Peranan Wanita Dalam Dakwah

Peranan Wanita Dalam Dakwah
Oleh: Ustazah Zaharah Buhari (Ketua Lajnah Muballighah MHTM)


Apabila seorang Muslimah memahami dengan jelas tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim, dia bukan sekadar menjadi ibu dan suri rumahtangga. Tetapi, seorang Muslimah yang memahami peranannya yang sebenar akan berusaha untuk menjadi khoiru ummah (umat terbaik). Umat terbaik adalah umat yang melaksanakan dakwah terhadap kaum keluarganya dan juga terhadap masyarakat setempat. Allah SWT berfirman,

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah” [TMQ ali-‘Imran (3):110].

Dalam hal ini, seorang Muslimah tidak hanya memfokuskan amalan ruhiyyah (kerohanian) dan kerja-kerja rumahtangga semata-mata. Sebaliknya Muslimah juga wajib berusaha melaksanakan kewajipan lain iaitu mendalami ilmu agama secara istiqamah (berterusan). Allah SWT berfirman,

“Maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap” [TMQ al-Insyirah (94):7-8].

Seorang Muslimah juga wajib melakukan amar makruf nahi mungkar sebagai tanda keimanan kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman,

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar.” [TMQ at-Taubah (9):71].

Menurut Imam al-Qurtubi, Allah telah menjadikan amar makruf nahi mungkar sebagai garis pemisah di antara orang-orang beriman dan orang munafik. Ia menjadi ciri orang beriman yang mana asasnya ialah menyeru (berdakwah) kepada Islam. Allah SWT berfirman,

“Mereka itu tidak sama; di antara Ahli Kitab itu ada golongan yang berlaku lurus, mereka membaca ayat-ayat Allah pada beberapa waktu di malam hari, sedang mereka juga bersujud (sembahyang). Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan. Mereka menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebaikan; mereka itu termasuk orang-orang yang soleh” [TQM ali-‘Imran (3):113-114].

Wanita sangat penting untuk terlibat dalam dakwah kerana terdapat banyak persoalan atau hal yang berkaitan dengan wanita, adalah lebih difahami oleh kaum wanita sendiri. Sesungguhnya, terdapat sebahagian besar kaum wanita tidak dapat menjelaskan permasalahan yang dihadapinya terhadap pendakwah lelaki kerana malu untuk menyatakan secara terus terang permasalahan yang sedang dihadapinya. Terdapat pula keadaan yang mana wanita tidak dapat mengikuti dakwah yang disampaikan kerana timbul persoalan ikhtilath (percampuran antara lawan jenis). Begitu juga halnya, jika timbul konflik dalam urusan rumahtangga yang memerlukan tindakan segera untuk diselesaikan, adalah lebih mudah jika sesama wanita yang memberikan penjelasan ataupun pandangan kerana mereka lebih saling memahami dan mudah untuk berterus terang.

Melaksanakan kewajipan dakwah, menyeru kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran bukanlah satu tanggungjawab yang mudah. Seumpama syurga Allah yang luasnya seluas langit dan bumi disediakan bagi orang-orang yang bertakwa, maka perjalanan merealisasikan impian untuk kekal di dalam syurga perlu dibayar dengan harga yang tinggi. Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda,

“Jalan ke syurga dibentangi dengan perkara yang tidak disukai manakala jalan ke neraka dibentangi dengan syahwat” [HR al-Bukhari dan Muslim].

Seorang Muslimah khususnya para ibu perlulah melakukan pengorbanan yang amat besar untuk melakukan kewajipan ini kerana dibahunya turut sama terbeban kewajipan selaku ibu dan pengurus rumahtangga (ummun wa rabbatul bait). Memadukan dakwah dengan urusan rumahtangga bukanlah satu perkara yang mudah dilakukan terutamanya kepada ibu-ibu Muslim yang bekerjaya. Akan tetapi para Muslimah perlu memahami bahawa peranan mereka dalam dakwah adalah penting terutamanya dalam aspek yang didominasi oleh wanita seperti aurat wanita, hukum-hukum tentang kelahiran, penyusuan, pemeliharaan anak dan lain-lain urusan yang melibatkan wanita, yang mana seorang Muslimah itu akan diminta pertanggungjawaban lebih daripada urusan haid dan nifas sahaja.

Jika ditelusuri sejarah, Muslimah pada zaman Rasulullah SAW iaitu Ummu ‘Atiyyah al-Ansariyyah menjadikan rumahnya tempat tumpuan kaum lelaki dalam menimba ilmu. Beliau terkenal kerana keaktifannya dalam memberi nasihat dan menyampaikan ajaran Islam dalam kalangan pelbagai kabilah. Menurut Zainab al-Ghazali di dalam bukunya yang berjudul ‘Ila Ibnati’, keadaan umat pada masa kini sangat memerlukan kaum wanita untuk memainkan peranan yang aktif dalam dakwah. Hal ini kerana menurutnya pada masa kini penjajah Barat sedang berusaha mengeksploitasi wanita dalam menabur benih-benih kejahatan dan keruntuhan nilai-nilai akhlak dan kemanusiaan. Wanita Islam yang lemah pegangan agamanya serta cetek ilmunya akan terus menjadi alat propaganda syaitan dalam melariskan kemungkaran yang ditajanya melalui media massa, sama ada media cetak mahupun media elektronik.

Justeru, wanita perlu bangkit dari lena dan buaian kehidupan moden dan berusaha mengorak langkah untuk aktif dalam berdakwah, mempelajari ilmu-ilmu agama, terlibat dalam kegiatan dakwah, dalam rangka melaksanakan amar makruf nahi mungkar dan menanamkan tekad dalam diri bahawa dalam rangka untuk menjadi seorang ibu yang terbaik, maka mereka perlu melaksanakan tanggungjawab dakwah yang menjadi kewajipan setiap Muslim. Allah SWT berfirman,

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan daripada Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa” [TMQ ali-Imran(3):133)].

Wallahu’alam..
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment