MUSLIMAH TEGUH SYARIAH, MUSLIMAH DAMBAAN

MUSLIMAH TEGUH SYARIAH, MUSLIMAH DAMBAAN
Oleh: Ustazah Husna (Aktivis MHTM)

Cabaran Kehidupan Muslimah Hari Ini

Tidak dapat dinafikan, Muslimah hari ini berhadapan dengan pelbagai kemelut peribadi dan krisis jati diri yang sangat mencabar. Profil Muslimah dambaan yang teguh syariah memang sudah mengalami pergeseran kecelaruan yang sangat tajam. Wanita yang memilih untuk tinggal di rumah sebagai surirumah dan menguruskan suami dan anak-anaknya dianggap ketinggalan zaman, dikongkong, tiada kebebasan dan berada di bawah kekuasaan lelaki semata-mata.

Ini adalah akibat daripada arus sekularisme global, fahaman feminisme, paradigma kesetaraan gender dan pengaruh materialisme yang ditancapkan ke dalam jiwa umat Islam oleh Barat. Wanita mula terpesong jauh dari fitrahnya. Akhirnya, lahirlah wanita yang hilang rasa tanggungjawab dan keprihatinan sehingga melumpuhkan peranannya sebagai isteri solehah dan ibu mithali kepada anak-anaknya. Eksploitasi dan gangguan terhadap wanita semakin berleluasa dan mereka cenderung terperosok ke dalam kerendahan martabat.

Wanita masa kini bukan lagi wanita yang pemalu. Kini, mereka sangat berani. Ya, berani menampakkan aurat, berani keluar rumah jauh tanpa ditemani suami/mahram, berani mengaibkan diri sendiri, tidak malu menonjolkan diri, tidak segan silu membicarakan masalah intim dan lain-lain. Harga dirinya hanya diukur pada bentuk tubuh badan dan keterampilan diri. Natijahnya, lahirlah wanita yang akhirnya menderita zahir dan batin.

Profil wanita dambaan pada zaman ini adalah mereka yang dianggap ‘sangat hebat’ dan ‘perkasa’ setanding dengan kaum lelaki. Lihat sahaja, setiap kali sambutan Hari Wanita sedunia, profil wanita yang dianggap sebagai ikon ialah mereka yang produktif untuk membangunkan ekonomi yang berfokuskan materialisme, berdikari dan memperjuangkan kebebasan serta kesetaraan gender. Inilah nilai seorang wanita pada pandangan mata manusia zaman kini.

Ciri Muslimah Dambaan Syariat

Lain halnya dengan pandangan Islam terhadap kemuliaan dan kehebatan seorang wanita. Berdasarkan banyak nas-nas syarak, profil wanita dambaan sangat jauh berbeza daripada profil ciptaan Barat yang berlandaskan hawa nafsu manusia. Rasulullah SAW bersabda,

“Dunia ini adalah perhiasan, sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah” [HR Muslim].

Hadis di atas menyatakan bahawa wanita solehah adalah sebaik-baik perhiasan dunia, malah lebih baik daripada seisi dunia. Allah SWT telah berfirman,

“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita, kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita),dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang solehah, ialah yang taati kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tiada oleh kerana Allah telah memelihara (mereka)” [TMQ an-Nisa (4):34].


Ayat di atas jelas menyatakan bahawa salah satu ciri wanita solehah adalah yang mentaati Allah SWT. Seorang Muslimah yang telah meyakini akidah Islam, ia pasti memiliki kesedaran penuh bahawa keberadaan dan kewujudan dirinya, alam semesta serta kehidupan yang dijalani di dunia ini adalah merupakan ciptaan Allah SWT. Seterusnya, Muslimah dambaan teguh syariah juga semestinya meyakini bahawa hanya Allah SWT yang wajib ditaati dan disembah dan hanya reda Allah sahaja yang menjadi matlamat akhir yang mesti dicapai dalam kehidupan di dunia ini.

Rasulullah SAW juga bersabda,

“Islam itu dibangun atas lima perkara, syahadat bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan (ibadah) haji dan berpuasa (shaum di bulan) Ramadan” [HR Ahmad, Bukhari, Muslim, Turmidzi dan Nasa’i].

Lima perkara di atas merupakan arkanul Islam (dasar Islam). Statusnya sebagai asas Islam adalah kerana lima perkara tersebut meliputi aspek akidah dan amal soleh yang dilaksanakan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Namun, ini bukan bererti bahawa Islam hanya terbatas pada lima dasar tersebut, iaitu pada masalah-masalah akidah dan ibadah sahaja, melainkan meliputi seluruh aspek kehidupan, seperti mu’amalaat (hubungan antara sesama masyarakat dan antara negara dan rakyat), math’umaat (makanan dan minuman), malbusaat (pakaian dan perhiasan), ‘uqubaat (hukuman terhadap pelanggaran dan kejahatan), bayyinaat (pembuktian perkara dalam pengadilan) dan akhlak. Akidah Islam meliputi akidah ruhiyah (kerohanian) dan akidah siyasiyah (kehidupan) yang mana setiap pemikiran dan perbuatan yang lahir dari diri Muslimah perlu menjadikan akidah Islam, aturan dan hukum hakamnya sebagai tolok ukur perbuatan sama ada dalam posisi Muslimah itu sebagai seorang anak, isteri atau sebagai ummun wa rabbatul bait (ibu pengurus rumah tangga).

Kehidupan Muslimah juga wajib berpaksikan dakwah Islam dalam mencapai matlamat meraih reda Allah SWT. Muslimah dambaan bukan setakat berpuashati dengan berpegang teguh pada syariat secara individu, tetapi wajib juga sentiasa bersikap teguh dalam aktiviti dakwah. Mereka wajib memahami bahawa dakwah adalah perintah dan hukum Allah yang tidak boleh dilalaikan. Mereka perlu bersikap konsisten untuk berpegang erat dengan seluruh pemikiran dan hukum Islam, sentiasa menjaganya dan menyebarkannya melalui aktiviti dakwah.

Oleh yang demikian, profil Muslimah dambaan yang berpegang teguh pada syariah adalah merupakan seorang anak, isteri dan ibu yang taat kepada Allah, menjaga kehormatan diri dan keluarganya. Mereka mendedikasikan dirinya semata-mata untuk Allah dan RasulNya sehingga tidak mudah dipengaruhi dengan idea-idea menyesatkan. Mereka merupakan profil dai’yah (pendakwah) yang sentiasa menyerukan dirinya, keluarga dan masyarakatnya untuk sentiasa berada di jalan Allah serta sentiasa istiqamah (konsisten) walau apa pun yang terjadi bagi meraih reda Allah.


Menjadi Muslimah Dambaan

Tidak dinafikan, bukan mudah untuk menjadi Muslimah dambaan yang berpegang teguh pada syariat. Ini ditambah lagi dengan persekitaran hari ini yang penuh dengan nilai dan sistem jahiliyah moden (demokrasi-kapitalis-sekularisme). Namun, ia bukanlah suatu yang mustahil. Pembinaan Muslimah dambaan teguh syariah mestilah meliputi dua aspek iaitu aqliyah (pola fikir) dan nafsiyah (pola sikap). Antara cara untuk meningkatkan aqliyah adalah:

1. Mengikuti kajian-kajian Islam yang memimpin kita untuk menambahkan pengetahuan tentang Islam iaitu daripada sudut akidah dan hukum-hukum Islam yang terkait persoalan individu hinggalah masyarakat dan negara.
2. Rajin menajamkan pemikiran dengan mengikuti diskusi, forum, seminar dan bengkel-bengkel atau dengan memperbanyakkan bacaan bagi menambah pengetahuan Islam dan bahan bacaan lain selagi tidak bertentangan dengan Islam.
3. Sentiasa melatih diri untuk menganalisis setiap masalah dan menyelesaikannya dengan penyelesaian Islam.

Manakala, untuk meningkatkan kualiti nafsiyah pula, diantara caranya adalah:

1. Meningkatkan kekerapan dan kualiti ibadah dalam rangka ketaatan terhadap perintah Allah seperti memperbanyakkan solat dan puasa sunat di samping tetap menjaga dalam mengerjakan solat dan puasa yang fardu, memperbanyakkan membaca al-Quran dan memperbanyakkan sedekah.
2. Memupuk takwa kepada Allah, kesabaran dan reda dengan qada’ (ketentuan) Allah.
3. Memperbanyakkan berzikir dan beristighfar kepada Allah.
4. Sentiasa tekun berlatih diri ikhlas kerana Allah SWT.
5. Istiqamah untuk berdakwah menyeru di jalan Allah.

Bercermin Pada Sirah

Peranan Muslimah dalam membangkitkan umat tidak perlu diragukan. Sejak zaman Rasulullah SAW, para Muslimah generasi awal terlibat aktif dalam membangkitkan umat. Mereka melakukan gerakan dakwah bersama kaum Muslimin lainnya untuk melakukan transformasi sosial iaitu mengubah masyarakat jahiliyah yang paganistik menjadi masyarakat Islam yang Rabbani.

Mereka justeru secara bersama merasakan pahit getirnya mengembangkan misi dakwah. Mereka terlibat dalam perang pemikiran dan perjuangan politik di tengah-tengah masyarakat. Akhirnya, atas pertolongan Allah SWT, masyarakat Islam yang agung tegak di Madinah, iaitu masyarakat yang tegak di atas landasan akidah dan hukum-hukum Islam.

Sejarah mencatatkan nama-nama besar seperti Sayyidah Khadijah binti Khuwailid RA, Siti Fatimah az-Zahra RA, Asma binti Abu Bakar RA, Sumayyah RA, Ummu Habibah binti Abu Sufyan RA, Lubabah binti al-Harits al-Hilaliyah RA, Fatimah binti al-Khaththab RA, Ummu Jamil binti al-Khaththab RA, Ummu Syarik RA dan ramai lagi. Sejak bersentuhan dengan Islam, hari-hari mereka hanya dipersembahkan demi kemuliaan Islam. Tidak seorang pun antara mereka yang mahu tertinggal dari satu peristiwa penting Islam, apalagi berlepas diri dari tanggungjawab memperjuangkan Deen-ul-Haq, seberapa pun besarnya risiko yang harus mereka hadapi, hatta harus kehilangan harta, terpisah dari orang-orang yang dicinta, bahkan rela kehilangan nyawa.

Tidak berlebihan jika dikatakan bahawa merekalah pelopor dan peletak dasar pilar-pilar pergerakan Muslimah yang hakiki, yang layak menjadi teladan pergerakan Muslimah dari zaman ke zaman. Hebatnya, pada saat yang sama, mereka juga berjaya mencetak generasi terbaik, generasi mujahid dan mujtahid yang mampu membangun peradaban Islam yang tinggi. Mereka benar-benar menjadikan umat Islam sebagai khoiru ummah (sebaik-baik ummat) dan ini mematahkan tuduhan bahawa Islam menghalang Muslimah untuk beraktiviti.

Khatimah

Sejarah juga telah mencatatkan wanita pada zaman kekhilafahan mengalami kemajuan luar biasa, terutamanya di bidang ilmu. Ramai Muslimah yang menjadi kaum terpelajar dan bukan sedikit masyarakat Barat yang mengagumi kemuliaan para Muslimah. Tidak hairanlah ketika itu, ramai wanita kafir Barat memeluk Islam kerana terpesona kepada perlindungan Islam terhadap maruah kaum wanita. Kini, sudah selayaknya jika setiap Muslimah dambaan teguh syariah merindukan kembali posisi mulia di bawah naungan Daulah Khilafah. Al Ummah Turid Khilafah Islamiyyah (Ummat inginkan Khilafah Islamiyah).
Wallahu a’lam..

Rujukan :
1. Taqiyyuddin An Nabhani , Syakhshiyyatul Islamiyah , Darul Ummah.
2. Taqiyyuddin An-Nabhani, Attakatul Hizby, 1953.
3. Pilar-pilar Nafsiyyah Islamiyyah, Hizbut Tahrir.


SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment