FIKRATUL UMMAH OKTOBER 2014



MUQADDIMATUL KALAM
Oleh: Ketua Pengarang

Assalamualaikum warahmatullahhi wabarokatuh..

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat dan kasih sayangNya, sebuah program Suara Wanita Untuk Wanita (SWUW) telah berjaya diadakan pada 21 September yang lalu. Program yang dianjurkan oleh Khilafah Centre dengan kerjasama MHTM ini telah membawa tema ‘Wanita Cemerlang Membangun Peradaban Gemilang’.

Sebagaimana yang kita maklum, Malaysia telah menyambut Hari Wanita peringkat Kebangsaan yang ke-52 pada 8 Ogos yang lepas. Tema ‘Wanita Pendukung Aspirasi Negara’ telah menjadi pilihan. Salah satu tujuan sambutan Hari Wanita adalah untuk memberi penghargaan kepada wanita yang cemerlang dalam bidang pendidikan dan kerjaya serta mampu menyumbang kepada pembangungan ekonomi negara. Peningkatan jumlah kaum Hawa dalam sektor pendidikan dan pasaran kerja ini dianggap sebagai satu kebanggaan bagi Negara Malaysia. Namun, adakah kejayaan ini cukup membuatkan kita bangga? Jika diperhatikan, seiring dengan peningkatan ini, kes-kes jenayah dalam negara yang kebanyakannya melibatkan kaum Hawa juga turut meningkat dengan mendadaknya hari demi hari. Adakah aspirasi ini yang ingin dicapai oleh sebuah negara yang dikatakan aman dan stabil?

Pembaca yang semoga dirahmati Allah SWT,

Hal ini sangat berbeza dengan kegemilangan wanita yang dikecapi ketika mana Daulah Khilafah berlangsung selama lebih 1300 tahun. Sesungguhnya kecemerlangan wanita semasa era pemerintahan Islam dahulu telah membangun sebuah peradaban yang gemilang yang membuatkan setiap nadi yang berada di bawah naungannya sejahtera dan terpelihara nyawa, harta dan darah. Pendidikan, kesihatan, ekonomi dan pelbagai keperluan lagi dicukupkan bagi setiap rakyatnya. Malah, wanita-wanita dalam Daulah turut ada yang bekerja menyumbang kepakaran dalam pelbagai bidang demi meninggikan syiar Islam di mata dunia.

Maka, program SWUW yang julung-julung kalinya diadakan di Malaysia ini telah menampilkan sembilan orang ahli panel dengan tajuk pembentangan masing-masing yang bertujuan untuk membangkitkan semangat juang para Muslimah dan mengarahkan semangat itu ke jalan yang benar. FU kali ini dengan sukacitanya melampirkan lapan teks pembentangan para panel manakala teks pembentangan seorang lagi ahli panel telah pun dipaparkan dalam risalah Nahdhah Fikriyyah (NF) edisi ke-22 keluaran MHTM. Semoga segala seruan dakwah ini membawa kemanfaatan buat kita semua. Aamiin..

Wallahhu’alam...
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment