PENTINGKAH IDENTITI ‘NEGARA ISLAM’? SEBUAH RENUNGAN…

PENTINGKAH IDENTITI ‘NEGARA ISLAM’? SEBUAH RENUNGAN…
Oleh: Rahmah Nadzri (Ketua MHTM Perak)

Muqaddimah

Malaysia sebuah Negara Islam? Benarkah atau sebaliknya? Begitulah polemik tiada noktah yang terus menjadi perbahasan para pemimpin, ulama’, ahli akademik dan masyarakat umum secara keseluruhannya. Polemik ini bukanlah suatu yang aneh kerana daripada dulu lagi ternyata kepimpinan negara sendiri masih kabur dan berbeza pandangan akan status sebenar Malaysia.

Sekular, Islam Atau Islam Sekular?

Suatu masa dahulu, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman dalam beberapa ucapannya seringkali menyatakan bahawa Malaysia (Persekutuan) merupakan sebuah negara sekular dan bukan Negara Islam. Beliau membuat kenyataan di Parlimen pada 1 Mei 1958 berbunyi, “Saya ingin memberitahu secara jelas bahawa negara ini bukan Negara Islam kerana ia secara umumnya difahami bahawa Islam hanya diperuntukkan menjadi agama rasmi negara”. Akhbar The Star turut melaporkan Tunku mengulangi pendirian yang sama semasa perhimpunan ulangtahun ke-80 akhbar itu dengan tajuk berita, “Jangan isytihar Malaysia sebagai sebuah Negara Islam. Negara ini memiliki penduduk berbilang kaum dengan pelbagai kepercayaan”.

Dalam akhbar yang sama, Perdana Menteri Malaysia yang ketiga, Tun Hussein Onn dilaporkan menyokong pemimpin terdahulu dengan menolak Malaysia bertukar menjadi sebuah Negara Islam. Kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara sekular tidak pernah dipertikaikan sehinggalah Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam pada 29 September 2001 semasa merasmikan Persidangan Kebangsaan Perwakilan Parti Gerakan. Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula menegaskan bahawa Malaysia bukan negara sekular kerana berdasarkan fakta sejarah, Malaysia ditubuhkan berasaskan Kerajaan Islam Kesultanan Melayu dan Raja-Raja Melayu merupakan ketua agama Islam bagi negeri masing-masing.

Tidak lama selepas kenyataan tersebut dikeluarkan, Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (ILMU), Fathul Bari Mat Jahaya menegaskan bahawa Malaysia merupakan sebuah Negara Islam, namun belum sempurna pelaksanaannya secara menyeluruh. Beliau merujuk kepada perbahasan ahli ilmu antaranya Dr Khalid al-Anbari yang menyebut tentang ciri-ciri Negara Islam iaitu ada Negara Islam yang sempurna dan ada Negara Islam yang tidak sempurna. Ironisnya satu demi satu hujah dilontarkan namun tiada pemutusnya. Jelasnya, untuk menentukan status sahaja tidak selesai, apatah lagi untuk memastikan seluruh hukum-hukum Islam diterapkan.

Jika ditinjau daripada satu sisi, seolah-olah status sebuah Negara Islam itu amat penting bagi Malaysia ketika usaha untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islamik sedang giat dijalankan. Dengan status Negara Islam, secara tidak langsung mampu menjadi batu loncatan supaya Malaysia menjadi destinasi pilihan bagi pelancong-pelancong daripada seluruh dunia terutamanya yang beragama Islam. Menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, YB Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, Islamic Tourism Centre (ITC) sedang mempergiatkan usaha bagi menjadikan Malaysia sebagai hab premier bagi Islamic tourism among Islamic nations (Pelancongan Islamik dalam kalangan negara-negara Islam). Tambahnya lagi, segala usaha kerjasama strategik yang merangkumi pelancongan dan kebudayaan serta penyelidikan dan penerbitan bahan berkualiti oleh ITC bakal mendatangkan pulangan ekonomi yang signifikan kepada negara.

Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak juga menyatakan bahawa Malaysia akan menawarkan kemudahan kepada pelancong-pelancong Islam, terutamanya dalam penyediaan makanan halal dan tempat-tempat ibadat. Kajian perunding pelancongan Crescentrating memberikan Malaysia 8.3 mata daripada 10 mata penuh, menjadikan Malaysia sebagai destinasi paling mesra bagi pelancong-pelancong beragama Islam daripada serata dunia [BH 18/6/2014].

Persoalannya, adakah status Negara Islam itu hanya penting untuk meraih manfaat tertentu sahaja? Bagaimana pula dengan penerapan syariat Islam dalam setiap aspek kehidupan? Adakah undang-undang yang digunapakai sesuai dengan syariat Islam? Ternyata persoalan-persoalan ini perlu dijawab terlebih dahulu sebelum Malaysia boleh diisytiharkan sebagai sebuah Negara Islam.

Sejarah Dan Realiti Malaysia

Terlalu banyak bukti yang menunjukkan bahawa sesungguhnya Malaysia merupakan sebuah negara sekular. Ia dapat disaksikan dan dibuktikan oleh setiap orang yang mempunyai penglihatan dan pendengaran tentang wajah sebenar Malaysia. Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang digubal oleh Lord Reid adalah bukti yang paling jelas untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara demokratik, sekular dan berbilang agama dengan kedudukan Islam hanyalah sebagai agama rasmi bukannya sebagai sumber hukum dalam pemerintahan dan perundangan secara keseluruhan.


Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi negara dan mana-mana undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan akan dimansuhkan termasuklah hukum Islam sendiri. Contohnya, undang-undang hudud dan qisas iaitu sebahagian daripada hukum jenayah Islam yang diperkenalkan di negeri Terengganu dan Kelantan tidak dapat dikuatkuasakan kerana mahkamah mengesahkan bahawa undang-undang itu bertentangan dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dengan demikian, tidak hairanlah jika sistem ekonomi yang diamalkan di Malaysia adalah sistem ekonomi kapitalis di mana elemen riba menjadi tunjang kepada kebanyakan aktiviti perdagangan khususnya perbankan. Tidak cukup dengan itu, judi dan arak dibenarkan dengan adanya ‘lesen’ daripada pihak berkuasa. Genting Highland menjadi destinasi yang terkenal dengan kasinonya. Kilang arak terbesar di Asia Tenggara juga ada di Malaysia. Sumber daripada judi dan arak justeru menjadi antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negara. Hak umum rakyat yang wajib (berdasarkan nas-nas syarak yang jelas) disediakan secara percuma oleh pemerintah seperti pendidikan, petrol, air, jalan raya dan lain-lain pula dikenakan bayaran sesuka hati oleh pemerintah. Bayaran yang dikenakan pula mencanak naik dari semasa ke semasa.

Inilah realiti sistem yang diamalkan oleh kerajaan dalam pemerintahan iaitu sistem demokrasi berparlimen, sebuah sistem sekular yang dicedok sepenuhnya daripada penjajah British. Mengikut ajaran dan amalan sekular, segala undang-undang hendaklah dibuat oleh manusia dan hak Allah sebagai as-Syari’ (pembuat undang-undang) diketepikan. Ini membuktikan peranan agama dinafikan secara total dalam tadbir urus pemerintahan sebuah negara demokrasi.

Daripada aspek sosial dan budaya pula, Malaysia tidak jauh bezanya dengan negara-negara Barat pengusung dan pendakwah demokrasi-sekular. Gaya hidup bebas dengan hiburan yang melampau sudah menjadi kebiasaan rakyat Malaysia terutamanya golongan muda. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang berakhir ke ranjang sudah menjadi gaya hidup anak muda sehinggakan kes mengandung anak luar nikah dan buang bayi serta penganjuran parti seks bukannya isu yang menggegarkan lagi. Budaya-budaya asing yang lain seperti ketagihan arak, dadah, gay, lesbian dan homoseks turut menjadi amalan yang terpaksa dihadap oleh masyarakat umum.

Dalam kesibukan menjaja nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islamik, pertandingan Miss World dan Mrs Universe pula dibenarkan berlangsung di Malaysia atas alasan menggalakkan pelancongan. Padahal ia jelas-jelas merupakan satu pertandingan yang melanggar hukum Islam terutamanya hukum aurat wanita di khalayak ramai. Wanita yang dipandang mulia oleh Islam pula dijadikan bahan dagangan untuk mempromosikan produk puak kapitalis yang hanya mahu mengejar keuntungan bukannya mahu berganding bahu merealisasikan aspirasi negara untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam!

Berdasarkan bukti-bukti di atas, ternyata Malaysia bukanlah sebuah negara yang mengamalkan hukum Islam dengan benar dan menyeluruh. Apatah lagi Islam telah menjelaskan ciri-ciri yang perlu dimiliki oleh suatu wilayah sebagai syarat menjadi sebuah Negara Islam dan Persekutuan Malaysia tidak pernah memenuhi syarat-syarat itu untuk melayakkannya diisytihar sebagai Negara Islam.

“Negara Islam” Menurut Pandangan Islam

Negara Islam menurut syara’ ialah suatu wilayah yang melaksanakan hukum-hakam Islam dan keamanan wilayah tersebut berada di tangan Islam, iaitu di bawah kekuasaan dan kekuatan kaum Muslimin. Oleh itu, untuk menentukan sama ada keadaan sebuah wilayah termasuk Negara Islam atau Negara Kufur bukanlah mengikut hawa nafsu manusia berdasarkan akal yang terbatas dan berubah mengikut peredaran masa. Apabila hukum (undang-undang) yang diterapkan oleh suatu wilayah adalah Islam dan keamanannya berada di tangan kaum Muslimin, maka wilayah seperti inilah yang disebut Darul Islam atau Negara Islam. Firman Allah SWT,

“Wahai orang-orang yang beriman, Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu turut langkah- langkah Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu musuh yang nyata bagumu” [TMQ al-Baqarah (2):208].

Sebaliknya, apabila hukum-hakam (undang-undang) yang diterapkannya adalah undang-undang kufur dan keamanannya tidak berada di tangan kaum Muslimin, maka wilayah demikian disebut Darul Kufur atau Darul Harb. Pengertian ‘dar’ ini diambil daripada sebuah hadis riwayat Sulaiman ibnu Buraidah yang di dalamnya dinyatakan,

“Serulah mereka kepada Islam, maka apabila mereka menyambutnya, terimalah mereka dan hentikanlah peperangan atas mereka, kemudian ajaklah mereka berpindah dari negerinya (yang merupakan Darul kufur) ke Darul Muhajirin (Darul Islam yang berpusat di Madinah) dan beritahulah kepada mereka bahawa apabila mereka telah melakukan semua itu, maka mereka akan mendapatkan hak yang sama sebagaimana hak kaum Muhajirin dan juga kewajiban yang sama seperti halnya kewajiban kaum Muhajirin” [HR Muslim].

Hadis ini menyatakan dengan jelas wujudnya pembezaan antara Darul Islam dan Darul Kufur. Hadis ini menunjukkan bahawa apabila mereka tidak berpindah, maka hak mereka tidak sama dengan kaum Muhajirin iaitu orang-orang yang telah berada di Darul Islam. Dengan demikian, hadis ini sesungguhnya telah menjelaskan perbezaan hukum (undang-undang) antara orang yang telah berhijrah dan yang tidak. Darul Muhajirin adalah Darul Islam pada zaman Rasulullah SAW dan selainnya adalah Darul Kufur. Bermula disinilah istilah Darul Islam dan Darul Kufur atau Darul Harb diambil. Jadi, penambahan kata Islam, kufur atau harb pada ‘dar’ adalah mewakili sistem perundangan dan pemerintahannya. Oleh kerana itu untuk menggunakan istilah ‘dar’ atau ‘negara’, ianya selalu dikaitkan dengan penguasa iaitu berkenaan pemeliharaan kepentingan umat mengikut undang-undang tertentu dan kekuatan (negara) yang menjaga/membela rakyat serta melaksanakan undang-undang tersebut, iaitu faktor keamanannya. Firman Allah SWT,

“Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” [TMQ al-Maidah (5):44].

Khatimah

Kesimpulannya, penentuan samada Malaysia merupakan Negara Islam atau tidak mestilah kembali kepada pandangan Islam seperti yang telah dijelaskan di atas. Pengisytiharan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam dengan tujuan untuk meraih keuntungan material ialah seperti menelan sebiji pil tidur yang akan terus melenakan masyarakat daripada memperjuangkan sebuah Negara Islam yang sebenar iaitu Daulah Khilafah. Wahai kaum Muslimin sekalian, sedarlah bahawa Daulah Khilafah merupakan satu-satunya Negara Islam warisan Rasulullah SAW dan para sahabat. Daulah Khilafah ialah negara yang menerapkan Islam secara menyeluruh dalam setiap aspek kehidupan manusia. Menjadi tanggungjawab dan kewajipan kita untuk menegakkan entiti kemuliaan umat Islam ini. Salurkanlah keinginan untuk hidup di bawah naungan Islam seiring dengan langkah-langkah yang benar dalam memperjuangkannya.


Rujukan:
1. Al Quran dan Hadis
2. Taqiuddin an-Nabhani.1428H/2007M. Daulah Islam. HTI Press.2007 Cetakan 7
3. http://www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/330-sn132-malaysia-negara-islam-atau-sekular (diakses pada 20.7.2014)
4. http://www.sinarharian.com.my/nasional/fathul-bari-perjelas-negara-umat-islam-1.293592 (diakses pada 22.7.2014)
5. http://beritaterkinimalaysian.blogspot.com/2014/06/malaysia-bukan-negara-sekular-kata.html. (diakses pada 22.7.2014)
6. https://ms-my.facebook.com/najibrazak/posts/10152109833660952
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment