Peranan Penting Ahlun-Nusrah Dalam Misi Hijrah

PERANAN PENTING AHLUN-NUSRAH DALAM MISI HIJRAH
Oleh: Rahmah Nadzri (Ketua MHTM Perak)

Muqaddimah

Dakwah merupakan sebuah perjalanan. Berkat kesabaran para daie yang ikhlas, dakwah akan semakin berkembang dan produktif. Pada suatu keadaan, masyarakat semakin memahami kerosakan sistem yang diterapkan, kezaliman pemimpinnya serta bersekutunya mereka dengan pihak asing penjajah. Kepercayaan umat kepada pemimpin yang asalnya menjadi harapan akan semakin pudar.

Pada saat yang sama, boleh jadi umat masih belum memberikan kepercayaannya kepada Islam dan para pejuangnya. Sememangnya keadaan sebegini menyulitkan usaha untuk mengubah sistem sekular yang rosak. Malah konspirasi untuk mempertahankan sistem buatan manusia ini terus menerus dilakukan. Di samping itu, tekanan yang dikenakan oleh pemimpin ke atas rakyatnya sendiri juga semakin meningkat. Kelompok dakwah dan para pejuang yang menyerukan tegaknya syariah dan Khilafah ditekan dan diancam serta dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam keadaan ini, sudah tentu dakwah memerlukan pertolongan dan perlindungan daripada pihak yang memiliki kemampuan untuk itu. Maka, aktiviti thalab an-nusrah (mencari pertolongan) merupakan aktiviti yang sangat penting dalam rangka mewujudkan kekuasaan Islam. Tanpa thalab an-nusrah, dakwah tidak akan sampai pada perubahan hakiki dengan tegaknya syariah dan Khilafah.

Kepentingan Thalab An-Nusrah

Dari segi bahasa ahlun-nusrah bererti pihak yang mempunyai kemampuan untuk memberikan pertolongan. Usaha dakwah untuk mencari dan mendapatkan ahlun-nusrah dikenali dengan istilah thalab an-nusrah. Usaha ini dilakukan oleh parti politik Islam pada penghujung tahapan kedua dakwah iaitu tahapan berinteraksi dengan umat (at-tafa’ul ma’a al-ummah). Ia bukanlah suatu tahapan (marhalah) dakwah, tetapi salah satu aktiviti dalam tahapan dakwah.

Thalab an-nusrah mempunyai dua tujuan. Pertama, mendapatkan himayah (perlindungan) bagi setiap individu yang menggalas tugas dakwah dan kegiatan dakwahnya. Sebagai contoh, Rasulullah SAW mendapat perlindungan daripada bapa saudaranya, Abu Thalib. Baginda juga mendapat jaminan keamanan daripada Muth’im bin Adi sekembalinya dari Thaif. Kedua, mendapatkan al-hukm (kekuasaan) untuk menegakkan hukum Allah SWT dalam Negara Khilafah. Contohnya, dahulu Rasulullah SAW menerima kekuasaan daripada kaum Ansar sehingga baginda kemudian dapat menegakkan Daulah Islamiyyah di Madinah.

Kewajipan thalab an-nusrah didasarkan pada teladan Rasulullah SAW dalam perjuangan baginda mencari perlindungan dan kekuasaan daripada ketua kabilah saat itu yang bermula empat tahun sebelum hijrah. Setelah wafatnya Abu Thalib, sikap masyarakat Mekah semakin keras. Perlindungan terhadap dakwah Nabi tidak sekuat ketika Abu Thalib masih hidup. Dalam keadaan demikian, Allah mewahyukan kepada baginda untuk mendatangi kabilah-kabilah Arab untuk meminta perlindungan dan pertolongan sehinggalah baginda berhasil mendirikan Daulah Islam pertama iaitu di Madinah.

Rasulullah SAW melakukan thalab an-nusrah kepada banyak kabilah, baik di kampung-kampung mahupun ketika musim haji di Mekah. Baginda sentiasa menggunakan kesempatan yang ada untuk menemui para pemimpin kabilah Arab seraya mengajak mereka untuk beriman dan menyampaikan seruan bahawa baginda adalah utusan Allah SWT. Seterusnya baginda meminta mereka untuk membenarkannya sekaligus melindungi dirinya. Ibnu Hisyam menuturkan,

“Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW setiap kali menemui kabilah-kabilah Arab. Ketika mereka berkumpul pada musim haji, baginda mendatangi dan menyeru mereka untuk beriman kepada Allah. Baginda justeru menawarkan dirinya untuk dilindungi oleh mereka. Baginda menjelaskan apa yang dibawanya berupa petunjuk dan rahmat. Apabila baginda mendengar seseorang yang mempunyai nama dan kemuliaan datang ke Mekah, pasti baginda mendatanginya, menyeru kepada Allah dan menawarkan Islam kepada mereka”.

Ibnu Saad dalam kitabnya at-Thabaqat menyebutkan 15 kabilah yang didatangi Rasulullah SAW dalam rangka thalab an-nusrah, di antaranya kabilah Kindah, Hanifah, Bani ‘Amir bin Sha’sha’ah, Kalb, Bakar bin Wail, Hamdan dan lain-lain. Kepada setiap kabilah ini, Rasulullah SAW mengajak mereka agar beriman dan memberi nusrah kepada beliau untuk memberikan kekuasaan demi tegaknya agama Allah (M. Abdullah al-Mas’ari, al-Mana’ah wa Thalab an-Nusrah, hal. 3-8). Inilah Golongan yang didatangi oleh Nabi Muhammad SAW dalam setiap aktiviti thalabun-nusrah.

Sungguh, usaha ini tidak semudah yang disangka. Penolakan demi penolakan datang silih berganti. Namun, Rasulullah SAW tidak mengubah cara ini atau menggantinya dengan cara lain. Baginda terus berpegang teguh pada cara ini dengan cekal walaupun sering menghadapi kegagalan dan penolakan. Ini merupakan qarinah (indikasi) yang jazim (tegas) bahawa thalab an-nusrah yang dilakukan Rasulullah SAW adalah suatu kewajipan dan perintah syar’ie iaitu perintah daripada Allah SWT.


Siapakah Ahlun-Nusrah?

Dengan mengkaji sirah Nabi SAW, kita dapat memahami bahawa ahlun-nusrah terdiri sama ada daripada pihak yang memiliki pengaruh, kekuatan dan kekuasaan secara langsung sehingga mereka dapat mengubah sistem kufur menjadi sistem Islam. Contohnya ialah penguasa sesebuah negara. Namun, apabila penguasa tadi tidak menerima perubahan, maka pada saat itu nusrah (pertolongan) berasal daripada pusat kekuatan yang ada di negeri iaitu pihak yang mampu merobohkan penguasa serta menyerahkan kekuasaan kepada pihak yang akan menerapkan Islam.

Berdasarkan sirah Nabi SAW, dapat disimpulkan beberapa isi penting mengenai ahlun-nusrah.

Pertama: Ahlun-nusrah haruslah sebuah kelompok (jemaah), bukan individu. Ini kerana Rasulullah SAW hanya meminta nusrah daripada kelompok, bukan daripada individu-individu, kecuali individu tersebut merupakan wakil daripada sebuah kelompok. Contohnya Rasulullah SAW mendatangi kabilah Tsaqif di Thaif, yang kedudukan kabilah itu setara dengan negara. Baginda juga mendatangi kabilah Kalb sebagai kelompok yang kuat dalam sebuah negara. Beliau juga mendatangi Bani ‘Amir bin Sha’sha’ah sebagai individu-individu yang mewakili sebuah negara (M. Muhsin Radhi, Hizb at-Tahrir Tsaqafatuhu wa Manhajuhu, hal. 311-313).

Kedua: Ahlun-nusrah haruslah terdiri daripada kelompok yang kuat, iaitu yang berkemampuan menyerahkan kekuasaan termasuk mampu mempertahankan Khilafah ketika telah tertegak. Thalabun-nusrah tidak boleh berasal daripada kelompok yang lemah. Rasulullah SAW pernah meminta nusrah daripada kabilah Bakar bin Wail. Namun, Rasulullah SAW kemudian membatalkannya setelah mendapat tahu kabilah itu tidak berkemampuan. Rasulullah SAW bertanya kepada kabilah Bakar bin Wail, “Berapa jumlah kalian?” Mereka menjawab, “Banyak, seperti butiran tanah”. Rasulullah SAW bertanya lagi, “Bagaimana kekuatan kalian?” Mereka menjawab, “Tidak ada kekuatan (laa mana’ah)”. “Kami berjiran dengan Parsi, tetapi kami tidak mampu melindungi diri kami daripada mereka”. Akhirnya Rasulullah SAW hanya mengajak mereka ingat kepada Allah dan mengkhabarkan kerasulan baginda (M. Abdullah Al-Mas’ari, Al-Mana’ah wa Thalab an-nusrah, hal. 4; M. Khair Haikal, Al-Jihad wa al-Qital, I/411).


Ketiga: Ahlun-nusrah wajib orang-orang Muslim. Hal ini nampak jelas daripada aktiviti Rasulullah SAW dalam thalabun-nusrah kepada pelbagai kabilah. Beliau meminta mereka beriman terlebih dahulu, setelah itu baru meminta mereka memberikan perlindungan kepada baginda. Hal ini hanya berlaku jika nusrah yang diminta berupa dukungan untuk memperoleh kekuasaan. Adapun jika untuk kepentingan perlindungan peribadi (himayah syakhsiyyah), maka ianya boleh berasal daripada non-Muslim, seperti halnya Rasulullah SAW yang mendapatkan perlindungan daripada bapa saudaranya, Abu Thalib yang non-Muslim (M. Khair Haikal, Al-Jihad wa al-Qital, I/408).

Keempat: Ahlun-nusrah haruslah orang-orang yang mendukung Syariah dan Khilafah, bukan orang yang memusuhi Islam seperti kelompok sekular, liberal dan sebagainya. Dahulu, Rasulullah SAW mendapatkan nusrah daripada kabilah Aus dan Khazraj setelah kedua-dua kabilah itu mempelajari Islam daripada Mushab bin Umair RA di Madinah. Jadi, ahlun-nusrah wajib mengikuti pembinaan terlebih dahulu sebagai pelajar (daris) dalam halaqah untuk mempelajari Islam dalam parti politik yang melakukan thalabun-nusrah, meskipun tidak disyaratkan harus menjadi anggota parti politik tersebut (M. Muhsin Radhi, Hizb at-Tahrir Tsaqafatuhu wa Manhajuhu, hal. 315).

Kelima: Ahlun-nusrah harus berada sepenuhnya di bawah kendali parti politik yang mereka dukungi, bukan menjadi kekuatan terpisah dan diluar kawalan. Ini dapat dilihat bagaimana Rasulullah SAW mengendalikan sepenuhnya kabilah Aus dan Khazraj yang memberikan nusrah, Rasulullah SAW meminta kabilah Aus dan Khazraj untuk memilih 12 orang daripada mereka sebagai wakil untuk bermusyawarah dengan Rasulullah SAW. Baginda juga melarang kabilah Aus dan Khazraj untuk memerangi penduduk Mina. Ini menunjukkan semua urusan ahlun-nusrah berada sepenuhnya di bawah kendali Rasulullah SAW (M. Muhsin Radhi, Hizb at-Tahrir Tsaqafatuhu wa Manhajuhu, hal. 315).

Keenam: Ahlun-nusrah tidak dibenarkan meminta balasan atau manfaat tertentu sebagai imbalan melakukan thalabun-nusrah, misalnya meminta jabatan tertentu setelah Khilafah berdiri. Ini nampak jelas daripada penolakan Rasulullah SAW terhadap permintaan kabilah Bani ‘Amir bin Sha’sha’ah yang mensyaratkan agar setelah baginda meninggal dunia, kekuasaan haruslah diserahkan kepada mereka (M. Khair Haikal, Al-Jihad wa al-Qital, I/411).

Ketujuh: Ahlun-nusrah disyaratkan tidak terikat dengan perjanjian antarabangsa yang bertentangan dengan dakwah, sementara mereka pun tidak mampu melepaskan diri daripada perjanjian tersebut. Hal ini kerana Rasulullah SAW pernah membatalkan permintaan nusrah baginda daripada kabilah Bani Syaiban kerana mereka masih terikat perjanjian dengan Kerajaan Parsi untuk tidak saling menyerang, sedangkan mereka tidak mampu melepaskan diri daripada perjanjian itu (M. Khair Haikal, Al-Jihad wa al-Qital, I/414).

Khatimah

Sesungguhnya aktiviti thalabun-nusrah adalah kewajipan dalam marhalah dakwah demi ter-realisasinya kekuasaan Islam dengan tegaknya Syariah dan Khilafah. Ianya merupakan salah satu daripada aktiviti dakwah. Dengan kata lain, aktiviti pembinaan dalam halaqah murakkazah (intensif) atau aktiviti pembinaan umum seperti seminar, tabligh akbar, masirah (demonstrasi aman) dan sebagainya akan tetap berjalan.

Wahai Muslimah yang kini menghayun langkah-langkah perjuangan demi melakukan perubahan! Marilah mempersiapkan suasana nusrah, iaitu dengan bersungguh-sungguh mewujudkan kesedaran umum sehingga terbentuknya public opinion (pengetahuan umum) iaitu dengan wujudnya keinginan yang kuat dalam kalangan umat untuk diatur dan diperintah dengan kekuasaan Islam. Ingatlah apabila keinginan kuat ini muncul dan umat telah disiapkan ke arah menyokong penerapan hukum dan sistem Islam, ancaman dan tekanan fizikal mungkin sahaja muncul baik daripada pihak penguasa mahupun daripada pihak penjajah asing. Satu-satunya pihak yang mampu mengatasi halangan tersebut adalah ahlun-nusrah yang sememangnya memiliki kemampuan dan kekuatan. Begitulah pentingnya peranan ahlun-nusrah dalam perubahan masyarakat menuju tegaknya Syariah dan Khilafah.


Rujukan:
1. Al-Waie, No. 142 Tahun XIII, 1-30 Jun 2012/1433H
2. http://hizbut-tahrir.or.id/2011/05/04/thalabun-nushrah-kunci-perubahan/ - diakses pada 30 September 2014
3. http://irfanabunaveed.com/2013/09/12/thalabun-nushrah-bagian-dari-metode-dakwah-rasulullaah-saw-2/ - diakses pada 30 September 2014
4. http://wahyudiibnuyusuf.blogspot.com/2011/10/thalabun-nushrah-metode-menegakkan.html - diakses pada 30 September 2014




SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment