Kanak-Kanak Cemerlang Penerus Generasi Gemilang

KANAK-KANAK CEMERLANG PENERUS GENERASI GEMILANG
Oleh: Adik Siti Hajar Anas (Kanak-Kanak Pejuang Syariah dan Khilafah)


Islam memandang kemuliaan seseorang pada keimanan dan ketakwaannya kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 13,

“Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertakwa”.

Lantaran itu, ajaran Islam meninggikan darjat manusia termasuk kaum wanita jika mereka bertakwa kepada Allah SWT. Islam telah memuliakan kita semua dan menempatkan kita pada kedudukan yang terhormat. Rasulullah SAW bersabda,

“Takutlah kepada Allah dan hormatilah kaum wanita” [HR Muslim].

Kanak-kanak juga merupakan golongan yang wajib dibela dan dipelihara. Islam menuntut agar anak-anak dididik atas dasar keimanan kepada Allah SWT dan jangan sekali-kali berbuat syirik kepada Allah SWT, sebagaimana nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya, “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”.

Dalam satu hadis sahih ada menyatakan bahawa “Orang yang pertama kali masuk Islam dari kalangan pemuda ialah Abu Bakar, sedangkan Ali masuk Islam ketika ia masih kanak-kanak dalam usia lapan tahun, sedangkan orang yang pertama kali masuk Islam dari kalangan wanita ialah Khadijah”.

Golongan kanak-kanak adalah sebahagian daripada masyarakat dan turut berperanan dalam mencorakkan kehidupan bermasyarakat. Pada zaman awal dakwah Islam, ramai kanak-kanak Islam telah menjadi penyumbang kepada dakwah dan perjuangan Islam. Antaranya ialah Saidina Ali, Zubair bin Awwam, Ibnu Abbas, Ibnu Omar, Saidatina Aishah, Fatimah dan Asma’ binti Abu Bakar. Peranan dan sumbangan mereka berbeza-beza. Persamaannya, mereka semua sangat bersungguh-sungguh dalam menyebarkan dakwah dan berjuang menegakkan Islam sebagai satu sistem kehidupan yang sempurna.

Sebagai contoh, Saidatina Asma’ binti Abu Bakar telah memainkan peranan penting ketika hijrahnya Rasulullah SAW dari kota Mekah ke kota Madinah. Beliau telah ditugaskan untuk membawa bekalan makanan kepada Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar RA ketika kedua-duanya sedang berada di gua Thur selama tiga hari semasa dalam perjalanan hijrah ke kota Madinah.

Jelas bahawa kanak-kanak tidak ketinggalan untuk mengambil bahagian dalam perjuangan Islam. Di tangan mereka insyaAllah akan terbentuk generasi cemerlang harapan umat dan di tangan mereka juga tergenggam masa depan umat. Justeru itu, Islam sangat mendorong agar kanak-kanak Islam juga mempunyai kesedaran politik yang sewajarnya, supaya mereka sentiasa peka dan prihatin terhadap segala sesuatu yang berlaku di dunia umat Islam.

Kanak-kanak juga perlu didorong dan dibina dengan pemahaman Islam yang mustanir (cemerlang) sehingga kami mampu membuat pilihan yang betul apabila menghadapi pelbagai cabaran dan pengaruh besar yang ada di sekeliling kami. Sebagai kanak-kanak Islam, selain daripada mendidik kami agar bersolat dan menuntut ilmu, kami juga perlu terus dilibatkan dalam aktiviti dakwah yang membangkitkan umat Islam.

Semoga usaha untuk mewujudkan kanak-kanak cemerlang bagi meneruskan generasi gemilang akan terus dilaksanakan dengan menepati tuntutan syarak untuk mencapai kebahagiaan yang hakiki di dunia dan akhirat.

Wallahu’alam..
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment