SAHABIYAH ISTERI SYUHADA’

SAHABIYAH ISTERI SYUHADA’
Oleh: Hidayah Muhammad (Aktivis MHTM)

Muqaddimah

“Isteri cerdik dan solehah, penyejuk mata, penawar hati, penajam fikiran, di rumah dia isteri, di jalanan kawan, di waktu kita buntu dia penunjuk jalan…”

Itu antara bait-bait lagu yang mampu menyentuh jiwa sesiapa yang mendengar terutamanya bagi wanita yang bergelar isteri. Sebahagian daripada masyarakat hari ini menganggap isteri yang cerdik itu ialah isteri yang ‘up to date’ iaitu berkelulusan pendidikan tinggi, mempunyai kerjaya professional, berpenampilan elegan, dan boleh dibawa oleh suami ke mana jua majlis dan pandai menyesuaikan diri apabila bergaul dengan sesiapa saja.

Tetapi, Islam memandang isteri yang cerdik ialah isteri yang solehah iaitu yang taat pada perintah dan larangan Allah SWT dan taat pada suaminya dalam menjalankan ketaatan kepada Allah SWT. Dialah yang istiqamah (berterusan) membantu suami dalam memperjuangkan Islam. Isteri yang cerdik boleh bertukar-tukar pendapat, berbincang serta saling memberi dan menerima nasihat. Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 71 yang bermaksud, “Dan orang-orang yang beriman,lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain…”

Dia juga wanita yang berani keluar berdakwah di tengah-tengah masyarakat dalam melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar (menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran). Karakter isteri yang cerdik ini dapat dilihat pada beberapa orang sahabiyah yang merupakan isteri kepada beberapa orang tokoh Islam yang sangat terkenal dengan kepimpinan mereka sebagai panglima perang dan Amirul Mukminin (pemimpin kaum Muslimin)

Isteri Tiga Ahli Syurga

Asma’ binti ‘Umais merupakan isteri kepada tiga sahabat Rasulullah SAW iaitu Ja’far bin Abu Thalib, Abu Bakar ash-Shiddiq dan Ali bin Abu Talib RA. Semasa pernikahannya dengan Ja’far, Asma’ rajin mendalami ilmu-ilmu Islam daripada suaminya yang menuntut ilmu daripada Rasulullah SAW. Pasangan suami isteri ini adalah antara golongan awal yang memeluk agama Islam dan menghadapi tekanan daripada kafir Quraisy. Mereka adalah sebahagian daripada kaum Muslimin yang ikut hijrah ke Habsyah atas perintah Rasulullah SAW. Mereka teguh mengamalkan ajaran Islam selama hidup di bawah perlindungan Raja Najasyi sehinggalah Raja Najasyi sendiri masuk Islam kerana beliau mengetahui kebenaran dan kejujuran kaum Muslimin.

Setelah mendapat tahu bahawa Rasulullah SAW telah berhijrah ke Madinah, Asma’ dan suaminya serta orang Islam lainnya segera menaiki kapal layar untuk bertemu Rasulullah SAW. Suatu ketika, Umar berkunjung ke rumah isteri Nabi, Hafshah RA dan Asma’ berada di situ. Umar bertanya, “Siapakah ini?” Asma menjelaskan, “Asma’ binti ‘Umais”. Umar meneruskan, “Apakah engkau wanita yang hijrah ke Habsyah?” Wanita yang ikut naik kapal layar?” Asma’ menjawab, “Benar”. Umar berkata lagi, “Kami terlebih dahulu hijrah daripada kalian, sehingga kami lebih layak untuk dekat dengan Rasulullah SAW daripada kalian”.

Asma’ ternyata marah dengan kenyataan tersebut dan berkata, “Tidak patut. Demi Allah, ketika kami hijrah, kalian bersama Rasulullah. Baginda memberi makan orang yang kelaparan dan mengajari orang tidak tahu dalam kalangan kalian. Sementara kami berada di negeri asing kerana dimusuhi (Quraisy) iaitu negeri Habsyah. Semua itu kami lakukan kerana Allah dan kerana perintah Rasulullah SAW. Demi Allah, aku tidak akan menyuap makanan atau meneguk minuman hingga melaporkan masalah ini kepada Rasulullah SAW. Kami berpisah dengan beliau selama ini kerana disakiti dan merisaukan keyakinan kami. Aku akan melaporkan dan bertanya kepada Nabi SAW tentang apa yang engkau katakan tadi. Demi Allah, aku tidak berbohong, tidak akan membatalkan atau menambah-nambah”.


Ketika Asma’ sampai di hadapan Rasulullah SAW dan melaporkan peristiwa tersebut, Rasulullah SAW berkata, “Dia tidak lebih layak dekat denganku daripada kalian. Dia dan kaum Muhajirin yang sama dengannya hanya mendapat pahala satu hijrah, sedangkan kalian para penumpang kapal layar meraih pahala dua hijrah”. Itulah karakter Asma’ binti ‘Umais yang bersungguh-sungguh dalam merebut kedudukan mulia di sisi kekasih Allah SWT. Sejak itu, beliau hidup bersama Ja’far dalam suasana keimanan di bawah naungan Daulah Islam dan akhirnya Ja’far gugur syahid dalam Perang Mu’tah sebagai salah seorang pemimpin perang. Asma’ kekal hidup sebagai Muslimah solehah yang tekun beribadah, rajin berpuasa dan menjalankan solat malam kerana Allah SWT.

Setelah iddahnya berakhir, Asma’ menikah dengan sahabat Rasulullah yang terbaik setelah para nabi dan Rasul iaitu Abu Bakar ash-Shiddiq RA dan terus hidup bersama Abu Bakar dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT. Dalam hidupnya, ada suatu kisah yang boleh menjadi motivasi kepada para isteri pejuang Islam. Semasa Rasulullah SAW mahu menjalankan haji wada’, Asma mengikuti rombongan tersebut bersama suaminya padahal dia sedang sarat mengandung. Sebelum niat ihram, Asma’ telah melahirkan puteranya yang diberi nama Muhammad.

Setelah Rasulullah SAW wafat, Abu Bakar diangkat sebagai Khalifah memimpin kaum Muslimin. Abu Bakar sendiri telah merasakan bahawa ajalnya juga sudah dekat lalu dia bersegera menyampaikan wasiat kepada isterinya. Abu Bakar meminta Asma’ sendiri yang memandikan jenazahnya dan dia tidak boleh berpuasa agar Asma’ lebih kuat. Pada hari Abu Bakar RA meninggal dunia, Asma’ sedang berpuasa. Apabila teringatkan janjinya kepada suami, dia terus berbuka puasa untuk menunaikan wasiat tersebut atas dasar kesetiaan dan kepatuhan kepada suaminya. Kesetiaan dan ketaatan kepada suami dalam urusan kebaikan seperti yang dilakukan Asma’ adalah suatu perbuatan yang patut diteladani oleh para Muslimah. Asma’ bukan sahaja patuh kepada suaminya semasa hidup malah setelah suaminya meninggal dunia.

Walaupun bersedih dengan kematian dua orang suami yang terulung iaitu seorang pemimpin perang dan seorang pemimpin kaum Muslimin, namun Allah SWT terus mengurniakan kebahagian kepadanya apabila Ali bin Abu Thalib RA datang meminang dan kemudian menikahinya. Begitulah kemuliaan yang diberikan Allah SWT kepada Asma’ binti ‘Umais dengan kehidupannya yang penuh ketakwaan bersama tiga orang syuhada’. Asma’ meninggal dunia tidak lama setelah Ali wafat. Beliau pergi mengadap Allah SWT dengan meraih dua keredaan iaitu sebagai pengikut yang diredai oleh Rasulullah SAW dan sebagai isteri yang diredai oleh para suaminya.

Seorang lagi sahabiyah yang mendapat kemuliaan yang sama adalah Atikah binti Zaid RA. Beliau adalah seorang sahabiyah yang memiliki banyak keistimewaan. Beliau adalah saudara kandung kepada Said bin Zaid RA, salah seorang sahabat daripada sepuluh sahabat yang dijanjikan Syurga. Ibunya adalah Ummu Kuraiz binti al-Hadhrami dan bapa saudara daripada sebelah ibunya adalah al-‘Ala bin al-hadhrami, seorang sahabat Rasulullah SAW yang sangat terkenal. Menurut Abu Umar, Atikah termasuk wanita-wanita yang pertama sekali berhijrah.

Suami pertamanya iaitu Abdullah bin Abu Bakar ash-Shiddiq terkena panah yang membuatkannya luka parah dan akhirnya meninggal di Madinah.


Setelah masa iddahnya berakhir, maka Umar al-Khattab RA melamar dan menikahinya. Ia mendapat kedudukan yang sangat terhormat di sisi sahabat yang agung ini dan Atikah banyak belajar daripada Umar tentang ilmu, kezuhudan dan kesederhanaan. Atikah hidup bersama al-Faruq yang sangat penyayang dan penuh pergertian, sehingga ia merasakan hari-hari yang sangat bahagia dalam hidupnya. Atikah menjadi saksi karya-karya besar yang ditorehkan oleh suaminya dalam menegakkan agama Allah dan perhatiannya sangat tinggi terhadap kepentingan-kepentingan rakyat. Selama mendampingi sang suami tercinta, Atikah mempelajari sekian banyak hal, sehinggalah tiba suatu hari Umar telah ditikam ketika solat di Masjid.

Kemudian, Atikah menikah dengan pengawal setia Rasulullah SAW dan salah seorang daripada sepuluh orang sahabat yang dijamin syurga iaitu Zubair bin al-Awwam RA. Zubair ialah seorang askar penunggang kuda yang tidak pernah terlepas daripada mengikuti perang yang dipimpin oleh Rasulullah SAW. Sikap beraninya dan tidak takut mati di medan perang mana pun mengingatkan Atikah bahawa suami ketiganya ini pun akan mati syahid.

Abu Hurairah RA menyatakan bahawa ketika Rasulullah SAW sedang berada di gunung Hira’, tiba-tiba Hira’ bergoncang. Maka Rasulullah SAW bersabda, “Diamlah wahai Hira’ kerana sesungguhnya yang berada di atasmu adalah seorang nabi, seorang shiddiq dan orang yang akan mati syahid”. Ketika itu, Rasulullah SAW ditemani oleh Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Thalhah, Zubair dan Sa’ad bin Abu Waqqash” [HR Muslim].

Walau bagaimanapun, Atikah sangat bahagia dapat hidup bersama seorang suami yang sentiasa memenuhi kehidupan dengan ketaatan kepada Allah SWT. Sahabiyah ini melewati masa yang cukup panjang, tetapi penuh berkah, berkarya dan berjuang untuk agama Allah. Atikah wafat pada masa pemerintahan Mu’awiyah bin Abi Sufyan RA yakni pada tahun 41 hijriyah. Semoga Allah merahmatinya.

Khatimah

Daripada kisah dua sahabiyah mulia ini, dapat kita fahami bahawa wanita sebagai isteri bukan sahaja berperanan sebagai penolong kepada suami iaitu mengatur dan mengurus kehidupan rumahtangga dengan baik. Isteri turut berperanan sebagai tempat mengadu dan mendengar masalah bagi sang suami. Peranan wanita sebagai pembantu suami juga meliputi urusan politik dan pemerintahan demi kepentingan perjuangan Islam. Wahai Muslimah sekalian! Sebagai seorang wanita yang bergelar isteri, fahamilah peranan anda sebagai wanita solehah dan jadilah seorang isteri yang cerdik dan taat dalam mendorong dan menyokong perjuangan suami.

Wallahu’alam..

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment