelaki atau wanita selagi syarat ‘istita'ah’ (kemampuan) belum diperolehi. Pengertian istita'ah secara mudah lagi ringkas, adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi SAW ketika ditanya akan ertinya, baginda menjelaskan, “Bekalan dan pengangkutan perjalanan” [Riwayat at-Tirmidzi; berkata at-Tirmidzi & an-Nawawi : Hadis Hasan : Al-Majmu', 7/41 (1)].

Jelas daripada hadis yang memperincikan erti istita'ah di atas, terdapat dua perkara utama iaitu:

1. Bekalan. Bekalan di sini bererti bekalan makanan, minuman dan pakaian yang mencukupi sepanjang pemergiannya sehinggalah kepulangannya [I'anah at-Tolibin, 2/281; al-Mughni, Ibn Qudamah, 4/316].

2. Kenderaan dan Perjalanan. Kenderaan dan perjalanan mestilah sesuai dan diyakini keselamatannya. Kenderaan pula mestilah diperoleh sama ada dengan membelinya atau menyewanya [al-Mughni, Ibn Qudamah].

Imam al-Baihaqi telah meriwayatkan daripada Abdullah bin Abi Aufa bahawa beliau telah berkata, “Aku bertanya kepada Nabi SAW berkenaan seorang lelaki yang belum menunaikan haji, adakah boleh ia meminjam wang untuk haji? Jawab Nabi SAW, tidak" [Musnad as-Syafie ; 1/109 ; al-Umm, 2/116 ].

Sesungguhnya para fuqaha’ telah mengambil hadis ini (sebagai istinbat hukum) bahawasanya tidak seharusnya bagi seseorang Muslim untuk berhutang semata-mata untuk membolehkan dia menunaikan haji kerana Allah SWT telah berfirman,

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” [TMQ al-Baqarah (2): 286].


Imam asy-Syafie berkata, “Barangsiapa yang tidak mempunyai kemudahan, keluasan (lebihan) harta yang membolehkannya menunaikan haji tanpa membuat pinjaman, ketika itu, “Dia dianggap tidak berkelayakan (tiada bekalan) untuk pergi haji” [al-Umm, 2/116].

Islam tidak memberatkan kecuali kepada mereka yang benar-benar sudah sampai kemampuan dan bukan kemampuan yang dipaksa-paksa sebelum tiba saatnya. Imam Ibn Qudamah menjelaskan bahawa para ulama hampir sepakat menyatakan bahawa keharusan mengadakan belanja bekalan. Beliau berkata,

“Dan hendaklah (bekalan ini) adalah harta yang lebih daripada apa yang wajib ke atas tanggungjawabnya daripada nafkah keluarga yang wajib disediakannya semasa pergi dan kembalinya, ini adalah kerana nafkah berkait dengan hak manusia, dan ia adalah lebih perlu dan diutamakan (dalam hal ini daripada haji yang merupakan hak Allah semata-mata),...selain itu mestilah bekalan ia daripada harta yang lebih dari mencukupi untuk melunaskan hutangnya” [al-Mughni, Ibn Qudamah, 4/317].

Khatimah

Oleh yang demikian, setiap individu Muslim seharusnya memahami inti pati fardu haji yang dituntut dalam Islam dengan melaksanakannya apabila telah mencapai kemampuannya. Walau bagaimanapun, sesungguhnya para fuqaha’ telah berkata bahawa walau seseorang itu meminjam wang untuk menunaikan haji, sesungguhnya ibadah hajinya diterima dan gugur kefarduan haji mereka dengan cara meminjam itu. Semoga kita tergolong di dalam golongan orang diterima hajinya di sisi Allah Ta’ala.


Wallahu’alam..


Sumber:

1) Al-Quran
2) www.mykhilafah.com
3) Tafsir Ibnu Kathir; Pustaka Jiwa, Kuala Lumpur; 2007
4) Syarah Hadith 40 Imam An-Nawawi
[http://salamgarden.files.wordpress.com/2008/05/hadis-40.pdf]
5) Siri Fiqh 4 Mazhab: Haji (Bab: Istitha’ah dan hukum hajinya perempuan dan orang buta),Syeikh Abdul Rahman Al Jazairi, 2011


SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment